Ahad, 11 Julai 2010

NASIHAT KEPADA SALAFIYYUN DALAM MENGHADAPI ISU ESQ


 الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على خليل الله محمد الأمين وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين وبعد،

Dewasa ini, masyarakat Malaysia telah digemparkan dengan isu kesesatan ESQ dan berlakulah polemik antara para Mufti, Institusi Agama Negara dan pihak-pihak lainnya yang menimbulkan kebingungan dalam kalangan masyarakat awam.

Namun, apa yang saya hendak tekankan di sini adalah, isu sebegini tidak seharusnya menimbulkan kerungsingan dalam kalangan mereka yang berpegang dengan Manhaj Salafi Ahlus Sunnah wal Jamaah, kerana Ahlus Sunnah wal Jamaah mempunyai prinsip yang jelas sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

قد تركتكم على البيضاء ليلها كنهارها لا يزيغ عنها بعدي إلا هالك

Maksudnya: “Aku telah meninggalkan kamu di atas benda yang putih; malamnya bagaikan siangnya, tidak ada orang yang terpesong daripadanya melainkan orang yang celaka”. [Ahmad, Ibn Majah, al-Munziri dalam al-Targhib wat Tarhib].

Oleh itu, para pengikut manhaj yang mulia dan jelas ini perlulah menjadi jelas juga dalam segenap isu yang timbul dan menilainya dengan ilmiah serta berpegang dengan dalil yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah kerana Ahlus Sunnah wal Jamaah bukanlah kaum emosional yang bertindak atas perasaan semata-mata dan bukan pula mereka yang mengikut arus secara membuta tuli kerana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

لا يكُنْ أحَدُكمْ إمَّعَة ، يقول : أنا مع الناس ، إن أحْسنَ الناسُ أحسنتُ ، وإن أساؤوا أسأتُ ، ولكن وَطِّنُوا أنفسكم إن أحسنَ الناسُ أن تُحْسِنُوا ، وإن أساؤوا أن لا تَظلِمُوا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu menjadi ‘Imma’ah’, dia berkata: Aku mengikut manusia, jika mereka baik maka aku jadi baik, jika mereka buruk maka aku juga melakukan keburukan. Tetapi hendaklah kamu menetapkan diri kamu, jika manusia berbuat baik maka berbuat baiklah kamu, jika mereka menyeleweng maka janganlah kamu juga berlaku seleweng”. [al-Tarmizi].

Oleh itu, dalam menilai ESQ ini, perlulah kita menetapkan pendirian dan iman bahawa Manhaj Salafus Soleh sahaja yang berhak menilai isu dengan ‘adil dan saksama dan hendaklah kita yakin bahawa perkara yang menyelisihi Ijmak Ulama Salafussoleh tidaklah memberi apa-apa keuntungan melainkan kecelakaan dan kerugian semata-mata.

Pendirian Kita Terhadap ESQ:

Maka perlu saya tegaskan di sini bahawa pendirian kita terhadap ESQ adalah jelas ianya suatu perkara BIDAAH yang melawan arus Salafus Soleh dan satu penambahan dalam agama Islam yang sempurna ini dan berlawanan dengan akidah Salafus Soleh.

Penilaian kesesatan dan penyimpangan ESQ ini dapatlah kita bahagikan kepada dua:

Pertama: Penyimpangan daripada segi amalan yang zahir dan penyimpangan jenis ini lah menyebabkan saya mengatakan isu ini tidak seharusnya menimbulkan keraguan dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah bahawa ESQ menyimpang.

Kedua: Penyimpangan dalam bentuk akidah dan kepercayaan yang mungkin disembunyikan oleh pihak ESQ namun bentuk penyimpangan ini tidaklah tersembunyi pada Ahli Ilmu yang melihat dari kaca mata Salaf.

Antara bentuk penyimpangan yang pertama adalah amalan-amalan seperti zikir dan doa beramai-ramai yang sememangnya maklum ianya menyalahi konsep ibadah mahdah dalam Islam yang mestilah berlandaskan nas bukan rekaan dan ciptaan akal manusia.

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

مَنْ أحْدَثَ في أمرنا هذا ما لَيْسَ منهُ فهو رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang merekacipta dalam urusan (agama) kami ini maka ianya ditolak”. [al-Bukhari].

Demikian juga penggunaan muzik yang ketara dalam kursus ini dan ianya dijadikan sebagai instrumen motivasi dan alat untuk mengubat jiwa. Perbuatan ini adalah bertentangan dengan Tarbiah Islamiah yang melihat muzik sebagai perosak jiwa bukan pengubat jiwa.

Berkata Ibn Masud radiallahu 'anhuma:

“Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifaq di dalam hati seperti mana air menumbuhkan tumbuhan”. [al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra]

Berkata Imam al-Dahhak rahimahullah:

“Nyanyian itu merosakkan hati dan menyebabkan kemurkaan Tuhan.” [Talbis Iblis].

Allah Taala telah mengharamkan muzik dalam firmanNya:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ

Maksudnya: Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.[Luqaman: 6]

Ulama Tafsir menyatakan bahawa antara makna ‘Lahwal Hadis’ dalam ayat ini adalah Nyanyian dan seumpamanya dan daripada Mujahid rahimahullah beliau menyatakan ianya gendang (alat muzik). [Rujuk Tafsir al-Tabari].

Imam al-Syafii rahimahullah berkata:

“خلفت ببغداد شيئاً أحدثته الزنادقة، يسمونه التغبير، يصدون به الناس عن القرآن”

Maksudnya: “Aku tinggalkan di Baghdad sesuatu yang diada-adakan oleh orang-orang zindiq (munafiq) yang mereka namakan sebagai ‘Taghbir’ mereka menghalang dengannya daripada al-Quran.” [Ighasatul Lahfan, Ibn al-Qayyim, m.s 229].

Imam al-Syafii telah menghukum mereka yang melakukan Taghbir sebagai ‘zindiq’ yakni munafiq kerana mereka menjadikan perkara maksiat sebagai ibadat. Tahukah anda apakah itu Taghbir?

قال الأَزهري وقد سَمَّوْا يُطَرِّبون فيه من الشِّعْر في ذكر الله تَغْبيراً كأَنهم تنَاشَدُوهُ بالأَلحان طَرَّبوا فَرَقَّصوا وأَرْهَجوا فسُمّوا مُغَبِّرة لهذا المعنى

Maksudnya: “Berkata al-Azhari: dan mereka telah menamakan orang-orang yang mendendangkan syair untuk mengingati Allah sebagai Taghbir seumpama mereka itu mendendangkannya dengan nada-nada tertentu lalu mereka mendendangkan pendengarnya dan menari-nari dan menimbulkan gerakan-gerakan maka dinamakan mereka itu mughabbirah berdasarkan makna ini”. [Lisanul ‘Arab, Ibn Manzur, 5/3]

Kemudian Imam al-Azhari membawa perkataan Imam al-Syafii rahimahullah yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa inilah makna taghbir yang dikehendaki oleh Imam al-Syafii rahimahullah.

وقال الزجاج سُمّوا مُغَبِّرين لتزهيدهم الناس في الفانية وهي الدنيا وترغيبهم في الآخرة الباقية

Maksudnya: “Berkata al-Zujaj: Dinamakan mereka ini Mughabbirin (pembuat Taghbir) kerana mereka menzuhudkan manusia daripada dunia dan merangsang mereka untuk mengingat akhirat”. [Ibid].

Al-Imam Ibn Kasir rahimahullah mengulas kenyataan Imam al-Syafii ini:

“Dan ianya (taghbir) adalah mengetuk dengan dahan atau lainnya di atas kulit yang kering berserta mendendangkan syair-syair ketuhanan yang melembutkan hati dan menggerakkan benda yang diam walaupun begini keadaannya beliau (al-Syafii rahimahullah) telah menamakan pelakunya sebagai zindiq maka bagaimana pula jika beliau melihat apa yang diada-adakan oleh mereka ini di zaman kita dengan mendengar nyanyian dan menari diiringi duff (kompang) dan serunai….” [Kasyful Ghita’ ‘an Hukmi Sima’ al-Ghina’, Maktabah al-Sunnah, cet. 1, 1991 M, m.s 42].

Berkata al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah:

“Jika inilah perkataan beliau (al-Syafii) berkenaan Taghbir dan ‘illahnya: ianya menyekat daripada al-Quran sedangkan taghbir itu syair yang membawa kepada zuhud di dunia didendangkan oleh penyanyi lalu sebahagian yang hadir mengetuk dengan kayu di atas pelantar atau bantal menurut rentak nyanyian, sesungguhnya apa yang beliau katakan berkenaan taghbir ini hanyalah seumpama ludah di dalam air lautan di sisi beliau (yakni jika dibandingkan dengan apa yg diadakan pada zaman sesudah itu daripada muzik dan nyanyian –pent-) Ia telah menghimpunkan semua kerosakan dan keharaman..” [Ighasatul Lahfan, m.s 229].

Berkata guru kepada dua orang alim yang terdahulu, Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah:

وأما السماع المحدث، سماع الكف والدف والقصب، فلم تكن الصحابة والتابعون لهم بإحسان وسائر الأكابر من أئمة الدين يجعلون هذا طريقًا إلى الله تبارك وتعالى، ولا يعدونه من القرب والطاعات،بل يعدونه من البدع المذمومة

Maksudnya: “Adapun sima’ (mendengar) yang diada-adakan seperti mendengar tepukan tangan, kompang, dan pukulan kayu, maka tidaklah pernah dilakukan para Sahabat dan yang mengikut mereka dengan baik serta seluruh pembesar imam agama ini apatah lagi menjadikannya sebagai jalan menuju kepada Allah Tabaraka wa Taala dan tidak pula mereka menganggapnya sebagai ketaatan dan ibadat bahkan mereka menganggapnya sebagai bidaah yang tercela”. [Majmuk Fatawa, 11/297-298]

Kemudian beliau membawakan perkataan Imam al-Syafii rahimahullah yang terdahulu.

Ini menunjukkan bahawa perbuatan menjadikan muzik sebagai satu bentuk makanan rohani menggantikan zikrullah hatta muzik itu diiringi zikrullah sekalipun ianya tetap bidaah dan lebih dahsyat keharamannya.

Muzik tidak akan memberi ketenangan jiwa sebaliknya ia akan merosakkan hati dan memudahkan syahwat dan syubhat memasukinya yang akan menukar hati itu menjadi gelap dan buta hidayah -nauzubillah min zalik-.

Adapun penyimpangan dari sudut akidah pula antaranya yang dapat saya kesan daripada ajaran ESQ ini adalah kepercayaan terhadap Proses Zero Mind di mana seseorang yang mengosongkan minda kemudian fokus akan mendapat keajaiban tertentu dan keajaiban ini sama dengan mukjizat para Nabi alaihimussalam dan dimisalkan dengan Mukjizat Nabi Musa 'alaihissalam dan disamakan mukjizat ini dengan pengalaman Kapten Kapal Terbang yang terselamat dalam kemalangan udara, Abdul Razak. [Rujuk video berikut:  http://www.youtube.com/watch?v=kBvwGtCgLPI ]

Konsep Zero Mind Process adalah tujuan utama dalam ajaran Hindu melalui Yoga; di mana mereka (Hindu) menyatakan:

“The traditional yoga lifestyle strives toward the goals of asceticism, which seeks to zero-out all desires, attachments, emotions, and ego clinging. The goal of yoga is essentially to cause the mind to become like zero. In fact, the goal of meditation (the central feature of the yoga lifestyle) is to zero-out thoughts, to zero-out the mind and realize the true condition of reality… zero. To know the supreme become like the supreme… zero.” [Sumber:  http://www.hinduwisdom.info/Yoga_and_Hindu_Philosophy.htm ]

Jelas sekali bahawa konsep zero mind proses adalah berasal daripada agama hindu yang digunakan dalam Yoga dengan tujuan untuk bersatu dengan Tuhan To know the supreme become like the supreme… zero yang bermaksud: “Untuk Mengetahui yang Maha Berkuasa maka hendaklah jadi seperti Maha Berkuasa..Kosong”.

Ini mendekati konsep Fana’ dalam ajaran Sufi yang akan membawa kepada Wehdatul Wujud di mana apabila seorang Sufi itu mengosongkan jiwanya daripada sifat-sifat kemanusiaan dan memfokuskan pada Allah Taala maka ia akan mencapai maqam ketuhanan dan ketika inilah kaum sufi akan mengeluarkan perkataan-perkataan syirik dan kufur seperti: Maha Suci Aku, Akulah Tuhan yang Maha Benar, dan lain-lain lagi yang banyak diriwayatkan daripada mereka ini. [Rujuk berkenaan Sufi ini di blog saya dan rakan-rakan: http://bahaya-sufi.blogspot.com ].

Lebih dahsyat dakwaan ESQ kejadian Zero Mind Process ini adalah perkara yang sama berlaku pada Nabi Musa alaihissalam dan ianya zahir kufur dan syirik kerana menyamakan kuasa Allah dengan kuasa makhluk kerana kita tahu bahawa mukjizat berlaku semata-mata dengan kuasa Allah Taala berbeza dengan Sihir dan Ahwal Syaitaniah yang merangkumi Istidraj yakni kejadian luar biasa yang Allah jadikan pada orang-orang kafir dan fasiq dengan tujuan menambahkan lagi kefasiqan mereka.

ESQ juga menekankan konsep ‘Suara Hati’ dan ianya jelas merupakan ajaran kesufian dan pihak mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan ianya adalah konsep ajaran Krsitian dan Hindu.

Antara kenyataan ESQ berkenaan Suara Hati ini adalah ianya datang daripada Allah semata-mata dan terus menerus memberikan arahan supaya manusia mengikuti kehendak Allah. [Lihat kenyataan Ary Ginanjar: http://esqmagazine.com/esq-menjawab/2010/01/30/1354/dari-mana-datangnya-suara-hati.html]

Kenyataan ini berlawanan 100% dengan akidah Islam di mana Ahlus Sunnah wal Jamaah berkeyakinan penuh bahawa suara hati tidak terlepas daripada bisikan syaitan. Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah menjelaskan:

فإن الخواطر والهواجس ثلاثة أنواع: رحمانية، وشيطانية، ونفسانية، كالرؤيا، فلو بلغ العبد من الزهد والعبادة ما بلغ فمعه شيطانه ونفسه لا يفارقانه إلى الموت، والشيطان يجرى من ابن آدم مجرى الدم، والعصمة إنما هى للرسل صلوات الله وسلامه عليهم الذين هم وسائط بين الله عز وجل وبين خلقه، فى تبليغ أمره ونهيه ووعده ووعيده، ومن عداهم يصيب ويخطئ، وليس بحجة على الخلق.

Maksudnya: “Sesungguhnya bisikan dan lintasan (hati) itu tiga jenis: Rahmaniah, Syaitaniah, Nafsaniah, ianya seumpama mimpi, maka walau sejauh mana pun  seorang hamba mencapai tahap zuhud dan ibadah maka syaitan akan sentiasa bersama dengannya demikian juga nafsunya tidak akan meninggalkannya sehingga mati dan syaitan itu berlari dalam badan anak Adam seperti berlarinya darah dan ‘ismah (yang maksum) itu hanyalah para Rasul Solawatullah wa Salamuhu ‘alaihim, yang mana mereka adalah perantara antara Allah dan makhlukNya dalam menyampaikan perintahNya, laranganNya, janji baikNya, dan ancamanNya, adapun selain mereka, berlaku padanya betul dan salah, bukanlah hujah atas makhluk”. [Ighasatul Lahfan, m.s 122].

Dan dengarlah hukum mereka yang menjadikan Suara Hati sebagai sandaran:

ومن ظن أنه يستغنى عما جاء به الرسول بما يلقى فى قلبه من الخواطر والهواجس فهو من أعظم الناس كفرا. وكذلك إن ظن أنه يكتفى بهذا تارة وبهذا تارة، فما يلقى فى القلوب لا عبرة به ولا التفات إليه إن لم يعرض على ما جاء به الرسول ويشهد له بالموافقة، وإلا فهو من إلقاء النفس والشيطان.

Maksudnya: “Barangsiapa yang berasa tidak perlu dengan apa yang dibawa oleh Rasul dan hanya bersandar kepada apa yang terlintas di hatinya daripada lintasan-lintasan dan bisikan-bisikan maka dia adalah manusia yang paling kufur, demikian juga jika dia berasa kadang-kadang cukup dengan bisikan hati dan lintasan-lintasannya, kerana apa yang terlintas di hati itu tidak ada apa-apa nilai dan tidak berpaling kepadanya jika tidak dibandingkan dengan apa yang dibawa oleh Rasul dan disaksikan ianya sesuai dengannya (syariat) jika tidak maka ianya hanyalah bisikan nafsu dan syaitan”. [Ighasatul Lahfan, Ibn al-Qayyim, 123].

ESQ juga menyatakan bahawa Suara Hati adalah sumber datangya sifat-sifat baik dan suara hatilah yang mendorong manusia melakukan kebaikan dan semua tindak tanduknya. [http://esqmagazine.com/esq-menjawab/2010/03/04/1627/fungsi-suara-hati.html ]

Namun, Islam berpandang sebaliknya di mana Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah menjelaskan:

ثم إنه وقع من تحكيم الذوق من الفساد ما لا يعلمه إلا الله فإن الأذواق مختلفة في أنفسها كثيرة الألوان متباينة أعظم التباين فكل طائفة لهم أذواق وأحوال ومواجيد بحسب معتقداتهم وسلوكهم.

Maksdunya: “Kemudian telah berlaku akibat berhukum berdasarkan perasaan pelbagai kerosakan yang tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah jua kerana perasaan itu berbeza pada dirinya dan banyak bentuknya dan berbeza dengan perbezaan yang ketara maka setiap golongan ada perasaan dan keadaan dan bisikan tersendiri berdasarkan akidahnya dan peribadinya”. [Madarij al-Salikin, 495].

Kata Ibn al-Qayyim lagi:

فالقائلون بوحدة الوجود لهم ذوق وحال ووجد في معتقدهم بحسبه والنصارى لهم ذوق في النصرانية بحسب رياضتهم وعقائدهم وكل من اعتقد شيئا أو سلك سلوكا حقا كان أو باطلا فإنه إذا ارتاض وتجرد: لزمه وتمكن من قلبه وبقي له فيه حال وذوق ووجد

Maksudnya: “Mereka yang berakidah dengan Wahdatul Wujud bagi mereka perasaan dan hal dan lintasan  berdasarkan akidah mereka, demikian juga kaum kristian bagi mereka perasaan berdasarkan Kristianisme mereka dan aktiviti ibadat mereka dan akidah-akidah mereka dan setiap orang yang berakidah dengan sesuatu akidah atau mengikut sesuatu jalan benar atau salah maka jika dia beribadah dan mengosongkan diri dengan perkara itu: perkara itu akan melaziminya dan akan menguasai hatinya dan kekal baginya berdasarkan akidahnya itu hal, perasaan, dan getaran jiwa…” [Madarij al-Salikin, 495-496]

Maka berdasarkan pernyataan Ibn al-Qayyim rahimahullah ini dan beliau merupakan Imam  yang dipercayai dalam bidang ini, manusia itu berbeza suara hatinya dan lintasan-lintasan yang terlintas di hatinya sesuai dengan akidah yang dia anuti berbeza dengan fahaman ESQ yang menyatakan bahawa semua suara hati itu datang daripada Allah dan semua manusia sama dalam hal ini tanpa mengira agama sebagaimana kata mereka:

Bila dicermati, kisah-kisah sukses para pebisnis kelas dunia memperlihatkan suatu kesamaan: terasahnya kecerdasan spiritual menjadi sumber kekuatan luar biasa penggerak bisnis mereka. Perlu ditekankan di sini bahwa spiritualitas, sebagaimana diperkenalkan dalam pelatihan Emotional Spiritual Quotient (ESQ) 165, tidak mesti berkaitan langsung dengan agama. Kecerdasan spiritual itu dipandang sebagai potensi yang secara universal dimiliki oleh setiap manusia.

Dalam ESQ Model, yang bersumber pada konsep Satu Ihsan, Enam Rukun Iman, dan Lima Rukun Islam (165), potensi kecerdasan spiritual itu diyakini sebagai pantulan sifat-sifat unggul yang terpancar dari Nama-Nama Allah SWT (Asmaul Husna). Potensi itu terpantul melalui ruh yang ditiupkan pada setiap manusia. Tugas manusialah untuk mengasahnya agar teraktualisasi menjadi energi. ESQ Model adalah sebuah ikhtiar untuk menguraikan dan mengasah potensi-potensi itu, dengan mengidentifikasi tujuh dari 99 Asmaul Husna. Ketujuh potensi atau suara hati, yang kami sebut Tujuh Budi Utama (Jujur, Tanggungjawab, Visioner, Disiplin, Kerjasama, Adil, dan Peduli) itu menjadi pijakan awal untuk mengenali jati diri; betapa manusia sesungguhnya memiliki potensi yang kaya. [Sumber: Artikel Energi Suara Hati: http://esqmagazine.com/frekuensi/2010/03/19/energi-suara-hati.html]

Berdasarkan pernyataan ini, ESQ menyamakan semua manusia sama ada mukmin atau kafir, ahli taat atau maksiat semuanya mempunyai suara hati yang berasal daripada PANTULAN nama-nama Allah yang maha mulia dan sempurna. Ini tidak lain tidak bukan akidah semua agama sama dan konsep wahdatul wujud.

Ketahuilah bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pernah menyatakan dalam hadis yang sahih bahawa Saidina Umar radiallahu 'anhu adalah orang yang ilhamnya adalah benar dan gerak hatinya senantiasa bersih dan digelar Muhaddas yakni yang diberikan perbicaraan oleh Allah Taala namun, beliau tidak pernah berhukum sesuatu perkara dengan gerak hatinya yang luhur dan mulia itu bahkan pernah pula Umar radiallahu 'anhu mengaku ia salah apabila beliau menghadkan jumlah mahar maksimum lalu ditegur seorang sahabiah (sahabat wanita). Maka siapakah kita untuk menjadikan suara hati sebagai rujukan dalam menentukan suatu perkara sedangkan siang malam kita bergelumang dengan dosa?!

Kemudian rujuk juga kenyataan ini: Andaikan seekor kuda bisa menggambar Tuhan, maka Tuhan akan digambarkan bagaikan kuda. Kesufian ESQ akan jelas jika anda membaca keseluruhan artikel yang sangat khurafat ini: http://esqmagazine.com/refleksi/2010/03/17/mendekati-tuhan-dengan-cinta.html dan lihat juga link ini: http://www.esqmagazine.com/node/2433

Inilah sebahagian gambaran kesesatan ESQ yang nyata dan terang walaupun saya menulis ini dalam keadaan agak tergesa-gesa dan maklumat yang ada adalah terhad namun maklumat-maklumat yang saya peroleh daripada video-video pihak ESQ sendiri dan daripada laman web mereka sendiri sudah cukup menyerlah akan penyelwengan mereka ini.

Maka pihak penulis berharap mereka yang sudah berada di atas manhaj salaf yang lurus ini teruslah berpegang dengan prinsip-prinsip Islami Nabawi ini dan janganlah termasuk dalam kelompok yang keliru dan melatah kerana kita berada dalam keadaan cahaya yang cukup, malamnya bagaikan siangnya. Semoaga Allah menetapkan kita di atas hidayahnya.. ameen.

Ditulis oleh;
Muhammad Asrie bin Sobri,
Kuliah Dakwah dan Usuluddin,
Universiti Islam Madinah Munawwarah, KSA.
29 Rajab 1431H/11 Julai 2010