Isnin, 15 Disember 2008

APAKAH ITU AL-JAMAAH?

Menurut bahasa, perkataan al-Jamaah berasal daripada al-ijtima' yang bermaksud berkumpul atau bersatu. Lawan kata al-Jamaah ialah al-Firqah iaitu berpecah-belah. Ibn Taimiyyah menjelaskan, "Al-Jamaah bererti persatuan, sedangkan lawannya adalah perpecahan. Dan lafaz al-Jamaah telah menjadi nama bagi kaum yang bersatu." (Majmu' Fatawa 3/157)


Lafaz al-jamaah jika dirangkaikan dengan as-Sunnah, menjadi Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka yang dimaksudkan ialah pendahulu (salaf) umat ini. Mereka adalah para sahabat dan tabi'in yang bersatu mengikuti kebenaran yang jelas daripada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. (Harras, Syarah al-Wasithiyyah, hal 16)


Demikian apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. merupakan kebenaran yang wajib diteladani dan diikuti. Dan setiap orang yang datang sesudah mereka dengan menempuh jalan mereka dan mengikuti jejak mereka, maka dia itulah "al-Jamaah" baik secara individu mahupun dalam kumpulan.


Abu Syamah berkata, "Manakala datang perintah untuk beriltizam kepada al-Jamaah, maka yang dimaksudkan iltizam di sini adalah komitmen terhadap kebenaran dan mengikutinya, sekalipun jumlah pengikut kebenaran itu lebih sedikit daripada penentangnya. Ini kerana, kebenaran itulah yang menjadi pegangan jamaah generasi pertama daripada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya r.a. dengan tidak melihat banyaknya ahli kebatilan sesudah mereka." (Al-Ba'its, hal 22)


Ketika Abdullah bin Mubarak ditanya tentang al-Jamaah, beliau menjawab, "Abu Bakar dan Umar." Ketika dikatakan kepada beliau bahawa Abu Bakar dan Umar telah wafat, beliau menjawab, "Fulan dan Fulan". Ketika dikatakan kepada beliau bahawa Fulan dan Fulan telah wafat, beliau menjawab, "Abu Hamzah as-Sukri adalah al-Jamaah." (Al-Baghawi, 1/205)


Menurut penafsiran Ibn Mubarak, istilah al-Jamaah ialah orang yang memiliki sifat-sifat teladan yang sempurna berdasarkan al-Quran dan sunnah Nabi. Oleh kerana itu, beliau membuat perumpamaan dengan orang-orang yang menjadi teladan. Maka disebutlah nama ulama sezaman dengannya iaitu Abu Hamzah as-Sukri dan bukan ulama yang lain. Beliau beralasan Abu Hamzah termasuk ahli ilmu yang memiliki keutamaan dan berlaku zuhud.


Sebahagian ulama berbeza pendapat mengenai penjelasan hadis-hadis Nabi yang mewajibkan beriltizam dengan al-Jamaah dan melarang keluar daripadanya. Berikut adalah antara pendapat-pendapat tersebut:


Pertama: Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan al-Jamaah ialah para sahabat sahaja dan bukan orang-orang sesudah generasi mereka. Sebab para sahabat itulah yang sesungguhnya telah menegakkan tonggak-tonggak agama dan menancapkan paku-pakunya. Dan mereka tidak berhimpun di atas kesesatan. (Lihat – Al-Syathibi, Al-I'tisham, 2/262)


Menurut pendapat ini, lafaz al-Jamaah sesuai dengan hadis Nabi, "...Yakni jalan yang aku tempuh dan para sahabatku." Kalimah hadis ini merujuk kepada perkataan, perbuatan, dan ijtihad mereka. Dengan itu, lafaz tersebut menjadi hujah secara mutlak dengan kesaksian Rasulullah s.a.w., khususnya dengan sabda baginda: "Hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah para khalifah ar-Rasyidin..."


Kedua: Ada juga ulama yang memaksudkan al-Jamaah itu terdiri dari kalangan ahli Ilmu, Fiqh, dan ahli Hadis daripada kalangan Imam Mujtahidin. Kerana Allah telah menjadikan mereka hujah atas manusia dan mereka menjadi panutan dalam urusan agama. (Fathul Baari, 13/27)


Pendapat ini daripada Al-Bukhari. Dalam kitabnya bab "wa kadzalika ja'alnaakum ummatan wasathan" (demikian pula kami jadikan kamu ummat pertengahan) dan perintah Nabi s.a.w. untuk beriltizam kepada al-Jamaah, beliau mengatakan bahawa al-Jamaah itu adalah ahli Ilmu. (Fathul Baari, 13/316)


Menurut Tirmizi, para ahli ilmu mentafsirkan al-Jamaah dengan ahli Fiqh dan ahli Hadis. Kemudian beliau membawakan riwayat daripada Ibn Mubarak ketika ia ditanya mengenai al-Jamaah, lalu ia memberikan jawapan: "Abu Bakar dan Umar". (Sunan Tirmizi, 4/465) Ibn Sinan pula berpendapat, "Mereka (al-Jamaah) adalah ahli ilmu dan orang-orang yang memiliki atsar. (Syaraf Ashabul Hadis, hal 26-27)


Berdasarkan pendapat di atas, maka al-Jamaah adalah ahli sunnah yang 'alim, 'arif dan mujtahid. Maka tidaklah termasuk al-Jamaah tersebut, mereka yang ahli bid'ah dan orang-orang awam yang taqlid. Sebab mereka tidak boleh diteladani dan biasanya mereka (orang-orang awam) hanya mengikuti ulama.


Ketiga: Ada ulama yang mengatakan bahawa al-Jamaah ialah jamaah Ahlul Islam yang bersepakat dalam masalah syarak. Mereka tidak lain adalah ahli Ijmak yang sentiasa bersepakat dalam suatu masalah atau hukum, baik syarak mahupun aqidah. Pendapat ini didasarkan pada hadis Nabi yang ertinya: "Umatku tidak bersepakat dalam kesesatan." (Al-I'tisham, 2/263)


Ibn Hajar berkata mengenai pendapat Bukhari yang mengatakan bahawa al-Jamaah adalah ahli Ilmu, "Yang dimaksudkan dengan al-Jamaah ialah Ahlul Hal wal 'Aqdi, iaitu mereka yang mempunyai keahlian menetapkan dan memutuskan suatu masalah pada setiap zaman."


Adapun menurut Al-Karmani, "Maksud perintah agar beriltizam dengan al-Jamaah ialah seorang mukallaf beriltizam dalam mengikuti kesepakatan para mujtahidin. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Bukhari bahawa mereka adalah ahli ilmu."


Ayat yang diterjemahkan Bukhari dijadikan hujah oleh ahli Usul kerana ijmak adalah hujah. Sebab mereka (ahli ilmu) dinilai adil, sebagaimana firman Allah: "Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil..." (Al-Baqarah: 143)


Pernyataan ayat di atas menunjukkan bahawa mereka terpelihara daripada kesalahan mengenai apa yang telah mereka sepakati, baik perkataan mahupun perbuatan (Fathul Baari, 13/316). Pendapat ini merujuk kepada pendapat kedua.


Keempat: Ada ulama yang mengatakan, al-Jamaah adalah as-Sawadul A'zham (kelompok besar). Dalam kitab An-Nihayah disebutkan: "Hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A'zham, iaitu kebanyakan manusia yang bersepakat dalam mentaati penguasa dan menempuhi jalan yang lurus. (An-Nihayah, 2/419)


Pendapat tersebut diriwayatkan daripada Abi Ghalib yang mengatakan, sesungguhnya as-Sawadul A'zham ialah orang-orang yang selamat daripada perpecahan. Maka urusan agama yang mereka sepakati itulah kebenaran. Barangsiapa menentang mereka, baik dalam masalah syari'at mahupun keimanan, maka dia menentang kebenaran dan jikalau mati, matinya jahiliyah. (Al-I'tisham, 2/260)


Di antara orang lain yang berpendapat demikian ialah Abu Mas'ud al-Anshari dan Ibn Mas'ud r.a.. Asy-Syatibi berpendapat, "Berdasarkan pendapat ini, maka yang termasuk al-Jamaah ialah para mujtahid, ulama dan ahli syariah yang mengamalkannya. Adapun orang-orang yang selain mereka, termasuk ke dalam hukum mereka, sebab orang-orang tersebut mengikuti dan meneladani mereka. Maka setiap orang yang keluar dari jamaah mereka, bererti dia telah menyimpang dan menjadi tawanan syaitan. Termasuk kelompok yang menyimpang ini ialah semua ahli bid'ah kerana mereka telah menentang para pendahulu (salaf) umat ini. Sebab itu, mereka sama sekali tidak termasuk as-Sawadul A'zham." (Al-I'tisham, 2/261)


Kelima: Ada ulama yang mengatakan bahawa al-Jamaah ialah jamaah kaum muslimin yang sepakat atas seorang amir (penguasa). Ini adalah pendapat al-Thabari yang menyebutkan pendapat-pendapat terdahulu. Kemudian dia mengatakan, "Ya benar, pengertian tentang beriltizam kepada jamaah ialah taat dan bersepakat atas penguasanya. Maka barangsiapa melanggar bai'atnya, dia telah keluar daripada jamaah." (Fathul Baari, 13/37)


Rasulullah s.a.w. telah menyuruh umatnya agar beriltizam kepada pemimpinnya dan melarang umat mengingkari kesepakatan tentang pemimpin yang telah diangkatnya. (Al-I'tisham, 2/264)


Menurut Thabari, jika jamaah itu telah sepakat dengan redha untuk mengangkat seorang pemimpin, sedangkan orang yang menentangnya mati dalam keadaan jahiliyah, maka itu al-Jamaah yang digambarkan oleh Abu Mas'ud al-Anshari. Mereka adalah kebanyakannya daripada ahli ilmu agama serta pengikutnya. Mereka itulah as-Sawadul A'zham. (Al-I'tisham, 2/264)


Dengan demikian, al-Jamaah menurut pendapat ini ialah kesepakatan atas pemimpin yang sesuai dengan al-Quran dan sunnah. Adapun kesepakatan yang menyalahi sunnah bererti telah keluar dari makna al-Jamaah yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasul s.a.w. (Al-I'tisham, 2/265)


Kesimpulan daripada pendapat-pendapat di atas ialah:

- Ia disebut sebagai al-Jamaah apabila bersepakat dalam hal memilih dan mentaati seorang pemimpin yang sesuai dengan ketentuan syarak. Kita wajib beriltizam kepadanya dan haram keluar daripadanya.

- Jamaah adalah jalan yang ditempuh oleh ahli sunnah yang meninggalkan segala bentuk bid'ah. Inilah yang disebut mazhab al-Haq (kebanaran). Pengertian jamaah di sini merujuk kepada para sahabat Nabi, ahli ilmu, ahli ijmak, atau as-Sawadul A'zham.


Semua itu kembali kepada satu makna, iaitu: "Orang yang mengikuti jalan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya r.a., baik sedikit mahupun banyak, sesuai dengan keadaan umat serta perbezaan zaman dan tempat.


Oleh kerana itu, Ibn Mas'ud berkata:


"Al-Jamaah ialah orang yang menyesuaikan diri dengan kebenaran walaupun engkau seorang diri." (Abu Syamah, Al-Hawasits wal Bida', hal 22, Abu Syamah menyebutkan bahawa perkataan ini juga diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Al-Madkhal)


Dalam lafaz lain disebutkan:


"Sesungguhnya al-Jamaah ialah mentaati Allah walaupun engkau seorang diri." (Al-Lalaka'i, Syarhus Sunnah, 1/108-109)


[Dinukil dan disunting dari buku "Ahlus Sunnah wal Jamaah Ma'alimul Inthilaaqah Al-Kubra", terjemahan Ahlussunnah Wal-Jamaah Petunjuk Jalan Yang Benar, Muhammad Abdul Hadi Al-Mishri, hal 70-76, Penerbitan Kintan Sdn Bhd.]

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...