Khamis, 12 November 2009

MENJAWAB TUDUHAN TERHADAP WAHABI (1)

Berikutan dari artikel sebelum ini iaitu “Bantahan Terhadap Rencana Bahaya Wahabi” Harian Metro juga menyenaraikan antara amalan dan fahaman wahabi dibahagian Info. Maka dari itu, saya ingin menjawab beberapa tuduhan ini yang tidak lain hanyalah berupa fitnah semata.

Amalan dalam fahaman Wahabi antaranya (sebagaimana terdapat dalam Metro):
  1. Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah
  2. Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq)
  3. Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias
  4. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)
  5. Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w
  6. Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik
  7. Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya
  8. Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain
  9. Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya
  10. Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh
  11. Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah
  12. Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w
  13. Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja 
  14. Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang
  15. Amalan tariqah dilarang sama sekali
  16. Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

Jawapan terhadap bagi senarai di atas:

Senarai amalan dan fahaman wahabi di atas tersebut terdapat juga di dalam buku “Masalah Ugama” yang ditulis oleh Kiyai Haji Sirajuddin Abbas dalam edisi jawi, siri 1, keluaran Pustaka Aman Sdn. Bhd. Hal 145-147. Cuma ada 2 senarai dalam buku “Masalah Ugama” yang tidak terdapat pada senarai di atas iaitu: Melarang menghisap rokok dan makan sirih (terletak pada nombor 8), dan Tidak boleh membaca kitab “Dalail Khairat”, “Burdah” dan lain-lain wirid-wirid yang memuji-muji Nabi (terletak pada nombor 13). Kemudian pada beberapa senarai di atas juga diubah sedikit pada nombor 2 iaitu pernyataan Kiyai Sirajuddin Abbas mengatakan: Di dalam fiqh harus (mesti) memakai mazhab Hanbali dan pada nombor 3: Mazhab Syafi’i dibuang.

Kiyai Sirajuddin Abbas mengatakan fiqh itu harus (dalam bahasa indonesia bermaksud wajib) bermazhab Hanbali manakala mazhab Syafi’i dibuang. Sebagai jawapan: Sudah sedia maklum bahawa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab bermazhab Hanbali di dalam fiqh, namun terdapat sebahagian masalah beliau keluar dari mazhabnya sendiri sebagaimana telah saya bawakan perkataan Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab pada tulisan yang lalu. Manakala perkataan membuang mazhab Imam Syafi’i ini adalah dusta, kerana sebagaimana yang dikatakan oleh Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab bahawa mereka menyuruh kepada masyarakat supaya mengikuti salah satu dari empat mazhab tersebut dan termasuklah mazhab Syafi’i. Mengenai rokok, masalah ini saya kira, kebanyakan orang sedia maklum akan keharamannya dan tidak perlulah saya jelaskan di sini. Dengan itu jelas senarai Kiyai Sirajuddin Abbas tersebut hanyalah dusta dan fitnah sahaja serta kejahilan yang disandang olehnya menyebabkan dia meluluh mengatakan amalan wahabi tersebut adalah sesat. Padahal ianya  (yakni wahabi/salafi) jauh sekali dari kesesatan.

Di bawah ini saya sertakan semula senarai di atas ini (yang dikeluarkan di dalam Metro), satu persatu, seterusnya saya akan meletakkan jawapannya sekadar apa yang saya termampu.

Pertama: Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah.

Ini adalah dusta semata. Wahabi mempelajari aqidah adalah dengan berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah menurut jalan as-salaf. Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab menyatakan pegangan pendokong dakwah Syeikh Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab ketika memasuki kota Mekah pada tahun 1218H, ia seperti berikut:

“Adapun mazhab kami dalam Usuluddin (akidah) adalah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jalan (tariqah) kami adalah jalan as-Salaf iaitu jalan yang selamat, sejahtera, lebih baik serta lebih menepati jalan al-Khalaf ialah jalan yang lebih menepati kebenaran.” (Al-Durar Al-Saniyyah, jil 1, hlm 126)

Beliau menghuraikan lebih lanjut kenyataan di atas dengan katanya: “Adapun pegangan kami adalah perkara yang dikehendaki Allah ke atas kami. Ia adalah mazhab Salafus Soleh serta para pemimpin mereka di kalangan para sahabat radiallahu ‘anhum serta para tabi’in. Bagi mereka segala kebaikan. Termasuk di kalangan mereka itu imam empat mazhab serta tokoh-tokoh terkemuka lainnya. Semoga Allah meredai mereka sekaliannya. Berdasarkan pegangan mereka maka kami beriman serta menetapkan apa yang tsabit (dinyatakan) di dalam al-Quran serta hadis tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tamtsil (menyamakan Allah dengan makhluk), serta ta’til (menafikan apa yang telah ditetapkan). Jalan mereka menetapkan iktikad seperti berikut:

Mereka beriman dengan sifat-sifat Allah, nama-namaNya sebagaimana Allah sifatkan diriNya di dalam al-Quran atau menerusi lisan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini dilakukan tanpa apa-apa penambahan terhadapnya, mengurangkannya, melampauinya, mentafsirkannya, mentakwilkannya dengan apa yang bercanggah dengan zahirnya ataupun menyerupakannya dengan sifat makhluk serta memperkatakan sesuatu tentangnya dengan apa yang tidak diperintahkan. Sebaliknya, mereka menerima keterangan al-Quran serta hadis berkenaan nama-nama dan sifat sebagaimana asalnya dengan menyerahkan pengetahuan serta kedudukan hakikinya kepada Allah yang menyatakannya.

Ketahuilah, mereka sentiasa berpesan-pesan antara satu sama lain supaya berittiba’ (mengikuti) dengan golongan terdahulu dari mereka serta mengambil sikap mendiamkan diri sebagaimana golongan terdahulu mendiamkan diri. Sehubungan hal ini, mereka amat berhati-hati supaya tidak melampaui serta menyalahi pegangan serta jalan yang ditunjukkan golongan terdahulu serta tidak lupa menyampaikannya kepada kami. Kesannya kami juga berhati-hati dari terbabit mengikuti jalan-jalan yang menyeleweng sebagaimana menjadi amalan golongan ahli bid’ah.” (Majmu’ah Al-Rasail wa al-Masail, jil 1, hlm 48)

Demikian apa yang dikatakan oleh anak kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berkenaan pegangan ayahnya. Jika sekiranya kita katakan ini merupakan juga pegangan Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka kita katakan ya, memang benar. Inilah juga pegangan beliau serta inilah pegangan yang sepatutnya dipegang oleh kita semua sebagai penganut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: “Maka ini adalah i’tiqad firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan dengan apa yang telah RasulNya Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu). Bahkan, mereka (Ahli   As-Sunnah Wal Jamaah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Asy-Syura: 11) Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya, tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Ta’ala…” (Aqidah Al-Wasatiyah, hal 5-7; dinukil dari buku Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?, Dr. Azwira Abdul Aziz, Jahabersa, hal 47-49)

Kedua: Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq).

Untuk menjawab berkenaan tidak berpegang dengan mana-mana mazhab ini, mungkin ada baiknya saya nyatakan sekali lagi di sini pernyataan Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab, beliau menulis dalam risalahnya sebagai ringkasan dari beberapa hasil karya ayahnya, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, seperti berikut:

“...Sedangkan dalam hal masalah furu’ (fiqh) kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal rahimahullah. Kami tidak pernah mengingkari (melarang) seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab yang luar dari mazhab empat, seperti mazhab (Syi’ah yang terdiri daripada - edt) Rafidhah, Zaidiyah, Imamiyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami memaksa mereka supaya bertaqlid (ikut) kepada salah satu dari mazhab empat tersebut. Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlaq, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada nas yang jelas, baik dari Al-Quran mahupun Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, atau yang menkhususkannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang Imam empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anut (yakni mazhab Hanbali)...” (Shiyanah al-Insan, Syeikh Muhammad Basyir as-Sahsawani, hal 473)

Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah berkata: “Sesungguhnya penyeru untuk kembali kepada as-Sunnah tidak bermaksud meninggalkan semua mazhab yang ada baik secara global mahupun secara rinci, bahkan mereka (yang mengajak untuk kembali kepada Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam) senantiasa menghargai mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam untuk memahami al-Kitab dan as-Sunnah. Mereka hanya meninggalkan pendapat para imam apabila jelas bertentangan (atau kurang bertepatan) dengan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah.” (Risalah Ilmiah Al-Albani, Pustaka Azzam, hal 42)

Sebelum ini saya telah pun membawakan perkataan Imam Syafi’i akan peri-pentingnya mengikuti dalil-dalil yang sahih dan tidak boleh mengambil pendapat individu tertentu melainkan mengetahui dalilnya terlebih dahulu. Pernah juga saya membawakan contoh sebagaimana dalam masalah tayammum yang mana pendapat Imam Syafi’i adalah hendaklah mengusap wajah dan kedua-dua tangan sehingga siku sebanyak dua kali tepukan. Namun Imam Nawawi rahimahullah seorang Imam yang menjadi rujukan dalam mazhab Syafi’i sendiri menyatakan bahawa pendapat yang benar dalam masalah tayammum adalah sebagaimana riwayat Bukhari dan Muslim iaitu sekali tepukan (ke tanah) sahaja kemudian diusapkan ke wajah seterusnya kedua-dua tangan sekitar pergelangan. (Sila rujuk artikel Siapakah Pengikut Imam Asy-Syafi’i yang sebenar)

Ketiga: Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias

Ini juga merupakan tuduhan yang dusta. Ini kerana Ijmak (persepakatan) dan Qias termasuk dalam salah satu sumber hukum syarak. Bacalah kitab “Al-Usul Min ‘ilmi Al-Usul” karya Syeikh Muhammad Sholeh Ibn Utsaimin rahimahullah. Di dalam kitab tersebut Syeikh ibn ‘Utsaimin berkata:

“Al-Ijmak adalah merupakan hujah agama berdasarkan kepada beberapa dalil seperti berikut: (1) Firman Allah Ta’ala (al-Baqarah: 143), Maksudnya: “Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia.” Perkataan syuhada (saksi) merangkumi kesaksian terhadap amalan mereka dan terhadap hukum-hukum amalan mereka dan kata-kata saksi adalah diterima. (2) Firman Allah Ta’ala (an-Nisa’: 59) Maksudnya: “Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya).” Ayat ini menunjukkan bahawa apa yang mereka persetujui adalah hak. (3) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpul umatku atau umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam di atas kesesatan.” (4) Ijmak umat ini terhadap sesuatu perkara secara umum terbahagi dua; sama ada hak atau batil. Sekiranya hak, ianya adalah hujah. Sekiranya batil, adalah satu perkara yang amat mustahil bagi umat ini yang merupakan sebaik-baik umat di sisi Allah Ta’ala semenjak perutusan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah ke hari akhirat kelak, untuk berijmak terhadap perkara batil yang tidak diredhai Allah Ta’ala. Ini sebenarnya satu perkara yang mustahil akan berlaku.” (Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul Al-Fiqh, Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin, jahabersa, hal 100-101)

Demikian juga masalah Qias, di dalam buku yang sama Syeikh Ibn Utsaimin menjelaskan: “Al-Qiyas (persamaan) adalah salah satu dalil-dalil yang terpancar darinya hukum-hukum Syarak. Ianya telah disahkan sebagai dalil syarak oleh Al-Quran, As-Sunnah dan kata-kata sahabat.” (Ibid, hal 104)

Masalah Ijmak telah saya kemukakan pada tulisan lalu bahawa Zamihan Al-Ghari mengatakan pendukung Sunnah Malaysia menolak Ijmak, padahal telah dibantah oleh Dr. Azwira dalam bukunya “Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?” iaitu berkenaan azan dua kali pada hari jumaat yang dianggap oleh Zamihan terdapat ijmak ulama akan hal tersebut, namun ternyata sebenarnya tidak ada ijmak pun di dalam hal itu. (Untuk merujuk buku tersebut sila klik di sini)

Manakala dalam masalah Qias ini sebagai contoh, saya pernah melihat ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Nuruddin Al-banjari Al-Makki (beliau seorang Indonesia) dalam sebuah vcd ceramahnya beliau mengatakan berkenaan masalah lafaz niat solat dan puasa, bahawa Imam Syafi’i mengqiaskannya dari hadis berikut:

Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Pada suatu hari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke rumahku dan berkata: “Apakah engkau memiliki sesuatu (yakni makanan)?” Kami menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Jikalau begitu aku berpuasa.” (Hadis riwayat Imam Muslim; lihat Bulughul Maram, no: 7)

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata dalam Syarah Sahih Muslim: "Dan padanya terdapat dalil bagi mazhab jumhur bahawa puasa sunat (nafilah) itu dibolehkan (harus) dengan niat pada siang hari sebelum tergelincirnya matahari.” (Syarah Sahih Muslim, Imam An-Nawawi, dalam maktabah syamilah, 4/157)

Hadis di atas hanya menjelaskan bahawa puasa sunat itu harus sekiranya diniatkan pada siang hari sebelum tergelincirnya matahari yakni sebelum masuknya waktu zohor. Inilah maksud hadis tersebut. Tidak ada qias kepada niat pun yang berlaku di dalamnya. Sungguh Nuruddin Al-Banjari telah mendustakan nama Imam Syafi’i kononnya mengkiaskan hadis ini kepada lafaz niat solat dan puasa. Mungkin Nuruddin tidak pernah belajar usul fiqh atau terlupa bahawa terdapat kaedah yang mengatakan “Tidak ada Qias di dalam Ibadah.” Ini kerana ibadah itu sifatnya "tauqifiyah".

Pernyataan Imam Malik rahimahullah sangatlah baik, yang mana beliau pernah berkata: “Maka sesuatu yang tidak menjadi agama pada hari tersebut (di zaman Rasulullah dan sahabatnya - edt), ia tidaklah pula menjadi agama pada hari ini." (Al-I'tisam oleh Imam Al-Syatibi, jilid 2, ms. 283)

Demikianlah penerangan masalah Ijmak dan Qias yang saya nukilkan dari Syeikh Muhammad Sholeh ibn Utsaimin adalah merupakan salah seorang ulama yang dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan sama ada sesat atau kafir atau sebagainya oleh para pembenci wahabi (salafi) sebagaimana juga ulama-ulama yang sezaman dengannya yang lain seperti Syeikh Abdul Aziz bin Baz, dan Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahumullah.

Keempat: Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)

Ahli Sunnah membenarkan berdoa melalui tawassul yang syar’ie (disyariatkan) bukan tawassul yang bid’ie (diada-adakan). Tawassul (perantaraan) yang disyariatkan itu adalah sama ada berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifatnya sebagai perantara, atau bertawassul dengan amal soleh diri sendiri, atau bertawassul dengan meminta orang soleh mendoakan kita.

Dalil bolehnya bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah:

Firman Allah Ta’ala:


وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
  
Maksudnya: “Hanya milik Allah asmaa-ul husna, Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang Telah mereka kerjakan”. (Surah Al-A’raf: 180)

Rasulullah sendiri ketika mana beliau bersedih dan berdoa dengan menyebut sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala:

كان إذا حزبه أمر قال : يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث
  
Maksudnya: “Sesungguhnya apabila baginda (Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam) bersedih kerana sesuatu perkara maka baginda mengucapkan: “Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri sendiri dengan RahmatMu aku memohon pertolongan”. (Hadis riwayat Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 3524)

اللهم إني أعوذ بعزتك لا إله إلا أنت أن تضلني

Maksudnya: “Ya Allah aku berlindung dengan kebesaranMu, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, janganlah sesatkan aku” (Hadis riwayat Muslim; Sahih al-Jami’ Shogier, no: 1309)

Dalil bolehnya bertawassul dengan amal soleh:

Ini berdasarkan hadis yang panjang riwayat Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka berdua dan juga kitab-kitab hadis yang lain, yang mana seketul batu besar telah menutup pintu gua, lalu mereka bertawassul kepada Allah dengan menyebut amalan-amalan soleh yang dilakukan dengan ikhlas. Setiap dari mereka berkata: “Sekiranya aku melakukan amalan ini hanya kerana mencari keredhaanMu maka lepaskanlah kesusahan yang sedang kami alami.” Lalu batu besar itu terbuka dan mereka berjalan keluar dari gua itu. (Syarah Aqidah Thahawiah, Terjemahan oleh Hasnan bin Kasan, Terbitan JAKIM,  jilid 1, hal 290)

Dalil bolehnya bertawassul dengan doa orang soleh:

Di masa hayatnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat hanya bertawassul dengan meminta baginda mendoakan. Mereka meminta baginda mendoakan untuk mereka dan mereka mengaminkan doa baginda sebagaimana yang berlaku dalam doa meminta hujan dan lain-lain. Apabila baginda wafat, Saidina Umar radiallahu ‘anhu berkata apabila mereka telah keluar untuk meminta hujan: “Ya Allah, dulu kami kekeringan air, kami berdoa secara bertawassul dengan nabi Engkau kepada Engkau, lalu Engkau menurunkan hujan kepada kami, maka sekarang ini kami bertawassul dengan bapa saudara Nabi kami.” (Lihat Hadis riwayat Bukhari, no: 954)

Ibn Abil Izz Al-Hanafi rahimahullah: “Maksudnya ialah dengan doanya, dengan syafaat dan permintaannya kepada Tuhan. Umar bukan bermaksud bersumpah terhadap Allah atau meminta daripadaNya demi kedudukan baginda di sisi Allah. Ini kerana sekiranya inilah maksud Umar nescaya kedudukan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih besar daripada kedudukan bapa saudaranya al-Abbas.” (Aqidah Thahawiah, jilid 1, hal 289)

Demikianlah tuduhan mereka terhadap wahabi melarang bertawassul adalah tidak benar. Yang mereka melarangnya adalah bertawassul dengan Zat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini merupakan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi sama ada ketika meminta hujan dan selainnya, baik ketika Nabi masih hidup mahupun setelah wafat. Tidak dilakukan di sisi kuburannya tidak pula di sisi selain kuburannya. Inilah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Taimiyyah rahimahullah. (Lihat Majmuk Fatawa, 1/202) Apatah lagi sekiranya bertawassul dengan Zat yang lebih rendah dari Nabi Muhammad seperti anggapan sesetengah kaum sufi pada individu-individu tertentu sebagai wali keramat. Wal’iyazubillah.

Kelima: Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w

Perkara ini juga merupakan fitnah yang sering dilontarkan kepada Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah dan alhamdulillah terdapat sebuah buku yang telah dikeluarkan oleh Jahabersa yang berjudul “Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah” penulisnya Syeikh Murad Syukri diterjemahkan oleh Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman. Sebagai jawapannya (lebih lanjut sila rujuk buku tersebut atau klik di sini):

Pertama:

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak melarang amalan ziarah kubur, termasuklah kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana ia adalah amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan: “Berkata kebanyakan (ilmuan), ziarah kubur orang-orang mukmin adalah dianjurkan untuk mendoakan (kebaikan) bagi yang telah mati di samping mengucapkan salam ke atas mereka. Ini sebagaimana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang pernah keluar ke perkuburan Baqi' dan mendoakan (kebaikan) untuk mereka. Demikian juga sabit dalam hadis Shahih al-Bukhari dan Muslim bahawa baginda keluar ke perkuburan Syuhada' Uhud dan mensolatkan mereka seperti solatnya ke atas orang–orang yang meninggal dunia.” (Majmu' al-Fatawa, jld. 27, ms. 377)

Kedua:

Larangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah hanyalah kepada amalan mengadakan satu perjalanan yang khusus ke kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam atau kubur orang-orang shalih. Ini kerana di kalangan ahli ibadah ada yang berkata: “Kami tidak bermaksud menziarahi masjid (Nabawi), maksud kami ialah ke kubur baginda sahaja.”

Larangan ini tidak berasal daripada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sahaja, tetapi juga para ilmuan yang lain. Beliau menjelaskan hakikat ini dengan berkata: “Sedia dimaklumi bahawa pendapat ini dipegang oleh sejumlah besar para ilmuan zaman awal seperti Malik dan kebanyakan sahabatnya, al-Juwaini Abu Muhammad serta selainnya daripada para sahabat al-Syafi‘e dan kebanyakan para sahabat awal Ahmad (bin Hanbal).” (Majmu’ al-Fatawa, jld. 27, ms. 233)

Ketiga:

Pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini memiliki dalil di sebaliknya dan beliau tidak berseorangan dalam berpandangan sedemikian. Seandainya para pembuat fitnah mengkaji masalah ini dengan adil, nescaya mereka akan dapati pandangan beliau tidak terkeluar dari peraturan para ahli ilmu beserta kaedah penghujahan dan pendalilan mereka.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata: “Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah mengizinkan ziarah kubur setelah sebelumnya baginda melarang. Sebabnya adalah, ziarah kubur akan mengingatkan penziarah kepada kematian dan negeri Akhirat. Izin yang diberikan bersifat umum, baik menziarahi kubur umat Islam atau orang kafir.” (Iqtidha’ Shirat al-Mustaqim li Mukhalafat Ashbah al-Jahim, jld. 2, ms. 181)

Keenam: Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik


Yang dimaksudkan dengan menghancurkan tugu peringatan ialah meruntuhkan binaan-binaan di atas kuburan yang ditinggikan di atasnya. Bahkan ada yang dijadikan masjid yang mana dibawahnya terdapat kuburan-kuburan yang mereka sangka sebagai kuburan wali. Mereka berpendapat dengan mendirikan masjid di atas kuburan akan mendapat berkat dan bantuan dari wali tersebut. Ini boleh disaksikan sendiri apa yang berlaku ke atas kubur Ayatu Syaitan Khomeini dan juga kubur-kubur lain yang terdapat di negara Mesir dan lain-lain.

Dengan menghancurkan binaan tersebut, dan menjadikan kubur itu rata serta sama seperti kubur-kubur lain, lantas mereka mengatakan perbuatan ini sebagai suatu keganasan?? Tuduhan ini sebenarnya senada dengan sebuah artikel yang pernah saya baca bertajuk “Wahabi Membuat Keganasan Di Kubur Baqi” Mereka mengatakan wahabi menghancurkan kubur Baqi yang mana pada ketika itu kubur-kubur para sahabat, semua ditinggikan dan dijadikan tempat bernazar dan membuat sembelihan kepada selain Allah. Padahal ini merupakan khurafat dan syirik yang sepatutnya dihindari. Tidakkah kita pernah mendengar sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang melarang perbuatan meninggikan kuburan-kuburan dan menjadikannya sebagai tempat perayaan sebagaimana perbuatan Yahudi dan Nasrani?

Abdullah bin Hasanah radiallahu ‘anhu berkata: “Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur”. Maka dikatakan kepadanya: “Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan”. (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Zar’ah dengan sanadnya yang sahih dari Abdullah dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam “al-Jarah wa at-Ta’dil” Jilid 3, hal 81-82)

Dari Abi al-Hiyaj al-Asadi radiallahu ‘anhu berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Talib: “Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/61, Abi Daud, 3/70, An-Nasaii, 1/128, at-Tirmizi, 2/153-154, Al-Baihaqi, 4/3, At-Tayalisi, 1/168, Imam Ahmad no: 741, dan ada beberapa jalan pada Ibn Abi Syaibah dan at-Tabrani dalam as-Saghir hal 29)

Dari Anas radiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah telah memakruhkan (makruh di sini bermaksud haram - edt) membina masjid di antara kuburan”.  (Riwayat Ibn Abi Syaibah, 2/185) Dan “Daripada Ibrahim an-Nakh’ie: “Sesungguhnya Nabi menegah orang yang mendirikan masjid di atas perkuburan.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, 4/134)

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda: “Semoga Allah membinasakan Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Ya'la al-Musili dalam Musnadnya meriwayatkan atsar daripada Ali bin Husin, katanya: "Bahawasanya dia telah melihat seorang lelaki menuju ke suatu sudut berhampiran kubur Nabi s.a.w. lalu lelaki itu masuk ke tempat itu dan berdoa. (Apabila Ali bin Husin melihat perbuatan lelaki tersebut) beliau pun mencegah seraya berkata: "Mahukah aku ceritakan kepadamu apa yang telah aku dengar daripada ayahku, daripada datukku , daripada Nabi s.a.w. bersabda: "Janganlah kamu jadikan kuburanku sebagai perayaan. Dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan. Sesungguhnya salam yang kamu ucapkan itu akan sampai kepadaku di mana saja kamu berada." (Iqtida' al-Sirath al-Mustaqim oleh Ibn Taimiyyah, jilid 1, ms 300-301)

Said bin Mansur dalam Musnadnya meriwayatkan daripada Suhail bin Abi Suhail berkata: "Hasan bin Hasan bin Ali bin Abu Talib radiallahu ‘anhu telah meihatku yang sedang berada di kubur Nabi s.a.w. Lalu beliau memanggilku dan ketika itu dia berada di rumah Fatimah, sedang makan malam. Beliau berkata: Marilah menjamu makan malam bersamaku. Aku pun berkata: "Aku tidak mahu." lalu beliau berkata kepadaku: "Aku melihat engkau berada di kuburku, apa yang yang engkau buat di situ? Aku menjawab: "Aku mengucapkan salam kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam." Beliau pun berkata: "Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Janganlah kamu jadikan kuburanku sebagai tempat perayaan dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan. Allah melaknat orang-orang yahudi yang telah menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai tempat-tempat peribadatan. Berselawatlah kamu kepadaku. Sesungguhnya selawat kamu itu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada." (perawi) berkata: "Selawat kamu dengan orang yang tinggal di andalus adalah sama." (Ibid, ms 302-303)

Ibn Qayyim rahimahullah berkata: "Dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang menjadikan kuburan-kuburan sebagai tempat-tempat peribadatan dan melarang untuk menyalakan lampu di kuburan. Larangannya itu lebih tegas lagi sehingga baginda melaknat orang yang melakukannya. Baginda juga melarang solat menghadap ke kuburan dan melarang umatnya menjadikan kuburnya sebagai tempat perayaan dan melaknat umatnya menjadikan kuburnya sebagai tempat perayaan dan melaknat wanita-wanita yang selalu menziarahi kubur. Adalah dari petunjuk baginda ialah kubur itu tidak dihina (mengenakan najis di kubur) dan tidak boleh di duduki di atasnya. Tidak boleh duduk dan bersila di atas kuburan dan tidak boleh ia diagungkan dengan menjadikannya sebagai tempat beribadat, iaitu solat di kubur dan menghadap ke kubur, menjadikannya sebagai tempat perayaan dan penyambahan (melakukan ibadat)." (Zaadul Ma'ad oleh Ibn Qayyim al-Jauziyah, jilid 1, ms 525-526)

Ketujuh: Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya

Nama Berzanji diambil dari nama pengarangnya yaitu Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim. Beliau lahir di Madinah tahun 1690M dan meninggal tahun 1766M. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd al-Jawahir (maksudnya kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan kecintaan kepada Nabi Muhammad saw, meskipun kemudian lebih terkenal dengan nama penulisnya. (Rujuk Wikipedia)

Sememangnya membaca berzanji sepatutnya perlu dijauhi kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah yang palsu bahkan pujian-pujian yang ditujukan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam secara berlebihan. Sebagai contoh, mari kita lihat sendiri antara penyimpangan yang terdapat di dalam kitab tersebut.

Pada kitab “Majmu’ah Al-Mawalid Syarfu Al-Anam Barzanji Natsara wa Barzanji Nazam.” Terdapat ucapan selawat ke atas Nabi di dalamnya yang di antaranya:

السلام عليك ما حي الذنوب

“Salam ke atasmu Wahai penghapus dosa”
 

السلام عليك ياكهفا ومقصد

“Salam ke atasmu wahai tempat bernaung”


السلام عليك ياجالي الكروب

“Salam ke atasmu wahai penghapus bencana”


السلام عليك ياكل المرام

“Salam ke atasmu wahai tempat memohon segala hajat”

Demikian beberapa contoh selawat yang berlebihan di ucapankan ke atas baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Padahal Allah berfirman (maksudnya):

“(Hanyalah Dia) Yang Mengampuni dosa dan Menerima taubat lagi keras hukuman-Nya; Yang mempunyai karunia. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepada-Nya lah kembali (semua makhluk). (Al-Mukmin: 3)

“Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu.” (Muhammad: 19)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri juga telah mengajarkan kepada kita suatu zikir yang merupakan penghulu segala istighfar sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sahih Bukhari dari Syaddad bin Aus radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


سَيِّدُ الاسْتِغْفَارِ اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لا إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ

Maksudnya: “Penghulu segala istighfar adalah (membaca) Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menciptaku, dan aku adalah hamba-Mu, aku berada dibawah perjanjian dengan-Mu, dan aku berusaha memenuhi janjiku pada-Mu, semampu daku, aku akui segala nikmat yang telah Engkau beri padaku, aku akui segala dosaku, maka ampunilah dosa-dosaku, kerana tiada siapa yang dapat mengampunkan dosaku melainkan Engkau, aku berlindung pada-Mu dari kejahatan yang telah aku lakukan.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 6306, rujuk Al-Adzkar An-Nawawi, no: 186)

Bahkan baginda sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri memohon keampunan sebanyak lebih dari tujuh puluh kali kepada Allah Ta’ala, bagaimana bisa kita memohon keampunan kepada baginda sebagaimana contoh selawat yang terdapat di dalm Berzanji di atas tadi?

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


وَاللَّهِ إِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah sesungguhnya aku memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat kepadaNya dalam sehari semalam lebih dari tujuh puluh kali.” (Hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu; lihat Takhrij Al-Albani dalam Misykat Al-Mashobih, no: 2323)

Demikianlah selawat di atas ini yang terdapat di dalam kitab berzanji merupakan selawat yang bid’ah bahkan boleh membawa kepada kesyirikan kerana menempatkan doa meminta perlindungan, tempat bernaung, tempat memohon segala hajat kepada selain Allah. Mengapakah kita masih perlu kepada selawat-selawat yang tidak diajar (berasal) baginda sallallahu ‘alaihi wasallam? Tidak cukupkah dengan selawat yang telah baginda ajarkan kepada kita? Sebagai contoh yang paling panjang pernah baginda ajarkan kepada kita adalah seperti selawat di dalam tahiyyat sewaktu kita bersolat. 

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

وأما ما قاله بعض أصحابنا وابن أبي زيد المالكي من استحباب زيادة على ذلك وهي: "وارحم محمدا وآل محمد" فهذا بدعة لا أصل لها. وقد بالغ الإمام أبو بكر العربي المالكي في كتابه "شرح الترمذي" في إنكار ذلك وتخطئة ابن أبي زيد في ذلك وتجهيل فاعله، قال: لأن النبي صلى الله عليه وسلم علمنا كيفية الصلاة عليه صلى الله عليه وسلم، فالزيادة على ذلك استقصار لقوله، واستدراك عليه صلى الله عليه وسلم ، وبالله التوفيق.

Maksudnya: “Dan adapun apa yang diucapkan oleh sebahagian sahabat kami dan ibnu Abi Zaid Al-Maliki tentang sunnahnya menambah selawat lebih dari demikian (yang telah diajarkan) iaitu dengan membaca: “Dan sayangi Muhammad dan keluarga Muhammad” maka ini adalah bid’ah yang tidak ada asal baginya. Dan Imam Abu Bakar Al-‘Arabi Al-Maliki di dalam kitabnya ‘Syarah At-Tirmizi’ telah menyebutkan akan mungkarnya perbuatan tersebut dan Ibnu Abi Zaid menyalahkan hal itu dan menganggap pelakunya sebagai jahil, Dia berkata: Ini kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada kita bagaimana mengucapkan selawat padanya, tambahan yang demikian itu menimbulkan tanggapan bahawa apa yang disabdakan oleh baginda sallallahu ‘alaihi wasallam masih kurang, semoga Allah memberinya taufiq.” (Al-Adzkar, Imam An-Nawawi, dalam maktabah syamilah, hal 116)

Antara kepercayaan karut yang terdapat di dalam kitab Berzanji antaranya adalah mempercayai akan kewujudan Nur Muhammad yang merupakan makhluk pertama yang diciptakan sebelum makhluk-makhluk lain diciptakan. Ini sebagaimana tercatit di dalam kitab berzanji yang berbunyi:

“Dan lagi aku memohon kepadaNya moga-moga Allah mencucuri rahmat dan selawat ke atas Nur yang telah dijadikanNya terdahulu daripada segala makhluk yang lainnya iaitu Nur yang berpindah-pindah daripada satu dahi kepada satu dahi yang mulia keadaannya, iaitu moyang-moyang Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia sehingga dahi Abdullah ayahandanya.” (Lihat terjemahan Maulid Berzanji oleh Zulkifli Mat Isa, Jahabersa)

Kisah Nur Muhammad ini boleh didapati di dalam suatu hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansari, akan tetapi hadis ini adalah palsu (maudu') kerana hadis ini tidak diperolehi dari kitab-kitab hadis yang masyhur seperti sunan sittah dan tidak juga oleh Imam-Imam hadis yang lainnya.

Para ulama yang membincangkan perihal apakah makhluk yang pertama diciptakan juga tidak pernah memasukkan Nur Muhammad ke dalam senarai perselisihan mereka sebagai makhluk yang pertama. Yang ada hanyalah Arasy, Qalam, air dan sebagainya.

Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah ketika mengulas hadis-hadis mengenai makhluk yang awal dicipta, tiada satu pun yang berhubung dengan Nur Muhammad adalah makhluk pertama dijadikan. Beliau hanya menyebut perselisihan pendapat ulama mengenai Arasy, Qalam dan air, yang mana lebih awal dijadikan oleh Allah Ta’ala. (Kisah-Kisah Para Nabi Yang Tidak Boleh Dijadikan Hujah, Dr. Basri Ibrahim, Darul Nu’man, hal 15)

Antara dalil-dalil yang menunjukkan makhluk pertama diciptakan adalah berdasarkan hadis dari Waki’ bin Hudus dari ayah saudaranya Abu Razin radiallahu ‘anhu berkata:


يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ خَلْقَهُ قَالَ كَانَ فِي عَمَاءٍ مَا تَحْتَهُ هَوَاءٌ وَمَا فَوْقَهُ هَوَاءٌ وَخَلَقَ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ قَالَ أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ قَالَ يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ الْعَمَاءُ أَيْ لَيْسَ مَعَهُ شَيْء

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, di mana Tuhan kita berada sebelum Dia mencipta makhlukNya?” Jawab baginda: “Adalah Dia dalam al-Ama’, tiada di bawahnya udara dan tiada di atasnya udara dan Dia mencipta ArasyNya di atas air”. Kata Ahmad bin Mani’ (perawi hadis): Berkata Yazid bin Harun: “al-‘Ama’ yakni tiada suatupun bersamaNya.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad; Al-Albani mengatakan hadis ini dhaif dan sebahagian dihasankannya – Misykat Mashobih, no: 5728)

Dan Hadis dari Abi Hafsah radiallahu ‘anhu berkata: Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ اكْتُبْ قَالَ رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ قَالَ اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya benda yang paling awal dicipta Allah adalah al-Qalam (pena), lalu Dia berfirman kepadanya: “Tulislah”. Berkata Qalam: “Wahai Tuhanku, apa yang hendak aku tulis?”. Allah berfirman: “Tulis takdir-takdir segala sesuatu sehingga hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad; Disahihkan oleh Al-Albani – Sahih wa Dha’if Sunan Abi Daud, no: 4700)

Manakala sebuah atsar yang mauquf dari Ibn Abbas radiallahu ‘anhuma pula berkata:


وكان عرشه على الماء على أي شيء كان الماء يومئذ قال على متن الريح

Maksudnya: “Dan adalah ArasyNya di atas air, pada hari itu air berada di atas apa? Beliau menjawab: “Di atas angin.” (Hadis riwayat Al-Hakim; sahih di atas syarat Bukhari dan Muslim. Al-Albani juga mengatakan sahih di dalam Dzilalil Jannah, no: 584)

Syeikh al-Mubarakfuri rahimahullah berkata:

قال في الأزهار أول ما خلق الله القلم يعني بعد العرش والماء والريح

Maksudnya: “Berkata dalam al-Azhar: Awal yang dicipta Allah adalah al-Qalam maksudnya selepas Arasy, air dan angin”. (Tuhfatul Ahwazi, Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri, 6/307, Dar al-Kutub al-Ilmiah-Beirut)

Demikianlah cerita awal makhluk adalah Nur Muhammad sebenarnya adalah karut dan berdasarkan hadis-hadis yang palsu semata. Golongan yang banyak membela kisah Nur Muhammad ini adalah kebanyakan dari golongan tarekat sufi. Juga tidak ketinggalan dahulu kumpulan Al-Arqam atau nama kemudian mereka Rufaqa yang telah difatwakan sebagai sesat pernah mencipta sebuah lagu dan didendangkan oleh kumpulan Qatrunnada dan Mawaddah (kumpulan wanita), iaitu sebuah lagu yang bertajuk “Mari mengenal Nabi.” Antara isi lagunya ialah:

“Dia adalah makhluk yang pertama dan utama
Yang paling dicintai Tuhan yang diberi nama Nur Muhammad
Dari Nur Muhammad inilah seluruh yang ada diciptakan
Syurga neraka dunia akhirat manusia dan lain-lainnya”


Lirik lagu di atas ini jelas fahaman mereka al-Arqam atau Rufaqa atau juga sekarang ini dengan nama terbaru mereka lagi iaitu Global Ikhwan, mereka berpegang dengan fahaman Nur Muhammad sebagaimana juga pada kebanyakan ahli tarekat sesat yang lainnya juga befahaman sebegini. Jika hendak dibicarakan lebih terperinci mengenai hal ini, akan memerlukan lebih banyak ruangan yang mana saya kira di sini bukanlah tempatnya. Ini kerana terdapat banyak lagi syubhat-syubhat mereka (para pendokong Nur Muhammad) yang mereka perindah dan menyusunnya sehinggalah nampak seakan-akan pegangan Nur Muhammad ini hanya termasuk dalam masalah khilafiah yang boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Padahal masalah ini seharusnya bergegas dikembalikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih serta para ulama As-Salaf. Serta tidak mengikuti ayat-ayat yang samar-samar yang dijadikan tempat menimbulkan fitnah dikalangan manusia.

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “Dia lah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Ali-Imran: 7)

Bersambung pada bahagian 2...