Ahad, 9 Februari 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 2)

Menurut Imam At-Tahawi rahimahullah: “Kita tidak mengkafirkan sesiapa pun dari ahli kiblat dengan sesuatu dosa (yang telah dikerjakannya) selagi dia tidak menghalalkan (perbuatan dosanya itu); dan kita juga tidak mengatakan dosa (maksiat( tidak merosakkan keimanan orang yang telah mengerjakannya.” (Aqidah At-Tahawiyah)

Penjelasan ini telah pun kita bawakan syarahan dari Al-Imam Ibnu Abil Izz rahimahullah dalam bahagian pertama sebelum ini. 

Antara nas-nas yang menunjukkan wajibnya berhukum dengan hukum Allah adalah:

Firman Allah:

وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ

“...Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” (Surah Al-Ma'idah: 44)

وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

“...Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Ma'idah: 45)

 وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

“...Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah Al-Ma'idah: 47)

Berikut ini, penjelasan dari Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah berkenaan tafsiran Surah Al-Maidah ayat 44 di atas:

Berkata Ibnu Abbas r.huma: ‘Bukanlah kufur yang mengeluarkan dari agama. Tetapi jika dia mengamalkannya maka dia kufur dengan amalannya tersebut. Tidaklah sama dengan kufur kepada Allah dan hari akhirat.’ 

Berkata Towus (anak murid Ibnu Abbas): ‘Ia adalah kufur tanpa kufur, zalim tanpa zalim dan fasiq tanpa fasiq.’

Terdapat di antara mereka (iaitu golongan ulama) yang menafsirkan ayat ini ke atas orang yang meninggalkan berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dengan sebab dia mengingkarinya. Ini adalah pendapat Ikrimah (anak murid Ibnu Abbas). Dan ia adalah penafsiran yang tidak kuat kerana pengingkaran dari diri seseorang itu adalah dengan sendirinya telah kufur sama ada dia telah berhukum atau tidak berhukum dengannya.

Di antara mereka ada yang menafsirkannya dengan meninggalkan kesemua hukum yang telah diturunkan oleh Allah. Mereka mengatakan bahawa ini termasuklah hukuman dari sudut tauhid dan Islam itu sendiri. Ini adalah tafsiran Abdul Aziz Al-Kannani. Ia juga adalah tafsiran yang tidak kuat...

Di antara mereka ada yang menafsirkan sebagai berhukum dengan menyalahi nas-nas secara sengaja dan bukan disebabkan jahil berkenaannya atau pun tersalah dalam penafsirannya. Pendapat ini telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bahgawi dari pendapat para ulama secara umumnya.

Di antara mereka ada yang menafsirkannya terhadap Ahli Kitab dan ini adalah pendapat Qatadah dan Ad-Dahhak (dua ulama tafsir dikalangan Tabi'in yang masyhur) dan lain-lain lagi. Ia adalah pendapat yang lemah dan menyalahi lafaz zahir ayat tersebut. Maka tidak patut diterima pendapat ini.

Di antara mereka ada yang menjadikannya kufur yang mengeluarkan dari agama.

Akhir sekali setelah mengeluarkan semua pendapat-pendapat ini, Imam Ibnul Qayyim membuat kesimpulan dengan menyatakan:

“Dan pendapat yang paling baik ialah sesungguhnya berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah merangkumi dua jenis kufur iaitu yang kecil dan yang besar, bergantung kepada perkara seseorang yang berhukum (atau memerintah).

Maka sekiranya dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah tetapi telah menyeleweng dari amalan yang sebenarnya dengan melakukan sesuatu perbuatan maksiat (berhukum dengan selain hukum Allah) sedangkan dia sedar bahawa dia berhak menerima balasan buruk dari perbuatannya ini, maka ia adalah kufur kecil. Sekiranya dia beriktikad bahawa ia adalah tidak wajib dan dengan itu dia mempunyai pilihan untuk mengikutinya sedangkan dia yakin bahawa itu adalah hukum dari Allah maka ia adalah kufur besar. Sekiranya dia jahil (terhadap hukum itu) dan tersalah (dalam hukuman itu): maka dia adalah seorang yang telah membuat kesalahan dan baginya ialah hukuman kepada orang-orang yang telah membuat kesalahan.” (Madarijus Salikin, 1/364-365)

Guru beliau (Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahumallah) juga menerangkan:

“Dan tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beriktikad bahawa berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah ke atas RasulNya adalah wajib maka dia telah kafir. Maka sesiapa yang membolehkan berhukum di antara manusia dengan apa yang dia sendiri dapati adalah adil tanpa menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah maka dia telah kafir...

Sesungguhnya kebanyakan manusia memeluk agama Islam tetapi walaupun demikian mereka tidak berhukum melainkan dengan adat-adat mereka yang telah sedia ada dan mereka disuruh mematuhinya oleh orang-orang yang mereka taati. Sekiranya orang-orang ini mengetahui bahawa adalah tidak dibenarkan berhukum melainkan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan mereka tidak mengamalkannya (hukum itu); bahkan membolehkan berhukum dengan perkara yang berlawanan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir. Sekiranya mereka tidak (menghalalkan hukum itu) maka mereka adalah orang-orang jahil...

Adapun sesiapa yang berpegang dengan hukum Allah dan RasulNya dari segi zahir dan batin, akan tetapi dia melakukan dosa dan mengikuti hawa nafsunya (iaitu dalam berhukum dengan sesuatu hukuman), maka orang ini adalah sama tarafnya seperti pembuat-pembuat dosa (besar) lainnya.” (Minhajus-Sunnah, 5/130-136)



Ditulis oleh:
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Rujukan: Manhaj Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ismail bin Omar.