Isnin, 29 Oktober 2018

PENERANGAN MENGENAI ASAS AKIDAH

Risalah Pertama dari Kumpulan Risalah

Penerangan Mengenai Asas Akidah


Apabila ditanya Siapakah Tuhan engkau? Maka jawablah: Tuhanku ialah Allah.


Apabila ditanya: Apa makna al-Rabb? Maka jawablah: Tuhan yang di sembah yang memerintah alam semesta dan yang maha kuasa.


Apabila ditanya: Apakah makhluk Allah yang paling besar engkau perhatikan? Maka jawablah: Langit dan bumi.


Apabila ditanya: Apakah tanda-tanda kekuasaannya yang paling besar engkau perhatikan? Maka jawablah: Siang dan malam. Dalilnya ialah firman Allah Ta'ala:


إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ ۗ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ


Terjemahan: "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi selama enam hari lalu dia bersemayam di atas Arasy dia menutup malam dengan siang yang mengikutinya dengan cepat dan matahari, bulan serta bintang-bintang tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, mencipta dan memerintah itu hanyalah hak Allah. Maha suci Allah, Tuhan semesta alam." (Al-A'raf 7: 54)


Apabila ditanya: Apa makna Allah? Maka jawablah: Maknanya ialah yang memiliki Al-Uluhiyyah dan Al-'Ubudiyyah ke atas sekalian makhluknya.


Apabila ditanya: Kenapakah Allah menciptakan engkau? Maka jawablah: Untuk beribadah kepadaNya.


Apabila ditanya: Apakah yang dimaksudkan dengan beribadah kepadaNya? Maka jawablah: Mentauhidkan dan mentaatiNya.


Apabila ditanya: Apakah dalil mengenai yang demikian itu? Maka jawablah: Dalilnya ialah firman Allah:


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


Terjemahan: "Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaku." (Az-Zariyat 51: 56)


Apabila ditanya: Apakah perkara pertama yang telah difardukan oleh Allah ke atas engkau? Maka jawablah: Mengkafirkan taghut dan beriman dengan Allah. Dalilnya ialah firman Allah Taala:



لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ


Terjemahan: "Tiada paksaan di dalam agama. Sesungguhnya telah jelas petunjuk daripada kesesatan. Maka sesiapa yang mengkafirkan taghut dan beriman dengan Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang dengan tali teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah 2: 256)


Apabila ditanya: Apakah al-'Urwat al-Wuthqa itu? Maka jawablah: Kalimah "Laa ilaaha ilLalLaah". Makna kalimah "Laa ilaaha" itu mengandungi erti nafi, manakala "ilLalLaah" itu mengandungi erti ithbat.


Apabila ditanya: Apakah yang engkau nafi dan apakah yang engkau ithbatkan itu? Maka jawablah: Nafi segala sesuatu yang diibadati selain Allah dan ithbat bahawa ibadat itu hanyalah hak Allah semata-mata, tiada sekutu bagiNya.


Apabila ditanya: Apakah dalil mengenai yang demikian itu? Dalil nafi ialah firman Allah Ta'ala:



وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ إِنَّنِي بَرَاءٌ مِمَّا تَعْبُدُونَ


Terjemahan: "Dan ingatlah tatkala Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah." (Az-Zukhruf 43: 26)


Manakala dalil ithbat pula ialah firman Allah:


إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ


Terjemahan: "Melainkan (aku menyembah) Tuhan yang telah menciptakan aku." (Az-Zukhruf 43: 27)


Apabila ditanya: Apakah perbezaan di antara tauhid ar-Rububiyyah dan tauhid al-Uluhiyyah? Maka jawablah: Tauhid ar-Rububiyyah itu ialah perbuatan al-Rabb (Tuhan) seperti mencipta, mengurniakan rezeki, menghidupkan, mematikan, menurunkan hujan, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, dan mentadbir segala urusan. Manakala Tauhid al-Uluhiyyah itu ialah perbuatan kamu wahai sekalian hamba Allah seperti berdoa, takut, harap, tawakal, beribadat, kasih, bimbang, bernazar, memohon pertolongan, dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan ibadat.


Apabila ditanya: Apakah agama engkau? Maka jawablah: Agamaku ialah Islam. Pokok dan dasar Islam itu mengandungi dua perkara:


1. Perintah beribadat hanya kepada Allah semata-mata dengan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Allah mengobarkan ibadat yang ikhlas dan berterusan dikerjakannya. Allah mengkafirkan mereka yang melakukan syirik.


2. Ancaman terhadap mereka yang melakukan syirik dalam beribadat kepada Allah. Dia memberikan ancaman keras, memusuhi dan mengkafirkan mereka yang melakukan syirik.


Islam itu dibina di atas lima rukun:


1. Penyaksian bahawasanya Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w itu adalah utusan Allah.

2. Mendirikan solat.

3. Mengeluarkan zakat.

4. Berpuasa pada bulan Ramadhan, dan

5. Mengerjakan haji bagi mereka yang berkemampuan.


Dalil mengenai syahadah ialah firman Allah Ta'ala:


شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ


Terjemahan: "Allah menyatakan bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, yang Menegakkan Keadilan. Para malaikat dan mereka yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Ali 'Imran 3: 18)


Dalil bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah Rasul (utusan) Allah Ta'ala:


مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ 


Terjemahan: "Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa daripada seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup bagi para nabi..." (Al-Ahzab 33: 40)


Dalil mengenai ikhlas dalam beribadat, menunaikan solat dan mengeluarkan zakat pula ialah firman Allah Ta'ala:



وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ


Terjemahan: "Dan tidaklah mereka itu diperintah kecuali supaya beribadat kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya dalam (melaksanakan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itu adalah agama yang lurus." (Al-Baiyinah 98: 5)


Dalil mengenai puasa pula ialah firman Allah Ta'ala: 



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Terjemahan: "Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah 2: 183)


Dalil mengenai ibadat haji pula ialah firman Allah Ta'ala:



وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ


Terjemahan: "...Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi mereka yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Sesiapa yang mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada sekalian alam." (Ali 'Imran 3: 97)


Rukun iman itu enam perkara:


1. Beriman kepada Allah,

2. Para MalaikatNya,

3. Segala KitabNya,

4. Para RasulNya,

5. Hari Akhirat,

6. Ketentuan baik dan buruknya sesuatu perkara itu daripada Allah.


Ihsan itu pula ialah engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat Dia. Sekiranya engkau tidak melihat Dia, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.


Apabila ditanya: Siapakah Nabi engkau? Maka jawablah: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim. Hasyim daripada keturunan Quraisy dan Quraisy pula adalah dari bangsa Arab. Bangsa Arab pula adalah dari zuriat Ismail bin Ibrahim al-Khalil ('ala nabiyyina wa 'alaihi afdhalus-solatu was-salam). Negeri baginda ialah Makkah. Kemudiannya baginda berhijrah ke Madinah. Umur baginda 63 tahun: 40 tahun sebelum nubuwwah dan 23 tahun sebagai nabi dan rasul. Baginda di angkat sebagai nabi melalui ayat Iqra' dan dilantik sebagai rasul dengan ayat al-Muddaththir.


Apabila ditanya: Adakah baginda telah wafat atau belum wafat? Maka jawablah: Baginda telah wafat, tetapi agamanya tidak mati dan tidak akan mati hinggalah ke hari kiamat. Dalilnya ialah firman Allah Ta'ala:


إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ * ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ


Terjemahan: "Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu akan berbantah-bantah pada hari kiamat di hadapan Tuhanmu." (Az-Zumar 39: 30-31)


Apabila ditanya: Adakah manusia itu sstelah mati akan dibangkitkan semula? Maka jawablah: Ya. Dalilnya ialah firman Allah Ta'ala:


مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ


Terjemahan: "Daripada tanah itulah Kami jadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan mamu sekali lagi." (Taha 20: 55)


Sesiapa yang mengingkari hari kebangkitan adalah kafir. Dalilnya ialah firman Allah Ta'ala:


زَعَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ لَنْ يُبْعَثُوا ۚ قُلْ بَلَىٰ وَرَبِّي لَتُبْعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِمَا عَمِلْتُمْ ۚ وَذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ


Terjemahan: "Orang yang kafir mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Katakanlah: Tidak demikian, demi Tuhanku, Kamu benar-benar akan dibangkitkan. Kemudian akan diberikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (At-Taghabun 64: 7)


(*) Disalin semula oleh Mohd Safwan bin Mohd Rusydi dari Kumpulan Risalah yang dikeluarkan oleh Cahaya Pantai (M) Sdn. Bhd. 1993. Penterjemah: Baharuddin Ayudin.