Ahad, 1 Mac 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 3)

Syeikh Muhammad Ibrahim Alusy-Syeikh rahimahullah (wafat 1389 Hijrah) berkata dalam kitabnya "Tahkim Al-Qawanin" dalam menjelaskan berkenaan hukuman agama terhadap seorang hakim atau pemerintah adalah berbeza menurut pendirian iktikad dan amalannya yang berlainan. 

Beliau rahimahullah berkata:

“Dan dari apa yang telah diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.huma dalam menafsirkan ayat ini dari riwayat Towus dan lain-lain, menunjukkan bahawa seorang hakim yang berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah kafir; sama ada kafir iktikad yang mengeluarkan dari agama atau kafir amali yang tidak mengeluarkannya dari agama. Adapun (bahagian) pertama iaitu kufur iktikad adalah terbahagi kepada beberapa jenis:

1. Pengingkaran seorang hakim atau pemerintah yang berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah terhadap kebenaran hukum Allah dan RasulNya. Ini adalah apa yang dimaksudkan oleh riwayat dari Ibnu Abbas. Ia juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Ibnu Jarir (At-Tobari). Sesungguhnya ia merupakan pengingkaran terhadap hukum syarak yang telah diturunkan oleh Allah. Para ulama bersepakat dalam perkara ini berdasarkan kaedah yang telah dipersetujui oleh mereka bahawa sesiapa yang mengingkari satu usul (dasar) dari usul-usul agama, atau mengingkari perkara-perkara furuk yang telah dipersetujui oleh mereka semua, ataupun mengingkari satu kalimah yang telah jelas pasti adalah berpunca dari sunnah Rasul ﷺ, maka orang itu adalah kafir yang mengeluarkannya dari agama.

2. Tidak mengingkari seorang hakim atau pemerintah yang berhukum dengan selain hukum Allah dan RasulNya pada hakikat yang sebenarnya, tetapi dia beriktikad (berkeyakinan) bahawa hukum selain dari hukum Rasul ﷺ adalah lebih baik atau lebih sempurna atau lebih menyeluruh dari hukum (Rasul) itu dalam keperluan manusia untuk menghakimkan sesuatu perselisihan yang terdapat di antara mereka... Ini juga tidak syak bahawa ia adalah kufur oleh kerana dia mendahulukan hukum-hukum makhluk (daripada hukum Allah)... Hukum Allah dan RasulNya tidak berubah bentuknya disebabkan perbezaan zaman, atau perubahan atau perkembangan sekeliling...

3. Dia tidak mengiktikadkan (hukum manusia) sebagai lebih baik dari hukum Allah dan RasulNya, tetapi dia mengiktikadkan bahawa ia adalah serupa atau setaraf dengannya. Maka ini adalah sama seperti kedua-dua jenis yang sebelumnya (no. 1 dan no. 2 di atas) iaitu hukumnya kafir yang mengeluarkan dari agama disebabkan perkara ini (pada hakikatnya) menyamakan makhluk (setaraf) dengan penciptaNya.

4. Mengiktikadkan boleh (mubah/harus/pilihan) berhukum dengan hukum yang menyalahi hukum Allah dan RasulNya. Ini (juga) sama seperti yang sebelumnya (no. 1, 2 dan 3)...

5. Ini merupakan bahagian yang paling besar, paling menyeluruh dan paling jelas dalam mengingkari (hukum) syarak... Iaitu: hukum-hukum yang diperdustakan dari (himpunan) undang-undang yang berlainan. Hukum-hukum ini adalah banyak bilangannya seperti undang-undang Perancis, undang-undang Amerika, undang-undang British dan lain-lain lagi... Penghakiman berbentuk ini adalah telah tersedia ada dan dilaksanakan dikebanyakan negara-negara Islam pada ketika ini... Maka adakah kekufuran yang lebih tinggi dari kekufuran ini? Adakah penafian terhadap persaksian bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah (yang lebih besar) dari penafian ini...? Sepertimana dilarang makhluk menyembah selain dari Allah dan tidak boleh mengabdikan diri melainkan kepadaNya sahaja serta tidak boleh menyembah kepada makhluk-makhluk, maka begitulah juga halnya wajib dia tidak tunduk, patuh dan taat melainkan kepada hukum Allah...

6. Seperti yang berhukum dengannya kebanyakan dari ketua-ketua kaum dan kabilah-kabilah dari kawasan pedalaman dan lain-lain dari hikayat-hikayat datuk nenek mereka dari adat-adat... Saki-baki dari hukum-hukum jahiliyah..

Adapun bahagian yang kedua dari dua bahagian kufur penghakiman selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah, iaitu kekufuran yang tidak mengeluarkannya dari agama ialah apa yang dimaksudkan oleh pendapat Ibnu Abbas sebagai “Kufrun duna kufrin” (Kafir tanpa kafir) sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini di dalam tafsirannya terhadap firman Allah SWT (yang bermaksud): “Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang-orang kafir...” Ini adalah disebabkan penguasaan hawa nafsunya ke atas sesuatu penghukuman yang dihukumkannya dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah di samping mengiktikadkan bahawa hukum Allah dan RasulNya itulah yang hak dan pengakuan pada dirinya bahawa apa yang telah dilakukannya itu adalah salah dan menyimpang dari kebenaran yang sebenarnya.

Perbuatan ini, walaupun ia tidak mengeluarkannya dari agama, tetapi ia sesungguhnya merupakan satu perbuatan maksiat yang besar malah lebih besar dari dosa-dosa besar seperti zina, minum arak, mencuri, sumpah yang dusta dan lain-lain lagi kerana sesuatu maksiat yang telah disebutkan oleh Allah dalam kitabNya sebagai “kufur” adalah lebih berat dari perbuatan maksiat yang tidak disebutkan sebagai kafir.” (Dinukil dari Manhaj Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ismail bin Omar, halaman 304-307)

Syeikh Asy-Syanqiti rahimahullah berkata: 

“Penyelesaian kepada persoalan ini berlegar sekitar antara hukum kufur, zalim dan fasiq. Setiap hukum ini ketika disebut oleh syarak kadang-kadang memberi makna melakukan maksiat dan kadang-kadang memberi makna kufur yang mengeluarkan daripada Islam. Sehubungan dengan itu, maksud ayat:

“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah...” 

Sekiranya dalam bentuk penentangan terhadap para rasul dan pemansukhan syariat Allah, maka kezaliman, kefasiqan dan kekufurannya mengeluarkannya daripada Islam.

Sekiranya dia yakin bahawa dia telah melakukan perbuatan haram dan keji, maka kekufuran, kefasiqan dan kezaliman tidak mengeluarkannya daripada Islam.” (Adhwaul Bayan, 2/104).

Silakan lihat kembali penjelasan di bahagian pertama dan kedua sebelum ini, mengenai tidak berhukum dengan hukum Allah yang tidak mengeluarkan dari agama.

Sebagai tambahan, berikut ini pula penjelasan mengenai perbezaan antara mengkafirkan secara umum dan secara individu.

Dr. Abdurrahman Al-Mahmud berkata:

إحداهما: رأتْ أن المعين لا يُكفر أبدًا، فأغلقت بابَ الردة؛ بدعوى صعوبة التطبيق على المعين؛ لعدم وجود شرط من شروط التكفير، أو لوجود مانع من موانعه، كما سبقت الإشارة إلى شيء من ذلك، عندما يقول المرجئة: إنه لا يكفر إلا المكذبُ بقلبه فقط، ومعنى ذلك أننا لا نستطيع أن نحكم على أحد بالكفر بعينه لأي قول، أو فعل من الأفعال، مهما كان ناقضًا للإسلام؛ لأنه قد يكون مؤمنًا لوجود التصديق في قلبه. والأخرى: قالت إذا وُجِد الحُكْم العامُّ على فِعلٍ منَ الأعمال بأنه كُفْر، دخل فيه جميع الأفراد ممن وقع منهم هذا الفعل المُكَفِّر، وكفروا بأعيانهم، دون النَّظر إلى حال كلِّ فرد على حدة؛ مِن حيث توفُّر شروط التَّكفير، وانتفاء موانعه. أما أهل السنة، فإنهم لم يقولوا: إنَّ المُعَيَّن لا يكفر أبدًا؛ كما أنهم لم يوقعوا التكفير على كل من فعل المُكَفِّر، دون النظر إلى عوارض الأهليَّة. ولو نَظَرْنا إلى فعل السلف - رحمهم الله تعالى - لَوَجَدْنا أنهم كثيرًا ما يُطلقون التكفير في بعض الأفعال، والبدع، والمقالات، ونحوها، وحينما يطبقونها على محلِّها بتكفير المعين، يُشَدِّدون في التطبيق؛ لأنَّ مَن وقع منه ذلك قد يكون جاهلاً، أو متأوِّلاً تأويلاً سائغًا، أو حديث عهد بالإسلام، أو غير ذلك منَ الأمور التي تمنع منَ الحكم بتكفيره. والإمام أحمد وغيره أطلقوا: أنَّ التَّجَهُّم وتعطيل الصفات، أو القول بخلْق القرآن، أو إنكار رؤية الله، أوِ القَدَر - كُفر؛ لكنَّهم لم يُكَفِّروا الأعيان إلاَّ قليلاً ممن ثبت كفرهم، بتوفر الشروط، وانتفاء الموانع، ومن ثَمَّ أُقيمَتْ عليهم أحكام الرِّدَّة منَ القتل وغيره

“Sesungguhnya ada perbezaan di antara hukum secara umum ke atas suatu perbuatan (atau perkara yang dianggap kufur) dengan individu tertentu yang mengaplikasikan perbuatan tersebut pada dirinya.

Terdapat dua golongan yang keliru dalam masalah ini:

Golongan pertama: Kelompok yang menganggap bahawa seseorang tidak boleh dikafirkan sama sekali. Mereka menutup pintu kemurtadan dengan dalih bahawa amat sulit/sukar untuk menerapkan perkara tersebut ke atas seseorang kerana tidak adanya syarat-syarat takfir, atau kerana adanya sesuatu penghalang. Perkara tersebut sebagaimana yang telah kami isyaratkan sebelumnya pada perbahasan berkaitan perkataan Murji’ah (Murji’ah: salah satu kelompok sesat yang meyakini bahawa iman hanya dengan hati dan amal tidak memainkan peranan penting dalam naik dan turunnya iman – pen.) bahawa tidak dapat dikafirkan melainkan orang yang mendustakan dengan hatinya. Maksudnya di sini, kita tidak dapat menjatuhkan hukum kafir ke atas individu tertentu disebabkan perkataan dan perbuatannya yang kufur (walaupun perbuatannya tersebut jelas membatalkan keislamannya), kerana mungkin pada dirinya masih ada keimanan di hati (pembenaran hati).

Golongan kedua: Kelompok yang mengatakan - apabila ada hukum yang menyatakan sesuatu perbuatan itu kafir secara umum, bererti sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan tersebut, ia pun dijatuhkan hukum kafir tanpa melihat keadaan setiap individu tersebut secara terprinci bagi memastikan adakah setiap syarat takfir (pengkafiran) telah dipenuhi atau belum berserta semua penghalang dan takwilan telah luput atau belum.

Adapun Ahli Sunnah wal-Jamaah, mereka tidak mengatakan bahawa tidak dapat dihukum kafir sama sekali, sebagaimana juga mereka tidak menjatuhkan hukum kafir kepada setiap individu (muslim) yang melakukan amalan kekafiran tanpa melihat faktor-faktor kelayakannya.

Sekiranya kita melihat kepada sikap para salaf (ulama generasi awal) rahimahullah, tentu kita akan dapati mereka banyak menjatuhkan hukum kafir kepada beberapa bentuk perbuatan, bid’ah-bid’ah, perkataan-perkataan, dan seumpamanya. Akan tetapi, di ketika mereka mahu mengaplikasikannya pada tempatnya dengan mengkafirkan individu tertentu, mereka terlebih dahulu melakukan penelitian (perincian) yang sangat ketat dalam penerapannya. Ini adalah kerana orang yang terjerumus ke dalamnya boleh jadi jahil, atau mentakwil dengan takwilan yang dapat diterima, atau baru sahaja memeluk Islam (muallaf) serta banyak perkara tertentu yang menghalangnya untuk menjatuhkan hukum kafir dengan serta-merta.

Imam Ahmad dan ulama lainnya menyatakan secara umum bahawa fahaman Jahmiyah itu kafir, menafikan sifat Allah itu kafir, mengatakan al-Qur’an makhluk itu kafir, mengingkari ru’yatullah (melihat Allah) itu kafir, dan mengingkari takdir juga kafir. Tetapi, mereka tidak serta-merta mengkafirkan individu tertentu (yang melakukan perkara tersebut) melainkan hanya sedikit iaitu orang-orang yang telah jelas kekafirannya dengan telah cukup syarat-syaratnya dan tiada lagi takwil penghalangnya. Berdasarkan ini semua, hukum-hukum kemurtadan ditegakkan ke atas mereka, sama ada dengan bunuh atau seumpamanya. (Risalah al-Hukmu bi Ghairi ma Anzalallah, halaman 372-373).

Syeikh Abdullah bin Abdul Hamid Al-Athari berkata:

“Ahli Sunnah Wal Jamaah membezakan antara hukum secara mutlak terhadap ahli bidaah yang disebabkan kemaksiatan atau kekafiran dengan hukum secara khusus terhadap seorang Muslim yang diyakini keislamannya, namun timbul darinya suatu perbuatan bidaah. Bahawasanya dia adalah orang yang bermaksiat, fasik, atau kafir. Maka Ahli Sunnah tidak menghukumi orang tersebut sampai dijelaskan kebenaran kepadanya, iaitu dengan cara iqamatul hujjah (ditegakkan hujah) dan hilangnya syubhat (keraguan). Hal ini berlaku dalam permasalahan yang samar (tersembunyi) bukan permasalahan yang sifatnya zahir (jelas dan nyata). Kemudian Ahli Sunnah juga tidak mengkafirkan seorang Muslim, kecuali jika benar-benar telah memenuhi persyaratan dan bebas dari segala halangan.” (Al-Wajiz fi Aqidatis-Salafis-Soleh, halaman 156-157).

Syeikh Alwi bin Abdul Qadir As-Seqaf berkata: 

“Menurut Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang merupakan penghalang pengkafiran ada empat: (1) Tidak tahu, (2) tidak sengaja, (3) Takwil dan (4) Pemaksaan.” (At-Tawassut wal Iqtisod, halaman 13).

Kitab Syeikh Alwi bin Abdul Qadir di atas ini menghimpunkan kalam-kalam para ulama salaf mahupun khalaf berkenaan kekufuran terjadi disebabkan ucapan atau perbuatan meskipun tanpa adanya keyakinan mahupun menganggap halal. Beliau menulis kitab tersebut dalam rangka membantah syubhat golongan yang mengatakan kekafiran hanya berlaku sekiranya ucapan dan perbuatan kekafiran disertai dengan keyakinan di dalam hati (yakni pandangan golongan Murji-ah). 

Semoga Allah memberkati kita semua dan memberi hidayah serta taufiqNya kepada kita semua agar terus istiqamah di atas Manhaj Islam dan Tauhid (Ahli Sunnah wal Jamaah) yang sebenar.