Selasa, 18 September 2018

BELAJARLAH SEDIKIT DEMI SEDIKIT


Sebahagian pemuda begitu semangat dalam menuntut ilmu. Memang semangat itu perlu dan bagus. Namun ilmu agama itu luas dan sangat banyak sekali. Tidak mungkin seseorang mampu menghafal Al-Quran 30 juzuk dalam masa sehari. Bahkan Nabi SAW juga mengambil masa 23 tahun menerima dan menyampaikan wahyu kepada umat. 


Firman Allah:


 وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا


Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. [Surah Al-Isra' 106]


Imam Ibnu Kathir rahimahullah berkata: "Menurut ulama yang membacanya secara takhfif tanpa tasydid, makna­nya ialah Kami turunkan secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit yang terdekat, kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w sesuai dengan kejadian-kejadian yang dialaminya dalam masa 23 tahun. Demikianlah menurut penda­pat Ikrimah, dari Ibnu Abbas." (Tafsir Al-Quran Al-Azhim, penjelasan surah al-Isra' ayat 106)





Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri rahimahullah yang merupakan seorang ulama kibar tabi’in, berkata kepada anak muridnya iaitu Yunus bin Yazid:


يا يونس, لا تكابر العلم فإن العلم أودية ، فأيها أخذت فيها قطع بك قبل أن تبلغه ، ولكن خذه مع الأيام والليالي، ولا تأخذ العلم جملة ، فإن من رام اخذه جملة ذهب عنه جملة ، ولكن الشيء بعد الشيء مع الأيام والليالي


“Wahai Yunus janganlah engkau sombong terhadap ilmu. Kerana sesungguhnya ilmu itu bagaikan di tepi jurang bukit. Jika engkau berusaha melaluinya (untuk terus sampai ke penghujungnya), engkau akan terhenti sebelum sampai kepadanya. Akan tetapi laluilah (walau terpaksa memakan masa) berhari-hari. Janganlah engkau mengambil ilmu semua sekaligus, kerana sesungguhnya sesiapa yang mengambil ilmu (secara) semua sekaligus, maka ia akan hilang daripadanya juga secara semua sekaligus. Akan tetapi, ambilah sedikit demi-sedikit, (meskipun terpaksa memakan masa) berhari-hari.” (Jami Bayan al-Ilmi wa Fadhilih, 1/104)


Imam Ahmad rahimahullah pernah ditanya:


إلى متى وأنت مع المحبرة


“Sampai bila engkau masih bersama dengan wadah tinta?”


Beliau menjawab:


مع المحبرة إلى المقبرة


“Bersama wadah tinta sehingga ke liang kubur.”


Maka janganlah kita berhenti dalam meraih ilmu agama. Belajarlah ilmu agama sedikit demi sedikit meskipun sehingga ajal menjemput kita. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita selaku tolabul ilmi untuk terus menerus belajar ilmu agama dan memberikan keistiqamahan dalam menuntut ilmu agama yang mulia ini seterusnya memberikan kekuatan untuk meneruskan usaha dakwah menyampaikannya kepada masyarakat seluruhnya. 


Mohd Safwan bin Mohd Rusydi 

Taman kuala menggatal

Kota Kinabalu, Sabah 

18 September 2018 / 8 Muharram 1440