Rabu, 10 Mac 2010

Adakah Allah Dapat Dilihat Di Dunia?

Disamping terdapat kelompok-kelompok yang mengingkari akan dapat dilihatnya Allah pada hari kiamat oleh penghuni syurga, ada pula kelompok yang berpendapat sebaliknya. Mereka berpendapat bahawa Allah dapat dilihat di dunia ini oleh para auliya (para wali). Pendapat seperti ini diyakini oleh sebahagian kaum muslimin bahawa Syeikh Abdul Qadir Jailani telah melihat Allah di dunia ini, sebagaimana terdapat dalam buku manaqib Abdul Qadir Jailani yang sesat dan menyesatkan.

Padahal dalil menerusi ayat Al-Qur'an yang telah dibahas pada edisi yang lalu -yang dijadikan dalil oleh muktazilah untuk menolak hadis rukyah- sesungguhnya merupakan dalil yang menunjukkan tidak mungkinnya Allah dilihat di dunia ini. Ayat tersebut iaitu:

قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنْظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَنْ تَرَانِي وَلَكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّى رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

Maksudnya: "Berkata Musa: "Ya Tuhan-ku, nampakkanlah (diri-Mu) kepadaku agar aku dapat melihat-Mu". Allah berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke gunung itu. Jika ia tetap berada di tempatnya (seperti sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku". Tatkala Tuhan-nya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh.." (Al-A’raaf: 143)

Ayat ini menunjukkan bahawa gunung juga hancur luluh ketika Allah menampakkan diri kepadanya, apalagi manusia yang sangat lemah. Dan kepada Musa 'alaihissalam –hamba-Nya yang mulia dan Allah berbicara langsung kepadanya- Allah katakan: “Engkau tidak akan sanggup melihat-Ku”, yakni di dunia ini. Apalagi orang-orang yang selain para nabi.

Berkata Ibnu Abil ‘Izzi al-Hanafi: “Telah sepakat seluruh umat bahawa tidak ada seorangpun yang dapat melihat Allah dengan mata kepalanya di dunia ini dan tidak ada perselisihan di kalangan mereka, kecuali tentang Nabi Kita sallallahu 'alaihi wasallam.” (Syarh Aqidah ath-Thahawiyah: 196)

Apakah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat Allah ketika mikraj?

Sebahagian sahabat seperti Ibnu Abbas radiallahu 'anhuma, beliau berpendapat bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah melihat Tuhan-nya dengan mata kepalanya. Namun riwayat-riwayat dari atsar ini sebahagiannya dhaif (lemah), seperti riwayat yang telah dikeluarkan oleh Ibnu Huzaimah dalam Kitab Tauhid dengan lafaz yang mudtharib (goncang) secara mauquf terhadap ibnu Abbas. Pada satu riwayat disebutkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat dengan mata kepalanya, sedangkan pada riwayat lainnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat Tuhan-nya dengan hatinya, seperti yang diriwayatkan dari Atha’ bin Abi Rabbah. Dan banyak lagi lafaz-lafaz lainnya yang diriwayatkan dan bersumber dari Ibnu Abbas radiallahu 'anhuma.

Dalam riwayat dari Ibnu Abbas radiallahu 'anhuma di atas juga tidak disebutkan dengan tegas bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat Allah dengan mata kepalanya. Sebahagian riwayat itu hanya menyatakan baginda sallallahu 'alaihi wasallam “melihat dalam hatinya”, “melihat cahaya”, “melihat dalam mimpinya” dan lain-lain.

Di samping itu, mereka yang berpendapat bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah melihat Allah ketika mikraj, berhujah dengan ayat Allah dalam surat at-Tak-wir:

وَلَقَدْ رَآهُ بِاْلأُفُقِ الْمُبِينِ

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Muhammad itu melihat di ufuk yang terang." (At-Tak-wir: 23)

Dan ayat Allah:

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى. عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat pada waktu yang lain, (iaitu) di Sidratil Muntaha." (An-Najm: 62-63)

Bantahan bagi pendapat di atas

Sebahagian para shahabat lainnya seperti Aisyah, Ibnu Mas’ud, dan Abu Hurairah; demikian pula sebahagian ashabul hadis (para ahli hadis) dan para fuqaha lainnya, mereka berpendapat bahawa Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam tidak melihat Tuhan-Nya ketika baginda sallallahu 'alaihi wasallam mikraj. Hal itu sebagaimana telah diriwayatkan dari Aisyah radiallahu 'anha, ketika beliau ditanya oleh Masyruq: "Apakah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat Tuhan-Nya?” Aisyah radiallahu 'anha menjawab:

مَنْ زَعَمَ أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى رَبَّهُ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ. قَالَ وَكُنْتُ مُتَّكِئًا فَجَلَسْتُ فَقُلْتُ: يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ أَنْظِرِينِي وَلاَ تَعْجَلِينِي أَلَمْ يَقُلِ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَقَدْ رَآهُ بِاْلأُفُقِ الْمُبِينِ وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى فَقَالَتْ: أَنَا أَوَّلُ هَذِهِ اْلأُمَّةِ سَأَلَ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ: إِنَّمَا هُوَ جِبْرِيلُ لَمْ أَرَهُ عَلَى صُورَتِهِ الَّتِي خُلِقَ عَلَيْهَا غَيْرَ هَاتَيْنِ الْمَرَّتَيْنِ رَأَيْتُهُ مُنْهَبِطًا مِنَ السَّمَاءِ سَادًّا عِظَمُ خَلْقِهِ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى اْلأَرْضِ. فَقَالَتْ: أَوَ لَمْ تَسْمَعْ أَنَّ اللَّهَ يَقُولُ لاَ تُدْرِكُهُ اْلأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ اْلأَبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ أَوَ لَمْ تَسْمَعْ أَنَّ اللَّهَ يَقُولُ وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلاَّ وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولاً فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ

"Barangsiapa yang menyangka bahawa Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam melihat Tuhan-nya, maka dia telah membuat kedustaan besar kepada Allah. Aku (Masyruq) yang berbaring semula, kemudian terduduk dan berkata: “Ya Ummul mukminin, sebentar dulu! jangan terburu-buru! Bukankah Allah telah berfirman: 

وَلَقَدْ رَآهُ بِاْلأُفُقِ الْمُبِينِ. وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى

(Maksudnya) “Dan sesungguhnya Muhammad itu melihat di ufuk yang terang.” “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat pada waktu yang lain, (iaitu) di Sidratil Muntaha”. 

Aisyah radiallahu 'anha menjawab: “Aku adalah orang pertama dari umat ini yang bertanya kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tentangnya. Maka baginda menjawab: “Itu adalah Jibril, aku tidak pernah melihatnya dalam bentuk aslinya, yang ia diciptakan atasnya. Aku melihatnya turun dari langit dan menutupi antara langit dan bumi kerana besarnya (bentuknya)”. Kemudian Aisyah berkata: “Tidakkah engkau mendengar bahawa Allah berfirman: 

لاَ تُدْرِكُهُ اْلأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ اْلأَبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ

(Maksudnya) “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedangkan Dia dapat melihat segala yang kelihatan; dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” 

Bukankah engkau pernah mendengar:
 
وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلاَّ وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولاً فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ

(Maksudnya) “Dan tidak mungkin bagi seorang manusia bahawa Allah berkata dengannya kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinNya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana." (HR. Bukhari dan Muslim)

Adapun riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat cahaya dinukil juga dalam kitab sahih muslim sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Syafiq dari Abu Dzar:

ثُمَّ قُلْتُ ِلأَبِي ذَرٍّ لَوْ رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَسَأَلْتُهُ. فَقَالَ: عَنْ أَيِّ شَيْءٍ كُنْتَ تَسْأَلُهُ؟ قَالَ: كُنْتُ أَسْأَلُهُ: هَلْ رَأَيْتَ رَبُّكَ؟ قَالَ أَبُوْ ذَرٍّ قَدْ سَأَلْتُ فَقَالَ: رَأَيْتُ نُوْرًا

Dia berkata kepada Abu Dzar: “Kalau aku sempat bertemu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sungguh aku akan bertanya. Maka Abu Dzar balik bertanya: “Apa yang akan kau tanyakan?” Aku akan bertanya: “Apakah baginda melihat Tuhan-Nya?” Maka Abu Dzar pun berkata; “Sungguh aku telah bertanya kepada baginda sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda menjawab: “Aku melihat cahaya”. (HR. Muslim)

Dalam riwayat lain disebutkan dari Abu Dzar:

سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللهَ هَلْ رَأَيْتَ رَبَّكَ؟ قَال: نُوْرٌ أَنَّى أَرَاهُ

"Aku bertanya kepada Rasulllah sallallahu 'alaihi wasallam: “Apakah engkau melihat Tuhan-mu? Baginda menjawab: “Cahaya, bagaimana aku melihatnya?”. (HR. Muslim)

Disebutkan oleh para ulama bahawa yang dilihat oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah hijab-Nya, kerana hijabnya adalah cahaya sebagaimana diriwayatkan dari dari Abu Musa al-‘Asy’ari:

قَامَ فِيْنَا رَسُوْلُ اللهِِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِخَمْسِ كَلِمَاتٍ فَقَالَ: إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَنْبَغِي لَهُ أَنْ يَنَامَ يَخْفَضُ الْقِسْطَ وَيَرْفَعُهُ. يَرْفَعُ إِلَيْهِ عَمَلَ اللَّيْلِ قَبْلَ عَمَلِ النَّهَارِ وَعَمَلَ النَّهَارِ قَبْلَ عَمَلِ اللَّيْلِ حِجَابُهُ النُّوْرُ

Berdiri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di depan kami dengan menyampaikan lima kalimat. Baginda berkata: “Sesungguhnya Allah tidak tidur dan tidak layak bagi-Nya tidur, menurunkan timbangan dan mengangkatnya, diangkat kepadanya amalan malam sebelum amalan siang, dan amalan siang sebelum amalan malam, dan hijab-Nya adalah cahaya. (HR. Muslim)

Ibnu Hajar al-Atsqalani dalam Fathul Bary jilid 8/708, setelah menyebutkan pendapat-pendapat yang menyatakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat Tuhan-nya dan pendapat yang sebaliknya, berkata: “Hadis-hadis dari Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat Tuhan-nya, ada yang diriwayatkan secara muqayyad (terikat), yakni melihat dengan hatinya; dan ada pula yang diriwayatkan secara mutlak. Oleh kerana itu wajib bagi kita untuk membawa hadis-hadis yang mutlak tersebut kepada hadis-hadis yang muqayyad”.

Kemudian Ibnu Hajar rahimahullah menggabungkan (menjamak) antara kedua pendapat yang kelihatannya saling bertentangan tersebut dengan menyatakan: “Dengan ini kita dapat mengumpulkan antara pendapat Ibnu Abbas yang menetapkan (melihatnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terhadap Allah –pent.) dengan pendapat Aisyah yang justeru mengingkarinya iaitu dengan membawa pengingkaran Aisyah kepada penglihatan dengan mata, adapun penetapan Ibnu Abbas adalah penglihatan dengan hatinya."

Berkata Dr. Ali bin Muhammad bin Nashir al-Faqihi: “Jamak (penggabungan) dari Ibnu Hajar ini sangat bagus dan dengan ini kita dapat mengambil seluruh riwayat-riwayat tersebut”. (Al-Iman, karya Ibnu Mandah, tahqiq Dr. Ali bin Muhammad bin Nashir al-Faqihi hal. 24).

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah: “Tidaklah ucapan Ibnu Abbas tentang melihatnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bertentangan dengan hadis Aisyah”. Kemudian beliau rahimahullah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah melihat Tuhan-nya dalam tidurnya." (Zaadul Ma’ad, juz 3 hal. 37)

Bahkan disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam Zaadul Ma’adnya bahawa Utsman bin Sa’id ad-Darimi telah menghikayatkan kesepakatan para sahabat tentang tidak melihatnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terhadap Tuhan-nya. (Zaadul Ma’ad, juz 3 hal. 37)

Yakni dengan mata kepala baginda sallallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan sedar. Adapun riwayat-riwayat yang menyatakan baginda sallallahu 'alaihi wasallam melihat-Nya adalah dalam keadaan tidur atau dengan hatinya.

Dengan demikian, jika kita memperhatikan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak melihat Tuhan-nya dengan matanya secara sedar di dunia ini dalam riwayat-riwayat yang sahih, maka bagaimana mungkin bagi orang-orang selain baginda dapat melihat-Nya dengan mata kepalanya?

Wallahu a’lam

Disunting oleh Abu Sholeh