Isnin, 7 Jun 2021

TUJUH GOLONGAN YANG DINAUNGI ALLAH AZZA WA JALLA PADA HARI KIAMAT


Oleh Al-Ustaz Yazid bin ‘Abdul Qadir Jawas حفظه الله 




عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ 

Dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naunganNya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naunganNya: (1) Imam yang adil, (2) seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya terpaut pada masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya, (5) seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, dan (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.” 

TAKHRIJ HADIS 

Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh: Al-Bukhari (no. 660, 1423, 6479, 6806), Muslim (no. 1031 (91)), Malik dalam al-Muwatta’ di Kitabusy Syi’ar bab Maa Jaa-a fil Muttabi’iin fillaah (hlm. 725-726, no. 14), Ahmad (II/439), At-Tirmizi (no. 2391), An-Nasa-i (VIII/222-223), Ibnu Khuzaimah (no. 358), At-Tahawi dalam Musykilul Aathaar (no. 5846, 5847), dan Al-Baihaqi dalam Sunannya (IV/190, VIII/162). 

SYARAH HADIS 

Penyebutan jumlah “tujuh” di dalam hadis ini bukanlah merupakan pembatas, sehingga tidak boleh diertikan bahawa golongan yang akan dinaungi Allah Ta’ala pada hari Kiamat hanya terbatas pada tujuh golongan ini sahaja. Menurut Ulama ahli usul, istilah ini disebut dengan mafhuumul ‘adad ghairu murad, iaitu mafhum dari ‘adad (bilangan) itu tidak dimaksudkan. Sehingga apabila disebutkan tujuh, bukanlah bermaksud hanya tujuh sahaja. 

Kedudukan hadis ini sangat penting agar kaum Muslimin dapat melaksanakan amalan-amalan yang terkandung di dalamnya, sehingga kita dapat memperoleh perlindungan dan naungan Allah Azza wa Jalla pada hari Kiamat. 

Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

يُظِلُّهُمُ اللهُ فِي ظِلِّهِ.. 

Mereka dinaungi oleh Allah dalam naunganNya.. 

Ada pendapat batil yang mengatakan bahawa mereka (tujuh golongan itu) dilindungi dari matahari, jadi antara mereka dan matahari terdapat Allah. Ini adalah pendapat yang batil, kerana Allah Azza wa Jalla di atas segala sesuatu sedangkan matahari dan golongan ini di bawah ‘Arasy Allah. Jadi yang benar adalah mereka (tujuh golongan itu) akan dilindungi oleh Allah di bawah ‘ArasyNya, kerana Allah di atas segala sesuatu dan berpisah dengan makhlukNya. 

Lafaz فِي ظِلِّهِ, iaitu idhafah (penyandaran) bayangan kepada Allah Azza wa Jalla. Para Ulama mengatakan, إِضَافَتُهُ إِلَى اللهِ إِضَافَةُ تَشْرِيْفٍ. Penyandarannya kepada Allah, iaitu penyandaran yang bertujuan untuk memuliakan iaitu menunjukkan kemuliaan, seperti masjidullaah, baitullaah, dan selainnya. Dalam riwayat lain, dijelaskan bahawa naungan yang dimaksud adalah naungan ‘Arasy Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah dari Salman al-Farisi radhiallahu 'anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهِ فِيْ ظِلِّ عَرْشِهِ 

Tujuh golongan yang dilindungi di bawah naungan ‘Arsy-Nya… Fat-hul Bâri (II/144).


Kelak di hari Kiamat, manusia akan sangat memerlukan perlindungan Allah Azza wa Jalla. Pada hari itu mereka akan dikumpulkan di tempat lapang yang sangat luas, tidak ada naungan apa pun juga. Mereka dikumpulkan dalam keadaan telanjang, tidak memakai alas kaki, tidak ada sehelai benang pun di tubuhnya, lelaki dan perempuan sama. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ تُحْشَرُوْنَ إِلَى اللهِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلاً 

Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dihimpun (pada hari Kiamat) menuju Allah Azza wa Jalla dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, dan tidak dikhatan (disunat). HR. Al-Bukhâri (no. 3349) dan Muslim (no. 2860 (58) dari Abdullah bin Abbas r.huma


Kemudian matahari didekatkan di atas kepala-kepala manusia, sehingga peluh keringat bercucuran membasahi tubuh mereka. Sebahagian manusia, ada yang terendam sebatas mata kakinya, ada yang terendam sebatas lututnya, ada yang sampai pinggangnya, ada yang sampai bahunya, bahkan ada yang sampai ke mulutnya. Keadaan mereka ini sesuai dengan amalan-amalan mereka. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

تُدْنَى الشَّمْسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ حَتَّى تَكُوْنَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيْلٍ 

(Pada hari Kiamat) matahari akan didekatkan (oleh Allah) kepada seluruh makhluk hingga hanya sejarak satu jengkal. HR. Muslim (no. 2864 (62)), dari Miqdad bin al-Aswad r.a


Pembahasan tentang tujuh golongan yang dilindungi Allah dalam naunganNya pada kiamat ini sangat penting kerana berkaitan dengan iman kepada hari Akhir serta pengetahuan tentang amalan-amalan yang membawa kita dalam naungan dan perlindungan Allah Azza wa Jalla. 

1. Seorang imam yang adil 

Yang dimaksudkan dengan Imam iaitu seorang yang mempunyai kekuasaan besar seperti raja, presiden atau yang mengurusi urusan kaum Muslimin. Yang dimaksudkan adil iaitu seorang imam yang tunduk dan patuh dalam mengikuti perintah Allah Azza wa Jalla dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya, tanpa melanggar atau melampaui batas dan tidak menyia-nyiakannya. Keadilan seorang imam iaitu dengan menegakkan kalimah Tauhid di muka bumi dan menyingkirkan segala perbuatan syirik, dan melaksanakan hukum-hukum Allah Azza wa Jalla, sebab kezaliman yang paling zalim adalah perbuatan menyekutukan Allah padahal Allahlah yang menciptakannya. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 

“…Sesungguhnya syirik (menyekutukan Allâh) adalah benar-benar kezaliman yang paling besar.” [Luqman 31:13] 

Kerana tujuan manusia diciptakan adalah untuk beribadah hanya kepada Allah Azza wa Jalla. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ 

Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah hanya kepadaKu. [Az-Zaariyat 51:56] 

Apabila imam atau pemimpin atau raja atau presiden tidak melaksanakan syari’at Islam ertinya dia tidak berlaku adil, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kita untuk bersabar. Fenomena yang kita lihat sekarang, jika ada seorang imam, penguasa atau pemimpin yang melakukan kesalahan maka orang-orang berusaha untuk menjatuhkannya dan berebut untuk dapat menggantikannya. 

Menurut syari’at Islam, berkeinginan untuk menjadi penguasa adalah keinginan dilarang, sebagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang para sahabatnya untuk berkeinginan menjadi penguasa. Maka yang menjadi tugas kita sekarang adalah mendokong kebaikannya dan menasihati penguasa yang ada agar dia mampu menegakkan Tauhid di muka bumi ini, dan kita wajib bersabar atas kesalahannya. Kita berusaha untuk menasihati dengan cara yang baik sesuai dengan syari’at. 

Jika ada pertanyaan, “Bolehkah seorang wanita menjadi penguasa atau pemimpin?” Maka jawabnya, “Tidak boleh.” 

Di dalam hadis di atas pun disebutkan bahawa imam di sini adalah lelaki. Tidak ada wanita dalam hal kepemimpinan. Islam melarang wanita menjadi pemimpin dan melarang suatu kaum menjadikan wanita sebagai pemimpin mereka. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَا يُفْلِحُ قَوْمٌ تَمْلِكُهُمُ امْرَأَةٌ 

Tidak berjaya suatu kaum yang dipimpin oleh seorang wanita. HR. Ahmad (V/43, 47).

Imam al-Baghawi dalam kitab Syarhus Sunnah menjelaskan tentang keharaman seorang wanita menjadi pemimpin. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa ketika para sahabat radhiallahu 'anhum menyampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang-orang Parsi dipimpin oleh seorang wanita, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ اِمْرَأَةً 

Tidak akan berbahagia suatu kaum jika yang memimpin urusan mereka adalah seorang wanita. HR. Al-Bukhâri (no. 4425, 7099), Ahmad (V/43, 47, 51), at-Tirmidzi (no. 2262), dan an-Nasa-i (VIII/227), dari Abu Bakrah r.a.


Lafazh lan (لَنْ) di sini menunjukkan lit ta’-biid, iaitu untuk selama-lamanya kaum tersebut tidak akan bahagia. Hadis ini dijadikan dalil (dasar) oleh para Ulama tentang tidak diharuskan seorang wanita menjadi pemimpin. Dan ini adalah pendapat jumhur Ulama. 

Imam al-Khattabi rahimahullah berkata, “Seorang wanita tidak boleh menjadi amir atau menjadi qadhi (hakim).” 

Imam al-Baghawi rahimahullah berkata, “Para Ulama sepakat bahawa seorang wanita tidak boleh menjadi imam (penguasa atau pemimpin), juga tidak boleh menjadi qadhi (hakim).” Syarhus Sunnah (X/76-77).

2. Seorang pemuda yang tumbuh (membesar) dalam keadaan beribadah kepada Allah 

Dalam sebuah hadis dari Salman al-Faarisi radhiallahu 'anhu disebutkan: 

أَفْنَى شَبَابَهُ وَنَشَاطَهُ فِي عِبَادَةِ اللهِ 

Dia menghabiskan waktu mudanya dan rajin dalam beribadah kepada Allah. Fat-hul Bâri (II/145).


Pada umumnya, seseorang ketika masa mudanya lebih cenderung kepada kejahatan, kemaksiatan dan perbuatan-perbuatan yang melanggar syari’at. Namun ada orang di saat mudanya malah justeru mengekang hawa nafsunya dan beribadah kepada Allah Azza wa Jalla. Orang seperti inilah yang akan dilindungi oleh Allah Azza wa Jalla. 

3. Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid 

Dalam riwayat at-Tirmizi disebutkan, 

وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا بِالْـمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُوْدَ إِلَيْهِ … 

Seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, apabila dia keluar dari masjid hingga kembali kepadanya… HR. At-Tirmidzi (no. 2391). Lihat Irwâ-ul Ghalîl (no. 887).


Hal ini menunjukkan tentang rasa cintanya kepada masjid untuk solat dan zikir kepada Allah Azza wa Jalla. Hatinya bagaikan lampu pelita yang terpasang di atapnya, di mana tidaklah dia keluar darinya melainkan dia akan kembali. Kata rajulun (seorang lelaki) disini hanya terbatas pada lelaki sahaja kerana perempuan tidak diperintahkan untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah, dalam ertikata untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Namun dianjurkan bagi para wanita Muslimah untuk melaksanakan solat di rumah mereka, 

وَبُيُوْتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ 

Dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka. HR. Ahmad (II/76) dan Abu Dawud (no. 567) dari Ibnu ‘Umar r.huma


Sedangkan bagi lelaki diwajibkan untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Wanita Muslimah solat di rumah-rumah mereka lebih baik daripada di masjid, akan tetapi apabila mereka meminta izin kepada suami untuk solat di masjid, maka suami hendaklah mengizinkannya dengan syarat tidak menimbulkan fitnah. Pakaiannya mestilah menutup seluruh tubuh dan tidak memakai minyak wangi. 

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

لَاتَمْنَعُوْا نِسَائَكُمُ الْـمَسَاجِدَ، وَبُيُوْتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ 

Janganlah kamu melarang isteri-isteri kamu (untuk datang) ke masjid, sedangkan rumah-rumah mereka itu lebih baik bagi mereka. HR. Ahmad (II/76) dan Abu Dawud (no. 567) dari Ibnu ‘Umar r.huma

Dalam hadis yang lain, baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

لَا تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ 

Janganlah kamu melarang para wanita (solat) di masjid Allah, akan tetapi hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak memakai minyak wangi. HR. Ahmad (II/438) dan Abu Dawud (no. 565), dari Abu Hurairah r.a. - Lihat Shahîh Sunan Abi Dawud (III/101, no. 574, cet Gharras)


4. Dan orang yang saling mencintai di jalan Allah, dia berkumpul dan berpisah keranaNya 

Imam an-Nawawi rahimahullah memasukkan hadis ini dalam kitabnya, Riyadhus Solihin pada bab “Keutamaan Cinta kerana Allah”. Mencinta seseorang hanya kerana Allah Azza wa Jalla adalah cinta yang tidak dapat dinodai oleh unsur-unsur keduniaan, ketampanan, harta, kedudukan, fasiliti, suku, bangsa dan yang lainnya. Akan tetapi dia melihat dan mencintai seseorang kerana ketaatannya dalam melaksanakan perintah Allah Azza wa Jalla dan kekuatannya dalam meninggalkan laranganNya. 

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan, “Disebut dengan dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, di mana dia berpisah dan berkumpul keranaNya, iaitu apabila keduanya saling mencintai kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Dan cinta agama ini tidak putus kerana dunia, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sehingga ajal memisahkan keduanya.” 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Humaidi disebutkan bahawa yang dimaksudkan iaitu dia berkumpul di atas kebaikan. Fat-hul Bâri (II/145).


Kemudian sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: 

تَفَرَّقَا عَلَيْهِ 

Keduanya berpisah keranaNya 

Iaitu keduanya berkumpul dan berpisah hanya kerana Allah Azza wa Jalla, badannya berpisah kerana musafir atau kematian tetapi rohnya tetap berkumpul di atas manhaj Allah Azza wa Jalla. Bahjatun Nâzhirîn (I/445)

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata, 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

اَلْأَرْوَاحُ جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا اِئْتَلَفَ، وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اِخْتَلَفَ

Roh-roh itu selalu berkumpul dan berhimpun, siapa yang kenal ia akan berkumpul; dan siapa yang tidak saling mengenal, maka ia berpisah. HR. Al-Bukhâri (no. 3336), Muslim (no. 2638 (159-160)), Abu Dawud (no. 4834), dan selainnya.

Hal ini juga berlaku bagi dua orang wanita Muslimah yang saling mencintai kerana Allah Azza wa Jalla, iaitu cinta dalam rangka melaksanakan ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla. Oleh sebab itu, apabila kita mencintai seseorang kerana ketaatannya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla dan kesungguhannya dalam menjauhi laranganNya, maka dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar kita memberitahukan kepadanya. 

Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis, iaitu: 

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ 

Sesungguhnya aku cinta kepadamu kerana Allah… 

Kemudian jawabannya adalah: 

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ 

Mudah-mudahan Allah mencintaimu yang telah mencintaiku keranaNya. HR. Abu Dawud (no. 5125), al-Hâkim (IV/171), dan selainnya.


Saling mencintai kerana Allah Azza wa Jalla memiliki keutamaan yang sangat besar, bukan hanya mereka akan dikumpulkan dan diberikan naungan, bahkan mereka akan diberikan mimbar-mimbar dari cahaya oleh Allah Azza wa Jalla di hari Kiamat. 

Sebagaimana hadis dari Abu Zar radhiallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah Azza wa Jalla berfirman: 

اَلْـمُتَحَابُّوْنَ فِي جَلاَلِي، لَهُمْ مَنَابِرُ مِنْ نُوْرٍ يَغْبِطُهُمُ النَّبِيُّوْنَ وَالشُّهَدَاءُ 

Orang yang saling mencintai berada dalam lindunganKu; diberikan bagi mereka mimbar-mimbar dari cahaya yang dicita-citakan oleh para Nabi dan syuhada‘ (orang-orang yang mati syahid). HR. Ahmad (V/ 239), at-Tirmidzi (no. 2390), dan selainnya. Lihat Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb (no. 3019).


5. Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu lelaki tersebut berkata, “Sungguh aku takut kepada Allah.” 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ 

Dan seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu lelaki tersebut berkata: ‘Sungguh aku takut kepada Allah. 

Hal ini bukan hanya berlaku bagi lelaki, namun juga bagi wanita. Apabila dia diajak berzina oleh lelaki kemudian dia menolaknya sambil mengatakan, 

إِنِّي أَخَافُ اللهَ رَبَّ الْعَالَمِيْنَ 

Sungguh aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam. 

Iaitu dia takut hanya kepada Allah Azza wa Jalla, maka dia akan diberikan perlindungan olehNya. Disebutkan lelaki ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu kisah Nabi Yusuf 'alaihissallam. Baginda diajak oleh seorang isteri penguasa pada waktu itu untuk berzina, namun baginda menolaknya. Allah Azza wa Jalla melarang seseorang mendekati perbuatan zina. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا 

Dan janganlah kamu mendekati zina; sungguh (zina) itu suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk. [Al-Israa' 17:32] 

6. Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu lalu dia sembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ 

Seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. 

Sudah diketahui bersama bahawa infaq itu dianjurkan agar dilakukan dengan tangan kanan kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan menggunakan tangan kanan ketika mengambil sesuatu, makan, minum, mahupun bersedekah. Sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Imam Ahmad (VI/94). Juga dalam Sahih al-Bukhari di Kitab az-Zakah terdapat bab dengan judul Bab as-Sodaqati bil yamin (Bab Sedekah dengan Tangan Kanan). Allah Azza wa Jalla sangat menganjurkan para hambaNya untuk bersedekah. 

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: 

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ 

Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka ianya lebih baik bagi kamu dan Allah akan menghapus sebahagian kesalahan-kesalahan kamu. Dan Allah Maha teliti akan apa yang kamu kerjakan. [Al-Baqarah 2:271] 

Menyembunyikan sedekah dalam Islam memiliki keutamaan, iaitu dapat menjauhkan diri dari sifat riak. Maka sangat dianjurkan untuk bersedekah dalam keadaan sendirian dan sembunyi-sembunyi, tidak terang-terangan. Namun pada waktu-waktu tertentu kadang diperlukan memberikan sedekah secara terang-terangan, misalny di suatu tempat didapati orang-orang yang sangat sulit untuk bersedekah, maka dianjurkan untuk memulakannya secara terang-terangan agar menjadi contoh bagi mereka. Sebagaimana asbabul wurud (sebab-sebab datangnya hadis), sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْء

Sesiapa yang memulakan sunnah dalam Islam dengan sunnah yang baik, maka diberikan pahala baginya dan pahala orang-orang yang mengamalkannya setelahnya tanpa dikurangi sedikit pun dari pahala-pahala mereka… HR. Muslim (no. 1017), an-Nasa-i (V/76), dan selainnya.


Sedekah wajib dilakukan dengan ikhlas, sebagaimana ibadah-ibadah lainnya. Orang yang riak dalam beramal, baik ketika memberikan sedekah mahupun yang lainnya, maka amalannya itu tidak bernilai di sisi Allah Azza wa Jalla. Iaitu jika dia ingin dilihat orang, ingin didengar, atau dia mengungkit-ungkit amalan yang dilakukannya, maka amalan itu tidak akan diterima oleh Allah Azza wa Jalla. 

Allâh Azza wa Jalla berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا ۖ لَا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَيْءٍ مِمَّا كَسَبُوا ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ia menjadi bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir itu. [Al-Baqarah 2:264] 

Maksud dari seseorang yang menyembunyikan sedekah yang dilakukan dengan tangan kanannya dari tangan kirinya adalah orang ini bersungguh-sungguh dalam menyembunyikan sedekahnya hingga tangan kirinya, meskipun dekat dengan tangan kanan (padahal berada dalam satu tubuh), tidak mengetahui apa yang dilakukan tangan kanannya dalam sedekahnya tersebut. Fat-hul Bâri (II/147) karya al-Hâfizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani

Namun bagi para isteri dianjurkan meminta izin kepada suaminya jika ingin bersedekah. 

7. Seseorang yang mengingat Allah Azza wa Jalla dalam keadaan sepi lalu air matanya mengalir 

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ 

Dan seseorang yang mengingat Allah dalam keadaan sepi (bersendirian) lalu air matanya mengalir. 

Iaitu, seorang lelaki yang mengingati Allah atau berzikir kepadaNya, berzikir dengan hati dan lisannya, dan dalam keadaan sepi lalu air matanya mengalir. Penyebutan rajulun (seorang lelaki) bukan pembatasan kerana ini juga berlaku bagi kaum wanita. Jika seorang Muslimah mengalir air matanya tatkala berzikir kepada Allah Azza wa Jalla di kala sepi, maka dia berhak mendapat naungan Allah Azza wa Jalla di hari Kiamat. Penyebutan syarat dalam keadaan sepi di sini kerana di saat itu sangat jauh dari perbuatan riak. 

Tentang mengalir air matanya kerana takut kepada Allah terdapat beberapa keutamaan, di antaranya tidak disentuh oleh api Neraka. 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ. 

Ada dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga kerana menjaga peperangan di jalan Allâh. HR. At-Tirmidzi (no. 1639). Lihat Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb (no. 1229).

Berzikir (mengingati) Allah Azza wa Jalla, baik dengan membaca zikir, doa mahupun bangun untuk solat di tengah malam, mesti sesuai dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jadi, zikir-zikir, doa atau amalan lainnya, sama ada jenis, kaifiyat (tatacara), waktu mahupun bilangannya, yang tidak dicontohkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan tertolak. 

Kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ 

Sesiapa yang mengerjakan suatu amalan yang tidak dicontohkan dari kami maka ia tertolak. HR. Al-Bukhâri (no. 2697) dan Muslim (no. 1718 (18)).


Demikian juga apabila seorang suami yang bangun di tengah malam lalu melaksanakan solat Tahajjud, kemudian dia membangunkan isterinya untuk melakukan solat Tahajjud atau sebaliknya, maka keduanya termasuk orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah Azza wa Jalla. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 إِذَا اسْتَيْقَظَ الرَّجُلُ مِنَ اللَّيْلِ وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّيَا رَكْعَتَيْنِ كُتِبَا مِنَ الذَّاكِرِيْنَ اللهَ كَثِيْرًا وَالذَّاكِرَاتِ 

Seorang suami yang bangun ditengah malam dan membangunkan isterinya lalu keduanya solat malam, maka keduanya termasuk lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah. HR. Abu Dawud (no. 1451), Ibnu Mâjah (no. 1335) dan al-Hâkim (I/316). Hadits ini dishahihkan oleh Syaikh al-Albani t dalamShahîh al-Jâmi’ish Shaghîr (no. 333).


BEBERAPA FAEDAH

  1. Keutamaan seorang imam atau pemimpin yang adil, yang berhukum dengan syariat-syariat Allah Azza wa Jalla dan memperhatikan rakyatnya. 
  2. Keutamaan anak muda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla dan tidak berbuat maksiat kepadaNya serta tidak berbuat kejahatan, begitu juga wanita. 
  3. Wajib mendidik anak-anak dalam taat kepada Allah Azza wa Jalla dan mengajarkan tauhid kepada mereka dan akhlak yang mulia. 
  4. Keutamaan orang yang selalu datang ke masjid dan hatinya selalu bergantung kepadanya untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dan menegakkan solat berjamaah. 
  5. Wajib bagi lelaki solat berjamaah di masjid, sementara bagi kaum wanita, rumah merupakan tempat solat terbaik mereka. 
  6. Hati seorang Muslim selalu rindu untuk ibadah di masjid. 
  7. Cinta yang sebenar, dilakukan di jalan Allah dan semata-mata kerana Allah Azza wa Jalla . 
  8. Wajib menutup jalan yang membawa kepada perzinaan. 
  9. Keutamaan menjaga diri dan berpaling dari perbuatan zina kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla. 
  10. Berzina adalah perbuatan keji, dosa besar dan seburuk-buruk jalan. 
  11. Keutamaan sedekah yang tersembunyi jauh dari perbuatan riak.
  12. Keutamaan berasa diawasi oleh Allah Azza wa Jalla dan takut kepada Allah Azza wa Jalla disaat sendirian. 
  13. Keutamaan menangis kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla. 
  14. Keutamaan berzikir kepada Allah Azza wa Jalla ketika sendirian. 
  15. Sesungguhnya ganjaran itu bergantung dari keikhlasan dan sesuai dengan Sunnah.

RUJUKAN

Kutubussittah. 
Musnad Imam Ahmad Darul Fikr. 
Al-Mustadrak, oleh Imam al-Hâkim. 
Riyâdhush Shâlihîn. 
Shahîh al-Jâmi’ish Shaghîr, oleh Syaikh al-Albani. 
Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb, oleh Syaikh al-Albani. 
Bahjatun Nâzhirîn Syarh Riyâdish Shâlihin, oleh Syaikh Salim bin ‘Ied al-Hilali. 
Syarhus Sunnah, oleh al-Baghawi. 
Dan kitab lainnya


[Majalah As-Sunnah Edisi 06/Tahun XVIII/1436H/2014M] 

(*) Disunting semula kepada Bahasa Melayu, manakala nota kaki diubah dihujung rujukan serta dikecilkan.