Ahad, 28 Disember 2008

HUKUM MENYERTAI PERAYAAN KAFIR

Oleh: Abu Rubayyi' Muhammad Asrie ibn Sobrie As-salafy
Sumbar: http://mashoori.wordpress.com

Sejak beberapa tahun kebelalangan ini setiap kali tiba sahaja musim perayaan maka masalah Kongsi Raya akan sering dipolemikkan. Jadi atas rasa tanggungjawab menjelaskan syubhat yang ditimbulkan oleh beberapa pihak politik yang bertanggungjawab mengadakan amalan ini maka saya menulis makalah ringkas ini yang murni daripada pengaruh-pengaruh selain Al-Quran dan As-Sunnah As-Sahihah dan Fatwa-fatwa Ulama’ Salafus Soleh yang muktabar.

Amalan kongsi raya bukanlah bidaah yang baru namun telah wujud sejak sekitar tahun 600 Hijrah lagi [1]. Jadi amalan ini adalah bidaah kerana tidak pernah ada dalam zaman salaf soleh iaitu dari 1-300 Hijrah. Tetapi Malaysia bukanlah yang pertama mengadakannya dan begitu juga bukanlah Malaysia sahaja yang menghadapi masalah ini, bahkan negara-negara Arab juga seperti Palestin, Syria, Kuwait dan lain-lain lagi. Jadi sebelum Ulama’-ulama’ Malaysia mengeluarkan fatwa lagi telah ramai ulama’-ulama’ Arab mengeluarkan fatwa terhadap masalah ini antaranya Al-Marhum Syeikh Muhammad Ibn Soleh Al-Uthaimin, Syeikh Safar Al-Hawali, Al-Marhum Al-’Allamah Mujaddidul Muhaddithin Syeikh Al-Albany, Al-Marhum Sohibus Samahah Syeikh Ibn Baz dan Syeikh Soleh Al-Munajjid Rahimahumullah.

Apakah hukumnya?

Jadi apabila kita telah tahu ia telah lama ada maka tidak perlu lagilah kita bersusah payah memerah otak hendak berijtihad mencari hukumnya kerana ulama’-ulama’ dahulu telah pun mengarang beberapa buah kitab yang membahsakan masalah ini Cuma kita sahaja yang tidak sedar. antara yang famous adalah:
  1. Iqtidha’ sirathil Mustaqim fi Mukhalafi Ashabil Jahim oleh Syeikhul Islam Abdul Halim Ibn Taimiah Al-Harrani Rahimahullah.
  2. Tasybihul Khasis bi Ahlil Khamis- Oleh Al-Hafiz Az-Zahabi anak murid kepada Ibn Taimiyyah dan empunya kitab Mizanul I’tidal.
  3. Ahkam Ahliz Zimmah- Oleh Al-’Allamah Ibn Qayyim Rahimahullah.
Kitab-kitab ini membicarakan hukum perayaan kuffar dan sama ada khusus berkenaan masalah itu seperti 2 kitab yang di atas atau secara umum seperti Kitab Ahkam Ahli Zimmah.

Dalil-dalil Haramnya menyertai perayaan Kuffar:

1. Firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: dan (hamb-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan.

Ini adalah ayat ke-72 surah Al-Furqan yang menceritakan sifat-sifat ‘Ibadur Rahman atau Hamba Ar-Rahman iaitulah orang mukmin sejati. Kalimah Az-Zur asalnya bermakna segala perkara batil dan dusta tetapi diperlihatkan seakan elok. Ulama’ terdapat 2 tafsiran, pertama ia adalah saksi palsu tetapi ini lemah kerana jika persaksian maka mestilah disebut: لا يشهدون بالزور- dengan adanya ba’ ta’diah dan ayat yang dibelakang menolak makna persaksian ini iaitu ‘lalu di majlis sia-sia’ dan ini merupakan tafsiran kepada Az-Zur.Pendapat yang kuat ialah pendapat kedua iaitu majlis-majlis yang terdapat kebatilan kerana majlis yang batil ini memperlihatkan kebatilan itu seakan baik.Contoh: Mengadakan konsert nyanyian dengan tujuan amal. Majlis Nyayian adalah batil namun diperlihatkan seakan ia baik dengan ditambah perkataan amal dibelakangnya. Mujahid meriwayatkan daripada Ibn Abbas makna Az-Zur ialah “Perayaan-perayaan Musyrikin”. Ulama’ lain menyatakan ia adalah “Majlisul Ghina’ wal Ma’azif” (Majlis Nyanyian dan Muzik) [2].

Namun kedua-dua tafsiran ini saling lazim-melazimkan kerana Perayaan kuffar itu tidak lepas daripada nyanyian dan muzik kerana itulah sembahyang raya mereka dan perkara ini jelas. Jika terdapat tafsiran yang lain seperti majlis yang melalaikan dan sebagainya ia adalah tafsir bin Nau’-تفسير بالنوع-iaitu tafsir dengan jenis. Ini semisal jika seorang bertanya kepadamu, Apakah makna burung lalu engkau jawab seperti helang dan merpati. Masalah ini amat jelas dalam ilmu mantik dalam bab At-Ta’rif jadi tidak perlu dipanjangkan bicara lagi. Jadi jelas bahwa haram atas mukmin itu menghadiri perayaan kuffar kerana melanggar sifat-sifatnya sebagai mukmin.

2. Hadis-hadis Rasulullah S.A.W. yang sahih telah menyatakan haramnya:

عن ‏ ‏ابن عمر ‏ ‏قال ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dalah daripadanya - [Riwayat Abu Daud dalam Kitabul Libas dan Ahmad dan At-Thabrani [3]].

Hadis ini paling kurang darjatnya adalah Hasan Li Ghairih.Jadi kita tahu ada lagi hadis yang semakna dengan hadis ini.

Hadis yang kedua diriwayatkan Tarmizi:

حدثنا قتيبة حدثنا بن لهيعة عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ليس منا من تشبه بغيرنا لا تشبهوا باليهود ولا بالنصارى فإن تسليم اليهود الإشارة بالأصابع وتسليم النصارى الإشارة بالأكف

Maksudnya: Telah memberitakan kepada kami(At-Tarmizi) Ibn Lahi’ah daripada ‘Amru bin Syuaib dari bapanya dari datuknya bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: ” Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami,janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.

Hadis ini Hasan li ghairih [4]. Berdasarkan hadis ini ulama’ melarang mengangkat tangan apabila kita berjumpa sebagai isyarat salam [5]. Ibn Taimiyyah mengatakan sekurang-kurang Hadis Ibn Umar di atas menyatakan haram bertasyabbuh walaupun zahir hadis menyatakan murtadnya orang yang bertasyabbuh. Oleh itu tidak hairanlah jika ada ulama’ mazhab Hanafiyyah dan Malikiyyah berfatwa “murtadlah orang yang memberi hadiah lilin pada nasrani di hari krismas”.

Ibn Umar R.A. berfatwa:

من بنى بأرض المشركين وصنع نيروزهم ومهرجانهم وتشبه بهم حتى يموت حشر معهم يوم القيامة

“sesiapa yang tinggal di negeri musyrikin dan memebuat perayaan nairuz dan mahrajan mereka dan meniru gaya hidup mereka hingga mati maka dia akan dibangkitkan di hari kiamat dalam golongan mereka(musyrikin)”.[6]

Ini adalah hukum yang jelas. Ini juga jawapan kepada mereka yang berkata yang haram hanyalah menyertai ibadat mereka pada perayaan tersebut seperti masuk ke geraja. Mahrajan dan Nairuz adalah perayaan kebangsaan orang Farsi dan dikatakan di Iran sampai sekarang puak-puak syiah yang bodoh itu masih melakukannya. Ia bukan berkaitan solat dan sebagainya, Mahrajan dan Nairuz adalah seperti Tahun Baru Cina di Malaysia iaitu perayaan Kaum. Jadi jika perayaan Kaum sudah diharamkan kerana asalnya ia datang daripada kaum musyrik maka bagaimana pula dengan krismas,Depavali, Thaipusam dan Tahun Baru Masihi yang berkait langsung dengan agama.

Lebih jelas mari kita lihat hadis yang menjadi awal-awal pensyariatan Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha:

عن ‏ ‏أنس ‏ ‏قال ‏
‏قدم رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏المدينة ‏ ‏ولهم يومان يلعبون فيهما فقال ما هذان اليومان قالوا كنا نلعب فيهما في الجاهلية فقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم الأضحى ويوم الفطر ‏



Maksudnya: Daripada Anas bin Malik R.A.: Telah tiba Rasulullah S.A.W. di Madinah dan bagi penduduk Madinah itu ada 2 hari yang mereka bermain dan bersuka-suka padanya lalu Baginda bersabda: apakah 2 hari ini? Mereka menjawab: Adalah kami bermain dan bersuka-suka pada keduanya di waktu jahiliah. Maka Bersabda Rasulullah S.A.W.: Sesungguhnya Allah telah gantikan tempat kedua hari ini dengan Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri.- Riwayat Abu Daud,Nasai,Turmizi dan Ahmad. Hadis ini hadis sahih. [7]

Ulama’ Hadis menyatakan dua hari itu ialah Hari Nairuz dan Mahrajan iaitu awal Tahun orang Farsi dan sejarah telah menyatakan Arab telah lama diperintah oleh Farsi kecuali Hijjaz namun pengaruh Farsi telah meresap melalui perdagangan dengan Farsi ataupun melalui negara Arab di bawah jajahan Farsi seperti Hirah. Titik Hujah di sini ialah perkataan ” bermain dan bersuka-suka” dalam hadis itu. Rasulullah S.A.W. telah melarang para sahabat bermain dan bersuka-suka pada hari Mahrajan dan Nairuz dan ini bukan sekadar larangan menyertai kuffar di gereja pada hari raya mereka bahkan dilarang menzahirkan kesukaan kita sekalipun bersempena hari raya itu dan termasuklah bersuka-suka itu mengucapkan tahniah kepada mereka.

Hari Nairuz adalah awal tahun Farsi dan di asakan oleh Hamshid iaitu raja di zaman Nabi Hud A.S. Dia telah mengembalikan ajaran agama yang sebenar dan menegakkan keadilan.Oleh itu, diadakan perayaan ini. Kemudian Datang pula Arfadun yang lalu mengadakan perayaan Mahrajan bersempena bertakhtanya beliau dan musim menuai[8]. Jelas dua perayaan yang dilarang Rasulullah S.A.W. ini bukanlah perayaan yang melibatkan unsur ibadat berhala seperti solat di gereja dan tokong tetapi hanyalah hari yang diraikan dengan mainan dan kegembiraan pelbagai rupa sahaja. Jadi haramlah juga mengadakan rumah terbuka kepada mereka bersempena perayaan mereka walaupun untuk muslim sahaja.

Memberi ucapan tahniah kepada mereka juga adalah terlarang kerana ini menzahirkan kegembiraan dan keredhaan kepada kekufuran mereka. Ibnul Qayyim Rahimahullah telah meriwayatkan ijma’ ulama’ akan haramnya tahniah kepada kuffar bersempena perayaan mereka:

وأما التهنئة بشعائر الكفر المختصة به فحرام بالاتفاق مثل أن يهنئهم بأعيادهم وصومهم فيقول عيد مبارك عليك أو تهنأ بهذا العيد ونحوه فهذا إن سلم قائله من الكفر فهو من المحرمات وهو بمنزلة أن يهنئه بسجوده للصليب بل ذلك أعظم إثما عند الله وأشد مقتا من التهنئة بشرب الخمر وقتل النفس وارتكاب الفرج الحرام ونحوه



Maksudnya: “dan adapun memberi tahniah kepada syiar-syiar kafir yang khusus dengannya maka adalah haram dengan ittifaq(ijma’) seperti memberi tahniah pada perayaan-perayaan mereka dan puasa mereka seperti dikata: ” ‘Eid Mubarak”(”Selamat Hari Raya”) atau “Tahniah dengan perayaan ini” dan seumpamanya. dan hukum ini(haram) jika selamat pengucapnya daripada kufur maka ia adalah haram seumpama memberi tahniah kepada kafir atas sujudnya pada salib bahkan itu lebih besar dosanya di sis Allah daripada memberi tahniah kepada peminum arak dan pembunuh dan penzina dan seumpamanya”. [9] - Lihat Ahkam Ahli Zimmah.

Ketahuilah, pada hari raya mereka itu para nasrani dan hindu akan sujud dan sembahyang di biara dan tokong mereka jadi haramlah memberi tahniah. Perlu dijelaskan di sini, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi Rahimahullah telah mengeluarkan fatwa bahwa harus mengucapkan tahniah sahaja. Beliau berpendapat bahawa boleh mengucapkan tahniah tanpa menghadiri apa-apa upacara perayaan itu walaupun rumah terbuka[ 10]. Namun pendapat beliau ini lemah sekali dan menyalahi Ijma’. Ibn Qayyim telah meriwayatkan ijma’ terlebih dahulu daripada Al-Qardhawi dan Ibn Qayyim lebih mengetahui tentang ijma’ dan ikhtilaf dari Al-Qardhawi kerana Ibn Qayyim hidup dalam kurun ke-6 Hijrah. Al-Qardhawi menyatakan fatwa beliau tanpa menyebut sebarang fatwa ulama’ lain sebelum beliau akan hal tersebut [11]. Jadi ini menunjukkan memang wujud ijma’ sebelum beliau dan beliau telah menyalahi ijma’. Dalil beliau hanyalah untuk menunjukkan tasamuh terhadap Zimmi dan ini tidak diterima kerana tasamuh perlulah mengikut garis panduan syara’. Dalil seterusnya akan menunjukkan salahnya pendapat Al-Qardhawi tersebut.

3. Ijma’ Sahabah.

Para Sahabat telah ijma’ haram menzahirkan perayaan kuffar di negeri Islam. Telah tersebar dalam kitab-kitab Syafi’i,Hanbali,Hanafi dan Maliki bahawa tidak boleh Ahli Zimmah menzahirkan perayaan mereka di dalam negeri Islam.

(فصل) ويمنعون من اظهار الخمر والخنزير وضرب النواقيس والجهر بالتوراة والانجيل وإظهار الصليب واظهار أعيادهم ورفع الصوت على موتاهم، لما روى عبد الرحمن بن غنم في كتاب عمر رضى الله عنه على نصارى الشام شرطنا أن لا نبيع الخمور ولا نظهر صلباننا ولا كتبنا في شئ من طرق المسلمين ولا أسواقهم ولا نضرب نواقيسنا الا ضربا خفيا، ولا نرفع أصواتنا بالقراءة في كنائسنا في شئ من حضرة المسلمين، ولا نخرج شعانيننا ولا باعوثنا ولا نرفع أصواتنا على موتانا.

Maksudnya: “(Fasal) dan mereka (Ahli Zimmah) dilarang menzahirkan arak, khinzir, memukul loceng gereja, mengeraskan bacaan Taurat, menunjukkan salib, menzahirkan perayan-perayaan mereka dan mengangkat suara-suara(ratapan) atas kematian kerana diriwayatkan Abdul Rahman bin Ghanam R.A. dalam tulisan beliau terhadap perjanjian Umar R.A. kepada Nasrani Syam: Syarat Kami(Nasarani Syam) bahawa hendaklah kami tidak menjual arak,dan tidak pula menzahirkan salib-salib kami, kitab-kitab kami di jalan Muslimin dan pasar-pasar mereka, dan tidak akan memukul naqus melainkan pukulan yang ringan(tidak kuat), dan tidak mengautkan bacaan di gereja-gereja kami pada kehadiran orang Islam dan tidak akan mengeluarkan lilin-lilin kami dan bauth kami(pada hari raya) dan tidak akan menguatkan ratapan kematian”.-Al-Majmu’ Syarhul Muhazzab. [12]

Ini jelas dan mereka yang menolong kuffar melakukan perkara-perkara ini adalah pengkhianat kepada Islam dan Umatnya. Mana mungkin seorang muslim menolong seorang zimmi mengkhianati perjanjian yang telah dimeterai sejak sekian lama antara kerajaan Islam dan orang-orang nasrani. Dalam Tabyinul Haqaiq sebuah kitab Fiqh Mazhab Hanafi menyatakan tidak boleh dalam jual beli meletakkan masa qabadh atau penyerahan salam pada hari Nairuz dan Mahrajan dan Puasa Yahudi kerana hari itu adalah majhul bagi orang muslim. Ini menunjukkan tidak dizahirkan hari-hari ini dalam negara Islam.

Jadi jelaslah pada kita bahawa hukum kongsi raya bukanlah baru tetapi telah lama wujud tetapi musuh-musuh aqidah dan Islam telah cuba menyembunyikan perkara ini dan menyesatkan ramai golongan muslimin atas nama perpaduan dan nasionalisme. Semoga risalah kecil ini menjadi panduan untuk memudahkan pemahaman kita terhadap masalah ini.Semoga Allah menyelamatkan kita daripada fitnah pengacau agama dan semoga Allah tetapkan kita di atas Iman dan Islam yang hakiki sehingga kita menemuiNya nanti.. Amin.. Wallahu A’la wa A’lam.

__________________________________________________________
[1] .تشبيه الخسيس لأهل الخميس- Al-Imam al-Hafiz Az-Zahabi
[2] . Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Al-Qurthubi
[3] Awnul Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud,Kitabul Libas.
[4] Sunan Tarmizi bi Tahqiqil Albani(Mukhtasar).
[5] Fatwa Syeikh ‘Atiyyah Saqar,Lajnah Al-Ifta’ Jami’ah Al-Azhar Asy-Syarif
[6] Awnul Ma’bud Syarhi Sunan Abi Daud,Kitabul Libas.
[7] . Awnul Ma’bud Syarhi Sunan Abi Daud, Kitabul Libas dan Hasan Ayyub,DR., Fiqhul Ibadat,Bab Solatul ‘Eidain.
[8] .Al-Huqail, Ibrahim B. Muhammad, أعياد الكفار وحكم المشاركة فيها
[9] Ahkam Ahli Zimmah oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah.
[10] Fatwa Al-Qardhawi di www.qaradawi.net
[11] .Ibid
[12] Al-Majmu’ syarhul Muhazzab,Kitab As-Sair

Isnin, 15 Disember 2008

APAKAH ITU AL-JAMAAH?

Menurut bahasa, perkataan al-Jamaah berasal daripada al-ijtima' yang bermaksud berkumpul atau bersatu. Lawan kata al-Jamaah ialah al-Firqah iaitu berpecah-belah. Ibn Taimiyyah menjelaskan, "Al-Jamaah bererti persatuan, sedangkan lawannya adalah perpecahan. Dan lafaz al-Jamaah telah menjadi nama bagi kaum yang bersatu." (Majmu' Fatawa 3/157)


Lafaz al-jamaah jika dirangkaikan dengan as-Sunnah, menjadi Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka yang dimaksudkan ialah pendahulu (salaf) umat ini. Mereka adalah para sahabat dan tabi'in yang bersatu mengikuti kebenaran yang jelas daripada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. (Harras, Syarah al-Wasithiyyah, hal 16)


Demikian apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. merupakan kebenaran yang wajib diteladani dan diikuti. Dan setiap orang yang datang sesudah mereka dengan menempuh jalan mereka dan mengikuti jejak mereka, maka dia itulah "al-Jamaah" baik secara individu mahupun dalam kumpulan.


Abu Syamah berkata, "Manakala datang perintah untuk beriltizam kepada al-Jamaah, maka yang dimaksudkan iltizam di sini adalah komitmen terhadap kebenaran dan mengikutinya, sekalipun jumlah pengikut kebenaran itu lebih sedikit daripada penentangnya. Ini kerana, kebenaran itulah yang menjadi pegangan jamaah generasi pertama daripada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya r.a. dengan tidak melihat banyaknya ahli kebatilan sesudah mereka." (Al-Ba'its, hal 22)


Ketika Abdullah bin Mubarak ditanya tentang al-Jamaah, beliau menjawab, "Abu Bakar dan Umar." Ketika dikatakan kepada beliau bahawa Abu Bakar dan Umar telah wafat, beliau menjawab, "Fulan dan Fulan". Ketika dikatakan kepada beliau bahawa Fulan dan Fulan telah wafat, beliau menjawab, "Abu Hamzah as-Sukri adalah al-Jamaah." (Al-Baghawi, 1/205)


Menurut penafsiran Ibn Mubarak, istilah al-Jamaah ialah orang yang memiliki sifat-sifat teladan yang sempurna berdasarkan al-Quran dan sunnah Nabi. Oleh kerana itu, beliau membuat perumpamaan dengan orang-orang yang menjadi teladan. Maka disebutlah nama ulama sezaman dengannya iaitu Abu Hamzah as-Sukri dan bukan ulama yang lain. Beliau beralasan Abu Hamzah termasuk ahli ilmu yang memiliki keutamaan dan berlaku zuhud.


Sebahagian ulama berbeza pendapat mengenai penjelasan hadis-hadis Nabi yang mewajibkan beriltizam dengan al-Jamaah dan melarang keluar daripadanya. Berikut adalah antara pendapat-pendapat tersebut:


Pertama: Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan al-Jamaah ialah para sahabat sahaja dan bukan orang-orang sesudah generasi mereka. Sebab para sahabat itulah yang sesungguhnya telah menegakkan tonggak-tonggak agama dan menancapkan paku-pakunya. Dan mereka tidak berhimpun di atas kesesatan. (Lihat – Al-Syathibi, Al-I'tisham, 2/262)


Menurut pendapat ini, lafaz al-Jamaah sesuai dengan hadis Nabi, "...Yakni jalan yang aku tempuh dan para sahabatku." Kalimah hadis ini merujuk kepada perkataan, perbuatan, dan ijtihad mereka. Dengan itu, lafaz tersebut menjadi hujah secara mutlak dengan kesaksian Rasulullah s.a.w., khususnya dengan sabda baginda: "Hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah para khalifah ar-Rasyidin..."


Kedua: Ada juga ulama yang memaksudkan al-Jamaah itu terdiri dari kalangan ahli Ilmu, Fiqh, dan ahli Hadis daripada kalangan Imam Mujtahidin. Kerana Allah telah menjadikan mereka hujah atas manusia dan mereka menjadi panutan dalam urusan agama. (Fathul Baari, 13/27)


Pendapat ini daripada Al-Bukhari. Dalam kitabnya bab "wa kadzalika ja'alnaakum ummatan wasathan" (demikian pula kami jadikan kamu ummat pertengahan) dan perintah Nabi s.a.w. untuk beriltizam kepada al-Jamaah, beliau mengatakan bahawa al-Jamaah itu adalah ahli Ilmu. (Fathul Baari, 13/316)


Menurut Tirmizi, para ahli ilmu mentafsirkan al-Jamaah dengan ahli Fiqh dan ahli Hadis. Kemudian beliau membawakan riwayat daripada Ibn Mubarak ketika ia ditanya mengenai al-Jamaah, lalu ia memberikan jawapan: "Abu Bakar dan Umar". (Sunan Tirmizi, 4/465) Ibn Sinan pula berpendapat, "Mereka (al-Jamaah) adalah ahli ilmu dan orang-orang yang memiliki atsar. (Syaraf Ashabul Hadis, hal 26-27)


Berdasarkan pendapat di atas, maka al-Jamaah adalah ahli sunnah yang 'alim, 'arif dan mujtahid. Maka tidaklah termasuk al-Jamaah tersebut, mereka yang ahli bid'ah dan orang-orang awam yang taqlid. Sebab mereka tidak boleh diteladani dan biasanya mereka (orang-orang awam) hanya mengikuti ulama.


Ketiga: Ada ulama yang mengatakan bahawa al-Jamaah ialah jamaah Ahlul Islam yang bersepakat dalam masalah syarak. Mereka tidak lain adalah ahli Ijmak yang sentiasa bersepakat dalam suatu masalah atau hukum, baik syarak mahupun aqidah. Pendapat ini didasarkan pada hadis Nabi yang ertinya: "Umatku tidak bersepakat dalam kesesatan." (Al-I'tisham, 2/263)


Ibn Hajar berkata mengenai pendapat Bukhari yang mengatakan bahawa al-Jamaah adalah ahli Ilmu, "Yang dimaksudkan dengan al-Jamaah ialah Ahlul Hal wal 'Aqdi, iaitu mereka yang mempunyai keahlian menetapkan dan memutuskan suatu masalah pada setiap zaman."


Adapun menurut Al-Karmani, "Maksud perintah agar beriltizam dengan al-Jamaah ialah seorang mukallaf beriltizam dalam mengikuti kesepakatan para mujtahidin. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Bukhari bahawa mereka adalah ahli ilmu."


Ayat yang diterjemahkan Bukhari dijadikan hujah oleh ahli Usul kerana ijmak adalah hujah. Sebab mereka (ahli ilmu) dinilai adil, sebagaimana firman Allah: "Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil..." (Al-Baqarah: 143)


Pernyataan ayat di atas menunjukkan bahawa mereka terpelihara daripada kesalahan mengenai apa yang telah mereka sepakati, baik perkataan mahupun perbuatan (Fathul Baari, 13/316). Pendapat ini merujuk kepada pendapat kedua.


Keempat: Ada ulama yang mengatakan, al-Jamaah adalah as-Sawadul A'zham (kelompok besar). Dalam kitab An-Nihayah disebutkan: "Hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A'zham, iaitu kebanyakan manusia yang bersepakat dalam mentaati penguasa dan menempuhi jalan yang lurus. (An-Nihayah, 2/419)


Pendapat tersebut diriwayatkan daripada Abi Ghalib yang mengatakan, sesungguhnya as-Sawadul A'zham ialah orang-orang yang selamat daripada perpecahan. Maka urusan agama yang mereka sepakati itulah kebenaran. Barangsiapa menentang mereka, baik dalam masalah syari'at mahupun keimanan, maka dia menentang kebenaran dan jikalau mati, matinya jahiliyah. (Al-I'tisham, 2/260)


Di antara orang lain yang berpendapat demikian ialah Abu Mas'ud al-Anshari dan Ibn Mas'ud r.a.. Asy-Syatibi berpendapat, "Berdasarkan pendapat ini, maka yang termasuk al-Jamaah ialah para mujtahid, ulama dan ahli syariah yang mengamalkannya. Adapun orang-orang yang selain mereka, termasuk ke dalam hukum mereka, sebab orang-orang tersebut mengikuti dan meneladani mereka. Maka setiap orang yang keluar dari jamaah mereka, bererti dia telah menyimpang dan menjadi tawanan syaitan. Termasuk kelompok yang menyimpang ini ialah semua ahli bid'ah kerana mereka telah menentang para pendahulu (salaf) umat ini. Sebab itu, mereka sama sekali tidak termasuk as-Sawadul A'zham." (Al-I'tisham, 2/261)


Kelima: Ada ulama yang mengatakan bahawa al-Jamaah ialah jamaah kaum muslimin yang sepakat atas seorang amir (penguasa). Ini adalah pendapat al-Thabari yang menyebutkan pendapat-pendapat terdahulu. Kemudian dia mengatakan, "Ya benar, pengertian tentang beriltizam kepada jamaah ialah taat dan bersepakat atas penguasanya. Maka barangsiapa melanggar bai'atnya, dia telah keluar daripada jamaah." (Fathul Baari, 13/37)


Rasulullah s.a.w. telah menyuruh umatnya agar beriltizam kepada pemimpinnya dan melarang umat mengingkari kesepakatan tentang pemimpin yang telah diangkatnya. (Al-I'tisham, 2/264)


Menurut Thabari, jika jamaah itu telah sepakat dengan redha untuk mengangkat seorang pemimpin, sedangkan orang yang menentangnya mati dalam keadaan jahiliyah, maka itu al-Jamaah yang digambarkan oleh Abu Mas'ud al-Anshari. Mereka adalah kebanyakannya daripada ahli ilmu agama serta pengikutnya. Mereka itulah as-Sawadul A'zham. (Al-I'tisham, 2/264)


Dengan demikian, al-Jamaah menurut pendapat ini ialah kesepakatan atas pemimpin yang sesuai dengan al-Quran dan sunnah. Adapun kesepakatan yang menyalahi sunnah bererti telah keluar dari makna al-Jamaah yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasul s.a.w. (Al-I'tisham, 2/265)


Kesimpulan daripada pendapat-pendapat di atas ialah:

- Ia disebut sebagai al-Jamaah apabila bersepakat dalam hal memilih dan mentaati seorang pemimpin yang sesuai dengan ketentuan syarak. Kita wajib beriltizam kepadanya dan haram keluar daripadanya.

- Jamaah adalah jalan yang ditempuh oleh ahli sunnah yang meninggalkan segala bentuk bid'ah. Inilah yang disebut mazhab al-Haq (kebanaran). Pengertian jamaah di sini merujuk kepada para sahabat Nabi, ahli ilmu, ahli ijmak, atau as-Sawadul A'zham.


Semua itu kembali kepada satu makna, iaitu: "Orang yang mengikuti jalan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya r.a., baik sedikit mahupun banyak, sesuai dengan keadaan umat serta perbezaan zaman dan tempat.


Oleh kerana itu, Ibn Mas'ud berkata:


"Al-Jamaah ialah orang yang menyesuaikan diri dengan kebenaran walaupun engkau seorang diri." (Abu Syamah, Al-Hawasits wal Bida', hal 22, Abu Syamah menyebutkan bahawa perkataan ini juga diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Al-Madkhal)


Dalam lafaz lain disebutkan:


"Sesungguhnya al-Jamaah ialah mentaati Allah walaupun engkau seorang diri." (Al-Lalaka'i, Syarhus Sunnah, 1/108-109)


[Dinukil dan disunting dari buku "Ahlus Sunnah wal Jamaah Ma'alimul Inthilaaqah Al-Kubra", terjemahan Ahlussunnah Wal-Jamaah Petunjuk Jalan Yang Benar, Muhammad Abdul Hadi Al-Mishri, hal 70-76, Penerbitan Kintan Sdn Bhd.]

MUKJIZAT RASULULLAH S.A.W DALAM PERISTIWA TANAH RUNTUH

Peristiwa Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa merupakan suatu kejaidian yang membenarkan sabda Nabi s.a.w dalam beberapa hadis baginda. Perkara ini dinamakan sebagai al-Ikjaz al-Ilmi (Mukjizat Ilmu) di mana baginda s.a.w memberitahu perkara yang akan berlaku di masa akan datang.

Selain itu, hadis ini juga merupakan peringatan kepada umat Islam supaya mereka berwaspada tetapi kebanyakan umat hari ini tidak mengambil peduli akan peringatan baginda Rasul s.a.w ini.
Hadis-hadis baginda yang menceriatakan peristiwa tanah runtuh ini dikeluarkan dalam sahih al-Bukhari dan lainnya sebagai berikut :

Maksudnya : Daripada Abu’Amir atau Abu Malik al-Asy’ari katanya : Demi Allah, tidaklah aku berdusta bahawa telah mendengar Nabi s.a.w bersabda : “Akan ada segolongan daripada umatku menghalalkan zina, sutera, arak, dan alat-alat muzik dan akan tinggal beberapa golongan di sisi sebuah bukit (cerun bukit), datang kepada mereka pada waktu petang dengan haiwan ternakan mereka segolongan fakir untuk memohon hajat keperluan lalu (penduduk bukit) itu berkata : datanglah semula kepada kami keesokan hari. Maka pada malamnya Allah s.w.t menurunkan azab dan meruntuhkan bukit dan menukar sebahagian yang lain menjadi kera-kera dan babi-babi sehingga hari kiamat”. [al-Bukhari dalam Kitab al-Aysribah, Bab Pada Menyatakan Mereka yang Menghalakan Arak dan Menukar Namanya dan Abu Daud dalam Kitab al-Libas (4039) ].

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menyatakan akan ada dalam kalangan umat baginda yang melakukan maksiat tanpa segan silu seolah-olah perkara tersebut halal. Mereka minum arak dengan bebas, berzina dengan bebas, memakai sutera dengan bebas, menyanyi dan bermain muzik dengan bebas tanpa merasakan bahawa perkara ini haram. Perkara ini berlaku kerana tiada yang melarangnya dengan kekuasaan (undang-undang), banyaknya orang yang melakukanny dan dilakukan dengan terbuka.

Nabi s.a.w menyatakan pula bahawa mereka yang melakukan ini adalah golongan kaya yang membina rumah mereka di bukit-bukit dan mereka menjadi tempat meminta pertolongan daripada golongan fakir. Akhirnya, Allah s.w.t meruntuhkan bukit yang menjadi tempat tinggal mereka dan menimpakan mereka dengan tanah runtuh. Adapun mereka yang terselamat daripada kejadian itu akan diubah menjadi kera dan babi yakni perangai dan akhlak mereka. Ini adalah perkara yang sama berlaku kepada Bani Israel suatu ketika dahulu.
Dalam hadis yang lain pula dinyatakan :

Maksudnya : Daripada Imran bin Husoin bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Dalam Umat ini akan ada yang akan ditenggalamkan dalam bumi (ditimbus tanah), ditukar kejadiannya, dan dipanah halilintar”. Berkata seorang lelaki (sahabat) daripada muslimin : Wahai Rasulullah, bilakah ia akan berlaku? Jawab baginda :” Apabila munculnya wanita-wanita penyanyi dan alat-alat muzik dan diminumnya arak”. [al-Tarmizi, Kitab al-Fitan, (2212)].

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa munculnya penyanyi dan muzik sehingga dianggap biasa demikian juga arak bebas diminum tanpa segan silu menjadi sebab Allah s.w.t menurunkan bala berupa tanah runtuh sehingga ada yang tertimbus dalamnya, penukaran perangai menjadi kera dan babi dan panahan halilintar (petir). Hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Tabrani dalam Mukjam al-Kabir daripada Sahl bin Saad katanya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : “Akan ada di akhir zaman kejadian tertimbus tanah, penukaran kejadian, dan panahan halilintar”. Ditanya kepada baginda : Bilakah akan berlaku wahai Rasulullah! Jawab baginda : “Apabila munculnya alat-alat muzik, wanita-wanita penyanyi, dan dihalalkan arak”.

Kejadian-kejadian ini telah pun berlaku di zaman kita, ramai penyanyi wanita, muzik di mana-mana bahkan siaran radio muzik 24 jam menyebabkan muzik boleh didengari di mana-mana jua lebih dahsyat lagi telefon bimbit yang canggih menyebabkan ketika solat pun kadang-kadang kita boleh mendengar muzik. Arak pula telah menjadi perniagaan yang diiktiraf dan diberi lesen untuk menjualnya.

Telah jelas dalam hadis-hadis Nabi s.a.w di atas bahawa semua tindakan kita pada hari ini yang membiarkan maksiat bermaharajalela menjadi punca kenapa Allah s.w.t meruntuhkan Bukit Antarabangsa dan selainnya.

Dalam hadis ini juga menjelaskan kepada kita bahawa Islam telah lama mengharamkan Akademi Fantasia, Sehati Berdansa, Jangan Lupa Lirik, Marhaban di Astro dan rancangan-rancangan seumpamanya. Semua perkara ini haram di sisi syarak dan para ulama Islam telah lama menetapkan hukumnya, namun sesetengah pihak yang sakit jiwanya cuba menutup perkara ini daripada pengetahuan awam.

Mereka menubuhkan kumpulan-kumpulan muzik dengan nama Islam sedangkan Allah s.w.t di dalam al-Qur’an menyifatkan muzik sebagai :

1- Suara Syaitan - (Rujuk Surah al-Isra’ ayat 64)

2- Lahwal Hadis (Perkataan yang sia-sia)- (Rujuk surah Luqman ayat ke-6)

3- Al-Samidun (yakni yang lali dan leka) – (Rujuk surah al-Najm ayat ke-61)

Tidak ada satu pun kebaikan yang Allah s.w.t letakkan pada muzik maka mana mungkin kita boleh memandai-mandai mengatakan muzik ada manfaatnya untuk Islam. Jika benar ada manfaatnya tetntulah Nabi s.a.w dan para Sahabat baginda terlebih dahulu menubuhkan kumpulan Nasyid Islam atau Lagu Dakwah sebagai wasilah dakwah baginda. Apakah kita hendak mengatakan kita lebih bijak dan lebih pandai daripada Nabi s.a.w?! Nauzubillah min Zalik. Allah s.w.t mengharamkan arak sedangkan Dia mengiktiraf dalam arak ada manfaat tertentu tetapi tetap diharamkan kerana mudarat yang lebih banyak ditimbulkan, maka bagaimana pula dengan muzik yang langsung tidak dinyatakan oleh Allah akan manfaatnya?!Insaflah wahai saudaraku sekalian..

Oleh itu, saya menyeru kepada Umat Islam sekaliannya dan Umat Islam di Malaysia khasnya, marilah kita segera bertaubat dan kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sesuai dengan pemahaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda bukan Islam yang kita tafsirkan sendiri sesuai dengan hawa nafsu kita. Wallahua’lam.

Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2008/12/15/mukjizat-rasulullah-saw-dalam-peristiwa-tanah-runtuh/

Khamis, 4 Disember 2008

HUKUM-HAKAM KORBAN

Korban (قربان) atau Udhiah (أضحية) merupakan syiar (lambang) agama Islam selaku agama Tauhid yang diturunkan Allah s.w.t sebagai pedoman hidup manusia. Ibadat ini termasuk ibadat maliah (ibadat harta) dan terikat dengan waktu tertentu iaitu dalam bulan Zul Hijjah sahaja. Oleh itu, eloklah kita memberi perhatian berkenaan hukum ibadat yang besar ini.


Takrif Udhiah:


Maksud Udhiah (أضحية) dalam bahasa adalah:


شَاةٌ نَحَرَهَا تُذْبَحُ في يَوْمِ الْأُضْحِيَّةِ


Maksudnya: “Biri-biri yang disembelih pada hari raya Adha”. [al-Bahr al-Raiq, 8/197].


Adapun dalam takrif istilah adalah:


اسم لما يذبح أو ينحر من النَّعم تقرباً للّه تعالى في أيام النحر


Maksudnya: “nama bagi haiwan ternakan yang disembelih sebagai amalan mendekatkan diri kepada Allah yang dilaksanakan pada hari-hari Nahar (hari raya Adha)”[Fiqhul Ibadat 'ala al-Mazhab al-Hanafi, 1/538].


Maksud Na’am adalah haiwan ternakan dan ia hanya menunjukkan pada empat jenis haiwan iaitu : Kambing, Lembu, Unta, dan Biri-biri.


Hari Nahar adalah 10 Zul Hijjah sehingga 13 Zul Hijjah.


Hukum Udhiah


Para ulama sepakat udhiah disyariatkan tetapi mereka berikhtilaf sama ada disyariatkan udhiah itu secara ‘wajib’ atau ‘mandub’ sahaja.


Imam Abu Hanifah r.h dan Imam Malik r.h berpendapat Udhiah adalah Wajib bagi mereka yang berkemampuan pada hari-hari nahar.


Berkata Ibn Najim al-Hanafi:


تَجِبُ على حُرٍّ مُسْلِمٍ مُوسِرٍ مُقِيمٍ على نَفْسِهِ لَا عن طِفْلِهِ شَاةٌ أو سُبُعُ بَدَنَةٍ فَجْرَ يَوْمِ النَّحْرِ إلَى آخِرِ أَيَّامِهِ


Maksudnya: “Wajib (udhiah) atas orang merdeheka, Islam, berkemampuan, dan menetap (bukan musafir) atas dirinya sendiri dan tidak wajib (bagi bapa) melakukan udhiah untuk anaknya dengan seekor bebiri atau 1/7 unta bermula fajar hari Nahar (10 Zul Hijjah) sehingga akhri hari-harinya (11, 12, dan 13 Zul Hijjah)”. [al-Bahr al-Raiq, 8/197].


Berkata Ibn Abdil Barr r.h.:


الأضحية عند مالك سنة تجب على كل من وجد سعة من الرجال والنساء الأحرار


Maksudnya: “Udhiah di sisi Malik adalah sunnah yang diwajibkan ke atas sesiapa yang mempunyai kemampuan sama ada lelaki atau wanita yang merdeheka” [al-Kafi fi Fiqh Ahli al-Madinah, 1/173].


Dalil mereka adalah firman Allah s.w.t dalam surah al-Kausar ayat 2:


فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ


Maksudnya: “oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”


Maka, menurut kaedah; Asal setiap perintah adalah wajib. Mereka juga berdalil dengan hadis:


من وَجَدَ سَعَةً ولم يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا


Maksudnya: “Sesiapa yang mampu tetapi tidak berkorban maka janganlah dia dekati tempat solat kami”[Ahmad, Ibn Majah].[1]



Imam Abu Yusuf r.h dan al-Qadi Muhammad bin al-Hasan r.h, Imam al-Syafii, dan Imam Ahmad berpendapat hukum Udhiah adalah sunat muakkad (tidak wajib) berdalilkan hadis berikut:


إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره وبشره شيئا


Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh hari awal Zul Hijjah dan salah seorang kamu hendak melaksanakan udhiah maka janganlah dia menyentuh (membuang) rambutnya dan kulitnya sesuatu pun”[Muslim].


Syahid daripada hadis ini adalah perkataan baginda: وأراد (dan salah seorang kamu hendak) menunjukkan baginda s.a.w tidak mewajibkan korban.


Adapun hadis yang menjadi dalil bagi Hanafiah dan Malikiah, golongan jumhur mendaifkan hadis tersebut dan jika ia sahih sekalipun di bawa maknanya kepada sunat muakkad kerana warid daripada Rasulullah s.a.w penggunaan kalimah ‘wajib’ untuk menunjukkan sunat muakkad.


Maka pendapat ini adalah lebih kuat pada pandangan penulis kerana bersesuaian dengan hadis sahih diriwayatkan Muslim. Namun, para ulama yang berpendapat tidak wajib udhiah juga telah bersepakat adalah tidak disukai bagi mereka yang mampu meninggalkannya kerana ia adalah syiar, apabila sebuah qaryah tidak melaksanakan udhiah maka hukum itu bertukar menjadi fardu kifayah.


Oleh itu, kaum muslimin janganlah memandang remeh hukum udhiah ini bahkan hendaklah sentiasa berusaha untuk melaksanakannya.

Syarat-syarat Udhiah


1- Hendaklah haiwan yang hendak dikorbankan terdiri daripada al-An’am (Haiwan Ternak) iaitulah : Unta, Lembu[2], Bebiri, dan Kambing. Ini berdalilkan firman Allah s.w.t:


لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ


Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka يengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin” - [al-Haj: 28].


Berkata Imam al-Syafii r.h:


الضَّحَايَا الْجَذَعُ من الضَّأْنِ والثنى من الْمَعْزِ وَالْإِبِلِ وَالْبَقَرِ وَلَا يَكُونُ شَيْءٌ دُونَ هذا ضَحِيَّةً


Maksudnya: “haiwan udhiah itu adalah: kambing biri-biri jaza’, dan al-Sani daripada kambing biasa, unta dan lembu dan selain daripada ini tidak boleh menjadi haiwan korban”-[al-Umm, 2/223].


Oleh itu, fahaman sebahagian masyarakat Melayu bolehnya berkorban dengan semua haiwan berkaki empat seperti kuda, kijang, dan rusa adalah salah sama sekali. Ini kerana dalam bahasa Arab, al-An’am tidak termasuk kuda, rusa, kijang, dan seumpamanya. Hanya haiwan yang empat kita sebutkan sahaja dinamakan al-An’am.


2- Hendaklah al-An’am ini mencapai umur yang diiktiraf syarak iaitu al-Jaza’ untuk bebiri dan al-Sani bagi unta,lembu, dan kambing. Dalilnya adalah hadis Riwayat Muslim:


لا تذبحوا إلا مسنة إلا أن يعسر عليكم فتذبحوا جذعة من الضأن


Maksudnya: “Janganlah kamu sembelih kecuali musinnah melainkan kamu sukar mendapatnya maka sembelihlah anak bebiri jaza’ (berumur 8 atau 9 bulan)”.


Al-Musinnah adalah haiwan yang telah bersalin gigi iaitulah:


Unta berumur 5 tahun masuk 6

Lembu berumur 2 tahun masuk 3

Kambing Biasa berumur 2 tahun


Al-Jaza’ pula adalah anak kambing bebiri yang berumur setahun di sisi Syafiiah. Menurut Hanabilah berumur 6 bulan masuk 7 bulan. Menurut ulama Lughah al-Jaza’ adalah berumur antara 8 atau 9 bulan. Ibn Abdil Barr r.h menetapkan al-jaza’ itu berumur antara 6 bulan sehingga setahun semuanya terpakai.


Terdapat pendapat yang mengahruskan berudhiah dengan haiwan al-Jaza’ bagi kesemua jenisnya sama ada unta, lembu, dan kambing berdalilkan hadis :


عن عقبة بن عامر الجهني قال : قسم رسول الله صلى الله عليه و سلم فينا ضحايا فأصابني بني جذع فقلت يا رسول الله إنه أصابني بنى جذع فقال ( ضح به )


Maksudnya: “Daripada Uqbah bin ‘Amir al-Juhani katanya: Rasulullah s.a.w membahagi-bahagikan antara kami haiwan korban lalu aku mendapat anak-anak jaza’ lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, saya mendapat anak-anak jaza’ sahaja! Maka baginda bersabda: “Berkorbanlah kamu akannya”. [Muslim]


Dalam lafaz yang lain riwayat Muslim juga dinyatakan:


فبقي عتود


Maksudnya: “maka yang tinggal (bagiku) hanyalah ‘atud..”


Atud adalah jaza’ daripada kambing biasa. Maka berdalilkan hadis ini mereka membolehkan berkorban dengan aljaza’ secara mutlak.


Namun, jika diperhatikan, hadis ini pada zahir siaqnya membawa makna hukum asal adalah tidak boleh menyembelih al-jaza’ pada selain bebiri oleh sebab itu Uqbah mengadu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan keizinan baginda kepada Uqbah membawa makna rukhsah khusus bagi beliau sahaja. Ini sama halnya dengan Abu Burdah r.a bapa saudara al-Bara’ bin ‘Azib r.a :


عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَال َضَحَّى خَالٌ لِي يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عِنْدِي دَاجِنًا جَذَعَةً مِنْ الْمَعَزِ قَالَ اذْبَحْهَا وَلَنْ تَصْلُحَ لِغَيْرِكَ


Maksudnya: “Daripada al-Bara bin Azib r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah ibu) yang dipanggil Abu Burdah melakukan korban sebelum solat lalu Rasulullah s.a.w menyatakan: Bebiri yang kamu sembelih itu hanyalah daging sahaja (tidak sah korban). Maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku (hanya ada) anak kambing jaza’ . Lalu sabda Nabi s.a.w: Sembelihlah ia dan tidak boleh bagi selain kamu selepas ini…” - [al-Bukhari]


Hadis ini menyatakan Abu Burdah telah tersalah berkorban sebelum solat. Lalu Nabi s.a.w menyuruhnya mengulang korbannya tetapi dia tiada lagi bebiri hanya ada anak kambing jaza’. Lalu Nabi s.a.w membenarkan khusus baginya sahaja. Maka, pendapat yang membolehkan korban dengan al-jaza’ secara mutlak adalah pendapat syaz dan tidak patut diikuti.


3- Hendaklah Haiwan Korban itu Tidak mempunyai cacat yang nyata. Dalinya adalah sabda Nabi s.a.w:


أَرْبَعٌ لاَ يَجُزْنَ : الْعَوْرَاءُ الْبَيِّنُ عَوَرُهَا ، وَالْمَرِيضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضُهَا ، وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ ظَلَعُهَا ، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تُنْقِي


Maksudnya: “empat jenis haiwan yang tidak sah korban dengannya: Buat sebelah matanya dan jelas pula buta itu, yang sakit dan jelas kelihatan ia sakit, yang tempang dan jelas ketempangannya, dan yang tiada dagingnya kerana terlalu kurus”-[Abu Daud, at-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, Ahmad, Malik]


4- Disembelih dalam waktu yang dibenarkan syarak. Waktu itu bermula selepas solat hari raya Idul Adha sehingga terbenam matahari akhir hari tasyriq 13 Zul Hijjah. Berkata Imam al-Syafii r.h:


وَوَقْتُ الضَّحَايَا انْصِرَافُ الْإِمَامِ من الصَّلَاةِ فإذا إبطأ الْإِمَامُ أو كان الْأَضْحَى بِبَلَدٍ لَا إمَامَ بِهِ فَقَدْرُ ما تَحِلُّ الصَّلَاةُ ثُمَّ يقضى صَلَاتَهُ رَكْعَتَيْنِ وَلَيْسَ على الْإِمَامِ إنْ أَبْطَأَ بِالصَّلَاةِ عن وَقْتِهَا لِأَنَّ الْوَقْتَ إنَّمَا هو وَقْتُ رسول اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم لَا ما أُحْدِثَ بَعْدَهُ


Maksudnya: “dan waktu menyembelih korban itu adalah selesainya imam daripada solat, jika imam terlewat memulakan solat atau dia berada di tempat yang tiada imam maka masanya adalah setelah berlalu sekadar masa selesai dilaksankan solat dan tidak perlu menunggu Imam jika dia terlewat solat kerana waktu solat yang diiktiraf adalah waktu solat Rasulullah s.a.w bukan waktu yang diada-adakan (bidaah) selepas baginda” - [al-Umm, 2/221]


Dalilnya adalah hadis berikut:


عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَال َضَحَّى خَالٌ لِي يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عِنْدِي دَاجِنًا جَذَعَةً مِنْ الْمَعَزِ قَالَ اذْبَحْهَا وَلَنْ تَصْلُحَ لِغَيْرِكَ


Maksudnya: “Daripada al-Bara bin Azib r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah ibu) yang dipanggil Abu Burdah melakukan korban sebelum solat lalu Rasulullah s.a.w menyatakan: Bebiri yang kamu sembelih itu hanyalah daging sahaja (tidak sah korban). Maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku (hanya ada) anak kambing jaza’ . Lalu sabda Nabi s.a.w: Sembelihlah ia dan tidak boleh bagi selain kamu selepas ini…” - [al-Bukhari]


Hadis ini menunjukkan korban sebelum solat eid tidak sah. Demikian lagi sabda Nabi s.a.w:


من كان ذبح قبل الصلاة فليعد


Maksudnya: “Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat (eid) maka hendaklah dia mengulang semula korbannya” - [Muttafaq 'alaih]


Termasuk dalam solat juga adalah selesainya khutbah kerana Rasulullah s.a.w menyembelih korban setelah selesai solat dan berkhutbah. Kadar panjang solat adalah dibaca selepas al-Fatihah rakaat pertama surah Qaaf dan pada rakaat kedua surah al-Qamar diikuti khutbah yang sederhana. Waktu mula solat adalah waktu dhuha[3].


Akhir waktu menyembelih adalah hari ketiga belas Zul Hijjah. Apabila masuknya waktu maghrib pada 13 Zul Hijjah maka tamatlah waktu korban. Adapun menyembelih waktu malam adalah makruh di sisi Jumhur ulama kerana menyukarkan kerja-kerja penyembelihan dan menyukarkan orang untuk mengambil daging.


Dalilnya adalah firman Allah s.w.t:


وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ


Maksudnya: memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban)..”



Maksud (أيام معلومات) adalah hari raya eidul adha dan 3 hari tasyriq selepasnya sebagaimana tafsiran Ibn Abbas r.a yang dikeluarkan Abdun bin Humaid[4]. Begitu juga hadis Rasulullah s.a.w:


وكل فجاج منى منحر وكل أيام التشريق ذبح


Maksudnya: “dan seluruh pelusuk bumi Mina adalah tempat menyembelih dan seluruh hari-hari tasyriq adalah hari menyembelih”-[Ahmad, berkata al-Arnauth: Sahih li ghairih].


Masalah


Harus berkongsi tujuh orang bagi seekor unta atau lembu dalam berkorban berdasarkan hadis daripada Jabir r.a:


نَحَرْنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَة

ٍ


Maksudnya: “Kami melakukan nahar (korban) bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Hudaibiah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu juga untuk tujuh orang” - [Muslim]


Ini adalah pendapat jumhur, tetapi hadis di atas adalah berkenaan dengan al-Hadyu[5] bukan udhiah, adapun hadis udhiah adalah sebagaimana diriwayatkan at-Tarmizi dan lain-lain daripada Ibn Abbas r.a katanya:


كنا مع رسول الله صلى الله عليه و سلم في سفر فحضر الأضحى فاشتركنا في البقرة سبعة وفي البعير عشرة


Maksudnya: “Kami bersama Rasulullah s.a.w dalam satu safar lalu sampai masanya udhiah (raya korban) maka kami berkongsi untuk seekor lembu tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang”[6].


Dan inilah pendapat yang sahih, insya Allah iaitu dalam udhiah seekor unta menyamai 10 orang dan pendapat ini dikemukakan oleh Ishaq bin Rahuwaih r.h dan daripada al-Syafiiah dikemukakan oleh Ibn Khuzaimah r.h.


Seekor kambing atau bebiri cukup untuk seorang dan dari segi pahala pula, cukup bagi seorang lelaki dan seluruh ahli rumahnya. Maknanya, jika seorang lelaki malakukan korban dengan seekor kambing maka pahala itu diperoleh juga anak-anak dan isterinya berdalilkan hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a:


كنا نضحي بالشاة الواحدة يذبحها الرجل عنه وعن اهل بيته ثم تباهى الناس بعد فصارت مباهاة


Maksudnya: “Kami menyembelih korban dengan seekor bebiri untuk seorang lelaki dan ahli keluarganya kemudian manusia berbangga dengannya dan jadilah korban itu satu kebanggaan”- [Malik, disahihkan oleh al-Nawawi].


Demikian juga sabda Nabi s.a.w ketika menyembelih korban baginda:


بِسْمِ اللَّهِ ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ


Maksudnya: “dengan nama Allah, Ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan Umat Muhammad”- [Muslim].


Berdasarkan hadis ini, para ulama berpandangan harus seseorang yang berkorban meniatkan perkongsian pahala korban bagi ahli keluarganya dan sesiapa yang dia kehendaki sama ada hidup atau mati.


Adapun melakukan korban bagi pihak si mati secara mutlak, berlaku khilaf dalam kalangan fuqaha’. Golongan Syafiiah berpendapat tidak boleh melakukan korban bagi pihak si mati kecuali korban wajib iaitu korban nazar atau diwasiatkan.


Fuqaha’ yang lain pula berpandangan harus melakukannya kerana korban adalah termasuk jenis sedekah dan telah ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah harusnya bersedekah bagi pihak mayat. Ini adalah pendapat Hanabilah, Hanafiah, dan Malikiah serta disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h.


Pada pandangan kami, yang rajih adalah dilaksanakan korban untuk si mati secara musytarak (berkongsi) pahala dan tidak dilaksanakan secara istiqlal (berasingan) kerana tiada nas untuk melaksanakannya berasingan. Wallahua’lam.


Adab-adab dan Sunnah Korban


1) Dilarang kepada mereka yang hendak melakukan korban memotong kuku dan membuang bulu badan dan rambut sama ada dengan mencukur atau menggunting sehingga dia berkorban kerana hadis Nabi s.a.w:


إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره وبشره شيئا


Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh hari awal Zul Hijjah dan salah seorang kamu hendak melaksanakan udhiah maka janganlah dia menyentuh (membuang) rambutnya dan kulitnya sesuatu pun” [Muslim].


Larangan ini dibawa kepada haram di sisi Jumhur Ulama dan Makruh di sisi al-Syafii r.h.


2) Hendaklah orang yang melakukan korban menyembelih sendiri jika dia mampu malakukannya dan boleh mewakilkan pada orang lain. Jika dia mewakilkan maka disukai supaya dia menyaksikan sembelihan itu.


3) Menyebut (بسم الله)[7] dan bertakbir kemudian berdoa seperti katanya: ‘Ya Allah terimalah korban daripada hamba-Mu ini fulan (menyebut namanya)’.[8]


Dalil bagi perkara-perkara ini ( adab ke-2 dan 3) berdalilkan hadis riwayat Muslim:


عن أنس قال ضحى النبي صلى الله عليه و سلم بكبشين أملحين أقرنين ذبحهما بيده وسمى وكبر ووضع رجله على صفاحهما


Maksudnya: Daripada Anas katanya: “Nabi s.a.w menyembelih korban dua ekor kibasy (bebiri) yang berwarna putih dan bertanduk, baginda menyembelih dengan tangan baginda sendiri dan baginda bertasmiah (membaca bismillah), bertakbir, dan meletakkan kaki baginda atas tengkuk dua ekor bebiri itu”.


4) Berdasarkan hadis di atas juga, sunat menyembelih lembu dan kambing secara membaringkannya di atas rusuk. Adapun unta hendaklah disembelih secara berdiri dan diikat kakinya sebelah kiri. Dalilnya firman Allah s.w.t:


وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُون

َ


Maksudnya: “dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari Syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”. - [al-Hajj:36]


5) Haiwan yang afdal dijadikan korban adalah unta, kemudian lembu, kemudian kambing berdalilkan sabda Nabi s.a.w:


إذا كان يوم الجمعة كان على كل باب من أبواب المسجد ملائكة يكتبون الأول فالأول فإذا جلس الإمام طووا الصحف وجاؤوا يستمعون الذكر ومثل المهجر الذي يهدي البدنة ثم كالذي يهدي بقرة ثم كالذي يهدي الكبش ثم كالذى يهدي الدجاجة ثم كالذي يهدي البيضة


Maksudnya: “Apabila tiba hari Jumaat maka di setiap pintu masjid akan ada malaikat yang mencatat (pahala kedatangan solat Jumaat), yang awal akan mendapat pahala yang berganda, apabila Imam telah duduk (atas minbar) mereka menutup buku catatan dan mendengar khutbah; dan perumpamaan mereka yang paling awal datang seperti dia menghadiahkan (menyembelih) seekor unta, yang datang kemudian dari itu seumpama dia mengahadiahkan lembu, yang kemudian dari itu seumpama dia menghadiahkan bebiri, yang datang kemudian dari itu seumpama mengahadiahkan ayam, dan yang datang terkemudian lagi seumpama menghadiahkan telur” - [al-Bukhari dan Muslim].


Namun, pada pandangan kami, yang afdal dalam udhiah adalah kambing bebiri. Dalilnya firman Allah s.w.t:


وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيم

ٍ


Maksudnya: “dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;” - [al-Saaffat : 107].


Para Ahli Tafsir menyatakan maksud ’sembelihan yang besar’ itu adalah Kibasy (Bebiri) yang besar dibawa daripada syurga. Perbuatan Nabi s.a.w menyembelih korban baginda dengan bebiri juga menunjukkan keutamaan bebiri. Adapun hadis yang kami sebutkan berkenaan keutamaan unta adalah dalam masalah al-Hadyu, begitu juga ayat al-Qur’an memerintah menyembelih unta adalah berkenaan al-Hadyu [merujuk kepada ayat 36 surah al-Haj]. Pendapat ini dikemukakan oleh Imam Ahli Madinah, Malik bin Anas r.h.


6) Sunat digemukkan haiwan korban supaya bertambah dagingnya berdasarkan firman Allah s.w.t:


ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

ِ


Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”. - [al-Haj: 32]


Berkata Ibn Abbas r.a dalam mentafsirkan ayat ini: “menggemukkan, memperelokkan, dan membesarkan (haiwan sembelihan)” -[al-Sayuti, al-Durrul Mansur, 7/150].


7) Warna Udhiah yang afdal adalah putih bersih seperti dua ekor kibasy yang Nabi s.a.w korbankan kemudian kuning, kemudian kelabu, kemudian hitam bercampur putih, dan kemudian hitam.


8) Hendaklah dijauhi haiwan yang ada kecacatan berikut walaupun sah udhiah dengannya tetapi makruh:


i- Terpotong telinga

ii- Patah Tanduknya

iii- Kecacatan yang tidak menjejaskan daging seperti tiada gigi, pendek ekor, tiada alat sulit dan seumpamanya.


Hukum-Hakam Berkenaan Daging Udhiah[9]


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Haj ayat 28:


فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ


Maksudnya: “maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan kepada golongan fakir”.


Dalam ayat ini, Allah menjelaskan haiwan yang disembelih untuk bertaqarrub kepadanya hendaklah dimakan dan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Dalam sebuah hadis sabda Nabi s.a.w:


كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا


Maksudnya: “makanlah dan berilah makan serta simpanlah” - [al-Bukhari & Muslim].


Hukum menyimpan daging udhiah adalah harus kerana perintah ini datang setelah larangan kerana Rasulullah s.a.w pada mulanya melarang mereka menyimpan daging udhiah melebihi tiga hari kerana keadaan mendesak kepada daging lalu tahun berikutnya Nabi s.a.w membenarkan. Hukum memakan dagingnya adalah sunat kerana firman Allah s.w.t:


وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ


Maksudnya: “dan unta Kami jadikan bagi kamu sebagai sebahagian Syiar (Agama) Allah padanya untuk kamu kebaikan..”


Penggunaan huruf ta’addi لـِ (untuk) menunjukkan hukumnya sunat sahaja. Adapun mensedekahkan sebahagian daging tersebut jumhur ulama Syafiiah dan Hanabilah mewajibkannya kerana asal perintah itu wajib sehingga ada dalil yang mengubahnya. Perintah makan terdapat dalil yang mengubahnya kepada sunat, perintah menyimpan terdapat qarinah menunjukkan harus, adapun sedekah tiada qarinah lain yang mengubah daripada asalnya iaitu “al-Amru lil Wujub” (Perintah menunjukkan hukum wajib). Dalil berikut menunjukkan wajibnya bersedekah daging udhiah:


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ { : دَفَّ أَهْلُ أَبْيَاتٍ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ حَضْرَةَ الْأَضْحَى زَمَانَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : ادَّخِرُوا ثَلَاثًا ثُمَّ تَصَدَّقُوا بِمَا بَقِيَ فَلَمَّا كَانَ بَعْدَ ذَلِكَ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ : إنَّ النَّاسَ يَتَّخِذُونَ الْأَسْقِيَةَ مِنْ ضَحَايَاهُمْ ، وَيُجْمِلُونَ فِيهَا الْوَدَكَ ، فَقَالَ : وَمَا ذَاكَ ؟ قَالُوا : نَهَيْت أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ بَعْدَ ثَلَاثٍ ، فَقَالَ : إنَّمَا نَهَيْتُكُمْ مِنْ أَجْلِ الدَّافَّةِ فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا } .


Maksudnya: Daripada Aisyah r.a katanya: Berbondong-bondong penduduk badwi datang pada hari raya Adha di zaman Rasulullah s.a.w (untuk mendapatkan daging) lalu baginda bersabda: “Simpanlah (daging udhiah) selama tiga hari kemudian sedekahkan selebihnya”. Kemudian apabila tahun selepas itu para sahabat mengadu: Wahai Rasulullah, sesungguhnya manusia menjadikan daripada udhiah mereka bekas minuman dan membuat minyak (daripada lemak), lalu baginda berkata: Kenapa mereka berbuat begitu? Mereka menjawab: Kamu telah melarang daging korban dimakan setelah tiga hari. Maka baginda berkata: Aku melarangnya kerana gerombolan manusia yang memerlukan daging (pada tahun lepas) maka (tahun ini) makanlah dan simpanlah dan sedekahlah” - [Muttafaq 'alaih].


Ini menunjukkan tujuan korban itu adalah untuk membantu mereka yang memerlukan dan bersedekah. Maka jika dibolehkan seorang yang berkorban memakan kesemua daging korbannya maka ini menafikan maqasid ibadat ini. Oleh itu, kami merajihkan mazhab al-Syafii dalam masalah ini iaitu wajib bersedekah sebahagian daging korban dan sedekah itu hendaklah dalam bentuk daging yang mentah[10].


Sebahagian Ulama berpandangan elok daging udhiah itu dijadikan tiga bahagian, 1/3 dimakan, 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin, dan 1/3 dihadiahkan kepada mereka yang kaya.


Tidak boleh dijual daging udhiah atau dijadikan upah kepada tukang sembelih berdalilkan :


عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ : أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلُحُومِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَازِرَ مِنْهَا شَيْئًا ، وَقَالَ : نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا



Maksudnya: Daripada Ali bin Abi Talib r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan aku menguruskan korbannya iaitu supaya aku mensedekahkan dagingnya dan kulitnya dan penutupnya dan melarang aku memberi kepada penyembelih suatu pun daripadanya (sebagai upah) dan baginda bersabda: “Kita membayar upah daripada hasil kita sendiri (bukan dengan daging korban)” - [Muttafaq 'alaih].


Dalam hadis ini Nabi s.a.w memerintahkan supaya disedekahkan daging dan kulit dan apa-apa yang berkaitan dengan haiwan udhiah. Demikian juga upah penyembelih dan pelapah daging tidak boleh diambil daripada daging udhiah tetapi hendaklah datang daripada harta mudohhi sendiri.


Boleh memindahkan daging udhiah ke tempat selain negeri mudahhi (orang yang berkorban) atas keperluan dan masalahat yang rajih[11].


Daging Udhiah Nazar dan Nazar Ta’yin


Apabila seseorang bernazar untuk membuat udhiah maka udhiahnya menjadi wajib. Nazar itu pula terdapat tiga jenis:


  • 1- Nazar Mutlak: Iaitu dia berkata : “Pada tahun ini aku berkewajipan di sisi Allah untuk berkorban”.
  • 2- Nazar Mujazah : Iaitu seperti dia berkata : “Jika aku disembuhkan penyakit aku akan melaksanakan korban”.
  • 3- Nazar Ta’yin : Iaitulah dia menentukan haiwan tersebut sebagai haiwan korban seperti dia mempunyai dua ekor lembu, seekor berwarna putih dan seekor lagi berwarna hitam lalu dia berkata: “Lembuku yang putih ini adalah untuk dikorbankan”.

Ketiga-tiga jenis nazar ini mewajibkan udhiah dan menyebabkan wajibnya keseluruhan daging, kulit dan apa-apa yang berkaitan dengan udhiah disedekahkan dan tidak boleh bagi mudohhi memakan udhiah tersebut demikian juga ahli rumahnya berdalilkan riwayat al-Bukhari daripada Ibn Umar r.a:


عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا لَا يُؤْكَلُ مِنْ جَزَاءِ الصَّيْدِ وَالنَّذْرِ وَيُؤْكَلُ مِمَّا سِوَى ذَلِك

َ


Maksudnya : Daripada ibn Umar r.a katanya: “Tidak dimakan sembelihan daripada dam kerana berburu dan nazar, adapun selainnya maka boleh dimakan”.


Ini adalah Mazhab al-Syafii, Malik, dan satu riwayat daripada Ahmad[12]. Pada kami pendapat ini adalah rajih berdasarkan asar daripada Ibn Umar ini.


Pemberian Udhiah Kepada Orang Kafir


Ulama sepakat tidak diberi udhiah kepada kafir harbi (kafir yang memerangi Islam atau menzahirkan kebenciannya pada Islam). Adapun kafir zimmi, muahid, dan musta’man, Jumhur ulama tetap melarangnya kerana udhiah adalah harta qurbah (harta yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah), maka sebagaimana zakat tidak diberi kepada kafir maka demikian juga udhiah. Ulama Hanabilah dan sebahagian Syafiiah berpendapat jika udhiah itu adalah udhiah sunat maka harus diberi kepada kafir sebagaimana sedekah sunat lainnya, tetapi jika udhiah itu wajib (nazar atau nazar ta’yin) maka terlarang diberi kepada kafir kerana ia menyamai zakat. Dalil dalam hal ini adalah qias sahaja.


Tarjih: Ulama sepakat bahawa boleh memberi sedekah sunat kepada kafir bukan harbi, dan tidak boleh memberi sedekah wajib (zakat) kepada mereka. Adapun daging udhiah, wajib disedekahkan sebahagiannya. Maka apabila mudohhi[13] telah bersedekah sebahagian daging udhiahnya, baki daging itu sunat sahaja untuk disedekahkan maka dalam bahagian baki ini harus baginya untuk memberi kepada kafir bukan harbi. Adapun daging udhiah nazar, haram diberi kepada kafir secara mutlak kerana ia wajib disedekah keseluruhannya. Wallahua’lam.


[1] Hadis ini sanadnya daif sebagaiman takhrij al-Arnauth dalam Musnad Ahmad. Al-Albani menilainya hasan. Ibn Majah sendiri menilainya sebagai daif.

[2] Termasuk dinamakan lembu adalah kerbau. Adapun lembu liar tidak sah korban dengannya.

[3] Waktu dhuha adalah matahari terbit sekadar tinggi tombak jika dikira dengan masa setengan jam setelah waktu syuruq. Bagi Pulau Pinang misalnya pada 8 Disember 2008 waktu syuruq 7.12 A.M maka waktu solat eid adalah 7.42 A.M.

[4] Al-Sayuti, al-Durrul Mansur fi al-Tafsir bil Ma’sur, 7/143.

[5] Al-Hadyu adalah haiwan yang disembelih oleh mereka yang melaksanakan haji setelah tahallul awal. Al-Hadyu wajib bagi haji tamattu’ dan qiran, sunat bagi haji ifrad.

[6] Hadis Sahih, al-Tarmizi (1501), al-Nasai (4392) dan Ibn Majah (3131).

[7] Menambah : الرحمن الرحيم tidak digalakkan kerana tidak warid nas berkenaannya dan menyembelih bukanlah tempat untuk berasa kasihan.

[8] Adapun membaca selawat ke atas Nabi s.a.w, Imam al-Syafii berpendapat disunatkan juga berdasarkan qias tetapi perkara semacam ini memerlukan nas dan jelas Nabi s.a.w tidak berselawat ke atas dirinya demikian juga para sahabat tidak berselawat semasa menyembelih maka pada kami yang rajihnya makruh berselawat ketika menyembelih.

[9] Hukum-hakam ini berkaitan dengan mudohhi (orang yang berkorban), adapun seseorang yang diberi daging udhiah sama ada sebagai sedekah atau hadiah, maka dia boleh memanfaatkan daging tersebut seperti daging-daging biasa seperti menjual, membuat kenduri, dan memberi hadiah kepada sesiapa sahaja.

[10] Ini kerana tujuan sedekah adalah menjadikan daging itu hak milik fakir maka diberi secara mentah untuk dia boleh bertasaruf sesuai dengan kehendaknya seperti dijual untuk mendapat duit. Lihat: I’anah al-Tolibin, Abu Bakar al-Dimyati, 2/333.

[11] Pendapat ini yang muktamad dalam mazhab Syafii sebagaimana dikemukakan oleh pengarang Kifayatul Akhyar.

[12] Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fathul Bari, 5/406.

[13] Yakni yang melakukan Udhiah.


Sumber: http://mashoori.wordpress.com/