Khamis, 6 Februari 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 1)

Berhukum dengan selain hukum Allah telah menjadi sebuah topik yang hangat dibincangkan dari zaman dahulu hingga kini. Umat Islam telah terbahagi dan berpecah dalam memahami tentang masalah ini. 

Ringkasnya, golongan Khawarij menyatakan pelaku dosa besar telah kafir dan murtad sehingga jenazahnya dilarang dikubur di tanah perkuburan Islam meskipun ketika hidupnya dia solat, puasa, zakat dan haji. Golongan ini menyamakan maksud fasiq dan zalim sebagai kufur (kafir). Padahal yang benar adalah, setiap maksiat dan dosa itu tidaklah sama tingkatannya. Ada dosa dan maksiat yang menyebabkan fasiq, ada yang menyebabkan zalim dan ada yang menyebabkan kafir. Permasalahan ini perlulah diperhatikan dengan teliti.

Golongan Muktazilah pula mengatakan pelaku dosa besar bukan mukmin dan bukan kafir. Ia dikenali dengan istilah "Al-Manzilatu Bainal-Manzilatain." Namun Muktazilah dan Khawarij sama-sama bersetuju hukuman bagi pelaku dosa besar di akhirat akan kekal di dalam api neraka. Maka secara penilaian akhiratnya bagi kedua-dua golongan ini adalah sama sahaja.

Wujud satu lagi kumpulan yang bertentangan dengan dua golongan di atas, iaitulah golongan Murjiah. Meraka berpandangan bahawa perbuatan dosa tidak merosakkan keimanan sama sekali. Pelaku dosa dan maksiat menurut mereka tidak akan menyebabkan seseorang itu masuk ke dalam api neraka jika pelakunya masih memiliki iman di dalam hati. Lebih parah lagi, mereka mengatakan iman orang-orang fasiq itu sama sahaja dengan imannya Abu Bakar r.a dan Umar ra. Pendapat golongan Murjiah ini jelas bertentangan dengan keyakinan Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan iman itu, merangkumi 3 elemen iaitu meyakini di dalam hati, mengungkapkannya dengan lisan/lidah (mengucapkannya), dan diamalkan/dibuktikan dengan perbuatan/amalan (anggota badan).

KEYAKINAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Menurut keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa dalam masalah berhukum dengan selain hukum Allah ini adalah dengan mengumpulkan keseluruhan nas-nas yang ada di dalam setiap permasalahan agama. Keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah menyelisihi 3 golongan yang telah disebutkan di atas.

Menurut ulama: "Sesungguhnya seseorang manusia itu kemungkinan berhimpun pada dirinya kufur, iman, syirik dan tauhid, taqwa dan kejahatan serta kemunafikan dan keimanan."

Al-'Allamah Ibnu Abil 'Izz Ad-Dimasyqi rahimahullah (wafat 792 Hijrah) berkata: "Sesungguhnya berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah boleh jatuh kufur yang mengeluarkan dari agama dan boleh juga menjadi kufur majazi atau kufur kecil. Ini adalah bergantung kepada hal keadaan hakim (atau pemerintah): maka jika sekiranya dia beriktikadkan bahawa berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah tidak wajib, dan dengan ini dia mempunyai pilihan (sama ada untuk berhukum dengannya atau tidak); atau pun dia meringan-ringankan (suruhan berhukum dengannya) padahal dia benar yakin bahawa ianya adalah hukum Allah - maka ini adalah kufur akbar (besar). 

Sekiranya dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan dia berpengetahuan (berilmu) akansuruhan ini, tetapi dia tidak melaksanakannya padahal dia mengakui bahawa perbuatannya itu berhak untuk diberi balasan buruk (di akhirat kelak), maka orang ini merupakan pelaku dosa yang digelar kufur majazi atau kufur kecil. 

Seterusnya, sekiranya dia jahil berkenaan (cara perlaksanaan) hukum Allah sedangkan dia giat berusaha meluangkan masanya untuk memahami hukum (Allah) tersebut, namun dia masih melakukan kesilapan, maka orang ini merupakan seorang pembuat kesalahan yang diberikan ganjaran baik atas usaha ijtihadnya dan kesilapannya itu adalah dimaafkan." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, halaman 348-349)

Al-Imam Abu Jaafar At-Tahawi rahimahullah (wafat 321 Hijrah), dalam kitabnya mengatakan: 

ولا نكفر أحدا من أهل القبلة بذنب، ما لم يستحله

"Dan kita tidak mengkafirkan seseorang pun dari ahli kiblat dengan sesuatu dosa selagi dia tidak menghalalkan dosa-dosa tersebut..."

Berkata Al-Imam Ibnu Abil 'Izz rahimahullah pada menjelaskan matan kitab Aqidah Tahawiyah di atas: "Sesungguhya seseorang yang beriman dari segi zahir dan batinnya, tetapi sekiranya dia membuat satu takwilan (tafsiran) di mana dia telah tersalah dalam takwilannya itu sama ada dengan ijtihad (darinya) atau pun penyelewengan yang merupakan satu kemaksiatan (darinya) maka tidaklah dihukumkan bahawa keimanannya terus telah terbatal disebabkan hanya dengan perbuatannya ini sahaja melainkan ada dalil-dalil syarak yang mengatakan demikian. Bahkan cara ini adalah merupakan sama dengan amalan golongan Khawarij dan Muktazilah. Tidaklah pula kita mengatakan bahawa dia tidak kufur (dengan perbuatannya itu). Malah pengimbangan antara keduanya itulah pendirian yang pertengahan; iaitu sesungguhnya pendapat-pendapat yang batil, bidaah dan haram yang merupakan penafian apa yang telah dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w, atau menetapkan apa yang telah dinafikan olehnya, atau menyuruh apa yang telah dilarangnya, atau melarang apa yang telah diperintahkan, kesemuanya ini hendaklah dihukumkan dengan hak dengan menetapkan segala balasan-balasan buruk yang telah dikenakan ke atasnya sebagaimana yang telah disebut dalam nas-nas.

Hendaklah dijelaskan bahawa (perbuatan itu) adalah kufur. Kemudian dikatakan pula bahawa sesiapa yang berpendapat atau berbuat begitu, maka dia telah kafir. Ataupun dengan cara-cara yang lain seperti itu...

Ada pun pada individu-individu tertentu (mu'ayyan), sekiranya ditanya sama ada mereka ini disaksikan sebagai ahli neraka atau mereka adalah ahli kafir; maka kita tidaklah menyaksikan demikian ke atasnya melainkan dia telah melakukan sesuatu perkara yang membatalkan dua kalimah syahadahnya. Sesungguhnya adalah menjadi satu kesalahan dengan mengatakan ke atas seseorang individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya, tidak akan merahmatinya, bahkan mengekalkannya di dalam neraka. Sesungguhnya, ini merupakan hukuman kekafiran selepas kematian.

Oleh kerana itu, Imam Abu Daud telah meriwayatkan dalam kitab hadisnya iaitu "Sunan Abi Daud" di dalam Kitab Al-Adab; Bab Penegahan Terhadap Kesalahan. Sesungguhnya Abu Hurairah r.a telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Pada suatu masa ada dua lelaki dari Bani Israil yang saling bersahabat. Salah seorang darinya selalu melakukan dosa dan yang seorang lagi sentiasa bergiat di dalam beribadat. Senantiasa orang yang membuat ibadat itu mendapati seorang yang lagi satu itu melakukan dosa. Dia pun berkata: "Berhentilah (kamu dari berbuat dosa)." Maka pada suatu hari dia mendapati temannya melakukan dosa lagi, lalu dia pun berkata: "Berhentilah." Maka dijawab (oleh pelaku dosa itu): "Biarlah aku dengan Tuhanku. Adakah kamu ini diutuskan untuk menjadi pemerhati ke atasku?" Berkatalah seorang yang selalu beribadat itu: "Demi Allah, tidak akan diampunkan Allah terhadap kamu." Ataupun: "Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga." Maka Allah SWT mencabut nyawa keduanya dan dihadapkan bersama-sama di sisi Tuhan sekalian alam seraya berfirman kepada yang giat dalam beribadat: "Adakah kamu mengetahui ke atas diriKu? Atau adakah kamu berkuasa di atas apa yang ada di antara kedua TanganKu?" Maka Allah pun berfirman kepada si pembuat dosa itu: "Pergilah dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu." Dan Allah berfirman terhadap lelaki yang satu lagi: "Bawalah dia masuk ke dalam neraka." Maka Abu Hurairah r.a berkata: "Demi diriku yang berada diTanganNya, dia (orang yang giat beribadat itu) telah mengatakan sesuatu perkataan yang memusnahkan (kehidupan) dunia dan akhiratnya." Hadis ini martabatnya hasan (baik).

Ini adalah kerana seseorang individu itu adalah mungkin merupakan seorang yang telah tersalah dalam ijtihadnya yang diampunkan dosanya, ataupun mungkin dari golongan yang tidak sampai nas-nas yang lain kepadanya selain dari apa yang ada di sisinya, ataupun kemungkinan dia mempunyai keimanan yang teguh yang menghasilka ganjaran-ganjaran (baik) yang mewajibkan dianugerahi rahmat Allah kepadanya sepertimana telah diampunkan orang yang berkata (dalam satu riwayat hadis): "Sekiranya aku mati, maka hancurkanlah aku (sehingga menjadi debu) kemudian taburlah abuku." Kemudian diampunkan Allah (terhadap perbuatannya ini) disebabkan takutnya dia (kepada Allah). Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Nasa-i dan Malik. Lelaki ini pada asalnya merasakan bahawa Allah tidak berkuasa untuk menyatukan dan menciptakan semula tubuhnya, atau dia syak (ragu) terhadap kekuasaanNya. Tetapi larangan terhadap kita dalam perkara akhirat (untuk menghukum seseorang itu telah kafir dan tidak akan masuk syurga) tidaklah pula bermakna kita dilarang untuk menghukumnya di dunia, melarang ia dari perbuatan bidaahnya dan menyuruh dia bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat maka kita wajib menghukum bunuh ke atasnya (disebabkan kemurtadannya atau perbuatan kekufurannya)." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, 340-341)

Bersambung...

Disediakan oleh: 
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal
6 Februari 2020 / 13 Jamadil Akhir 1441