Selasa, 11 Mei 2010

Hadis Merapatkan Kedua Tumit Dalam Sujud

فَقَدْتُ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَكَانَ مَعِي عَلَى فِرَاشِي. فَوَجَدْتُهُ سَاجِدًا رَاصَّا عَقِبَيْهِ مُسْتَقْبِلاَ بِأَطْرَافِ أَصَابِعِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: “Rasulullah shallallahu alaihi wasallam pergi dariku ketika saya sedang tidur bersamanya di atas tempat tidurku. Lalu saya menjumpai baginda dalam keadaan bersujud dengan merapatkan kedua tumit kaki baginda, dan hujung jari-jari kaki baginda dihadapkan ke arah kiblat.”

Hadis ini diriwayatkan oleh: Ibnu Khuzaimah (654) dan dari jalannya: Ibnu Hibban (1933), Ath-Thahawi dalam Syarh Ma’ani Al-Atsar (1/234) dan Musykil Al-Atsar (hal. 111), Al-Hakim (1/228), Al-Baihaqi dalam Al-Kubra (2/116) dan Ibnu Abdil Barr dalam At-Tamhid. Semuanya dari jalan: Said bin Abi Maryam (dia berkata) Yahya bin Ayyub mengkhabarkan kepada kami (dia berkata) Umarah bin Ghaziyah menceritakan kepadaku (dia berkata) saya mendengar Abu Nadhrah (dia berkata), saya mendengar Urwah dia berkata: Aisyah berkata….

Yahya bin Ayyub -rahimahullah-, walaupun hadisnya diriwayatkan oleh ashhab as-sittah kecuali Al-Bukhari (beliau hanya meriwayatkan hadisnya sebagai pendokong), akan tetapi para imam jarh wat ta’dil berbeza pendapat tentangnya. Sebahagiannya ada yang mentsiqahkan dan sebahagian lagi ada yang melemahkannya, bahkan di antara mereka ada yang menjelaskan bahawa di dalam hadisnya ada ghara`ib dan manakir (hadis-hadis yang aneh lagi mungkar), sehingga mesti dijauhi. Imam Ahmad menjelaskan alasan kenapa dia banyak bersalah dalam meriwayatkan hadis, “Dia menceritakan hadis dari hafalannya.” (Adh-Dhu’afa  karya Al-Uqaili, hal. 211)

Hadis ini adalah hadis yang mungkar, kerana asal hadis Aisyah ini juga terdapat dalam Sahih Muslim dan yang lainnya, akan tetapi tidak ada penyebutan merapatkan kedua tumit. Dan ini menjadi indikasi yang kuat akan kesalahan Yahya bin Ayyub dalam periwayatan hadis ini, tatkala para perawi lainnya tidak ada yang menyebutkan kalimat yang dia sebutkan. Lafaz yang diriwayatkan oleh para perawi selainnya adalah:

فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ

“Maka tanganku jatuh di atas kedua telapak kaki baginda.” (HR. Muslim: 1/352, Ahmad: 6/58, 201, Abu Daud: 1/547, An-Nasa`i: 1/102, Ad-Daraquthni: 1/143 dan Ibnu Abdil Barr dalam At-Tamhid: 23/349 )

Dan dengan lafaz:

فَوَضَعْتُ يَدِي عَلَى قَدَمَيْهِ

“Maka saya meletakkan tanganku di atas kedua kaki baginda.” (HR. Malik: 1/214, At-Tirmizi: 5/489, An-Nasa`i: 2/222, Ath-Thahawi dalam Syar Ma’ani Al-Atsar: 1/234 dan Al-Baghawi dalam Syarh As-Sunnah: 5/166)

Syaikh Bakar Abu Zaid -rahimahullah Ta’ala- berkata:

“Masalah yang kedua: Menggabungkan kedua tumit dalam sujud. Masalah ini diberikan judul seperti ini, terkadang dengan judul “Merapatkan kedua tumit dalam sujud,” terkadang dengan, “Mengumpulkan kedua tumit,” dan terkadang dengan, “Menggabungkan kedua kaki.”

Saya telah memeriksa ke sejumlah kitab yang masyhur dalam mazhab fiqhi yang empat mengenai keadaan kedua kaki ketika sujud, apakah dirapatkan atau dipisahkan. Akan tetapi saya tidak mendapatkan keterangan apa-apa dari mazhab Al-Hanafiah dan Al-Malikiah. Dalam mazhab Asy-Syafi’iyah dan Al-Hanabilah saya mendapatkan keterangan disunnahkannya memisahkan antara keduanya, dan Asy-Syafi’i menambahkan, “Dipisahkan dengan jarak sejengkal.”

An-Nawawi -rahimahullahu Ta’ala- berkata dalam Ar-Raudhah (1/259), “Saya berkata: Ashhab kami (Asy-Syafi’iyah) berkata: Disunnahkan untuk memisahkan antara kedua kaki.” Abu Ath-Thayyib berkata: Ashhab kami berkata: Jarak antara keduanya adalah sejengkal.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab 3/373) 

Adapun Al-Hanabilah, maka Al-Burhan Ibnu Muflih (Wafat tahun 884 H) -rahimahullahu Ta’ala- berkata dalam Al-Mubdi’ (1/457), “Antara kedua lutut dan kedua kakinya dipisahkan, kerana jika baginda sallallahu 'alaihi wasallam bersujud maka baginda memisahkan antara kedua pahanya. Sedangkan Ibnu Tamim dan selainnya menyebutkan bahawa baginda menggabungkan kedua tumitnya.” Selesai”

Kemudian beliau (Syeikh Bakar) -rahimahullah- menjelaskan lemahnya hadis Aisyah yang mendokong pendapat Ibnu Tamim dari sisi ilmu hadis, dan keterangannya dapat dilihat di sini. Kemudian beliau berkata:

“Kesimpulannya: Asal hadis Aisyah ini terdapat dalam Sahih Muslim dan selainnya tapi tanpa lafaz, “Merapatkan kedua tumitnya,” dan hal ini tidak pernah disebutkan dalam hadis-hadis sahabat yang panjang lagi masyhur ketika mereka mengisahkan sifat solat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam lafaz ini, “Baginda merapatkan kedua tumitnya ketika sujud,” adalah syaz, yang Ibnu Khuzaimah -dan yang meriwayatkan darinya seperti Ibnu Hibban dan setelahnya- bersendirian dalam meriwayatkannya. Keadaan lafaz ini seperti yang Al-Hakim katakan, “Saya tidak mengetahui ada seorang pun yang menyebutkan penggabungan kedua tumit dalam sujud kecuali apa yang terdapat dalam hadis ini,” kerana kalimat ini adalah hasil penelitian beliau yang menunjukkan syaz dan mungkarnya lafaz ini.” [Selesai nukilan dari risalah Laa Jadida fii Ahkam Ash-Shalah hal. 65-74 dengan sedikit perubahan]

Disunting oleh Abu Soleh.
Sumber:
  1. http://al-atsariyyah.com/?p=71
  2. http://al-atsariyyah.com/?p=73