Khamis, 4 Disember 2008

HUKUM-HAKAM KORBAN

Korban (قربان) atau Udhiah (أضحية) merupakan syiar (lambang) agama Islam selaku agama Tauhid yang diturunkan Allah s.w.t sebagai pedoman hidup manusia. Ibadat ini termasuk ibadat maliah (ibadat harta) dan terikat dengan waktu tertentu iaitu dalam bulan Zul Hijjah sahaja. Oleh itu, eloklah kita memberi perhatian berkenaan hukum ibadat yang besar ini.


Takrif Udhiah:


Maksud Udhiah (أضحية) dalam bahasa adalah:


شَاةٌ نَحَرَهَا تُذْبَحُ في يَوْمِ الْأُضْحِيَّةِ


Maksudnya: “Biri-biri yang disembelih pada hari raya Adha”. [al-Bahr al-Raiq, 8/197].


Adapun dalam takrif istilah adalah:


اسم لما يذبح أو ينحر من النَّعم تقرباً للّه تعالى في أيام النحر


Maksudnya: “nama bagi haiwan ternakan yang disembelih sebagai amalan mendekatkan diri kepada Allah yang dilaksanakan pada hari-hari Nahar (hari raya Adha)”[Fiqhul Ibadat 'ala al-Mazhab al-Hanafi, 1/538].


Maksud Na’am adalah haiwan ternakan dan ia hanya menunjukkan pada empat jenis haiwan iaitu : Kambing, Lembu, Unta, dan Biri-biri.


Hari Nahar adalah 10 Zul Hijjah sehingga 13 Zul Hijjah.


Hukum Udhiah


Para ulama sepakat udhiah disyariatkan tetapi mereka berikhtilaf sama ada disyariatkan udhiah itu secara ‘wajib’ atau ‘mandub’ sahaja.


Imam Abu Hanifah r.h dan Imam Malik r.h berpendapat Udhiah adalah Wajib bagi mereka yang berkemampuan pada hari-hari nahar.


Berkata Ibn Najim al-Hanafi:


تَجِبُ على حُرٍّ مُسْلِمٍ مُوسِرٍ مُقِيمٍ على نَفْسِهِ لَا عن طِفْلِهِ شَاةٌ أو سُبُعُ بَدَنَةٍ فَجْرَ يَوْمِ النَّحْرِ إلَى آخِرِ أَيَّامِهِ


Maksudnya: “Wajib (udhiah) atas orang merdeheka, Islam, berkemampuan, dan menetap (bukan musafir) atas dirinya sendiri dan tidak wajib (bagi bapa) melakukan udhiah untuk anaknya dengan seekor bebiri atau 1/7 unta bermula fajar hari Nahar (10 Zul Hijjah) sehingga akhri hari-harinya (11, 12, dan 13 Zul Hijjah)”. [al-Bahr al-Raiq, 8/197].


Berkata Ibn Abdil Barr r.h.:


الأضحية عند مالك سنة تجب على كل من وجد سعة من الرجال والنساء الأحرار


Maksudnya: “Udhiah di sisi Malik adalah sunnah yang diwajibkan ke atas sesiapa yang mempunyai kemampuan sama ada lelaki atau wanita yang merdeheka” [al-Kafi fi Fiqh Ahli al-Madinah, 1/173].


Dalil mereka adalah firman Allah s.w.t dalam surah al-Kausar ayat 2:


فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ


Maksudnya: “oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”


Maka, menurut kaedah; Asal setiap perintah adalah wajib. Mereka juga berdalil dengan hadis:


من وَجَدَ سَعَةً ولم يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا


Maksudnya: “Sesiapa yang mampu tetapi tidak berkorban maka janganlah dia dekati tempat solat kami”[Ahmad, Ibn Majah].[1]



Imam Abu Yusuf r.h dan al-Qadi Muhammad bin al-Hasan r.h, Imam al-Syafii, dan Imam Ahmad berpendapat hukum Udhiah adalah sunat muakkad (tidak wajib) berdalilkan hadis berikut:


إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره وبشره شيئا


Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh hari awal Zul Hijjah dan salah seorang kamu hendak melaksanakan udhiah maka janganlah dia menyentuh (membuang) rambutnya dan kulitnya sesuatu pun”[Muslim].


Syahid daripada hadis ini adalah perkataan baginda: وأراد (dan salah seorang kamu hendak) menunjukkan baginda s.a.w tidak mewajibkan korban.


Adapun hadis yang menjadi dalil bagi Hanafiah dan Malikiah, golongan jumhur mendaifkan hadis tersebut dan jika ia sahih sekalipun di bawa maknanya kepada sunat muakkad kerana warid daripada Rasulullah s.a.w penggunaan kalimah ‘wajib’ untuk menunjukkan sunat muakkad.


Maka pendapat ini adalah lebih kuat pada pandangan penulis kerana bersesuaian dengan hadis sahih diriwayatkan Muslim. Namun, para ulama yang berpendapat tidak wajib udhiah juga telah bersepakat adalah tidak disukai bagi mereka yang mampu meninggalkannya kerana ia adalah syiar, apabila sebuah qaryah tidak melaksanakan udhiah maka hukum itu bertukar menjadi fardu kifayah.


Oleh itu, kaum muslimin janganlah memandang remeh hukum udhiah ini bahkan hendaklah sentiasa berusaha untuk melaksanakannya.

Syarat-syarat Udhiah


1- Hendaklah haiwan yang hendak dikorbankan terdiri daripada al-An’am (Haiwan Ternak) iaitulah : Unta, Lembu[2], Bebiri, dan Kambing. Ini berdalilkan firman Allah s.w.t:


لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ


Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka يengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin” - [al-Haj: 28].


Berkata Imam al-Syafii r.h:


الضَّحَايَا الْجَذَعُ من الضَّأْنِ والثنى من الْمَعْزِ وَالْإِبِلِ وَالْبَقَرِ وَلَا يَكُونُ شَيْءٌ دُونَ هذا ضَحِيَّةً


Maksudnya: “haiwan udhiah itu adalah: kambing biri-biri jaza’, dan al-Sani daripada kambing biasa, unta dan lembu dan selain daripada ini tidak boleh menjadi haiwan korban”-[al-Umm, 2/223].


Oleh itu, fahaman sebahagian masyarakat Melayu bolehnya berkorban dengan semua haiwan berkaki empat seperti kuda, kijang, dan rusa adalah salah sama sekali. Ini kerana dalam bahasa Arab, al-An’am tidak termasuk kuda, rusa, kijang, dan seumpamanya. Hanya haiwan yang empat kita sebutkan sahaja dinamakan al-An’am.


2- Hendaklah al-An’am ini mencapai umur yang diiktiraf syarak iaitu al-Jaza’ untuk bebiri dan al-Sani bagi unta,lembu, dan kambing. Dalilnya adalah hadis Riwayat Muslim:


لا تذبحوا إلا مسنة إلا أن يعسر عليكم فتذبحوا جذعة من الضأن


Maksudnya: “Janganlah kamu sembelih kecuali musinnah melainkan kamu sukar mendapatnya maka sembelihlah anak bebiri jaza’ (berumur 8 atau 9 bulan)”.


Al-Musinnah adalah haiwan yang telah bersalin gigi iaitulah:


Unta berumur 5 tahun masuk 6

Lembu berumur 2 tahun masuk 3

Kambing Biasa berumur 2 tahun


Al-Jaza’ pula adalah anak kambing bebiri yang berumur setahun di sisi Syafiiah. Menurut Hanabilah berumur 6 bulan masuk 7 bulan. Menurut ulama Lughah al-Jaza’ adalah berumur antara 8 atau 9 bulan. Ibn Abdil Barr r.h menetapkan al-jaza’ itu berumur antara 6 bulan sehingga setahun semuanya terpakai.


Terdapat pendapat yang mengahruskan berudhiah dengan haiwan al-Jaza’ bagi kesemua jenisnya sama ada unta, lembu, dan kambing berdalilkan hadis :


عن عقبة بن عامر الجهني قال : قسم رسول الله صلى الله عليه و سلم فينا ضحايا فأصابني بني جذع فقلت يا رسول الله إنه أصابني بنى جذع فقال ( ضح به )


Maksudnya: “Daripada Uqbah bin ‘Amir al-Juhani katanya: Rasulullah s.a.w membahagi-bahagikan antara kami haiwan korban lalu aku mendapat anak-anak jaza’ lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, saya mendapat anak-anak jaza’ sahaja! Maka baginda bersabda: “Berkorbanlah kamu akannya”. [Muslim]


Dalam lafaz yang lain riwayat Muslim juga dinyatakan:


فبقي عتود


Maksudnya: “maka yang tinggal (bagiku) hanyalah ‘atud..”


Atud adalah jaza’ daripada kambing biasa. Maka berdalilkan hadis ini mereka membolehkan berkorban dengan aljaza’ secara mutlak.


Namun, jika diperhatikan, hadis ini pada zahir siaqnya membawa makna hukum asal adalah tidak boleh menyembelih al-jaza’ pada selain bebiri oleh sebab itu Uqbah mengadu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan keizinan baginda kepada Uqbah membawa makna rukhsah khusus bagi beliau sahaja. Ini sama halnya dengan Abu Burdah r.a bapa saudara al-Bara’ bin ‘Azib r.a :


عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَال َضَحَّى خَالٌ لِي يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عِنْدِي دَاجِنًا جَذَعَةً مِنْ الْمَعَزِ قَالَ اذْبَحْهَا وَلَنْ تَصْلُحَ لِغَيْرِكَ


Maksudnya: “Daripada al-Bara bin Azib r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah ibu) yang dipanggil Abu Burdah melakukan korban sebelum solat lalu Rasulullah s.a.w menyatakan: Bebiri yang kamu sembelih itu hanyalah daging sahaja (tidak sah korban). Maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku (hanya ada) anak kambing jaza’ . Lalu sabda Nabi s.a.w: Sembelihlah ia dan tidak boleh bagi selain kamu selepas ini…” - [al-Bukhari]


Hadis ini menyatakan Abu Burdah telah tersalah berkorban sebelum solat. Lalu Nabi s.a.w menyuruhnya mengulang korbannya tetapi dia tiada lagi bebiri hanya ada anak kambing jaza’. Lalu Nabi s.a.w membenarkan khusus baginya sahaja. Maka, pendapat yang membolehkan korban dengan al-jaza’ secara mutlak adalah pendapat syaz dan tidak patut diikuti.


3- Hendaklah Haiwan Korban itu Tidak mempunyai cacat yang nyata. Dalinya adalah sabda Nabi s.a.w:


أَرْبَعٌ لاَ يَجُزْنَ : الْعَوْرَاءُ الْبَيِّنُ عَوَرُهَا ، وَالْمَرِيضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضُهَا ، وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ ظَلَعُهَا ، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تُنْقِي


Maksudnya: “empat jenis haiwan yang tidak sah korban dengannya: Buat sebelah matanya dan jelas pula buta itu, yang sakit dan jelas kelihatan ia sakit, yang tempang dan jelas ketempangannya, dan yang tiada dagingnya kerana terlalu kurus”-[Abu Daud, at-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, Ahmad, Malik]


4- Disembelih dalam waktu yang dibenarkan syarak. Waktu itu bermula selepas solat hari raya Idul Adha sehingga terbenam matahari akhir hari tasyriq 13 Zul Hijjah. Berkata Imam al-Syafii r.h:


وَوَقْتُ الضَّحَايَا انْصِرَافُ الْإِمَامِ من الصَّلَاةِ فإذا إبطأ الْإِمَامُ أو كان الْأَضْحَى بِبَلَدٍ لَا إمَامَ بِهِ فَقَدْرُ ما تَحِلُّ الصَّلَاةُ ثُمَّ يقضى صَلَاتَهُ رَكْعَتَيْنِ وَلَيْسَ على الْإِمَامِ إنْ أَبْطَأَ بِالصَّلَاةِ عن وَقْتِهَا لِأَنَّ الْوَقْتَ إنَّمَا هو وَقْتُ رسول اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم لَا ما أُحْدِثَ بَعْدَهُ


Maksudnya: “dan waktu menyembelih korban itu adalah selesainya imam daripada solat, jika imam terlewat memulakan solat atau dia berada di tempat yang tiada imam maka masanya adalah setelah berlalu sekadar masa selesai dilaksankan solat dan tidak perlu menunggu Imam jika dia terlewat solat kerana waktu solat yang diiktiraf adalah waktu solat Rasulullah s.a.w bukan waktu yang diada-adakan (bidaah) selepas baginda” - [al-Umm, 2/221]


Dalilnya adalah hadis berikut:


عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَال َضَحَّى خَالٌ لِي يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عِنْدِي دَاجِنًا جَذَعَةً مِنْ الْمَعَزِ قَالَ اذْبَحْهَا وَلَنْ تَصْلُحَ لِغَيْرِكَ


Maksudnya: “Daripada al-Bara bin Azib r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah ibu) yang dipanggil Abu Burdah melakukan korban sebelum solat lalu Rasulullah s.a.w menyatakan: Bebiri yang kamu sembelih itu hanyalah daging sahaja (tidak sah korban). Maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku (hanya ada) anak kambing jaza’ . Lalu sabda Nabi s.a.w: Sembelihlah ia dan tidak boleh bagi selain kamu selepas ini…” - [al-Bukhari]


Hadis ini menunjukkan korban sebelum solat eid tidak sah. Demikian lagi sabda Nabi s.a.w:


من كان ذبح قبل الصلاة فليعد


Maksudnya: “Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat (eid) maka hendaklah dia mengulang semula korbannya” - [Muttafaq 'alaih]


Termasuk dalam solat juga adalah selesainya khutbah kerana Rasulullah s.a.w menyembelih korban setelah selesai solat dan berkhutbah. Kadar panjang solat adalah dibaca selepas al-Fatihah rakaat pertama surah Qaaf dan pada rakaat kedua surah al-Qamar diikuti khutbah yang sederhana. Waktu mula solat adalah waktu dhuha[3].


Akhir waktu menyembelih adalah hari ketiga belas Zul Hijjah. Apabila masuknya waktu maghrib pada 13 Zul Hijjah maka tamatlah waktu korban. Adapun menyembelih waktu malam adalah makruh di sisi Jumhur ulama kerana menyukarkan kerja-kerja penyembelihan dan menyukarkan orang untuk mengambil daging.


Dalilnya adalah firman Allah s.w.t:


وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ


Maksudnya: memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban)..”



Maksud (أيام معلومات) adalah hari raya eidul adha dan 3 hari tasyriq selepasnya sebagaimana tafsiran Ibn Abbas r.a yang dikeluarkan Abdun bin Humaid[4]. Begitu juga hadis Rasulullah s.a.w:


وكل فجاج منى منحر وكل أيام التشريق ذبح


Maksudnya: “dan seluruh pelusuk bumi Mina adalah tempat menyembelih dan seluruh hari-hari tasyriq adalah hari menyembelih”-[Ahmad, berkata al-Arnauth: Sahih li ghairih].


Masalah


Harus berkongsi tujuh orang bagi seekor unta atau lembu dalam berkorban berdasarkan hadis daripada Jabir r.a:


نَحَرْنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَة

ٍ


Maksudnya: “Kami melakukan nahar (korban) bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Hudaibiah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu juga untuk tujuh orang” - [Muslim]


Ini adalah pendapat jumhur, tetapi hadis di atas adalah berkenaan dengan al-Hadyu[5] bukan udhiah, adapun hadis udhiah adalah sebagaimana diriwayatkan at-Tarmizi dan lain-lain daripada Ibn Abbas r.a katanya:


كنا مع رسول الله صلى الله عليه و سلم في سفر فحضر الأضحى فاشتركنا في البقرة سبعة وفي البعير عشرة


Maksudnya: “Kami bersama Rasulullah s.a.w dalam satu safar lalu sampai masanya udhiah (raya korban) maka kami berkongsi untuk seekor lembu tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang”[6].


Dan inilah pendapat yang sahih, insya Allah iaitu dalam udhiah seekor unta menyamai 10 orang dan pendapat ini dikemukakan oleh Ishaq bin Rahuwaih r.h dan daripada al-Syafiiah dikemukakan oleh Ibn Khuzaimah r.h.


Seekor kambing atau bebiri cukup untuk seorang dan dari segi pahala pula, cukup bagi seorang lelaki dan seluruh ahli rumahnya. Maknanya, jika seorang lelaki malakukan korban dengan seekor kambing maka pahala itu diperoleh juga anak-anak dan isterinya berdalilkan hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a:


كنا نضحي بالشاة الواحدة يذبحها الرجل عنه وعن اهل بيته ثم تباهى الناس بعد فصارت مباهاة


Maksudnya: “Kami menyembelih korban dengan seekor bebiri untuk seorang lelaki dan ahli keluarganya kemudian manusia berbangga dengannya dan jadilah korban itu satu kebanggaan”- [Malik, disahihkan oleh al-Nawawi].


Demikian juga sabda Nabi s.a.w ketika menyembelih korban baginda:


بِسْمِ اللَّهِ ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ


Maksudnya: “dengan nama Allah, Ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan Umat Muhammad”- [Muslim].


Berdasarkan hadis ini, para ulama berpandangan harus seseorang yang berkorban meniatkan perkongsian pahala korban bagi ahli keluarganya dan sesiapa yang dia kehendaki sama ada hidup atau mati.


Adapun melakukan korban bagi pihak si mati secara mutlak, berlaku khilaf dalam kalangan fuqaha’. Golongan Syafiiah berpendapat tidak boleh melakukan korban bagi pihak si mati kecuali korban wajib iaitu korban nazar atau diwasiatkan.


Fuqaha’ yang lain pula berpandangan harus melakukannya kerana korban adalah termasuk jenis sedekah dan telah ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah harusnya bersedekah bagi pihak mayat. Ini adalah pendapat Hanabilah, Hanafiah, dan Malikiah serta disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h.


Pada pandangan kami, yang rajih adalah dilaksanakan korban untuk si mati secara musytarak (berkongsi) pahala dan tidak dilaksanakan secara istiqlal (berasingan) kerana tiada nas untuk melaksanakannya berasingan. Wallahua’lam.


Adab-adab dan Sunnah Korban


1) Dilarang kepada mereka yang hendak melakukan korban memotong kuku dan membuang bulu badan dan rambut sama ada dengan mencukur atau menggunting sehingga dia berkorban kerana hadis Nabi s.a.w:


إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره وبشره شيئا


Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh hari awal Zul Hijjah dan salah seorang kamu hendak melaksanakan udhiah maka janganlah dia menyentuh (membuang) rambutnya dan kulitnya sesuatu pun” [Muslim].


Larangan ini dibawa kepada haram di sisi Jumhur Ulama dan Makruh di sisi al-Syafii r.h.


2) Hendaklah orang yang melakukan korban menyembelih sendiri jika dia mampu malakukannya dan boleh mewakilkan pada orang lain. Jika dia mewakilkan maka disukai supaya dia menyaksikan sembelihan itu.


3) Menyebut (بسم الله)[7] dan bertakbir kemudian berdoa seperti katanya: ‘Ya Allah terimalah korban daripada hamba-Mu ini fulan (menyebut namanya)’.[8]


Dalil bagi perkara-perkara ini ( adab ke-2 dan 3) berdalilkan hadis riwayat Muslim:


عن أنس قال ضحى النبي صلى الله عليه و سلم بكبشين أملحين أقرنين ذبحهما بيده وسمى وكبر ووضع رجله على صفاحهما


Maksudnya: Daripada Anas katanya: “Nabi s.a.w menyembelih korban dua ekor kibasy (bebiri) yang berwarna putih dan bertanduk, baginda menyembelih dengan tangan baginda sendiri dan baginda bertasmiah (membaca bismillah), bertakbir, dan meletakkan kaki baginda atas tengkuk dua ekor bebiri itu”.


4) Berdasarkan hadis di atas juga, sunat menyembelih lembu dan kambing secara membaringkannya di atas rusuk. Adapun unta hendaklah disembelih secara berdiri dan diikat kakinya sebelah kiri. Dalilnya firman Allah s.w.t:


وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُون

َ


Maksudnya: “dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari Syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”. - [al-Hajj:36]


5) Haiwan yang afdal dijadikan korban adalah unta, kemudian lembu, kemudian kambing berdalilkan sabda Nabi s.a.w:


إذا كان يوم الجمعة كان على كل باب من أبواب المسجد ملائكة يكتبون الأول فالأول فإذا جلس الإمام طووا الصحف وجاؤوا يستمعون الذكر ومثل المهجر الذي يهدي البدنة ثم كالذي يهدي بقرة ثم كالذي يهدي الكبش ثم كالذى يهدي الدجاجة ثم كالذي يهدي البيضة


Maksudnya: “Apabila tiba hari Jumaat maka di setiap pintu masjid akan ada malaikat yang mencatat (pahala kedatangan solat Jumaat), yang awal akan mendapat pahala yang berganda, apabila Imam telah duduk (atas minbar) mereka menutup buku catatan dan mendengar khutbah; dan perumpamaan mereka yang paling awal datang seperti dia menghadiahkan (menyembelih) seekor unta, yang datang kemudian dari itu seumpama dia mengahadiahkan lembu, yang kemudian dari itu seumpama dia menghadiahkan bebiri, yang datang kemudian dari itu seumpama mengahadiahkan ayam, dan yang datang terkemudian lagi seumpama menghadiahkan telur” - [al-Bukhari dan Muslim].


Namun, pada pandangan kami, yang afdal dalam udhiah adalah kambing bebiri. Dalilnya firman Allah s.w.t:


وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيم

ٍ


Maksudnya: “dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;” - [al-Saaffat : 107].


Para Ahli Tafsir menyatakan maksud ’sembelihan yang besar’ itu adalah Kibasy (Bebiri) yang besar dibawa daripada syurga. Perbuatan Nabi s.a.w menyembelih korban baginda dengan bebiri juga menunjukkan keutamaan bebiri. Adapun hadis yang kami sebutkan berkenaan keutamaan unta adalah dalam masalah al-Hadyu, begitu juga ayat al-Qur’an memerintah menyembelih unta adalah berkenaan al-Hadyu [merujuk kepada ayat 36 surah al-Haj]. Pendapat ini dikemukakan oleh Imam Ahli Madinah, Malik bin Anas r.h.


6) Sunat digemukkan haiwan korban supaya bertambah dagingnya berdasarkan firman Allah s.w.t:


ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

ِ


Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”. - [al-Haj: 32]


Berkata Ibn Abbas r.a dalam mentafsirkan ayat ini: “menggemukkan, memperelokkan, dan membesarkan (haiwan sembelihan)” -[al-Sayuti, al-Durrul Mansur, 7/150].


7) Warna Udhiah yang afdal adalah putih bersih seperti dua ekor kibasy yang Nabi s.a.w korbankan kemudian kuning, kemudian kelabu, kemudian hitam bercampur putih, dan kemudian hitam.


8) Hendaklah dijauhi haiwan yang ada kecacatan berikut walaupun sah udhiah dengannya tetapi makruh:


i- Terpotong telinga

ii- Patah Tanduknya

iii- Kecacatan yang tidak menjejaskan daging seperti tiada gigi, pendek ekor, tiada alat sulit dan seumpamanya.


Hukum-Hakam Berkenaan Daging Udhiah[9]


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Haj ayat 28:


فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ


Maksudnya: “maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan kepada golongan fakir”.


Dalam ayat ini, Allah menjelaskan haiwan yang disembelih untuk bertaqarrub kepadanya hendaklah dimakan dan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Dalam sebuah hadis sabda Nabi s.a.w:


كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا


Maksudnya: “makanlah dan berilah makan serta simpanlah” - [al-Bukhari & Muslim].


Hukum menyimpan daging udhiah adalah harus kerana perintah ini datang setelah larangan kerana Rasulullah s.a.w pada mulanya melarang mereka menyimpan daging udhiah melebihi tiga hari kerana keadaan mendesak kepada daging lalu tahun berikutnya Nabi s.a.w membenarkan. Hukum memakan dagingnya adalah sunat kerana firman Allah s.w.t:


وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ


Maksudnya: “dan unta Kami jadikan bagi kamu sebagai sebahagian Syiar (Agama) Allah padanya untuk kamu kebaikan..”


Penggunaan huruf ta’addi لـِ (untuk) menunjukkan hukumnya sunat sahaja. Adapun mensedekahkan sebahagian daging tersebut jumhur ulama Syafiiah dan Hanabilah mewajibkannya kerana asal perintah itu wajib sehingga ada dalil yang mengubahnya. Perintah makan terdapat dalil yang mengubahnya kepada sunat, perintah menyimpan terdapat qarinah menunjukkan harus, adapun sedekah tiada qarinah lain yang mengubah daripada asalnya iaitu “al-Amru lil Wujub” (Perintah menunjukkan hukum wajib). Dalil berikut menunjukkan wajibnya bersedekah daging udhiah:


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ { : دَفَّ أَهْلُ أَبْيَاتٍ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ حَضْرَةَ الْأَضْحَى زَمَانَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : ادَّخِرُوا ثَلَاثًا ثُمَّ تَصَدَّقُوا بِمَا بَقِيَ فَلَمَّا كَانَ بَعْدَ ذَلِكَ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ : إنَّ النَّاسَ يَتَّخِذُونَ الْأَسْقِيَةَ مِنْ ضَحَايَاهُمْ ، وَيُجْمِلُونَ فِيهَا الْوَدَكَ ، فَقَالَ : وَمَا ذَاكَ ؟ قَالُوا : نَهَيْت أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ بَعْدَ ثَلَاثٍ ، فَقَالَ : إنَّمَا نَهَيْتُكُمْ مِنْ أَجْلِ الدَّافَّةِ فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا } .


Maksudnya: Daripada Aisyah r.a katanya: Berbondong-bondong penduduk badwi datang pada hari raya Adha di zaman Rasulullah s.a.w (untuk mendapatkan daging) lalu baginda bersabda: “Simpanlah (daging udhiah) selama tiga hari kemudian sedekahkan selebihnya”. Kemudian apabila tahun selepas itu para sahabat mengadu: Wahai Rasulullah, sesungguhnya manusia menjadikan daripada udhiah mereka bekas minuman dan membuat minyak (daripada lemak), lalu baginda berkata: Kenapa mereka berbuat begitu? Mereka menjawab: Kamu telah melarang daging korban dimakan setelah tiga hari. Maka baginda berkata: Aku melarangnya kerana gerombolan manusia yang memerlukan daging (pada tahun lepas) maka (tahun ini) makanlah dan simpanlah dan sedekahlah” - [Muttafaq 'alaih].


Ini menunjukkan tujuan korban itu adalah untuk membantu mereka yang memerlukan dan bersedekah. Maka jika dibolehkan seorang yang berkorban memakan kesemua daging korbannya maka ini menafikan maqasid ibadat ini. Oleh itu, kami merajihkan mazhab al-Syafii dalam masalah ini iaitu wajib bersedekah sebahagian daging korban dan sedekah itu hendaklah dalam bentuk daging yang mentah[10].


Sebahagian Ulama berpandangan elok daging udhiah itu dijadikan tiga bahagian, 1/3 dimakan, 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin, dan 1/3 dihadiahkan kepada mereka yang kaya.


Tidak boleh dijual daging udhiah atau dijadikan upah kepada tukang sembelih berdalilkan :


عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ : أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلُحُومِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَازِرَ مِنْهَا شَيْئًا ، وَقَالَ : نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا



Maksudnya: Daripada Ali bin Abi Talib r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan aku menguruskan korbannya iaitu supaya aku mensedekahkan dagingnya dan kulitnya dan penutupnya dan melarang aku memberi kepada penyembelih suatu pun daripadanya (sebagai upah) dan baginda bersabda: “Kita membayar upah daripada hasil kita sendiri (bukan dengan daging korban)” - [Muttafaq 'alaih].


Dalam hadis ini Nabi s.a.w memerintahkan supaya disedekahkan daging dan kulit dan apa-apa yang berkaitan dengan haiwan udhiah. Demikian juga upah penyembelih dan pelapah daging tidak boleh diambil daripada daging udhiah tetapi hendaklah datang daripada harta mudohhi sendiri.


Boleh memindahkan daging udhiah ke tempat selain negeri mudahhi (orang yang berkorban) atas keperluan dan masalahat yang rajih[11].


Daging Udhiah Nazar dan Nazar Ta’yin


Apabila seseorang bernazar untuk membuat udhiah maka udhiahnya menjadi wajib. Nazar itu pula terdapat tiga jenis:


  • 1- Nazar Mutlak: Iaitu dia berkata : “Pada tahun ini aku berkewajipan di sisi Allah untuk berkorban”.
  • 2- Nazar Mujazah : Iaitu seperti dia berkata : “Jika aku disembuhkan penyakit aku akan melaksanakan korban”.
  • 3- Nazar Ta’yin : Iaitulah dia menentukan haiwan tersebut sebagai haiwan korban seperti dia mempunyai dua ekor lembu, seekor berwarna putih dan seekor lagi berwarna hitam lalu dia berkata: “Lembuku yang putih ini adalah untuk dikorbankan”.

Ketiga-tiga jenis nazar ini mewajibkan udhiah dan menyebabkan wajibnya keseluruhan daging, kulit dan apa-apa yang berkaitan dengan udhiah disedekahkan dan tidak boleh bagi mudohhi memakan udhiah tersebut demikian juga ahli rumahnya berdalilkan riwayat al-Bukhari daripada Ibn Umar r.a:


عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا لَا يُؤْكَلُ مِنْ جَزَاءِ الصَّيْدِ وَالنَّذْرِ وَيُؤْكَلُ مِمَّا سِوَى ذَلِك

َ


Maksudnya : Daripada ibn Umar r.a katanya: “Tidak dimakan sembelihan daripada dam kerana berburu dan nazar, adapun selainnya maka boleh dimakan”.


Ini adalah Mazhab al-Syafii, Malik, dan satu riwayat daripada Ahmad[12]. Pada kami pendapat ini adalah rajih berdasarkan asar daripada Ibn Umar ini.


Pemberian Udhiah Kepada Orang Kafir


Ulama sepakat tidak diberi udhiah kepada kafir harbi (kafir yang memerangi Islam atau menzahirkan kebenciannya pada Islam). Adapun kafir zimmi, muahid, dan musta’man, Jumhur ulama tetap melarangnya kerana udhiah adalah harta qurbah (harta yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah), maka sebagaimana zakat tidak diberi kepada kafir maka demikian juga udhiah. Ulama Hanabilah dan sebahagian Syafiiah berpendapat jika udhiah itu adalah udhiah sunat maka harus diberi kepada kafir sebagaimana sedekah sunat lainnya, tetapi jika udhiah itu wajib (nazar atau nazar ta’yin) maka terlarang diberi kepada kafir kerana ia menyamai zakat. Dalil dalam hal ini adalah qias sahaja.


Tarjih: Ulama sepakat bahawa boleh memberi sedekah sunat kepada kafir bukan harbi, dan tidak boleh memberi sedekah wajib (zakat) kepada mereka. Adapun daging udhiah, wajib disedekahkan sebahagiannya. Maka apabila mudohhi[13] telah bersedekah sebahagian daging udhiahnya, baki daging itu sunat sahaja untuk disedekahkan maka dalam bahagian baki ini harus baginya untuk memberi kepada kafir bukan harbi. Adapun daging udhiah nazar, haram diberi kepada kafir secara mutlak kerana ia wajib disedekah keseluruhannya. Wallahua’lam.


[1] Hadis ini sanadnya daif sebagaiman takhrij al-Arnauth dalam Musnad Ahmad. Al-Albani menilainya hasan. Ibn Majah sendiri menilainya sebagai daif.

[2] Termasuk dinamakan lembu adalah kerbau. Adapun lembu liar tidak sah korban dengannya.

[3] Waktu dhuha adalah matahari terbit sekadar tinggi tombak jika dikira dengan masa setengan jam setelah waktu syuruq. Bagi Pulau Pinang misalnya pada 8 Disember 2008 waktu syuruq 7.12 A.M maka waktu solat eid adalah 7.42 A.M.

[4] Al-Sayuti, al-Durrul Mansur fi al-Tafsir bil Ma’sur, 7/143.

[5] Al-Hadyu adalah haiwan yang disembelih oleh mereka yang melaksanakan haji setelah tahallul awal. Al-Hadyu wajib bagi haji tamattu’ dan qiran, sunat bagi haji ifrad.

[6] Hadis Sahih, al-Tarmizi (1501), al-Nasai (4392) dan Ibn Majah (3131).

[7] Menambah : الرحمن الرحيم tidak digalakkan kerana tidak warid nas berkenaannya dan menyembelih bukanlah tempat untuk berasa kasihan.

[8] Adapun membaca selawat ke atas Nabi s.a.w, Imam al-Syafii berpendapat disunatkan juga berdasarkan qias tetapi perkara semacam ini memerlukan nas dan jelas Nabi s.a.w tidak berselawat ke atas dirinya demikian juga para sahabat tidak berselawat semasa menyembelih maka pada kami yang rajihnya makruh berselawat ketika menyembelih.

[9] Hukum-hakam ini berkaitan dengan mudohhi (orang yang berkorban), adapun seseorang yang diberi daging udhiah sama ada sebagai sedekah atau hadiah, maka dia boleh memanfaatkan daging tersebut seperti daging-daging biasa seperti menjual, membuat kenduri, dan memberi hadiah kepada sesiapa sahaja.

[10] Ini kerana tujuan sedekah adalah menjadikan daging itu hak milik fakir maka diberi secara mentah untuk dia boleh bertasaruf sesuai dengan kehendaknya seperti dijual untuk mendapat duit. Lihat: I’anah al-Tolibin, Abu Bakar al-Dimyati, 2/333.

[11] Pendapat ini yang muktamad dalam mazhab Syafii sebagaimana dikemukakan oleh pengarang Kifayatul Akhyar.

[12] Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fathul Bari, 5/406.

[13] Yakni yang melakukan Udhiah.


Sumber: http://mashoori.wordpress.com/