Rabu, 9 Jun 2021

Imam Berjanggut


Soalan: Ada seorang lelaki yang menghafal al-Qur'an (lengkap) tetapi dia tidak mempunyai janggut (sebab cukur licin), seorang lelaki lain menghafal daripada al-Qur'an itu sedikit sahaja dan dia mempunyai janggut, manakah antara kedua ini didahulukan untuk menjadi imam solat?

Jawapan: Didahulukan bagi yang memimpin solat itu adalah orang yang mempunyai janggut dengan hafalan yang sedikit dari al-Qur'an berbanding dengan orang yang mencukur janggutnya dengan menghafal (keseluruhan) al-Qur'an. Ini kerana orang yang pertama itu tidak berdosa dengan sedikit hafalannya, tetapi yang kedua itu berdosa kerana mencukur janggutnya.

(Fatawa al-Lajnah al-Da'imah 379/7)

Kata al-Imam al-Albani -rahimahullah- mafhumnya:

Tidak dibolehkan untuk mencukur janggut dengan kesepakatan para imam yang empat, ini adalah kerana (perbuatan tersebut) bertentangan dengan al-Qur'an dan menyelisihi al-Sunnah dari segi al-Fi'liyyah (perbuatan) mahupun al-Qawliyyah (ucapan). Ia (mencukur janggut) juga termasuk dalam tashabbuh bi al-Kuffar wa al-nisa' (menyerupai orang-orang kafir dan wanita).

(Silsilah al-Huda wa al-Nur: 3)

Bagi yang bermazhab al-Shafi'i pula adanya pendapat dari imam mereka yang menunjukkan keringanan untuk mencukur janggut, cuma ia dikhususkan dalam satu situasi. Kata al-Nawawi -rahimahullah- dalam kitabnya yang menghuraikan Sahih Muslim:

يستحب حلق اللحية في حالة واحدة، إذا نبتت للمرأة لحية فيُستحب لها حلقها

"Diharuskan untuk mencukur janggut dalam satu situasi iaitu; jika tumbuhnya janggut pada wanita maka diharuskan bagi wanita tersebut untuk mencukurnya"

(Sharh Sahih Muslim, 3/149)

#persisajaransalafi