http://mashoori.wordpress.com/2009/02/24/apabila-ustaz-dan-ustazah-berpoco-poco/
Pendidikan merupakan asas kejayaan dan tapak ketamudan sesebuah kaum, bangsa, dan organisasi sosial. Ini lah hakikat yang tidak dapat dielakkan lagi oleh mana-mana manusia yang berakal, pendidikan amat penting untuk setiap individu. Islam adalah agama yang meletakkan pendidikan pada tempat yang sangat mulia serta menjadikan amalan menuntut ilmu sebagai satu kewajipan agama dan ibadah yang penting sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
طلب العلم فريضة على كل مسلم
Maksudnya: “Menuntut ilmu itu satu kewajipan atas setiap muslim”. [Ibn Majah, disahihkan oleh al-Albani].
Islam juga mengangkat kedudukan Ahli Ilmu sebagaimana firman Allah s.w.t:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat…” [al-Mujadilah: 11].
Sabda Rasulullah s.a.w:
ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة
Maksudnya: “dan barangsiapa yang keluar berjalan mencari ilmu maka dimudahkan Allah baginya jalan ke syurga..” [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].
Semulia-mulia ilmu dengan sepakat para ulama Islam pula adalah ilmu syariat yakni yang berkaitan lansung dengan hukum-hakam syarak yang dengannya manusia mengetahui bagaimana hendak mengatur hubungan antara mereka dengan Tuhan mereka dan antara sesama mereka, mengenal apa yang dibenarkan Tuhan dan apa yang dilarangNya.
Pihak musuh Islam amat peka akan hal ini lalu mereka mula mengatur langkah untuk meracun sistem pendidikan Islam dengan bermacam helah dan muslihat.
Bermula kurun ke-19 masehi, kita dapat melihat lahirnya kaum profesional dalam bidang agama yang berhaluan kiri yakni melawan arus agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat radiallahu’anhun ajmain seperti Rifaah Tahtawi, Taha Husein, dan Jamaluddin al-Afghani.
Kesemua ini merupakan lanjutan terhadap usaha jahat Yahudi dan Nasrani yang bermula semenjak kurun pertama hijrah Rasulullah s.a.w. Usaha pihak Orientalis sangat berjaya dalam merosakkan sistem pendidikan Umat Islam.
Baru-baru ini seorang pelajar sebuah Universiti tempatan ada memberikan emel dan memohon pandangan saya berkenaan gejala sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar IPT. Gejala sosial yang dimaksudkan di sini bukanlah yang sedia kita maklum tetapi yang lebih tersembunyi dan jika dipandang sekali kerdip seolah-olah tiada masalah.
Apa yang menjadi kebimbangan beliau adalah penuntut-penuntut yang bakal menjadi guru dan pengajar terutama yang bakal bergelar ustaz dan ustazah. Selaku bakal guru, para pelajar ini akan dilibatkan poleh pihak pentadbiran dengan bermacam aktiviti kokurikulum yang disifatkan sebagai pembinaan jati diri dan motivasi.
Apa yang menjadi persoalan ialah, mereka ini diwajibkan juga terlibat dalam aktiviti lasak tanpa menjaga batas pergaulan seperti antara aktiviti yang pada pandangan saya paling tidak bermoral adalah menari tarian poco-poco iaitu sejenis tarian dalam barisan. Batas antara wanita dan lelaki adalah terlau dekat sehingga pergeseran tidak dapat dielakkan.
Hal ini bukan sahaja berlaku di peringkat IPT bahkan di sekolah rendah dan sekolah menengah lagi. Sewaktu saya menuntut di sebuah SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) di negeri Mutiara, saya dipilih untuk menyertai satu program kokurikulum semcam perkhemahan. Pelajar lelaki dan wanita disatukan dalam pecahan kumpulan kemudian di waktu malam kami disuruh melakukan night tracking memanjat bukit dan merentas hutan.
Bayangkanlah betapa pergaulan bebas yang boleh berlaku dalam keadaan ini yang pada awalnya diwar-warkan sebagai program pembinaan diri dan menjurus kepada aspek keagamaan.
Islam melarang pergaulan dan percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram dan bukan pula suami isteri. Antara yang jelas dalam perkara ini adalah Islam meletakkan lelaki dan wanita di tempat berasingan dalam solat iaitu waktu di mana seorang insan menghadapkan dirinya kepada Allah s.w.t dan waktu yang paling aman daripada berlaku sebarang fitnah dan syahwat. Nabi s.a.w bersabda:
خير صفوف الرجال أولها وشرها آخرها وخير صفوف النساء آخرها وشرها أولها
Maksudnya: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang terhadapan dan yang paling buruk adalah yang terkebelakang, dan sebaik-baik saf wanita adalah yang terkebelakang dan yang terburuk bagi mereka yang terkedepan”. [Muslim dll].
Jikalau beginilah keadaannya Islam mengatur kedudukan dalam solat, mengasingkan antara lelaki dan wanita, maka bagaimana pula dalam keadaan di luar solat yang tidak aman daripada timbulnya perasaan syahwat? Amat pelik pada hari ini menjadi perkara biasa lelaki dan wanita berkongsi tempat duduk dalam bas, LRT, kapal terbang, kereta api dan lebih dahsyat dalam bilik darjah sekolah di mana pelajar lelaki dan wanita dibiarkan duduk bersebelahan kemudian kita menjadi pelik dan hairan bagaimana seorang kanak-kanak berusia 7 tahun merogol atau berzina? Jawapannya telah tampak jelas pada sistem pendidikan yang kita sediakan semenjak sekolah rendah lagi.
Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda:
مروا أبناءكم بالصلاة لسبع واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع
Maksudnya: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika mereka meniunggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka”. [Abu Daud, Ahmad].
Ini pula menjelaskan kedudukan mahram dalam rumah, Allah s.w.t memerintahkan supaya ibu bapa memisahkan tempat tidur antara anak-anak pada usia 10 tahun sama ada sesama mereka atau pun daripada ibu bapa jika mereka tidur dengan ibu bapa. Maka apakah dapat diterima di luar rumah kita membiarkan anak-anak kita bergaul dan bercampur dengan bukan mahramnya sedangkan sesama mahram pun Allah s.w.t asingkan tempat tidur?
Lihat dan fahamkan pula hadis Rasulullah s.a.w berikut:
لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا المرأة إلى عورة المرأة ولا يفضي الرجل إلى الرجل في ثوب واحد ولا تفضي المرأة إلى المرأة في الثوب الواحد
Maksudnya: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bergabung dengan lelaki lain dalam satu kain dan tidak boleh seorang perempuan bergabung dengan wanita lain dalam satu kain”. [Muslim, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].
Maka jika beginilah sekali Islam melarang sesama jantina, maka apakah masuk di akal jika kita hendak katakan Islam tidak melarang pergaulan lekaki dan wanita secara bercampur baur? Sungguh hairan dan ajaib akal manusia zaman moden dan sungguh licik Yahudi dan kuncu-kuncunya memperkuda akal kaum muslimin!! Inilah yang berlaku kepada akal jika tiada bimbingan wahyu dan Iman, umpama sampah yang bernajis!
Kita sampai sekarang masih hairan dan pelik dengan kaum safih (bodoh) yang menggelar diri mereka al-Ikhwan al-Muslimun (Saudara se-Islam) yang menghalalkan persalaman antara lelaki dan wanita melalui lidah pemebesar mereka, anak murid utama Hasan al-Banna, Yusuf al-Qardawi. Dalam hadis Nabi s.a.w baginda bersabda:
إني لا أصافح النساء
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak akan bersalam dengan wanita..” [al-Nasai, Ibn Majah, Ahmad, dan Malik].
Hadis ini terang bagaikan rembulan di malam hari, bagaikan suria di siang hari bahawa bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi itu dilarang syarak.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Ahzab ayat ke-53:
وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ
Maksudnya: “dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. cara Yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka…”
Ini adalah perintah Allah s.w.t kepada para Sahabat apabila hendak berbicara dengan Ummul Mukminin (Para Isteri Rasulullah s.a.w) hendaklah di sebalik tabir, sedangkan para Sahabat adalah kaum yang terbaik, kurun yang terunggul manakal Isteri-isteri Rasulullah s.a.w pula dilarang untuk kita kahwini selepas kewafatan baginda sehingga digelar Ummul Mukminin (Ibu Orang-orang beriman) maka mana mungkin kita boleh membiarkan anak-anak remaja kita yang dimaklumi ‘nakal’ ini bergaul tanpa batas.
Setelah jelas haramnya pergaulan tanpa batas ini, mana ada jalan keluar lagi bagi kita untuk menyatakan bahawa aktiviti yang melibatkan pergaulan jantina ini sebagai motivasi diri atau kem bina diri dan seumpamanya. Mungkin aktiviti ini membina ‘body’ tetapi ‘Iman’ dan ‘Akidah’ pasti tergadai. Apa gunanya kita menghantar anak wanita kita yang masih dara untuk melatih dan memotivasi diri apabila dia pulang membawa ‘isi’?!
Demikian juga isu ustaz dan ustazah yang berpoco-poco yang kita sebutkan tadi, ini lebih parah kerana menunjukkan palajar yang menuntut ilmu agama sendiri pun tidak terlepas daripada gejala sosial yang amat negatif ini. Apatah lagi menari di khalayak ramai itu sendiri walau tanpa iringan muzik adalah menjatuhkan maruah dan ditolak kesaksiannya dalam mahkamah syariah lebih-lebih lagi diiringi muzik maka berhimpunlah padanya sabda Nabi s.a.w:
ليشربن ناس من أمتي الخمر . يسمونها بغير اسمها . يعزف على رءوسهم بالمعازف والمغنيات يخسف الله بهم الأرض . ويجعل منهم القردة والخنازير
Maksudnya: “Akan ada segolongan manusia daripada umatku meminum arak, mereka menamakannya bukan dengan namanya, dimainkan di sisi mereka muzik dan penyayi-penyanyi (menyanyi), Allah akan menenggelamkan mereka dalam bumi dan menukar mereka menjadi kera-kera dan babi-babi” [Ibn Majah, sahih, asalnya dalam al-Bukhari].
Jika kita lihat penyanyi dan penari pada hari ini, amat benarlah sabda Nabi s.a.w yang memang baginda itu seorang Sadik (Benar) lagi Masduq(dibenarkan oleh Allah s.w.t), mereka itu terkinja-kinja tidak ubah seperti seekor kera kemudian menyondol-nyondol tidak ubah seperti seekor babi!. Mungkin ada yang berkata ayat ini kasar tapi inilah yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.
Namun, timbul persoalan, bukankah ini semua juga hasil arahan pemerintah kita? Maka adakah jalan keluar yang mudah dalam masalah ini? Jawapannya; Ya ini semua tidak lepas daripada kesalahan pihak pemerintah sendiri, tetapi tidak terkecuali juga rakyat yang telah meninggalkan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dalam berurusan dengan pemerintah.
Dalam sistem demokrasi ciptaan kaum kafir hari ini, rakyat itu hanya ada dua, sama ada penyokong atau pembangkang sedangkan dalam Islam rakyat itu sama ada pentaklid yang akan celaka kerana mengikut segala arahan pemerintah tanpa mengira halal atau haram atau seorang rakyat yang taat yang mengikut arahan pemerintah dalam perkara halal dan menjauhi dalam perkara haram serta menasihati pula pemerintahnya dengan baik atau pemberontak yang juga celaka di sisi Allah s.w.t.
Kita amat hairan dengan kaum safih yang mendakwa pejuang Islam di negara kita hari ini yang sanggup memberontak kerana kehilangan sebuah kerusi dalam Parlimen tetapi diam mebisu dalam perkara maksiat ini. Sepatutnya selaku muslim yang bertakwa, hendaklah mereka menasihati pemerintah dengan cara yang baik, bukan memberontak berbaring di tengah jalan menghalang jalan.
Tindakan mereka ini menambah lagi kekerasan hati pemerintah dan menambah kezaliman mereka. Telah saya sebutkan berkali-kali dalam artikel sebelum ini bahawa Ahli Sunnah wal Jamaah taat kepada pemerintah tetapi hanya dalam hal makruf namun apabila disuruh melakukan maksiat mereka tidak akan ikut walaupun terpaksa berkorban nyawa sekalipun tetapi dalam masa yang sama mereka sama sekali tidak akan mengangkat senjata memberontak atau menggulingkan pemerintah mereka.
Maka dalam menghadapi situasi yang saya sebutkan memang tidak ada jalan keluar yang mudah kerana dalam hadis yang dikeluarkan Muslim dan Ahmad Nabi s.a.w telah menyatakan di akhir zaman ini apabila berlalu satu bala akan datang yang lebih dahsyat daripada itu. Dalam keadaan ini, Nabi s.a.w juga memerintahkan kita bersabar dan jangan memberontak kepada pemerintah selama dia muslim.
Namun begitu kaum muslim mesti juga bersedia untuk ingkar arahan pemimpin mereka yang melibatkan maksiat walaupun terpaksa menggadai nyawa kerana dihukum bunuh misalnya kerana terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab r.a:
فإن أمر عليك عبد حبشي مجدع فاسمع له وأطع ، وإن ضربك فاصبر ، وإن حرمك فاصبر ، وإن أراد أمرا ينقص دينك ، فقل : سمعا وطاعة ، دمي دون ديني ، ولا تفارق الجماعة
Maksudnya: “maka jika seorang hamba habsyi yang terpotong hidungnya sekalipun menjadi pemerintahmu maka dengar dan taatlah dan jika dia memukul kamu maka sabarlah, jika dia menghalang hakmu maka sabarlah, dan jika dia mengkehendaki kamu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agamamu maka katalah: “Saya dengar dan taat, tetapi ambil lah darahku, bukan agamaku”, namun jangan kamu memecahkan jemaah”. [al-Sunnah lil Kahllal, al-Syariah lil Ajuri].
Ini sesuai dengan larangan keras Rasulullah s.a.w supaya tidak mentaati perintah maksiat. Dalam sebuah hadis meriwayatkan:
عَنْ عَلِيٍّ ، قَالَ: بَعَثَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم سَرِيَّةً ، وَاسْتَعْمَلَ عَلَيْهِمْ رَجُلاً مِنَ الأَنْصَارِ ، قَالَ : فَلَمَّا خَرَجُوا - قَالَ - : وَجَدَ عَلَيْهِمْ فِي شَيْءٍ ، قَالَ : فَقَالَ لَهُمْ : أَلَيْسَ قَدْ أَمَرَكُمْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تُطِيعُونِي ؟ قَالَ : قَالُوا : بَلَى ، قَالَ : فَقَالَ : اجْمَعُوا حَطَبًا ، ثُمَّ دَعَا بِنَارٍ فَأَضْرَمَهَا فِيهِ ، ثُمَّ قَالَ : عَزَمْتُ عَلَيْكُمْ لَتَدْخُلُنَّهَا ، قَالَ : فَهَمَّ الْقَوْمُ أَنْ يَدْخُلُوهَا ، قَالَ : فَقَالَ لَهُمْ شَابٌّ مِنْهُمْ : إِنَّمَا فَرَرْتُمْ إِلَى رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم مِنَ النَّارِ ، فَلاَ تَعْجَلُوا حَتَّى تَلَقَوُا النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم ، فَإِنْ أَمَرَكُمْ أَنْ تَدْخُلُوهَا فَادْخُلُوا ، قَالَ : فَرَجَعُوا إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، فَأَخْبَرُوهُ ، فَقَالَ لَهُمْ : لَوْ دَخَلْتُمُوهَا مَا خَرَجْتُمْ مِنْهَا أَبَدًا ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ.
Maksudnya: Daripada Ali r.a. kata beliau: Rasulullah s.a.w mengutuskan satu sariah (pasukan tentera) dan melantik seorang lelaki daripada Ansar sebagai panglima. Apabila mereka telah keluar (untuk berperang), panglima mereka ini berasa tidak puas hati dengan parjuritnya lalu berkata: “Bukankah Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kamu untuk taat kepadaku?” Jawab mereka: “Bahkan memang baginda menuruh demikian”. Lalu dia memerintahkan: “Kumpulkan kayu api”.kemudian dia menyalakan api dan berkata: “Aku sudah berazam menyuruh kamu masuk ke dalamnya”. Kata Ali: “maka ada antara mereka hendak ikut arahannya”. Lalu berkata seorang remaja dalam kalangan mereka: “Sesungguhnya kamu lari kepada Rasulullah s.a.w daripada api (neraka), maka janganlah tergesa-gesa (untuk ikut perintah) sehingga kita bertemu (merujuk) Nabi s.a.w, jika baginda menyuruh masuk maka masuklah”. Kata Ali: “Maka mereka balik (ke Madinah) dan memberitahu Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu masuk ke dalamnya tentulah kamu tidak akan keluar daripadanya lagi (yakni mati), sesungguhnya taat itu dalam perkara makruf”. [al-Bukhari & Muslim].
Ini adalah contoh terbaik dalam menjauhi perintah maksiat di mana hendaklah kita jangan taat kepada perintah tersebut namun menolaknya dengan cara yang baik, bukan berdemonstrasi dan memaki hamun.
Maka dalam menghadapi perkara semcam ini, arahan-arahan yang membawa kepada maksiat ini, para pelajar IPT terutamanya perlulah lebih berani bercakap benar dengan cara yang benar pula sehingga pihak pentdbiran tidak menghukum mereka sebagai pembangkang dan para ibu bapa dan penjaga hendaklah memainkan peranan menyekat perbuatan tersebut dengan membantah secara baik dan lemah lembut.
Sebagai penutup, saya ambil kesempatan ini menyeru kepada pihak pemerintah dan mereka yang terlibat dengan pendidikan ini supaya memastikan semua aktiviti yang hendak dilaksanakan sesuai dengan garis panduan syariat Islam supaya aktiviti tersebut mendapat berkat dan reda daripada Allah s.w.t. Wallahua’lam.