Isnin, 24 Februari 2020

RISALAH KEDUA: TIGA USUL (USUL PERTAMA)

Wajib bagi setiap Muslim dan Muslimat mempelajari tiga usul yang penting, iaitu:

1. Mengenal Tuhannya,
2. Mengenal Agamanya,
3. Mengenal Nabinya ﷺ.

Usul Pertama: Mengenal Tuhan.

Apabila ditanya kepada engkau: “Siapa Tuhan engkau?” Maka jawablah: “Tuhanku ialah Tuhan yang telah memelihara aku dengan nikmatNya dan Tuhan yang telah menciptakan aku daripada tiada kepada ada.” Dalilnya ialah firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ رَبِّی وَرَبُّكُمۡ فَٱعۡبُدُوهُۚ هَـٰذَا صِرَ ٰ⁠طࣱ مُّسۡتَقِیم

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah olehmu akanNya. Ini adalah jalan yang lurus.” (Surah Ali Imran 3: 51)

Apabila ditanya: “Dengan apa engkau mengenali Tuhan engkau?” Maka jawablah: “Aku mengenaliNya melalui tanda-tanda kekuasaanNya dan juga segala makhluk ciptaanNya.” Adapun dalil mengenai tanda-tanda kekuasaanNya ialah firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَایَـٰتِهِ ٱلَّیۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُوا۟ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُوا۟ لِلَّهِ ٱلَّذِی خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِیَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Yang bermaksud: “Dan sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam, siang, matahari, dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan janganlah pula kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang telah menciptakannya, jika kamu hanya kepadaNya sahaja beribadah.” (Surah Fussilat 41:37)

Manakala dalil mengenai makhluk ciptaanNya ialah firman Allah:

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِی خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَ فِی سِتَّةِ أَیَّامࣲ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ یُغۡشِی ٱلَّیۡلَ ٱلنَّهَارَ یَطۡلُبُهُۥ حَثِیثࣰا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَ ٰ⁠تِۭ بِأَمۡرِهِۦۤۗ أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, lalu Dia beristiwa' di atas Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat. Dan (diciptakan pula) matahari, bulan dan bintang-bintang, masing-masing tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, mencipta dan memerintah itu hanyalah hak Allah. Maka suci Allah Tuhan semesta alam.” (Surah Al-A’raf 7:54)

Apabila ditanya: “Kenapa engkau diciptakan oleh Allah?” Maka jawablah: “Demi untuk beribadat dan mentaatiNya, dengan mengikuti segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.” Dalil mengenai ibadat ialah firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ ۝  مَاۤ أُرِیدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقࣲ وَمَاۤ أُرِیدُ أَن یُطۡعِمُونِ ۝  إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِینُ

Maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki yang memiliki kekuatan yang sangat kukuh.” (Surah Adh-Dhariyat 51:56-58)

Dalil mengenai taat kepadaNya pula ialah firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا

Maksudnya: “Hai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan para pemimpin di kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (As-Sunnah).” (Surah An-Nisa 4:59)

Apabila ditanya: “Apakah perkara yang telah diperintahkan oleh Allah supaya menunaikanya dan apakah pula perkara yang ditegahNya?” Maka jawablah: “Allah memerintahkan aku supaya mentauhidkanNya dan mencegah daripada melakukan syirik.” Dalil mengenai perintah Allah supaya mentauhidkanNya ialah firman Allah SWT:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِیتَاۤىِٕ ذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَیَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡیِۚ یَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, berbuat kebajikan dan memberi kepada kaum kerabat. Dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah An-Nahl 16:90)

Mengenai tegahan Allah terhadap perbuatan syirik ialah firmanNya:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا یَغۡفِرُ أَن یُشۡرَكَ بِهِۦ وَیَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَ ٰ⁠لِكَ لِمَن یَشَاۤءُۚ وَمَن یُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلَۢا بَعِیدًا

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa mensyirikkanNya dan Dia mengampunkan dosa yang selain syirik itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.” (Surah An-Nisa: 4:116)

Bersambung... (Bahagian usul kedua dan ketiga)

(*) Disalin oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi dari Buku Kumpulan Risalah yang diterjemahkan oleh Baharuddin Ayudin. Terbitan Cahaya Pantau (M) Sdn. Bhd. Halaman 9-13.

Ahad, 9 Februari 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 2)

Menurut Imam At-Tahawi rahimahullah: “Kita tidak mengkafirkan sesiapa pun dari ahli kiblat dengan sesuatu dosa (yang telah dikerjakannya) selagi dia tidak menghalalkan (perbuatan dosanya itu); dan kita juga tidak mengatakan dosa (maksiat( tidak merosakkan keimanan orang yang telah mengerjakannya.” (Aqidah At-Tahawiyah)

Penjelasan ini telah pun kita bawakan syarahan dari Al-Imam Ibnu Abil Izz rahimahullah dalam bahagian pertama sebelum ini. 

Antara nas-nas yang menunjukkan wajibnya berhukum dengan hukum Allah adalah:

Firman Allah:

وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ

“...Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” (Surah Al-Ma'idah: 44)

وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

“...Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Ma'idah: 45)

 وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

“...Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah Al-Ma'idah: 47)

Berikut ini, penjelasan dari Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah berkenaan tafsiran Surah Al-Maidah ayat 44 di atas:

Berkata Ibnu Abbas r.huma: ‘Bukanlah kufur yang mengeluarkan dari agama. Tetapi jika dia mengamalkannya maka dia kufur dengan amalannya tersebut. Tidaklah sama dengan kufur kepada Allah dan hari akhirat.’ 

Berkata Towus (anak murid Ibnu Abbas): ‘Ia adalah kufur tanpa kufur, zalim tanpa zalim dan fasiq tanpa fasiq.’

Terdapat di antara mereka (iaitu golongan ulama) yang menafsirkan ayat ini ke atas orang yang meninggalkan berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dengan sebab dia mengingkarinya. Ini adalah pendapat Ikrimah (anak murid Ibnu Abbas). Dan ia adalah penafsiran yang tidak kuat kerana pengingkaran dari diri seseorang itu adalah dengan sendirinya telah kufur sama ada dia telah berhukum atau tidak berhukum dengannya.

Di antara mereka ada yang menafsirkannya dengan meninggalkan kesemua hukum yang telah diturunkan oleh Allah. Mereka mengatakan bahawa ini termasuklah hukuman dari sudut tauhid dan Islam itu sendiri. Ini adalah tafsiran Abdul Aziz Al-Kannani. Ia juga adalah tafsiran yang tidak kuat...

Di antara mereka ada yang menafsirkan sebagai berhukum dengan menyalahi nas-nas secara sengaja dan bukan disebabkan jahil berkenaannya atau pun tersalah dalam penafsirannya. Pendapat ini telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bahgawi dari pendapat para ulama secara umumnya.

Di antara mereka ada yang menafsirkannya terhadap Ahli Kitab dan ini adalah pendapat Qatadah dan Ad-Dahhak (dua ulama tafsir dikalangan Tabi'in yang masyhur) dan lain-lain lagi. Ia adalah pendapat yang lemah dan menyalahi lafaz zahir ayat tersebut. Maka tidak patut diterima pendapat ini.

Di antara mereka ada yang menjadikannya kufur yang mengeluarkan dari agama.

Akhir sekali setelah mengeluarkan semua pendapat-pendapat ini, Imam Ibnul Qayyim membuat kesimpulan dengan menyatakan:

“Dan pendapat yang paling baik ialah sesungguhnya berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah merangkumi dua jenis kufur iaitu yang kecil dan yang besar, bergantung kepada perkara seseorang yang berhukum (atau memerintah).

Maka sekiranya dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah tetapi telah menyeleweng dari amalan yang sebenarnya dengan melakukan sesuatu perbuatan maksiat (berhukum dengan selain hukum Allah) sedangkan dia sedar bahawa dia berhak menerima balasan buruk dari perbuatannya ini, maka ia adalah kufur kecil. Sekiranya dia beriktikad bahawa ia adalah tidak wajib dan dengan itu dia mempunyai pilihan untuk mengikutinya sedangkan dia yakin bahawa itu adalah hukum dari Allah maka ia adalah kufur besar. Sekiranya dia jahil (terhadap hukum itu) dan tersalah (dalam hukuman itu): maka dia adalah seorang yang telah membuat kesalahan dan baginya ialah hukuman kepada orang-orang yang telah membuat kesalahan.” (Madarijus Salikin, 1/364-365)

Guru beliau (Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahumallah) juga menerangkan:

“Dan tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beriktikad bahawa berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah ke atas RasulNya adalah wajib maka dia telah kafir. Maka sesiapa yang membolehkan berhukum di antara manusia dengan apa yang dia sendiri dapati adalah adil tanpa menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah maka dia telah kafir...

Sesungguhnya kebanyakan manusia memeluk agama Islam tetapi walaupun demikian mereka tidak berhukum melainkan dengan adat-adat mereka yang telah sedia ada dan mereka disuruh mematuhinya oleh orang-orang yang mereka taati. Sekiranya orang-orang ini mengetahui bahawa adalah tidak dibenarkan berhukum melainkan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan mereka tidak mengamalkannya (hukum itu); bahkan membolehkan berhukum dengan perkara yang berlawanan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir. Sekiranya mereka tidak (menghalalkan hukum itu) maka mereka adalah orang-orang jahil...

Adapun sesiapa yang berpegang dengan hukum Allah dan RasulNya dari segi zahir dan batin, akan tetapi dia melakukan dosa dan mengikuti hawa nafsunya (iaitu dalam berhukum dengan sesuatu hukuman), maka orang ini adalah sama tarafnya seperti pembuat-pembuat dosa (besar) lainnya.” (Minhajus-Sunnah, 5/130-136)



Ditulis oleh:
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Rujukan: Manhaj Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ismail bin Omar.

Khamis, 6 Februari 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 1)

Berhukum dengan selain hukum Allah telah menjadi sebuah topik yang hangat dibincangkan dari zaman dahulu hingga kini. Umat Islam telah terbahagi dan berpecah dalam memahami tentang masalah ini. 

Ringkasnya, golongan Khawarij menyatakan pelaku dosa besar telah kafir dan murtad sehingga jenazahnya dilarang dikubur di tanah perkuburan Islam meskipun ketika hidupnya dia solat, puasa, zakat dan haji. Golongan ini menyamakan maksud fasiq dan zalim sebagai kufur (kafir). Padahal yang benar adalah, setiap maksiat dan dosa itu tidaklah sama tingkatannya. Ada dosa dan maksiat yang menyebabkan fasiq, ada yang menyebabkan zalim dan ada yang menyebabkan kafir. Permasalahan ini perlulah diperhatikan dengan teliti.

Golongan Muktazilah pula mengatakan pelaku dosa besar bukan mukmin dan bukan kafir. Ia dikenali dengan istilah "Al-Manzilatu Bainal-Manzilatain." Namun Muktazilah dan Khawarij sama-sama bersetuju hukuman bagi pelaku dosa besar di akhirat akan kekal di dalam api neraka. Maka secara penilaian akhiratnya bagi kedua-dua golongan ini adalah sama sahaja.

Wujud satu lagi kumpulan yang bertentangan dengan dua golongan di atas, iaitulah golongan Murjiah. Meraka berpandangan bahawa perbuatan dosa tidak merosakkan keimanan sama sekali. Pelaku dosa dan maksiat menurut mereka tidak akan menyebabkan seseorang itu masuk ke dalam api neraka jika pelakunya masih memiliki iman di dalam hati. Lebih parah lagi, mereka mengatakan iman orang-orang fasiq itu sama sahaja dengan imannya Abu Bakar r.a dan Umar ra. Pendapat golongan Murjiah ini jelas bertentangan dengan keyakinan Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan iman itu, merangkumi 3 elemen iaitu meyakini di dalam hati, mengungkapkannya dengan lisan/lidah (mengucapkannya), dan diamalkan/dibuktikan dengan perbuatan/amalan (anggota badan).

KEYAKINAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Menurut keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa dalam masalah berhukum dengan selain hukum Allah ini adalah dengan mengumpulkan keseluruhan nas-nas yang ada di dalam setiap permasalahan agama. Keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah menyelisihi 3 golongan yang telah disebutkan di atas.

Menurut ulama: "Sesungguhnya seseorang manusia itu kemungkinan berhimpun pada dirinya kufur, iman, syirik dan tauhid, taqwa dan kejahatan serta kemunafikan dan keimanan."

Al-'Allamah Ibnu Abil 'Izz Ad-Dimasyqi rahimahullah (wafat 792 Hijrah) berkata: "Sesungguhnya berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah boleh jatuh kufur yang mengeluarkan dari agama dan boleh juga menjadi kufur majazi atau kufur kecil. Ini adalah bergantung kepada hal keadaan hakim (atau pemerintah): maka jika sekiranya dia beriktikadkan bahawa berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah tidak wajib, dan dengan ini dia mempunyai pilihan (sama ada untuk berhukum dengannya atau tidak); atau pun dia meringan-ringankan (suruhan berhukum dengannya) padahal dia benar yakin bahawa ianya adalah hukum Allah - maka ini adalah kufur akbar (besar). 

Sekiranya dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan dia berpengetahuan (berilmu) akansuruhan ini, tetapi dia tidak melaksanakannya padahal dia mengakui bahawa perbuatannya itu berhak untuk diberi balasan buruk (di akhirat kelak), maka orang ini merupakan pelaku dosa yang digelar kufur majazi atau kufur kecil. 

Seterusnya, sekiranya dia jahil berkenaan (cara perlaksanaan) hukum Allah sedangkan dia giat berusaha meluangkan masanya untuk memahami hukum (Allah) tersebut, namun dia masih melakukan kesilapan, maka orang ini merupakan seorang pembuat kesalahan yang diberikan ganjaran baik atas usaha ijtihadnya dan kesilapannya itu adalah dimaafkan." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, halaman 348-349)

Al-Imam Abu Jaafar At-Tahawi rahimahullah (wafat 321 Hijrah), dalam kitabnya mengatakan: 

ولا نكفر أحدا من أهل القبلة بذنب، ما لم يستحله

"Dan kita tidak mengkafirkan seseorang pun dari ahli kiblat dengan sesuatu dosa selagi dia tidak menghalalkan dosa-dosa tersebut..."

Berkata Al-Imam Ibnu Abil 'Izz rahimahullah pada menjelaskan matan kitab Aqidah Tahawiyah di atas: "Sesungguhya seseorang yang beriman dari segi zahir dan batinnya, tetapi sekiranya dia membuat satu takwilan (tafsiran) di mana dia telah tersalah dalam takwilannya itu sama ada dengan ijtihad (darinya) atau pun penyelewengan yang merupakan satu kemaksiatan (darinya) maka tidaklah dihukumkan bahawa keimanannya terus telah terbatal disebabkan hanya dengan perbuatannya ini sahaja melainkan ada dalil-dalil syarak yang mengatakan demikian. Bahkan cara ini adalah merupakan sama dengan amalan golongan Khawarij dan Muktazilah. Tidaklah pula kita mengatakan bahawa dia tidak kufur (dengan perbuatannya itu). Malah pengimbangan antara keduanya itulah pendirian yang pertengahan; iaitu sesungguhnya pendapat-pendapat yang batil, bidaah dan haram yang merupakan penafian apa yang telah dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w, atau menetapkan apa yang telah dinafikan olehnya, atau menyuruh apa yang telah dilarangnya, atau melarang apa yang telah diperintahkan, kesemuanya ini hendaklah dihukumkan dengan hak dengan menetapkan segala balasan-balasan buruk yang telah dikenakan ke atasnya sebagaimana yang telah disebut dalam nas-nas.

Hendaklah dijelaskan bahawa (perbuatan itu) adalah kufur. Kemudian dikatakan pula bahawa sesiapa yang berpendapat atau berbuat begitu, maka dia telah kafir. Ataupun dengan cara-cara yang lain seperti itu...

Ada pun pada individu-individu tertentu (mu'ayyan), sekiranya ditanya sama ada mereka ini disaksikan sebagai ahli neraka atau mereka adalah ahli kafir; maka kita tidaklah menyaksikan demikian ke atasnya melainkan dia telah melakukan sesuatu perkara yang membatalkan dua kalimah syahadahnya. Sesungguhnya adalah menjadi satu kesalahan dengan mengatakan ke atas seseorang individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya, tidak akan merahmatinya, bahkan mengekalkannya di dalam neraka. Sesungguhnya, ini merupakan hukuman kekafiran selepas kematian.

Oleh kerana itu, Imam Abu Daud telah meriwayatkan dalam kitab hadisnya iaitu "Sunan Abi Daud" di dalam Kitab Al-Adab; Bab Penegahan Terhadap Kesalahan. Sesungguhnya Abu Hurairah r.a telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Pada suatu masa ada dua lelaki dari Bani Israil yang saling bersahabat. Salah seorang darinya selalu melakukan dosa dan yang seorang lagi sentiasa bergiat di dalam beribadat. Senantiasa orang yang membuat ibadat itu mendapati seorang yang lagi satu itu melakukan dosa. Dia pun berkata: "Berhentilah (kamu dari berbuat dosa)." Maka pada suatu hari dia mendapati temannya melakukan dosa lagi, lalu dia pun berkata: "Berhentilah." Maka dijawab (oleh pelaku dosa itu): "Biarlah aku dengan Tuhanku. Adakah kamu ini diutuskan untuk menjadi pemerhati ke atasku?" Berkatalah seorang yang selalu beribadat itu: "Demi Allah, tidak akan diampunkan Allah terhadap kamu." Ataupun: "Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga." Maka Allah SWT mencabut nyawa keduanya dan dihadapkan bersama-sama di sisi Tuhan sekalian alam seraya berfirman kepada yang giat dalam beribadat: "Adakah kamu mengetahui ke atas diriKu? Atau adakah kamu berkuasa di atas apa yang ada di antara kedua TanganKu?" Maka Allah pun berfirman kepada si pembuat dosa itu: "Pergilah dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu." Dan Allah berfirman terhadap lelaki yang satu lagi: "Bawalah dia masuk ke dalam neraka." Maka Abu Hurairah r.a berkata: "Demi diriku yang berada diTanganNya, dia (orang yang giat beribadat itu) telah mengatakan sesuatu perkataan yang memusnahkan (kehidupan) dunia dan akhiratnya." Hadis ini martabatnya hasan (baik).

Ini adalah kerana seseorang individu itu adalah mungkin merupakan seorang yang telah tersalah dalam ijtihadnya yang diampunkan dosanya, ataupun mungkin dari golongan yang tidak sampai nas-nas yang lain kepadanya selain dari apa yang ada di sisinya, ataupun kemungkinan dia mempunyai keimanan yang teguh yang menghasilka ganjaran-ganjaran (baik) yang mewajibkan dianugerahi rahmat Allah kepadanya sepertimana telah diampunkan orang yang berkata (dalam satu riwayat hadis): "Sekiranya aku mati, maka hancurkanlah aku (sehingga menjadi debu) kemudian taburlah abuku." Kemudian diampunkan Allah (terhadap perbuatannya ini) disebabkan takutnya dia (kepada Allah). Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Nasa-i dan Malik. Lelaki ini pada asalnya merasakan bahawa Allah tidak berkuasa untuk menyatukan dan menciptakan semula tubuhnya, atau dia syak (ragu) terhadap kekuasaanNya. Tetapi larangan terhadap kita dalam perkara akhirat (untuk menghukum seseorang itu telah kafir dan tidak akan masuk syurga) tidaklah pula bermakna kita dilarang untuk menghukumnya di dunia, melarang ia dari perbuatan bidaahnya dan menyuruh dia bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat maka kita wajib menghukum bunuh ke atasnya (disebabkan kemurtadannya atau perbuatan kekufurannya)." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, 340-341)

Bersambung...

Disediakan oleh: 
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal
6 Februari 2020 / 13 Jamadil Akhir 1441