Ahad, 23 September 2018

DIA (ALLAH) YANG AWAL, YANG AKHIR, YANG ZAHIR DAN YANG BATIN

Firman Allah SWT:


هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ


Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [Surah Al-Hadid 3]


Imam Ibnu Kathir rahimahullah berkata:


وقد اختلفت عبارات المفسرين في هذه الآية وأقوالهم على نحو من بضعة عشر قولا. وقال البخاري قال يحيى: الظاهر على كل شيء علما والباطن على كل شيء علما


"Sesungguhnya para mufassir (ulama tafsir) berbeza pendapat pada ayat ini, pendapat mereka lebih dari sepuluh pendapat. Imam Bukhari berkata bahawa Yahya berkata: Az-Zahir ertinya ialah mengetahui segala sesuatu (yang nampak). Manakala Al-Batin ertinya ialah mengetahui segala sesuatu (yang tersembunyi dalam diri)." (Tafsir Ibnu Kathir)


Dari Suhail berkata:


كَانَ أَبُو صَالِحٍ يَأْمُرُنَا إِذَا أَرَادَ أَحَدُنَا أَنْ يَنَامَ: أَنْ يَضْطَجِعَ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ، ربّ السموات وَرَبَّ الْأَرْضِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ ذِي شَرٍّ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، اللَّهُمَّ، أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ، وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ.


"Bahawa dahulu Abu Soleh memerintahkan kepada kami jika seseorang dari kami hendak tidur, maka hendaklah dia berbaring pada lambung kanannya, kemudian membaca doa berikut: Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit, Tuhan yang menguasai bumi, Tuhan yang menguasai Arasy yang besar. Ya Tuhan kami dan Tuhan yang menguasai segala sesuatu, Yang membelah biji dan benih, Yang menurunkan Taurat, Injil, dan Al-Qur’an, aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan setiap makhluk yang jahat yang ubun-ubunnya berada di genggamanMu. Ya Allah, Engkau adalah Yang Awal, maka tiada sesuatu pun sebelum Engkau; dan Engkau Yang Akhir, maka tiada sesuatu pun sesudah Engkau; dan Engkau Yang Zahir, maka tiada sesuatu pun di atas Engkau; dan Engkau Yang Batin, maka tiada sesuatu pun di bawah Engkau. Maka tunaikanlah dari kami hutang-hutang kami dan berilah kami kecukupan dari kefakiran." (HR. Muslim)


Dr. Said bin Ali bin Wahf Al-Qahtani berkata:


"Al-Awal menunjukkan bahawasanya setiap makhluk selain Allah ada huduth (baharu diciptakan), ada setelah sebelumnya tiada. Seorang hamba hendaklah memperhatikan kurnia TuhanNya dalam setiap nikmat agama dan dunia kerana sebab dan yang memberikan sebab berasal dari Allah SWT. Al-Akhir menunjukkan bahawa Dialah kesudahan dan tempat bergantung semua makhluk dengan menyembah, berharap, takut, dan memohon kepadaNya.


Az-Zahir menunjukkan keagungan sifatNya dan fana (binasanya) segala sesuatu di sisi keagunganNya, sama ada berupa zat mahupun sifat atas uluwNya (ketinggianNya) Al-Batin menunjukkan pengetahuanNya (penglihatanNya) atas segala rahsia yang tersimpan, tersembunyi, samar-samar, dan yang terperinci dari segala sesuatu, sebagaimana menunjukkan atas kesempurnaan Kedekatan Allah. Tidaklah bertentangan antara Az-Zahir dan Al-Batin kerana Allah SWT tiada sesuatu pun yang menyamaiNya dalam segala sifat." (Syarh Asma'illahil Husna fi Dhau-il Kitabi was-Sunnah)


Dr. Muhammad Khalil Harras berkata: 


"Firman Allah Dia Yang Awal dan Akhir menunjukkan adanya penguasaan terhadap waktu (إحاطة زمانية), dan Dia Yang Zahir dan Batin menunjukkan meliputi secara makna (إحاطة معانية) Nama Allah Az-Zahir ini menerangkan bahawasanya Dia Maha Tinggi di atas semha makhlukNya, tiada seorang pun yang melebihi ketinggianNya. 


Maka cakupan isi kandungan ayat tersebut adalah masalah meliputi (pencakupan) kekuasaan. Sifat Awwaliyyah dan Akhiriyyah Allah meliputi segala sesuatu yang awal dan akhir. Manakala sifat Zahiriyyah dan Batiniyyah Allah mencakup setiap yang zahir dan batin. Sifat Awal menunjukkan Allah bersifat qidam dan azali, dan sifat az-Zahir menunjukkan sifat ketinggianNya dan keagunganNya, serta sifat al-Batin menunjukkan sifat Kedekatan dan kebersamaan kepada hambaNya." (Syarah Al-Aqidah Al-Wasitiyyah) 



Selasa, 18 September 2018

BELAJARLAH SEDIKIT DEMI SEDIKIT


Sebahagian pemuda begitu semangat dalam menuntut ilmu. Memang semangat itu perlu dan bagus. Namun ilmu agama itu luas dan sangat banyak sekali. Tidak mungkin seseorang mampu menghafal Al-Quran 30 juzuk dalam masa sehari. Bahkan Nabi SAW juga mengambil masa 23 tahun menerima dan menyampaikan wahyu kepada umat. 


Firman Allah:


 وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا


Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. [Surah Al-Isra' 106]


Imam Ibnu Kathir rahimahullah berkata: "Menurut ulama yang membacanya secara takhfif tanpa tasydid, makna­nya ialah Kami turunkan secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit yang terdekat, kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w sesuai dengan kejadian-kejadian yang dialaminya dalam masa 23 tahun. Demikianlah menurut penda­pat Ikrimah, dari Ibnu Abbas." (Tafsir Al-Quran Al-Azhim, penjelasan surah al-Isra' ayat 106)





Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri rahimahullah yang merupakan seorang ulama kibar tabi’in, berkata kepada anak muridnya iaitu Yunus bin Yazid:


يا يونس, لا تكابر العلم فإن العلم أودية ، فأيها أخذت فيها قطع بك قبل أن تبلغه ، ولكن خذه مع الأيام والليالي، ولا تأخذ العلم جملة ، فإن من رام اخذه جملة ذهب عنه جملة ، ولكن الشيء بعد الشيء مع الأيام والليالي


“Wahai Yunus janganlah engkau sombong terhadap ilmu. Kerana sesungguhnya ilmu itu bagaikan di tepi jurang bukit. Jika engkau berusaha melaluinya (untuk terus sampai ke penghujungnya), engkau akan terhenti sebelum sampai kepadanya. Akan tetapi laluilah (walau terpaksa memakan masa) berhari-hari. Janganlah engkau mengambil ilmu semua sekaligus, kerana sesungguhnya sesiapa yang mengambil ilmu (secara) semua sekaligus, maka ia akan hilang daripadanya juga secara semua sekaligus. Akan tetapi, ambilah sedikit demi-sedikit, (meskipun terpaksa memakan masa) berhari-hari.” (Jami Bayan al-Ilmi wa Fadhilih, 1/104)


Imam Ahmad rahimahullah pernah ditanya:


إلى متى وأنت مع المحبرة


“Sampai bila engkau masih bersama dengan wadah tinta?”


Beliau menjawab:


مع المحبرة إلى المقبرة


“Bersama wadah tinta sehingga ke liang kubur.”


Maka janganlah kita berhenti dalam meraih ilmu agama. Belajarlah ilmu agama sedikit demi sedikit meskipun sehingga ajal menjemput kita. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita selaku tolabul ilmi untuk terus menerus belajar ilmu agama dan memberikan keistiqamahan dalam menuntut ilmu agama yang mulia ini seterusnya memberikan kekuatan untuk meneruskan usaha dakwah menyampaikannya kepada masyarakat seluruhnya. 


Mohd Safwan bin Mohd Rusydi 

Taman kuala menggatal

Kota Kinabalu, Sabah 

18 September 2018 / 8 Muharram 1440



Jumaat, 7 September 2018

BERNASIB MALANG DISEBABKAN KEMPUNAN/KEPUNAN

BERNASIB MALANG DISEBABKAN KEMPUNAN/KEPUNAN


Firman Allah:


قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ (18) قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (19)


Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau". (Yasin: 18-19)


Allah berfirman tentang kaum Fir'aun:


فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا بِمُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَلا إِنَّمَا طَائِرُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ


Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (Al-A'raf: 131)


Dan kaum Nabi Soleh berkata:


اطَّيَّرْنَا بِكَ وَبِمَنْ مَعَكَ قَالَ طَائِرُكُمْ عِنْدَ اللَّهِ


Mereka menjawab: "Kami merasa nahas dan malang dengan sebabmu, dan juga dengan sebab pengikut-pengikutmu!" Nabi Soleh berkata: Perkara yang menyebabkan baik dan malang kamu adalah di sisi Allah (dan Dia lah yang menentukannya, bukannya aku), sebenarnya kamu adalah kaum yang disesatkan (oleh hawa nafsu)". (An-Naml: 47)


Istilah agama sesuatu yang membawa malang atau petanda malang dipanggil Tataiyur


Apa itu tataiyur? Sebahagian orang mesti pernah melakukannya dan sebenarnya, bertataiyur itu adalah syirik.


عن ابن مسعود رضي الله عنه قال : قال رسول اللّه، صلى الله صلى الله عليه وسلم : الطيره شرك، الطيره شرك، وما منا الا ولكن يذهبه بالتوكل


"Dari Ibnu Mas'ud R.A berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Bertataiyur itu syirik, Bertataiyur itu syirik, dan tiada antara kita yang tidak terlibat dengannya kecuali akan dijauhkan oleh Allah dengan bertawakkal". (H/R Ahmad [3411] at-Tibb. Turmizi [1539] as-Sair) 


 

Bahaya At-Tatayyur


“At-Tatayyur” dapat menidakkan “At-Tauhid” dari dua sisi:


1. Pelaku “At-Tathayyur” telah menghilangkan tawakkalnya kepada Allah Subhanahu Wa Taala, serta bersandar kepada selain Allah Subhanahu Wa Taala. Padahal Allah Subhanahu Wa Taala adalah satu-satunya tempat bergantung. Sebagaimana disebutkan dalam surat Al-Ikhlas ayat ke-2 (yang ertinya):


اَللّٰهُ الصَّمَدُ‌ ۚ

Allah tempat meminta segala sesuatu. [Al-Ikhlas: Ayat 2]


Dan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala:


فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيــــهِ


“Maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah (hanya) kepada-Nya.” (Hud: 123)


2. Pelaku “At-Tatayyur” sesungguhnya bergantung kepada sesuatu yang tidak ada hakikatnya, bahkan hal itu hanya sebuah dugaan dan khayalannya saja (yang tidak layak untuk dijadikan tempat bergantung).

WASILAH 'ADIYAH (ADAT KEBIASAAN) DALAM BERDAKWAH

Semua wasilah yang mendokong seorang da'i dalam menyampaikan dakwahnya dari perkara-perkara yang merupakan kebiasaan masyarakatnya sesuai tuntutan zaman. 


Tidak diragukan lagi, bahawasanya semua wasilah-wasilah ini hukumnya berkait rapat dengan tujuan yang ingin dicapai.


Sesiapa sahaja yang menggunakannya dalam perkara yang tidak halal, maka hukumnya juga sama dengan tujuan untuk apa digunakannya. Begitu juga jika dimanfaatkan untuk sesuatu yang diredhai Allah, sama ada ucapan dan perbuatan maka hukumnya adalah sama seperti tujuan yang diharapkan tersebut. Penggunaan semua sarana atau wasilah yang berupa material sangat penting dalam dakwah mengajak manusia kembali kepada Allah. 


Adapun pujian Allah bagi orang yang berdakwah dalam firmanNya:


وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ


Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" [Surah Fussilat 33]


Ayat di atas menuntut agar mencontohi Rasulullah s.a.w dalam semua urusannya, dimana baginda s.a.w telah menyampaikan dakwahnya ke seluruh belahan timur dan barat bumi ini dari celah-celah kandungan makna yang mulia dan manhaj yang lurus, uslub yang menarik dan kesungguhan yang tidak pernah putus serta memberi contoh-contoh wasilah yang mubah (harus/boleh) dan memungkinkan. 


Maka hendaklah ke atas setiap da'i (pendakwah) ikut serta dalam program-program agama yang disebarkan melalui radio, televisyen, menulis artikel untuk surat khabar atau majalah. Ini kerana sesungguhnya semua wasilah ini akan tersebar ke seluruh pelusuk rumah-rumah dan selalu bersama menyertai setiap orang termasuklah mereka yang dalam perjalanan (musafir) mereka. 


(*) Nota penting: Acara TV dan selainnya mestilah menepati syarat-syarat yang dikehendaki syarak. Tidak sewenang-wenangnya mengikuti program-program yang ada percampuran antara halal dan haram. 


Wallahua'lam 


(Sumber: Diringkaskan dari Kitab Asas Manhaj As-Salaf fid-Da'wah ilallah, karya Fawwaz bin Hulayil bin Rabah As-Suhaimi)


https://t.me/almuwahhidunmy