Isnin, 3 Mei 2010

Bolehkah Seorang Wanita Memperlihatkan Perhiasannya Kepada Wanita Kafir?

Sebahagian ulama berpendapat bahawa seorang wanita muslimah tidak boleh memperlihatkan perhiasannya (yakni seperti rambutnya - edt) kepada selain muslimah agar ia tidak mensifatkan (menceritakan) kepada suaminya. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta'ala (أو نسائهن) "Atau wanita-wanita mereka" maksudnya adalah wanita-wanita muslimah. Oleh kerana itu, orang-orang musyrik dari kalangan Ahli Zimmi  (orang-orang kafir yang tinggal di negara Islam dan mendapat perlindungan dari orang Islam - edt) dan yang lain tidak termasuk dalam ayat ini. (Tafsir Ibnu Katsir 3/284 dan Tafsir Al-Qurtubi, no: 4625)

Sementara sebahagian lainnya berpendapat bahawa hal itu diharuskan (diperbolehkan). Tidak ada perbezaan antara wanita muslimah dan Kafir Zimmi dalam hal melihat seorang wanita. Mereka berhujah dengan dalil bahawa kaum wanita dari kalangan Yahudi datang kepada isteri-isteri Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan mereka sama sekali tidak memakai hijab (pakaian yang menutup aurat perempuan termasuklah tudung- edt) juga tidak ada perintah untuk mengenakannya. Telah datang seorang wanita Yahudi kepada 'Aisyah, lalu dia mengungkapkan siksa kubur... kemudian 'Aisyah bertanya kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, selanjutnya baginda bersabda: "Betul, siksa kubur... (dan seterusnya)." (HR. Al-Bukhari no: 1372 dan Muslim no: 903)

Asma' binti Abi Bakar berkata: "Ibuku datang kepadaku dan dia enggan untuk memasuk Islam. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, apakah aku boleh menghubungkan tali silaturrahim dengannya? Baginda menjawab: "Ya." (HR. Al-Bukhari no: 2620 dan Muslim no: 1003)

Diwajibkan hijab di antara wanita dan lelaki kerana adanya alasan yang tidak diperolehi di antara wanita muslimah dengan wanita kafir Zimmi. Dengan demikian tidak ada alasan untuk mewajibkan hijab di antara mereka berdua seperti antara seorang muslim dengan kafir Zimmi dan kerana sesungguhnya hijab hanya diwajibkan dengan adanya nas atau qias (analogi), sementara tidak ada satu pun di antara keduanya itu. Adapun firman Allah Ta'ala: (أو نسائهن) "Atau wanita-wanita mereka" mungkin maknanya adalah wanita secara umum, wallahua'lam. (Jami' Ahkamun Nisaa' IV/498)

Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim berkata: Adapun jika terjadi keraguan dari salah seorang wanita kitabiyah (Ahli Kitab) dan diketahui bahawa dia sering menceritakan seorang wanita kepada suaminya atau yang semisalnya, maka kenyataan itu melarang seorang wanita muslimah untuk menampakkan perhiasannya di hadapannya. Wallahua'lam. (Lihat Ensiklopedi Fiqih Wanita, Pustaka Ibnu Katsir, hal 162-163)

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin rahimahullah pernah ditanya: Apa batasan aurat seorang wanita di hadapan sesama wanita muslimah, wanita fajirah dan kâfirah?

Beliau menjawab: “Aurat wanita di hadapan sesama wanita tidaklah berbeza kerana perbezaan agama. Sehingga aurat wanita dengan wanita muslimah sama dengan aurat wanita kafirah, dan aurat dengan wanita yang ‘afîfah (menjaga kehormatan diri) sama dengan aurat wanita fajirah. Kecuali apabila di sana ada sebab lain yang mengharuskan untuk lebih menjaga diri. Akan tetapi wajib kita ketahui bahawa aurat itu bukan diukur dari pakaian, kerana yang namanya pakaian itu mestilah menutupi tubuh. Walaupun aurat wanita dengan sesama wanita adalah antara pusat dan lutut, akan tetapi pakaian itu satu perkara sedangkan aurat perkara lain. Seandainya ada seorang wanita mengenakan pakain yang menutup tubuhnya dengan baik/rapi kemudian kelihatan dadanya atau kedua buah dadanya kerana satu dan lain hal di hadapan wanita lain (seperti menyusukan bayi -edt) sementara dia telah mengenakan pakaian yang menutupi tubuhnya dengan baik, maka hal ini tidak apa-apa. Adapun apabila dia mengenakan pakaian pendek yang hanya menutupi pusat sampai ke lututnya dengan alasan aurat wanita dengan sesama wanita adalah dari pusat ke lutut maka hal ini tidak boleh, dan aku tidak yakin ada orang yang berpandangan demikian.” (Majmu’ah As’ilah Tuhimmul Usratil Muslimah, hal. 83-84) (Rujuk: http://almuslimah.wordpress.com/)