Selasa, 10 Februari 2009

PANDANGAN SYARIAT TERHADAP FITNAH POLITIK PERAK

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI


Fitnah atau kekacauan politik yang berlaku di negeri Perak Darul Rizwan mendapat perhatian banyak pihak dan banyak pula yang membincangkannya dalam pelbagai aspek. Namun, seperti biasa, amat sedikit bilangan mereka yang membincangkannya daripada sudut pandang syarak sedangkan syarak adalah penyelesaian tunggal dalam menghadapi krisis yang runcing ini.


Kita berterima kasih kepada S.S Mufti Perak yang sebelum ini terkenal dengan kebencian beliau kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) namun dalam situasi yang meruncing ini, beliau sendiri berfatwa selaras dengan manhaj ASWJ. Kita berharap selepas ini beliau terus membuka mata hati beliau daripada taklid buta, menerima manhaj ASWJ yang sejati sama ada dalam akidah, ibadah, akhlak, muamalat, dan siasah (politik).


Berbalik kepada isu pergelutan politik Perak, kita perlu memahami hakikat bahawa parti yang sebenarnya memerintah Perak adalah Democratic Action Party (DAP), iaitu parti kafir yang terkenal dengan permusuhannya terhadap Islam dan umatnya. Jika kita merujuk kepada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak dalam PRU-12, kita dapati DAP mempunyai 18 kerusi manakala PAS hanya 6 kerusi dan PKR 7 kerusi.


Perlantikan Nizar bin Jamaluddin sebagai Menteri Besar hanyalah dalam memenuhi tuntutan perundangan yang menghendaki Menteri Besar mestilah seorang Melayu Islam. Barisan Exco Perak majoritinya adalah golongan kafir demikian juga Speaker DUN dan timbalannya.


Oleh itu, mengiktiraf kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat sebagai kerajaan Islam tulin adalah pembohongan dan pendustaan. Allah s.w.t telah melarang kaum muslimin menjadikan kaum kafir sebagai pemimpin dan pemegang jawatan-jawatan besar negara dalam firman-Nya:


لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً


Maksudnya: “Janganlah kaum mukminin menjadikan kaum kafir sebagai ‘wali’ selain orang mukmin, sesiapa yang melakukan demikian maka tiada baginya pertolongan Allah melainkan kamu melakukannya kerana takut secara taqiyah..” [Ali Imran: 28].


Imam Ibn Jarir al-Tabari r.h menyatakan bahawa ayat ini merupakan larangn daripada Allah s.w.t kepada kaum mukmin untuk menjadikan kaum kafir sebagai penolong dan pendamping, demikian juga menjadikan mereka sebagai teman rapat. Dikecualikan jika mereka melakukannya secara taqiyah yakni dipaksa dan diancam bahaya seperti dia berada di negeri kafir atau ditawan oleh orang kafir (dijajah), maka hendaklah mereka membencinya dalam hati sahaja. [Tafsir al-Tabari].


Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah kamu memanggil orang munafiq sebagai tuan, kerana jika kamu menjadikannya sebagai tuan kamu telah menyebabkan kemurkaan Tuhan kamu” [Ahmad].


Lihatlah, jika sekadar memanggil ‘tuan’ pun tidak boleh, apatah lagi kita memberinya jawatan yang menjadikannya ‘tuan’ dan ‘pemerintah’ kita. Perkara ini (haramnya melantik kaum kafir sebagai pemimpin) adalah ijmak dalam kalangan ulama ASWJ. Perkara ini para ulama membincangkannya dalam isu akidah yang dinamakan akidah al-wala’ dan al-bara’ dan boleh dirujuk kepada kitab-kitab berkenaan seperti Al-Wala’ wal Bara’ oleh Syeikh Soleh al-Fauzan hafizahullah.


Kesimpulan daripada isu pertama ini dapatlah kita katakan bahawa tidak ada bezanya antara hukum Barisan Nasional yang turut menjadikan kaum kafir sebagai peimpin dengan Pakatan Rakyat yang melakukan perkara yang sama, namun dalam hal semacam ini kaum muslimin hendaklah berpegang dengan kaedah fiqah yang telah disepakati para ulama iaitu:


ارتكاب أخف الضررين


Maksudnya: “Melakukan Mudarat yang teringan antara dua mudarat”.


Jika kembali meninjau fiqah waqi’ (Kefahaman Realiti), kita dapati kerajaan yang dipimpin BN lebih ringan mudaratnya kerana kedudukan Melayu yang majoritinya beragama Islam adalah majoriti walaupun kita sedar kerajaan BN ini masih ada mukhalafat (Penyelisihan) syariah yang mereka lakukan. Maka rakyat Perak perlu sedar bahawa mereka apabila mengundi DAP suatu ketika dahulu telah melakukan dosa besar dan apa yang menimpa mereka hari ini adalah diharap sebagai kaffarah (penebus dosa) daripada Allah untuk mereka.


Isu kedua yang perlu mereka faham adalah kedudukan Menteri Besar dalam syarak hanyalah sebagai Wazir sahaja yakni pembantu kepada pemerintah yang sebenar yakni Paduka Seri Sultan Perak dalam konteks ini.


Imam al-Mawardi dalam kitab beliau al-Ahkam al-Sultaniah menyatakan jenis Wizarah (Kementerian) itu terdapat dua:


  • 1- Wizarah al-Tafwid yakni pemerintah menyerahkan kuasa kepada menteri untuk menjalankan kuasanya tanpa perlu menunggu arahan beliau terlebih dahulu dalam beberapa perkara
  • 2- Wizarah al-Tanfiz yakni berlawanan dengan jenis pertama, menteri jenis ini terikat dengan arahan pemerintah.


Menteri Besar, Perdana Menteri, dan Ketua Menteri di Malaysia boleh dikategorikan sebagai Wizarah al-Tafwid manakala menteri di bawah mereka jika dilihat dari hubungan mereka dengan Raja atau Sultan adalah wizarah al-Tafwid manakala dari segi hubungan mereka dengan Wazir Mufawwad Ilaih (Menteri Besar dsbg) adalah Wazir Tanfiz.


Maka, dalam keadaan ini, ketaatan rakyat hendaklah dicurahkan kepada Sultan atau Raja yang memerintah dalam konteks kita ini kerana bagindalah pemerintah sebenar dan ketaatan kita terhadap Menteri Besar, Perdana Menteri, Ketuan Menteri, dan sebagainya hanyalah ketaatan tabaiyyah (yang bersifat mengikut) kepada ketaatan terhadap Sultan dan Raja. Apabila Sultan atau Raja membuat keputusan untuk menukar orang memegang jawatan Wizarah al-Tafwid tadi, maka rakyat hendaklah taat dan patuh tanpa bangkangan selagi orang yang dilantik itu beragama Islam dan layak memerintah.


Dalam hal ini, rakyat perlu sedar pula bagaimana syarak mengatur langkah dalam mentaati pemerintah. Syarak meletakkan syarat hendaklah perkara yang ditaati itu dalam perkara makruf yakni bukan maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya ketaatan itu adalah hanya dalam urusan makruf”.[al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasai].


Namun, adakah bermakna apabila seorang pemerintah itu melakukan maksiat dan memerintahkan kita melakukan maksiat kita perlu menggulingkannya dan merampas takhtanya? Atau sekadar kita tidak menjalankan perintah maksiatnya tanpa menggunakan kekerasan terhadapnya?


Rasulullah s.a.w bersabda: “Dengar dan taatlah (kepada pemerintah) walaupun dia memukul belakang kamu dan merampas harta kamu..” [al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].


Sabda Rasulullah s.a.w juga: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah kamu cinta dan dia mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”; kemudian seorang sahabat bertanya: ‘Adakah boleh kami menggulingkan mereka ketika itu?’ Jawab Nabi s.a.w: “Tidak boleh selagi mereka mendirikan solat (2x), sesungguhnya seseorang kamu apabila melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka bencilah maksiat yang dilakukan tetapi janganlah dia mencabut tangannya daripada memberikan ketaatan”. [Muslim, Ahmad, dll].


Daripada dua hadis yang sangat-sangat sahih dan jelas maknanya ini, kita dapati Rasulullah s.a.w melarang kita menderhaka kepada pemerintah dengan menggulingkannya secara kekerasan walaupun dia melakukan maksiat dan kezaliman. Jika beginilah sekali hukumnya apabila pemerintah melakukan maksiat, maka apakah kita akan sangka hukumnya jika pemerintah memerintahkan sesuatu yang bukan maksiat?


Allah s.w.t berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ


Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan pemimpin dalam kalangan kamu…” [al-Nisaa: 59].


Ayat ini memerintahkan orang yang beriman memberikan ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya serta mentaati pemerintah dalam urusan yang sesuai dengan syarak dan pemerintah kaum mukmin itu hendaklah dalam kalangan mereka bukan orang kafir.


Oleh itu, ayat ini menjelaskan dalam hal yang bukan maksiat wajib ke atas kaum muslimin mentaati perintah pemimpin walaupun perintah itu bertentangan dengan kehendak dan kepentingan peribadinya.


Akhir kata dalam penyelesaian isu ini adalah kembali ke pangkal jalan dan melazimi methode berpolitik yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda. Sebagai penutup saya ingin menyampaikan pesan Rasulullah s.a.w apabila kita berhadapan dalam keadaan fitnah seperti ini.


Hendaklah kita melazimi manhaj ASWJ yang sejati iaitu yang mengikut al-Salaf al-Soleh bukan mengikut amalan nenek moyang dan orang banyak tanpa mempedulikan sandaran daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Janganlah kita berhukum dengan emosi dan perasaan kita semata-mata kerana Allah s.w.t telah mencela dengan celaan yang besar golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah s.w.t. Wallahua’lam.


Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2009/02/10/pandangan-syariat-terhadap-fitnah-politik-perak/

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...