Sabtu, 1 Mei 2010

Menyentuh Wanita Membatalkan Wudhuk?

Penulis : Ustaz Abu Ishaq Muslim

Soalan:

Ustaz yang saya hormati, saya ingin menanyakan satu permasalahan. Di daerah saya banyak orang yang mengaku mengikuti mazhab Syafi'iyah, dan saya lihat mereka ini sangat fanatik memegangi mazhab tersebut. Sampai-sampai dalam permasalahan batalnya wudhu' seseorang yang menyentuh wanita. Mereka sangat berkeras dalam hal ini. Sementara saya mendengar dari ta'lim-ta'lim yang saya ikuti bahawa menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu'. Saya jadi bingung, Ustaz. Oleh kerana itu, saya mohon penjelasan yang jelas dan terperinci mengenai hal ini, dan saya ingin mengetahui fatwa dari kalangan ahlul ilmi (ulama) tentang permasalahan ini. Atas jawapan Ustaz, saya ucapkan Jazakumullah khairan katsira. (Abdullah di Salatiga)

Jawapan:

Masalah batal atau tidaknya wudhu' seorang lelaki yang menyentuh wanita memang diperselisihkan di kalangan ahlul ilmi. Ada diantara mereka yang berpendapat membatalkan wudhu' seperti Imam Az-Zuhri, Asy-Sya'bi, dan yang lainnya. Akan tetapi pendapat sebahagian besar ahlul ilmi, di antaranya Ibnu Jarir, Ibnu Katsir dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan ini yang rajih (kuat) dalam permasalahan ini, tidak batal wudhu' seseorang yang menyentuh wanita. Wallahu ta'ala a'lam bish-shawab.

Syaikh Muqbil rahimahullahu ta'ala pernah ditanya dengan pertanyaan yang serupa dan walhamdulillah beliau memberikan jawapan yang jelas. Sebagaimana yang Saudara harapkan untuk mengetahui fatwa ahlul ilmi tentang permasalahan ini, kami paparkan jawaban Syaikh sebagai jawaban pertanyaan Saudara. Namun, di sana ada tambahan penjelasan dari beliau yang Insya Allah akan memberikan tambahan faedah bagi Saudara. Kami nukilkan ucapan beliau dalam Ijabatus Sa-il hal. 32-33 yang nasnya sebagai berikut :

Beliau ditanya: "Apakah menyentuh wanita membatalkan wudlu', baik yang menyentuh itu wanita ajnabiah (bukan mahram), isterinya ataupun selainnya?" Maka beliau menjawab: "Menyentuh wanita ajnabiah adalah perkara yang haram, dan telah diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani dalam Mu'jamnya dari Ma'qal bin Yasar radhiallahu 'anhu mengatakan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :

"Sungguh salah seorang dari kalian ditusuk jarum dari besi di kepalanya lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya."

Diriwayatkan pula oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam Sahih keduanya dari Abi Hurairah radliyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Telah ditetapkan bagi anak Adam bahagiannya dari zina, senantiasa dia mendapatkan hal itu dan tidak mustahil, kedua mata zinanya adalah melihat, kedua telinga zinanya adalah mendengarkan, tangan zinanya adalah menyentuh, kaki zinanya adalah melangkah, dan hati cenderung dan berangan-angankannya, dan yang membenarkan atau mendustakan semua itu adalah kemaluan."

Maka dari sini diketahui bahawa menyentuh wanita ajnabiah tanpa keperluan tidak diperbolehkan. Adapun bila ada keperluan seperti seseorang yang menjadi doktor atau wanita itu sendiri adalah doktor, yang tidak didapati doktor lain melainkan dia, dan untuk suatu kepentingan, maka hal ini tidak mengapa, namun tetap disertai kehati-hatian yang sangat dari fitnah.

Mengenai masalah membatalkan wudhu' atau tidak, maka menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu' menurut pendapat yang benar dari perkataan ahlul ilmi. Orang yang berdalil dengan firman Allah 'azza wa jalla:

"Atau kalian menyentuh wanita"

Maka sesungguhnya yang dimaksud menyentuh di sini adalah jima' (bersetubuh) sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Abbas radiallahu 'anhuma.

Telah diriwayatkan pula oleh Imam Bukhari di dalam Sahihnya dari 'Aisyah radiallahu'anha, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam solat pada suatu malam sementara aku tidur melintang di depan baginda. Apabila baginda akan sujud, baginda menyentuh kakiku. Dan hal ini tidak membatalkan wudhu' Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Orang-orang yang mengatakan bahawa menyentuh wanita membatalkan wudhu' berdalil dengan riwayat yang datang di dalam as-Sunan dari hadis Mu'az bin Jabal radiallahu 'anhu bahawa seseorang mendatangi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah mencium seorang wanita”. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terdiam sampai Allah 'azza wa jalla turunkan:

"Dirikanlah solat pada kedua tepi siang hari dan pada pertengahan malam. Sesungguhnya kebaikan itu dapat menghapuskan kejelekan."

Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya :

"Berdirilah, kemudian wudhu' dan solatlah dua rakaat."

Pertama, hadis ini tidak tsabit (kuat) kerana datang dari jalan 'Abdurrahman bin Abi Laila, dan dia tidak mendengar hadis ini dari Mu'az bin Jabal. Ini satu sisi permasalahan.

Kedua, seandainya pun hadis ini kuat, tidak menjadi dalil bahawa menyentuh wanita membatalkan wudhu', kerana boleh jadi orang tersebut dalam keadaan belum berwudhu'.

Ini merupakan sejumlah dalil yang menyertai ayat yang mulia bagi orang-orang yang berpendapat membatalkan wudhu', dan engkau telah mengetahui bahawa Ibnu 'Abbas radiallahu 'anhuma mentafsirkan ayat ini dengan jima'. Wallahul musta'an.