Isnin, 15 Disember 2008

MUKJIZAT RASULULLAH S.A.W DALAM PERISTIWA TANAH RUNTUH

Peristiwa Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa merupakan suatu kejaidian yang membenarkan sabda Nabi s.a.w dalam beberapa hadis baginda. Perkara ini dinamakan sebagai al-Ikjaz al-Ilmi (Mukjizat Ilmu) di mana baginda s.a.w memberitahu perkara yang akan berlaku di masa akan datang.

Selain itu, hadis ini juga merupakan peringatan kepada umat Islam supaya mereka berwaspada tetapi kebanyakan umat hari ini tidak mengambil peduli akan peringatan baginda Rasul s.a.w ini.
Hadis-hadis baginda yang menceriatakan peristiwa tanah runtuh ini dikeluarkan dalam sahih al-Bukhari dan lainnya sebagai berikut :

Maksudnya : Daripada Abu’Amir atau Abu Malik al-Asy’ari katanya : Demi Allah, tidaklah aku berdusta bahawa telah mendengar Nabi s.a.w bersabda : “Akan ada segolongan daripada umatku menghalalkan zina, sutera, arak, dan alat-alat muzik dan akan tinggal beberapa golongan di sisi sebuah bukit (cerun bukit), datang kepada mereka pada waktu petang dengan haiwan ternakan mereka segolongan fakir untuk memohon hajat keperluan lalu (penduduk bukit) itu berkata : datanglah semula kepada kami keesokan hari. Maka pada malamnya Allah s.w.t menurunkan azab dan meruntuhkan bukit dan menukar sebahagian yang lain menjadi kera-kera dan babi-babi sehingga hari kiamat”. [al-Bukhari dalam Kitab al-Aysribah, Bab Pada Menyatakan Mereka yang Menghalakan Arak dan Menukar Namanya dan Abu Daud dalam Kitab al-Libas (4039) ].

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menyatakan akan ada dalam kalangan umat baginda yang melakukan maksiat tanpa segan silu seolah-olah perkara tersebut halal. Mereka minum arak dengan bebas, berzina dengan bebas, memakai sutera dengan bebas, menyanyi dan bermain muzik dengan bebas tanpa merasakan bahawa perkara ini haram. Perkara ini berlaku kerana tiada yang melarangnya dengan kekuasaan (undang-undang), banyaknya orang yang melakukanny dan dilakukan dengan terbuka.

Nabi s.a.w menyatakan pula bahawa mereka yang melakukan ini adalah golongan kaya yang membina rumah mereka di bukit-bukit dan mereka menjadi tempat meminta pertolongan daripada golongan fakir. Akhirnya, Allah s.w.t meruntuhkan bukit yang menjadi tempat tinggal mereka dan menimpakan mereka dengan tanah runtuh. Adapun mereka yang terselamat daripada kejadian itu akan diubah menjadi kera dan babi yakni perangai dan akhlak mereka. Ini adalah perkara yang sama berlaku kepada Bani Israel suatu ketika dahulu.
Dalam hadis yang lain pula dinyatakan :

Maksudnya : Daripada Imran bin Husoin bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Dalam Umat ini akan ada yang akan ditenggalamkan dalam bumi (ditimbus tanah), ditukar kejadiannya, dan dipanah halilintar”. Berkata seorang lelaki (sahabat) daripada muslimin : Wahai Rasulullah, bilakah ia akan berlaku? Jawab baginda :” Apabila munculnya wanita-wanita penyanyi dan alat-alat muzik dan diminumnya arak”. [al-Tarmizi, Kitab al-Fitan, (2212)].

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa munculnya penyanyi dan muzik sehingga dianggap biasa demikian juga arak bebas diminum tanpa segan silu menjadi sebab Allah s.w.t menurunkan bala berupa tanah runtuh sehingga ada yang tertimbus dalamnya, penukaran perangai menjadi kera dan babi dan panahan halilintar (petir). Hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Tabrani dalam Mukjam al-Kabir daripada Sahl bin Saad katanya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : “Akan ada di akhir zaman kejadian tertimbus tanah, penukaran kejadian, dan panahan halilintar”. Ditanya kepada baginda : Bilakah akan berlaku wahai Rasulullah! Jawab baginda : “Apabila munculnya alat-alat muzik, wanita-wanita penyanyi, dan dihalalkan arak”.

Kejadian-kejadian ini telah pun berlaku di zaman kita, ramai penyanyi wanita, muzik di mana-mana bahkan siaran radio muzik 24 jam menyebabkan muzik boleh didengari di mana-mana jua lebih dahsyat lagi telefon bimbit yang canggih menyebabkan ketika solat pun kadang-kadang kita boleh mendengar muzik. Arak pula telah menjadi perniagaan yang diiktiraf dan diberi lesen untuk menjualnya.

Telah jelas dalam hadis-hadis Nabi s.a.w di atas bahawa semua tindakan kita pada hari ini yang membiarkan maksiat bermaharajalela menjadi punca kenapa Allah s.w.t meruntuhkan Bukit Antarabangsa dan selainnya.

Dalam hadis ini juga menjelaskan kepada kita bahawa Islam telah lama mengharamkan Akademi Fantasia, Sehati Berdansa, Jangan Lupa Lirik, Marhaban di Astro dan rancangan-rancangan seumpamanya. Semua perkara ini haram di sisi syarak dan para ulama Islam telah lama menetapkan hukumnya, namun sesetengah pihak yang sakit jiwanya cuba menutup perkara ini daripada pengetahuan awam.

Mereka menubuhkan kumpulan-kumpulan muzik dengan nama Islam sedangkan Allah s.w.t di dalam al-Qur’an menyifatkan muzik sebagai :

1- Suara Syaitan - (Rujuk Surah al-Isra’ ayat 64)

2- Lahwal Hadis (Perkataan yang sia-sia)- (Rujuk surah Luqman ayat ke-6)

3- Al-Samidun (yakni yang lali dan leka) – (Rujuk surah al-Najm ayat ke-61)

Tidak ada satu pun kebaikan yang Allah s.w.t letakkan pada muzik maka mana mungkin kita boleh memandai-mandai mengatakan muzik ada manfaatnya untuk Islam. Jika benar ada manfaatnya tetntulah Nabi s.a.w dan para Sahabat baginda terlebih dahulu menubuhkan kumpulan Nasyid Islam atau Lagu Dakwah sebagai wasilah dakwah baginda. Apakah kita hendak mengatakan kita lebih bijak dan lebih pandai daripada Nabi s.a.w?! Nauzubillah min Zalik. Allah s.w.t mengharamkan arak sedangkan Dia mengiktiraf dalam arak ada manfaat tertentu tetapi tetap diharamkan kerana mudarat yang lebih banyak ditimbulkan, maka bagaimana pula dengan muzik yang langsung tidak dinyatakan oleh Allah akan manfaatnya?!Insaflah wahai saudaraku sekalian..

Oleh itu, saya menyeru kepada Umat Islam sekaliannya dan Umat Islam di Malaysia khasnya, marilah kita segera bertaubat dan kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sesuai dengan pemahaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda bukan Islam yang kita tafsirkan sendiri sesuai dengan hawa nafsu kita. Wallahua’lam.

Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2008/12/15/mukjizat-rasulullah-saw-dalam-peristiwa-tanah-runtuh/