Khamis, 29 April 2010

Syazkah Hadis "Menggerak-gerakkan Jari"?

(Menelusuri Dua Pendapat Ulama Terkemuka; Syeikh al-Albani dan Syeikh Muqbil –rahimahumullah-)

Permasalahan menggerak-gerakkan jari telunjuk dalam tasyahud akhir memang merupakan permasalahan cabang (furu’iyah; cabang) yang menjadi bahan perdebatan di kalangan para ulama fiqh dan hadis, serta umat muslim sejak dahulu hingga sekarang. Namun, tidak ada salahnya jika permasalahan ini kembali kita kaji guna menyegarkan ingatan kita dan mengetahui pendapat mana yang paling dekat dengan kebenaran (rajih) dalam masalah menggerak-gerakkan telunjuk dalam tasyahud tersebut.

Diantara ulama-ulama abad ini (muta’akhirin) yang dijadikan rujukan dalam permasalahan menggerak-gerakkan telunjuk atau tidak menggerakkannya dalam tasyahud akhir ini adalah Asy-Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (wafat1999) dan Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wad’iy (wafat 2001) –semoga Allah merahmati keduanya-.

Namun yang amat disayangkan, banyak dari kaum muslimin menganggap permasalahan yang hanya dalam tingkatan furu’iyah ini menjadi sebuah permasalahan pokok (usul) yang kemudian dijadikan tolok ukur untuk menghakimi sunnah atau tidaknya seseorang, salafi atau tidaknya hatta mereka saling menjauhi satu dengan yang lainnya. Na’udzubillahi min dzalik

Padahal sebagaimana diketahui, tidak seorangpun dari para ulama tersebut yang menjadikan perbezaan ini sebagai alat untuk menjatuhkan atau menghinakan yang lainnya. Dan tidak sepatutnya pula bagi seorang muslim menghina atau mengolok-olok ulama yang dalam permasalahan ini memiliki pendapat berbeza dengan apa yang diyakininya. Al-Hafiz Ibnu ‘Asakir –rahimahullah- mengatakan;

أن لحوم العلماء مسمومة

“Sesungguhnya daging para ‘ulama itu pahit”. (Ibnu ‘Asakir, Tabyin Kadzibil Muftarra, Darul Ihya’ at-Turats: Beirut, 1423, h. 49).

Pernyataan Ibnu ‘Asakir ini merupakan suatu penegasan bahawa hendaklah seorang muslim tidak menghina dan menjatuhkan ‘ulamanya, kerana jika seorang ulama keliru dalam berfatwa atau dalam menetapkan suatu hukum, maka bagi ulama tersebut tetap mendapatkan pahala. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

إذا حكم الحاكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران وإذا حكم فاجتهد ثم أخطأ فله أجر

“Jika seorang hakim hendak menetapkan hukum, kemudian dia berijtihad lantas ijtihadnya benar, maka baginya 2 (dua) pahala, dan jika dia berijtihad namun (ijtihadnya) salah, maka dia hanya mendapat 1 (satu) pahala.” (HR. Bukhari no. 6919; Muslim no. 1716; Abu Daud no. 3574; at-Tirmidzi no. 1326; Ibnu Majah no. 2314)

Dalam permasalahan menggerak-gerakkan telunjuk (tahrik) atau tidak dalam tasyahud ada beberapa hadis yang menjadi perhatian, yakni:

Hadis I

عن عبد الله بن الزبير قال : “كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قعد في الصلاة جعل قدمه اليسرى بين فخذه وساقه وفرش قدمه اليمنى ووضع يده اليسرى على ركبته اليسرى ووضع يده اليمنى على فخذه اليمنى وأشار بإصبعه

Dari Abdullah bin Zubair, dia berkata, “Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam apabila duduk dalam solat, baginda menjadikan telapak kaki kirinya diantara paha dan betisnya dan menghamparkan telapak kaki kanannya dan meletakkan tangan kirinya diatas lututnya yang kiri dan meletakkan tangan kanannya diatas lutut kanannya, dan memberi isyarat dengan jarinya (telunjuk).” [HR. Muslim no. 579; Abu Daud no. 734; an-Nasa’i no. 1270]. Hadis ini shahih.

Hadis II

حدثنا معاوية بن عمرو ثنا زائدة بن قدامة ثنا عاصم بن كليب أخبرني أبي ان وائل بن حجر أخبره قال : قلت لأنظرن إلى صلاة رسول الله صلى الله عليه و سلم كيف يصلي … ثم قعد فافترش رجله اليسرى ووضع كفه اليسرى على فخذه وركبته اليسرى وجعل مرفقه الأيمن على فخذه اليمنى ثم قبض ثنتين فحلق حلقه ثم رفع أصبعه فرأيته يحركها يدعو بها

Mu’awiyah bin Umar telah mengkhabarkan, dari Zaidah bin Qudamah, dari ‘Ashim bin Kulaib telah mengkhabarkan ayahnya, Bahawa Wail bin Hujrin berkata: “Aku katakan sesungguhnya aku memperhatikan solatnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bagaimana baginda melakukan solat… kemudian baginda duduk iftirasy dan meletakkan tangan kirinya diatas paha dan lutut kirinya dan menjadikan siku kanannya diatas paha kanannya kemudian baginda menggenggam jari-jemarinya dan membuat lingkaran (dengan ibu jari dan jari tengah) kemudian mengangkat telunjukknya dan aku melihat baginda menggerak-gerakkannya dan berdoa dengannya.” [HR. Ibnu Hibban dalam Shahihnya (5/170); Ahmad dalam Musnadnya (4/318); Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya (3/165)].

Hadis III

عن محمد بن عجلان عن عامر بن عبد الله بن الزبير عن عبد الله بن الزبير : أن النبي صلى الله عليه و سلم كان يشير بأصبعه إذا دعا ولا يحركها

Dari Muhammad bin ‘Ajlan dari ‘Amir bin Abdillah bin Zubair dari Abdullah bin Zubair: “Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alaihi wasallam memberi isyarat dengan telunjuknya jika berdoa dan baginda tidak menggerak-gerakkannya.” [HR. Abu Daud dalam sunannya (1/324), An-Nasai (3/37)]. Hadis ini dhaif/lemah, diantara ulama hadis yang mendhaifkannya adalah Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam Zaadul Ma’ad (1/238), Syeikh Al-Albani dalam Tamamul Minnah (218)]

Dewasa ini permasalahan menggerak-gerakkan telunjuk atau tidak, bukanlah bersumber dari hadis ketiga (tidak menggerakkan telunjuk) yang dhaif tersebut, Namun masalah ini bersumber kepada sahih tidaknya hadis kedua diatas yang menetapkan adanya gerakkan telunjuk. Nah, inilah yang kemudian menjadi perhatian dua orang ulama terkemuka abad ini, Syeikh al-Albani (Penyusun kitab Sifat Solat Nabi) dan Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wad’iy (Pendiri Ma’had Darul Hadits Dammaj, Yaman).

Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wad’iy dalam risalahnya البشارة في شذوذ تحريك الإصبع في التشهد و ثبوت الإشارة mengupas panjang lebar tentang syaz atau keganjilan hadis menggerak-gerakkan telunjuk yang diriwayatkan oleh Zaidah bin Qudamah, dinilai menyelisihi periwayatan 22 orang perawi yang meriwayatkan hadis serupa dari jalur ‘Ashim bin Kulaib dan mereka tidak menyebutkan kalimat “menggerak-gerakkan telunjuk”. Sementara itu, Syeikh Ahmad al-Ghumari dalam kitab Takhrij Hadits Bidayatul Mujtahid (hal. 137-140) menyebutkan 6 orang perawi yang meriwayatkan hadis dari ‘Ashim bin Kulaib tanpa ada tambahan kalimah “menggerak-gerakkan telunjuk”. Sehingga Syeikh Muqbil dan Syeikh Ahmad al-Ghumari menilai bahawa hadis menggerak-gerakkan telunjuk ini adalah Syaz (ganjil) kerana hanya Zaidah bin Qudamah yang meriwayatkan hadis tersebut dengan tambahan “menggerak-gerakkan telunjuk”. Inilah alasan bagi para pengikut Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wad’iy untuk tidak menggerak-gerakkan telunjuknya ketika tasyahud, disamping alasan bahawa Isyarat yang disebutkan dalam hadis pertama diatas adalah isyarat tanpa gerakan.

Menjawab hal ini, Syeikh al-Albani mendudukan masalah tersebut dengan mengatakan, “Hadis syaz adalah (hadis) yang diriwayatkan oleh perawi yang tsiqah (terpecaya) yang diterima (periwayatannya, akan tetapi) periwayatannya menyelisihi periwayatan perawi yang lebih utama darinya, sebagaimana yang dipegang oleh para ahlul hadis, dan Ibnu ash Solah pun telah menerangkan hal itu. Dan jika perawi yang menyendiri tersebut menyelisihi periwayatan perawi yang lebih utama darinya dari segi hafalan atau pun kedhabitannya maka apa yang diriwayatkannya itu syaz dan tertolak. Namun apabila dalam (tambahan periwayatannya itu) tidak ada perselisihan dengan apa yang diriwayatkan oleh yang lain, hanya saja ia meriwayatkan sesuatu yang tidak diriwayatkan oleh yang lainnya, maka diperiksa keadaan perawi yang menyendiri ini, jika ia adalah seorang perawi yang adil, hafizh, terpercaya dalam kekukuhan serta kedhabitannya maka diterima apa yang ia riwayatkan secara menyendiri tersebut.” [Lihat Muqaddimah kitab Tamamul Minnah fi Ta’liq Fiqhus Sunnah, al-Muqaddimah Ibnu Solah hal. 86]

Setelah mengetahui definisi tentang hadis syaz di atas maka 2 (dua) hal yang harus kita lakukan untuk memeriksa apakah hadits Zaidah bin Qudamah tersebut syadz atau tidak:

Pertama: Memeriksa kedudukan perawi hadis tersebut yang diperselisihkan oleh para ulama, dalam hal ini adalah Zaidah bin Qudamah. Berikut keterangan dua Imam hadits tentang Zaidah bin Qudamah,

1. al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Taqribut Tahzib no. 1046 berkata, “(Zaidah bin Qudamah ini) tsiqatun tsabtun (yakni seorang perawi yang tsiqah lagi tsabit/kuat)”

2. Imam Ibnu Hibban berkata dalam Kitab at-Tsiqat (VI/239-240), “Ia (Zaidah bin Qudamah) termasuk dari imam yang mutqin, ia tidak menganggap suatu pendengaran, kecuali setelah mengulanginya sebanyak tiga kali dan ia tidak dan ia tidak memuji seorang pun kecuali mereka yang telah disaksikan keadilannya oleh seseorang (imam) dari Ahlus (Sunnah)”

Dan Syeikh al-Albani berkata, “Oleh kerana itu tidak mudah bagi kita untuk menganggap syaz riwayat yang disampaikan oleh Zaidah bin Qudamah ini, khususnya periwayatan yang dia terima dari gurunya ‘Ashim bin Kulaib dari bapaknya. Kerana apabila kita menganggap syaz, maka nescaya akan banyak sekali riwayat-riwayat yang harus dihukumi seperti itu.” (Dinukil dari kaset Laa Qusyura fil Islam no. 167/8037).

Kedua: Memeriksa apakah ada pertentangan antara lafaz tahrik (menggerak-gerakkan) bertentangan dengan lafaz isyarat? Jawaban dari permasalahan ini adalah tidak adanya pertentangan antara lafaz tahrik dan isyarat baik ditinjau segi lughah/bahasa mahupun dari dalil.

Dari segi lughah/bahasa dapat difahami bahawa isyarat itu terkadang disertai dengan gerakan dan terkadang tanpa disertai dengan gerak. Jadi disini yang terjadi bukan pertentangan lafaz, tetapi hanya permasalahan lafaz umum dan lafaz khusus. Syaikh Ali as-Sha’idi al-‘Adawi berkata, “Bahawa lafaz isyarat itu lebih umum daripada lafaz tahrik (menggerak-gerakkan), mungkin berisyarat dengan cara menggerakkan (atau) mungkin tidak”. [Kitab Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Syarbi Kifayatut Thalibur Rabbani (I/356)]

Dan apabila ditinjau dari segi dalil, maka ada suatu hadis yang menarik untuk dibahas iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah radiallahu 'anha, tentang kisah solat para sahabat di belakang Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan cara berdiri, padahal Rasulullah solat dalam keadaan duduk, maka baginda pun mengisyaratkan kepada mereka untuk duduk semua (HR. Bukhari dan Muslim).

Setiap orang pasti dapat dengan cepat memahami dari lafaz hadis tersebut bahawasannya isyarat baginda tidak hanya dengan mengangkat tangan saja, akan tetapi isyarat tersebut juga mengandungi gerakan untuk menyuruh para sahabat agar solat dalam keadaan duduk.

Kesimpulan

Dari pembahasan singkat ini, dapat kita simpulkan bahawa Tahrik (menggerak-gerakkan) itu tidak bertentangan dengan kata isyarat, justeru hadis inilah yang menjelaskan tentang keumumam lafaz isyarat dalam hadts yang diriwayatkan dari selain Zaidah bin Qudamah. Dan penilaian syaz (ganjil) terhadap hadis menggerak-gerakkan telunjuk dalam tasyahud adalah tidak tepat. Dan hadis menggerak-gerakan telunjuk itu tetaplah menjadi hadis sahih yang harus diyakini dan diamalkan. Atas dasar inilah Syeikh al-Albani lebih memilih menguatkan hadis menggerak-gerakkan telunjuk saat tasyahud. Wallahu A’lam.