Isnin, 17 Ogos 2020

ISTERI TAK MAHU TINGGAL SERUMAH DENGAN MERTUA?

Oleh: Ustaz Mohd Masri Mohd Ramli

Antara hak seorang isteri ialah dia mempunyai tempat tinggal yang khusus bersama suaminya dan anak-anaknya yang tidak dikongsi bersama orang lain sama ada ayahnya, ibunya atau kaum kerabat yang lain. Ini adalah pendapat majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Si isteri berhak untuk enggan tinggal bersama mertuanya dan kaum kerabat suaminya.

Imam al-Kasani menyebutkan dalam Badai' al-Sona'i: Seandainya si suami mahu menempatkan isterinya bersama dengan madunya, atau keluarga suami, seperti ibu suami, adik beradik perempuan suami, atau anak-anak perempuan suami daripada isteri yang lain, atau kaum kerabat suami, lalu si isteri enggan, maka wajib untuk suami menyediakan tempat tinggal yang berasingan kepada si isteri. Ini kerana mereka yang tinggal serumah itu mungkin boleh menyakiti hati isteri atau memukulnya jika mereka tinggal serumah. Keengganan si isteri merupakan petunjuk bahawa beliau terganggu atau disakiti. Ini jua kerana si suami perlu jua mampu untuk melakukan hubungan seksual dengan isteri atau bermesra dengannya pada bila-bila masa, dan ini tidak mungkin berlaku apabila adanya orang ketiga di dalam rumah.

Teruskan membaca pada link-link di bawah yang berkaitan dengan hak isteri untuk duduk berasingan.


Fatwa-fatwa di atas ditutup dengan nasihat kepada kaum suami yang berbunyi:

والذي ننصحك به في ختام هذا الجواب أن تسعى للتوفيق بين زوجتك ووالدتك وعائلتك ، وأن تعطي كل ذي حق حقه ، فتعطي الزوجة حقها في السكن المستقل ، ولا يضرك أن يغضب أحد منهم لانفرادك بالسكن ، لأنك لم تخطئ في ذلك ، ولكن عليك الاستمرار في صلة أقاربك وأمك وإخوانك .

Nasihat kami kepada kamu sebagai penutup jawapan ini: Hendaklah kamu berusaha untuk mendamaikan antara isteri kamu, ibu kamu dan ahli keluarga kamu, dan hendaklah kamu memberikan kepada setiap orang haknya. Oleh itu hendaklah kamu memberikan kepada isteri haknya iaitu kediaman yang berasingan. Tidaklah memudharatkan kamu akan kemarahan salah seorang daripada mereka disebabkan keputusan kamu untuk tinggal berasingan kerana kamu tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam hal ini. Akan tetapi hendaklah kamu berterusan menjalinkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat kamu, ibu kamu, dan adik beradik kamu.

Begitu juga penutup kepada aduan seorang isteri, di mana disebutkan:

فنصيحتنا لزوجك أن يبادر إلى إيجاد سكن مستقل لكما ، ويسعى في إرضاء أمه بالقول الحسن ، والإكثار من زيارتها ، وتفقد أحوالها ، وبالهدية ونحوها ، وليعلم أن خروجه من بيت أمه لا يعد عقوقا .

Nasihat kami kepada suami kamu ialah agar segera menyediakan kediaman yang berasingan untuk kamu berdua, dan berusaha mendapatkan keredhaan ibuya dengan perkataan yang baik, dan kerap menziarahinya, mengambil berat keadaannya, memberinya hadiah dan sebagainya. Suami itu hendaklah tahu bahawa keluarnya dia dari rumah ibunya tidak termasuk dalam penderhakaan kepada ibunya.

Wallahua'lam.

1- Bagaimana pula jika isteri yang enggan keluar daripada rumah ibu bapa isteri. Isteri mahu suami tinggal bersama dengan keluarga isteri.

Dalam situasi ini, isteri WAJIB TAAT suami untuk keluar daripada rumah keluarga isteri, dan jika isteri enggan tinggal bersama sumia, maka ia dikira nusyuz, bahkan dalam situasi ini suami tidak lagi wajib memberi nafkah kepada isteri.

2- Bagaimana jika si suami memang benar-benar TIDAK MAMPU menyediakan kediaman yang berasingan untuk isteri kerana suami miskin atau belum menemui rumah yang sesuai dengan kemampuannya?

Seandainya benar-benar tidak mampu, maka tidak berkewajipan menyediakan kediaman berasingan. Ini adalah pendapat Ibnu Taimiyyah. [Lihat Matholib Uli an-Nuha, 5/122].

Dalam hal ini, sepatutnya sebelum perkahwinan dilangsungkan kedua-dua pihak jujur dengan bakal pasangan masing-masing. Bakal suami hendaklah jujur menjelaskan situasi kewangannya yang belum mampu. Bakal isteri pula hendaklah jujur dalam menyatakan sama ada bersetuju atau tidak untuk tinggal serumah dengan mertua buat SEMENTARA sehingga suami mampu. Ketidakjujuran dalam membincangkan hal ini sebelum perkahwinan akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

Perlu diingatkan, bahawa kemampuan itu bukanlah bermaksud perlu membeli rumah sendiri. Yang penting ialah ada kediaman sama ada menyewa atau dibeli. Jika mampu rumah yang kecil maka sewa yang kecil, usah menunggu sehingga mampu membeli sendiri atau menyewa yang besar.

3- Bagaimana jika si isteri memang setuju untuk tinggal serumah dengan mertua, dan menjaga mertua?

Apabila si isteri memang bersetuju dengan rela hati, dan bukan dipaksa, maka itu tidaklah bermasalah. Hanya sahaja dalam situasi ini suami perlu memainkan peranan penting untuk memerhatikan perkara-perkara berikut agar kerelaan hati si isteri tidak menyebabkan kezaliman kepada mana-mana pihak. Antara perkara yang suami perlu jelas dan fahami dalam hal ini ialah:

A- Berkhidmat kepada mertua dan ipar duai bukan kewajipan isteri: Isteri hanya wajib berkhidmat kepada suami, bukan kepada ibu bapa suami apatah lagi adik beradik suami. Suami tiada hak memaksa isteri untuk menjaga ibu bapa suami, menyediakan makan minum mereka, membasuh baju mereka dan sebagainya. Jika si isteri melakukannya, itu adalah ihsan isteri secara sukarela, yang insya-Allah mendatangkan pahala, tetapi tetap bukan kewajipan isteri. Oleh itu suami tidak berhak memaksa isteri dalam hal ini. Suami perlu ingat, kewajipan menjaga ibu bapanya, adalah kewajipannya dan adik beradiknya, bukan kewajipan isterinya. Memaksa isteri melakukan semua ini adalah satu kezaliman kerana mewajibkan ke atasnya sesuatu yang bukan kewajipannya.

B- Suami hendaklah mengambil kira aspek aurat, hukum khulwah yang mana ini akan berlaku apabila di dalam rumah terdapat ipar duai. Ini akan menyusahkan kehidupan isteri sehingga 24 jam di rumah perlu menutup aurat dengan sempurna kerana terdapatnya bukan mahram. Apatah lagi isu khulwah apabila di rumah hanya ada isteri dan ipar duai atau anak-anak buah suami yang bukannya mahram kepada si isteri.

C- Apabila isteri sudah sukarela tinggal dengan ibu bapa suami, dan sukarela pula berkhidmat kepada mereka, maka suami perlu menghargai dan memahami bahawa isteri sudah menambah beban di atas bahunya sesuatu yang pada asalnya bukan kewajipan beliau. Hargai, dan fahami jika nanti adakalanya isteri 'bad mood' dan tak larat melayani suami kerana penat dan letih. Peka jua dengan keadaan sekeliling takut-takut ada konflik tersembunyi antara isteri dan keluarga dan isteri merahsiakannya kerana mahu menjaga hati suami. Usah menanti sehingga isteri 'meletup', suami perlu peka dengan keadaan yang berlaku di rumahnya, emosi isterinya.

D- Pertambahan beban kepada isteri. Apabila tinggal serumah dengan mertua, maka isteri perlu mengambil hati suami, ibu mertua, ayah mertua. Apa yang suami suka belum tentu ibu bapa suami suka. Apa yang okey ketika tinggal berdua dengan suami sahaja mungkin menjadi tidak okey apabila ada mertua. Ini semua merupakan pertambahan beban kepada isteri. Suami perlu memainkan peranan besar dalam hal ini. Kerana itu 'dalam sebuah istana hanya ada seorang raja dan seorang permaisuri'.

E- Yang ini pula terbalik daripada semua point di atas. Jika perkara di atas tidak diperhatikan, kezaliman mungkin berlaku kepada pihak isteri. Manakala jika suami isteri mengambil kesempatan dengan kehadiran ibu bapa untuk menyuruh membuat kerja-kerja rumah di rumah mereka, maka ini juga sudah menzalimi ibu bapa itu seolah-olah mereka itu orang gaji pula.

4- Bagaimana jika isteri pula yang mahu duduk serumah dengan ibu bapanya untuk berkhidmat kepada ibu bapanya. Apakah kewajipan suami kepada mertua?

Sebagaimana isteri tidak wajib berkhidmat kepada mertua, begitu juga suami tidak wajib berkhidmat atau memberi nafkah kepada mertua. Semuanya adalah dilakukan kerana ehsan dan bukan kerana kewajipan. Apabila ia dilakukan kerana ehsan bukan kewajipan, maka tidak boleh sesiapa memaksa suami untuk menjaga keluarga mertuanya.

5- Bagaimana jika ibu bapa isteri atau suami memang sakit, atau tidak boleh tinggal bersendirian kerana sudah terlalu tua, atau 'depression' dan sebagainya?

Maka dalam situasi ini, tidak sepatutnya seorang pasangan menghalang mertuannya daripada tinggal serumah kerana itu sahaja pilihan yang ada. Walaupun begitu, anak mereka hendaklah sedar tanggungjawab menjaga dan berkhidmat itu kewajipan mereka dan bukan kewajipan pasangan mereka.

6- Ada bezakah kewajipan kepada ibu bapa antara anak sulong dan bongsu, anak lelaki dan perempuan?

Tiada. Semua perlu berkhidmat kepada ibu bapa mengikut kemampuan mereka. Yang akan membezakan ialah kemampuan mereka.

7- Oleh kerana isu kediaman ini termasuk isu nafkah, boleh huraikan sedikit berkaitan nafkah?

Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَىْءٌ فَلأَهْلِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَىْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَىْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Mulakan dengan bersedekah (iaitu memberi nafkah) kepada diri kamu sendiri, seandainya ada lebihan, berikan kepada kaum keluarga kamu. Seandainya ada lebihan, berikan kepada kepada kaum kerabat kamu. Seandainya ada lebihan, maka begitu begini. [Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, hadis no: 997]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " تَصَدَّقُوا " . فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ .

Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Bersedekahlah. Seorang lelaki bertanya: Ya Rasulullah, aku mempunyai dinar.

قَالَ " تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ " . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ " تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ " . قَالَ عِنْدِي آخَرُ .

Baginda menjawab: Sedekahkan untuk diri kamu sendiri. Lelaki itu menjawab: Aku mempunyai dinar yang lain? Baginda berkata: Sedekahkan kepada isteri engkau. Lelaki itu menjawab: Aku mempunyai yang lain.

قَالَ " تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ " . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ " تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ " . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ " أَنْتَ أَبْصَرُ " .

Baginda berkata: Sedekahkan kepada anak engkau. Lelaki itu menjawab: Aku mempunyai yang lain. Baginda berkata: Sedekahkan kepada hamba engkau. Lelaki itu menjawab: Aku masih ada yang lain lagi? Baginda berkata: Engkau lebih tahu . [Sunan an-Nasaie, Kitab az-Zakat, hadis no: 2353]

Nafkah wajib diberikan kepada semua yang memerlukan, daripada isteri, anak, ibu bapa, dan kaum kerabat jika seseorang berkemampuan untuk memberi nafkah kepada kesemua mereka, dan apabila kaum kerabat itu memang memerlukan kepada bantuan.

Adapun untuk isteri. Ia wajib dinafkahi walaupun si isteri berkemampuan dan kaya.

Seandainya seseorang tidak mampu menafkahi kesemuanya, dia wajib memberikan keutamaan kepada anak dan isterinya.

Imam an-Nawawi menyebutkan dalam Raudhatut Thalibin:

فإذا اجتمع على الشخص الواحد محتاجون ممن تلزمه نفقتهم ، نظر ؛ إن وفى ماله أو كسبه بنفقتهم ، فعليه نفقة الجميع ، قريبهم وبعيدهم ، وإن لم يفضل عن كفاية نفسه إلا نفقة واحد ، قدم نفقة الزوجة على نفقة الأقارب

Apabila berkumpulnya ramai yang memerlukan nafkah daripada seseorang yang wajib memberi nafkah, maka ia bergantung kepada keadaan. Seandainya hartanya cukup menafkahi kesemua mereka, hendaklah dia memberi nafkah kepada kesemuanya, sama ada kerabat yang dekat atau pun jauh. Seandainya harta tidak cukup dan dia hanya mampu memberikan nafkah kepada satu orang sahaja, maka diutamakan memberi nafkah kepada isteri berbanding nafkah kepada kaum kerabat.

Imam al-Syaukani menyebutkan dalam Nailul Authar:

وقد انعقد الإجماع على وجوب نفقة الزوجة ، ثم إذا فضل عن ذلك شيء فعلى ذوي قرابته

Telah berlakunya ijma' bahawa wajibnya menafkahi isteri. Seandainya ada lebihan harta, maka hendaklah diberikan nafkah kepada kaum kerabat.

Dr. Wahbah az-Zuhaily menyebutkan dalam Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu:

إذا تعدد مستحقو النفقة ولم يكن لهم إلا قريب واحد، فإن استطاع أن ينفق عليهم جميعاً وجب عليه الإنفاق، وإن لم يستطع بدأ بنفسه، ثم بولده الصغير أو الأنثى، أو العاجز، ثم بزوجته. وقال الحنابلة: تقدم الزوجة على الولد ، ويقدَّم الأب على الأم لفضيلته، وانفراده بالولاية، واستحقاق الأخذ من ماله. وقال ابن قدامة: الأولى التسوية بينهما. وقيل عند الشافعية: يقدم الأب، وقيل: الأم والأب سواء

Apabila terdapat ramai yang berhak diberikan nafkah, dan hanya ada seorang yang akan memberikan nafkah. Jika dia mampu untuk menafkahi kesemuanya, maka wajib dia menafkahi kesemuanya. Jika tidak mampu, hendaklah dia memulakan dengan memberi nafkah kepada dirinya sendiri dahulu, kemudian kepada anak-anak lelakinya yang kecil atau anak perempuannya atau anaknya yang kurang upaya, kemudian kepada isterinya. Ulama Hanabilah berkata: Si isteri didahulukan sebelum anak-anak, dan si ayah didahulukan sebelum si ibu kerana keutamaannya dan kekuasaannya sebagai suami, dan si isteri berhak mengambil pula harta daripada hartanya. Ibn Qudamah berkata: Lebih utama disamakan nafkah antara keduanya (iaitu antara ibu dan ayah), dikatakan daripada ulama-ulama mazhab Syafie: Diutamakan bapa (sebelum si ibu), dan dikatakan jua: Ibu dan bapa kedudukannya sama.

Ibn Qudamah menukilkan dalam al-Mughni:

وَمَنْ لَمْ يَفْضُلْ عَنْ قُوتِهِ إلَّا نَفَقَةُ شَخْصٍ ، وَلَهُ امْرَأَةٌ ، فَالنَّفَقَةُ لَهَا دُونَ الْأَقَارِبِ ؛ لِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَدِيثِ جَابِرٍ : { إذَا كَانَ أَحَدُكُمْ فَقِيرًا ، فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ ، فَإِنْ كَانَ لَهُ فَضْلٌ ، فَعَلَى عِيَالِهِ ، فَإِنْ كَانَ لَهُ فَضْلٌ ، فَعَلَى قَرَابَتِهِ .
وَلِأَنَّ نَفَقَةَ الْقَرِيبِ مُوَاسَاةٌ ، وَنَفَقَةَ الْمَرْأَةِ تَجِبُ عَلَى سَبِيلِ الْمُعَاوَضَةِ ، فَقُدِّمَتْ عَلَى مُجَرَّدِ الْمُوَاسَاةِ ، وَلِذَلِكَ وَجَبَتْ مَعَ يَسَارِهِمَا وَإِعْسَارِهِمَا ، وَنَفَقَةُ الْقَرِيبِ بِخِلَافِ ذَلِكَ ، .

Sesiapa yang tidak mampu memberi nafkah melainkan kepada seorang sahaja, maka hendaklah dia memberi nafkah kepada isterinya tanpa memberi nafkah kepada kerabat yang lain. Ini berdasarkan sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis Jabir: Apabila salah seorang daripada kalian miskin, hendaklah dia memulakan untuk dirinya, jika ada lebihan, hendaklah untuk orang di bawah tanggungannya, jika ada lebihan, hendalah untuk kerabatnya. Ini kerana nafqah untuk kaum kerabah ialah "muwasah" sedangkan nafqah untuk isteri adalah "mua'wadhoh", maka nafqah untuk isteri adalah diutamakan. Oleh kerana itu wajib memberi nafqah kepada isteri tidak kira dalam keadaan senang atau pun susah. Sedangkan nafqah untuk kerabat tidak begitu.

Apakah maksud muwasah: Muwasah bermaksud nafqah itu hanya diberikan apabila orang itu memerlukan, dia miskin dan lain-lain.

Muawadhah pula bermaksud, nafqah itu wajib diberikan tidak kiralah kondisi si penerima itu miskin atau kaya.

Isteri nafqahnya dalam bentuk muawadhah, dia menerima nafqah itu kerana dia seorang isteri. Manakala kaum kerabat menerima nafqah apabila mereka miskin. Begitu juga ibu bapa, hanya wajib dinafkahi apabila mereka miskin dan memerlukan, jika tidak, ia tidak wajib.

Ulama hanya berbeza pendapat pada keutamaan memberi nafkah kepada anak dan isteri. Siapakah yang lebih utama.

Shaikh Ibn al-Uthaimin menyatakan:

فالصواب أنه يبدأ بنفسه ، ثم بالزوجة ، ثم بالولد ، ثم بالوالدين ، ثم بقية الأقارب

Yang benar: Hendaklah seseorang memulakan dengan nafkah kepada dirinya sendiri, kemudian kepada isterinya, kemudian kepada anak-anaknya, kemudian kepada kedua ibu bapanya, kemudian kepada kaum kerabat yang lain. [Fath Dzil Jalali wal Ikram]

#MMMR