Rabu, 18 November 2015

KEIMANAN IBUBAPA RASULULLAH S.A.W

Pada suatu pagi, saya membelek-belek surat khabar semalam yang tak sempat dibaca. Tiba-tiba saya terbaca suatu artikel yang mengatakan bahawa ibu bapa Rasulullah s.a.w. adalah di kalangan Ahli Fatrah yang beriman dan tidak kafir. Tidak lama selepas itu sayapun membuat sedikit pencarian di dalam alam maya dan saya dapati memang ada di kalangan umat manusia yang berkepercayaan demikian iaitulah golongan al-Syi'ah di samping sebahagian ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah. Teringat saya kepada beberapa hadith yang sahih membincangkan perkara ini, lalu saya membuat carian lagi dan saya mendapati pendapat JUMHUR (di antaranya ialah al-Imam al-Nawawi) ialah ibu bapa Rasulullah s.a.w. bukan di kalangan Ahli Fatrah dan mereka tidak beriman. Saya terpanggil di sini untuk mengemukakan soal jawab tersebut yang telah pun saya terjemahkan agar dapat dimanfaatkan bersama:

(Sumber dirujuk dahulu dan juga pada 3 Mac 2010: http://www.islamqa.com/ar/ref/47170):

Adakah ibu bapa Rasulullah s.a.w. di dalam syurga atau neraka? Kami mohon jawapan berdasarkan hadith yang menunjukkan perkara tersebut.

Segala puji bagi Allah jua.
Terdapat hadith daripada Nabi s.a.w. yang menunjukkan kedua ibu bapanya berada dalam neraka.

1. Muslim (203) meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas r.a. bahawa seorang lelaki bertanya, "Wahai Rasulullah, di manakah ayahku?" Jawab Nabi, "Di dalam neraka." Apabila lelaki itu berpusing untuk pergi, Baginda memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka."

Berkata al-Imam al-Nawawi r.a.:

"Petunjuk dalam hadith ini: bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia di dalam neraka dan dia tidak dapat disyafaatkan oleh hubungan kekeluargaan ahli keluarganya yang dekat. Petunjuk lain: bahawa sesiapa yang mati dalam tempoh 'fatrah' berdasarkan amalan masyarakat Arab yang menyembah berhala maka dia adalah di kalangan ahli neraka; ini bukan merupakan hukuman sebelum tibanya dakwah kerana sesungguhnya mereka itu telahpun sampai dakwah Nabi Ibrahim dan nabi-nabi lain kepada mereka a.s. "

2. Muslim (976) meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku telah meminta izin Tuhanku agar aku boleh meminta ampun untuk ibuku tetapi Dia tidak mengizinkan untukku. Aku juga telah meminta izinNya agar aku dapat menziarahi kuburnya lalu Dia mengizinkan untukku."

Berkata Pengarang 'Awn al-Ma'bud:

"tetapi Dia tidak mengizinkan untukku" kerana ibunya adalah kafir dan meminta ampun untuk orang kafir adalah dilarang."

Berkata al-Imam al-Nawawi:

"Petunjuk dalam hadith ini: larangan meminta ampun untuk orang-orang kafir."

Berkata Shaykh Bin Baz r.a.:

"Apabila Nabi s.a.w. berkata "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka," baginda menyebutnya berdasarkan ilmu, kerana baginda s.a.w. tidak menuturkan sesuatu berdasarkan hawa nafsu, seperti yang disifatkan Allah tentangnya dalam firmanNya {1. Demi bintang semasa ia menjunam, -2. rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). 3. dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. 4. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadaNya.} (Surah al-Najm 53:1-4).

Jika tidak kerana Abdullah bin Abdul Muttalib yang merupakan ayah Nabi s.a.w. telah tertegak hujah ke atasnya, pasti Nabi s.a.w. tidak akan mengatakan tentangnya seperti itu. Maka kemungkinan telah sampai kepadanya perkara yang menegakkan hujah daripada agama Nabi Ibrahim s.a.w. Ini kerana mereka iaitu masyarakat Arab dahulunya mereka berada di atas agama Nabi Ibrahim sehingga mereka membuat amalan baru yang dipelopori oleh Amr bin Luhayy al-Khuza'i. Amalan Amr telah berleluasa dalam masyarakat; iaitu penyebaran patung-patung dan berdoa kepadanya bukan kepada Allah.

Kemungkinan yang ada ialah Abdullah (Ayah Rasulullah) telah sampai kepadanya maklumat bahawa apa yang diamalkan Quraish iaitu penyembahan patung-patung adalah batil akan tetapi dia tetap mengikuti mereka; dengan ini telah tertegaklah hujah ke atasnya. Begitu jugalah keadaanya dengan hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah meminta izin untuk meminta ampun untuk ibunya tetapi tidak diizinkan Allah, kemudian Baginda meminta izin untuk menziarahi kubur ibunya lalu diizinkan Allah; tidak dibenarkan Baginda meminta ampun untuk ibunya, berkemungkinan kerana telah sampai kepada ibunya penjelasan yang tertegak dengannya hujah. Ataupun kerana urusan orang-orang jahiliyyah adalah seperti urusan orang kafir pada hukum-hukum dunia di mana tidak didoa untuk mereka dan tidak juga diminta ampun untuk mereka kerana pada zahirnya mereka adalah kafir dan mereka pada zahirnya bersama orang-orang kafir lalu urusan mereka adalah urusan orang kafir, dan kesudahan mereka di akhirat nanti diserahkan kepada Allah jua." Fatawa Nur 'ala al-Darb.

Al-Imam al-Suyuti r.a. berpendapat bahawa kedua ibu bapa Rasulullah s.a.w. selamat daripada kebinasaan di mana Allah Ta'ala telah menghidupkan mereka selepas mereka wafat dan mereka telah beriman dengannya. 

Pendapat ini adalah pendapat yang disanggah oleh kebanyakan ahli ilmu. Mereka menghukum hadith-hadith yang mengatakan demikian sebagai samada hadith yang palsu atau amat lemah.

Berkata Pengarang 'Awn al-Ma'bud:

"Semua hadith yang berkenaan penghidupan semula ibu bapa Rasulullah s.a.w. dan keimanan mereka berdua serta keselamatan mereka kebanyakannya adalah palsu, bohong lagi direka dan sebahagiannya pula adalah sangat da'if. Ianya tidak sahih sama sekali dengan kesepakatan imam-imam hadith ke atas pemalsuannya, seperti al-Daraqutni, Ibn Shahin, al-Khatib, Ibn 'Asakir, Ibn Nasir, Ibn al-Jauzi, al-Suhayli, al-Qurtubi, al-Muhib al-Tabari, Fath al-Din bin Sayyid al-Nas, Ibrahim al-Halibi dan banyak lagi. Al-'Allamah Ibrahim al-Halabi telah menjelaskan secara terperinci berkenaan ketidak selamatan ibu bapa Nabi s.a.w. dalam satu risalah khas. Ketepatan pegangan ini disokong oleh hadith sahih ini: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka." Al-Shaykh Jalal al-Din al-Suyuti telah menyalahi para Huffaz dan para ulama yang teliti di mana dia telah menetapkan bari ibu bapa Nabi s.a.w. keimanan dan keselamatan dengan mengarang beberapa risalah berkenaannya, antaranya ialah 'Risalah al-Ta'zim wa al-Minnah fi anna abaway Rasulillah s.a.w. fi al-Jannah'. "

Shaykhul Islam r.a. telah ditanya:

“Adakah sahih riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawa Allah Tabaraka wa Ta’ala telah menghidupkan ibubapa Nabi dan mereka beriman di tangannya kemudian mereka mati semula?” Lalu beliau menjawab, “Tidak sah riwayat itu daripada sesiapapun di kalangan pakar hadith. Bahkan para ulama bersepakat bahawa perkara itu adalah bohong dan rekaan… Tiada khilaf di kalangan para ulama bahawa itu amat jelas kepalsuannya seperti yang dinyatakan oleh para ulama. Riwayat itu tidak terdapat dalam kitab-kitab muktabar dalam hadith; tidak dalam kitab sahih, sunan, musnad mahupun apa sahaja kitab-kitab hadith yang masyhur. Ianya tidak juga dinyatakan oleh pengarang-pengarang kitab sejarah dan tafsir walaupun mereka ada juga meriwayatkan hadith da’if di samping sahih. Ini kerana kejelasan pembohongan riwayat itu tidak tersembunyi langsung ke atas mana-mana orang yang beragama. Perkara begini sekiranya berlaku, pasti ianya akan menjadi satu perkara yang amat diberi perhatian dan usaha untuk disebarkan kerana ia merupakan antara perkara yang amat jelas menyalahi adat kebiasaan dari dua sudut iaitu dari sudut menghidupkan orang mati dan dari sudut keimanan selepas kematian. Justeru pasti penyebaran berita sebegini lebih utama daripada penyebaran berita lain. Apabila tiada seorangpun di kalangan orang-orang yang terpecaya meriwayatkannya, ini menunjukkan perkara ini adalah bohong… Seterusnya, perkara ini adalah bercanggahan dengan al-Kitab dan al-Sunnah yang sahih serta Ijma’.

Firman Allah Ta’ala (al-Nisa’ 4:17-18):

{17. Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. 18. dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya}. Di dalam ayat tadi, Allah telah menjelaskan bahawa tiada taubat bagi orang yang mati dalam keadaan kafir.

Firman Allah Ta’ala lagi (Ghafir 40:85):

{85. maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambanya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar}. Di dalam ayat ini, Allah telah menjelaskan bahawa sunnahNya dalam hamba-hambaNya ialah Iman tidak bermanfaat selepas dilihat al-ba’s (azab), apatah lagi dengan maut. Dan banyak lagi nas-nas seumpamanya…”

Kemudian beliau ada juga membawa dua hadith seperti di atas. (Diringkaskan daripada Majmu’ al-Fatawa. 4/325-327). 

* (Disalin dari Telegram Channel: Bicara Ilmu Bersama Dr. Fadlan Othman: telegram.me/DrFadlanOthman)

Rabu, 7 Oktober 2015

MEMBASUH TANGAN APABILA BANGUN DARI TIDUR




Nabi s.a.w bersabda:


إذا توضأ أحدكم فاليجعل في أنفه ماء ثم ليستنثر ومن استجمر فاليوتر. وإذا استيقظ أحدكم من نومه فاليغسل يديه قبل أن يدخلهما في الإناء ثلاثا، فإن أحدكم لا يدري أين باتت يده
وفي لفظ لمسلم: فليستنشق بمنخريه من الماء
وفي لفظ: من توضأ فليسنشق


"Apabila salah seorang kamu berwuduk, maka masukkanlah air ke dalam hidungnya, kemudian keluarkanlah (istintsar). Sesiapa yang bersuci dengan batu, maka gunakanlah batu dalam bilangan ganjil. Dan jika seseorang dari kamu bangun tidur, basuhlah kedua tangannya sebanyak 3 kali sebelum dia memasukkan keduanya ke dalam bekas (untuk berwuduk seperti gayung - pent), kerana seseorang kamu tidak mengetahui dimana (diletakkan) tangannya ketika malam."


Dalam riwayat Muslim: "Maka hendaklah menyedut (istinsyaq) air ke dalam hidung."


Dalam riwayat lain: "Sesiapa yang berwuduk hendaklah menyedut air ke dalam hidung."


(HR. Bukhari no: 162, Muslim no: 278)


Ikhtilaf Ulama:


Para ulama berbeza pendapat berkaitan dengan tidur yang setelahnya dianjurkan untuk membasuh tangan.


(1) Imam Syafie dan jumhur ulama berpendapat, setelah tidur bila-bila masa sahaja sama ada malam ataupun siang, berdasarkan keumuman sabda Nabi, "Dari tidurnya."


(2) Manakala Imam Ahmad dan Daud Az-Zahiri mengkhususkan tidur pada malam hari dengan alasan kerana hakikat bermalam hanya berlaku pada malam hari sahaja, serta berdasarkan riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah, "Apabila seseorang di antara kamu bangun (setelah tidur) di malam hari."


Pendapat yang paling kuat (rajih) adalah mazhab terakhir (ke-2), kerana hikmah perintah membasuh tangan ini tidak jelas. Membasuh tangan dalam hal ini lebih kuat dimaknai sebagai ta'abbudiyah (unsur ibadah). Dengan demikian, tidur di siang hari tidak boleh diqiaskan dengan tidur di malam hari, walaupun ianya berlaku dalam tempoh yang lama. Ini kerana ia bertentangan dengan sesuatu yang umum. Hukum selalunya berkaitan dengan sesuatu yang lebih umum. Zahir hadis-hadis tersebut merupakan takhsis (pengkhususan).


Para ulama juga berbeza pendapat; adakah membasuh tangan itu (yakni setelah bangun dari tidur) hukumnya wajib atau mustahab (sunnah)?


(1) Jumhur berpendapat mustahab. Itulah salah satu pendapat yang diriwayatkan dari Ahmad dan dipilih oleh Al-Kharqi, Al-Muwaffiq dan Al-Majid.


(2) Adapun pendapat Imam Ahmad yang masyhur ialah yang menyatakan wajib. Pendapat ini dikuatkan oleh zahir hadis di atas.


Rujukan: Taisir Al-'Allaam Syarh 'Umdatul Ahkaam, Abdullah Alu Bassaam.


Wallahua'lam

Jumaat, 25 September 2015

MENINGGAL KETIKA MELAKSANAKAN HAJI DAN UMRAH


MENINGGAL KETIKA MELAKSANAKAN HAJI DAN UMRAH


1. Meninggal Ketika Ihram


Ibnu Abbas r.huma:


بينما رجل واقف بعرفة، إذ وقع عن راحلته فوقصته، أو قال: فأقعصته، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: اغسلوه بماء وسدر، وكفنوه في ثوبين -وفي رواية: في ثوبيه- ولا تحنطوه -وفي رواية: ولا تطيبوه- ، ولا تخمروا رأسه ولا وجهه ، فإنه يبعث يوم القيامة ملبيا


“Ketika seseorang tengah melakukan wukuf di Arafah, tiba-tiba dia terjatuh dari haiwan tunggangannya lalu haiwan tunggangannya menginjak lehernya sehingga meninggal. Maka Nabi s.a.w berkata: “Mandikanlah dengan air yang dicampur daun bidara lalu kafanilah dengan dua potong kain – dan dalam riwayat yang lain: “dua potong kainnya “- dan jangan diberi wangi-wangian. Jangan ditutupi kepala dan wajahnya. Sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan bertalbiyah.” (H.R.Bukhari no. 1265 dan Muslim no 1206)



2. Pahala Haji dan Umrahnya Ditulis Hingga Hari Kiamat


Dari Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:


من خرج حاجا فمات كتب له أجر الحاج إلى يوم القيامة ومن خرج معتمرا فمات كتب له أجر المعتمر إلى يوم القيامة ومن خرج غازيا فمات كتب له أجر الغازي إلى يوم القيامة


“Barangsiapa keluar untuk berhaji lalu meninggal dunia, maka dituliskan untuknya pahala haji hingga hari kiamat. Barangsiapa keluar untuk umrah lalu meninggal dunia, maka ditulis untuknya pahala umrah hingga hari kiamat. Dan barangsiapa keluar untuk berjihad lalu mati maka ditulis untuknya pahala jihad hingga hari kiamat.” (HR Abu Ya’la dan dishahihkan Albani dalam Shahih At Targhib 1114)



3. Jika Meninggal Dalam Perjalanan dan Belum Sempat Melakukan Ihram, Maka Tidak Termasuk Meninggal Ketika Beribadah Haji


Contohnya pesawatnya jatuh ketika perjalanan dari negaranya ke Saudi dan belum berihram. Maka tidak termasuk dalam bab “meninggal ketika ibadah haji dan umrah”.


Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah menjelaskan:


إذا هلك من سافر للحج قبل أن يخرج فليس بحاج ، لكن الله عز وجل يثيبه على عمله ، أما إذا أحرم وهلك فهو …. ولم يأمرهم بقضاء حجه ، وهذا يدل على أنه يكون حاجاً ” انتهى .


“Jika kemalangan ketika musafir menuju haji sebelum dia keluar (berihram) maka tidak terhitung haji. Akan tetapi Allah akan membalas sesuai dengan niatnya. Adapun jika sudah berihram, kemudian kemalangan (contohnya kemalangan kereta, pent), maka termasuk dalam hadis (cara mengurus jenazahnya).” (Majmu’ Fatawa Syeikh Utsaimin 21/252)



4. Jika Meninggal Ketika Haji (sudah berihram), Maka Tidak Perlu Diqadhakan Tahun Depan Oleh Walinya


Ini kerana hadis menunjukkan bahawa dia akan dibangkitkan dalam keadaan bertalbiyah hari kiamat dan ini menunjukkan sudah memadai hajinya.


Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah menjelasakan:


ولم يأمرهم بقضاء حجه ، وهذا يدل على أنه يكون حاجاً


“Nabi s.a.w tidak memerintahkan untuk diqadhakan (untuk yang meninggal), kerana statusnya dia telahpun berhaji.” (Majmu’ Fatawa Syeikh Utsaimin 21/252)




Sumber: http://muslim.or.id/26603-meninggal-ketika-ibadah-haji-dan-umrah.html

Selasa, 22 September 2015

FATWA SYEIKH SOLEH FAUZAN TENTANG DOA HARI ARAFAH

Fatwa Syeikh Soleh Fauzan berkaitan hari Arafah:


Ketika beliau ditanya, apakah keutamaan doa pada hari ‘Arafah khusus bagi para jamaah haji ataukah umum untuk semua manusia?


Beliau menjawab:


الدعاء يوم عرفة عام للحجاج وغيرهم لكن الحجاج على وجه أخص لأنهم في مكان فاضل وهم متلبسون بالإحرام وواقفون بعرفة فهم يعني يتأكد الدعاء في حقهم والفضل في حقهم أكثر من غير الحجاج وأما بقية الناس الذين لم يحجوا فإنهم يشرع لهم الدعاء والاجتهاد بالدعاء في هذا اليوم ليشاركوا إخوانهم الحجاج في هذا الفضل


“Doa pada hari ‘Arafah berlaku umum untuk para jamaah haji dan selain jamaah haji. Akan tetapi, para jamaah haji lebih khusus kerana mereka berada di tempat yang mulia, sedang melaksanakan ihram dan melakukan wuquf di arafah. Doa untuk mereka menjadi sangat ditekankan. Keutamaan untuk mereka lebih banyak dari pada selain jamaah haji. Adapun masyarakat lain yang tidak berhaji, disyariatkan untuk mereka berdoa serta bersungguh-sungguh dalam berdoa pada hari ini, agar sama-sama mendapatkan keutamaan sebagaimana saudara-saudara mereka, para jamaah haji.


Selanjutnya, Dr. Al-Fauzan menyebutkan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang keutamaan doa ketika hari arafah, kemudian beliau menegaskan,


فالدعاء مشروع في يوم عرفة للحاج ولغيره لكنه في حق الحاج آكد وأفضل لما هو متلبس به من المناسك ولما هو فيه من المكان العظيم الفاضل وأما الزمان وفضل الزمان فيشترك فيه الحجاج وغير الحجاج وأما المكان فيختص به الحجاج وهو الوقوف بعرفة.


Oleh kerana itu, doa pada hari Arafah disyariatkan untuk orang yang berhaji dan selainnya. Akan tetapi, bagi orang yang melakukan haji, lebih ditekankan dan lebih utama, kerana mereka sedang melaksanakan berbagai manasik dan kerana mereka berada di tempat yang agung dan utama. Adapun tentang batas waktu (hari arafah) dan keutamaan waktu, jama’ah haji dan selain jamaah haji sama-sama mendapatkannya. Sementara tempat (arafah) hanya khusus untuk jamaah haji, iaitu wuquf di arafah.”


[sumber: http://alfawzan.af.org.sa/node/8980]


Dipetik dari sumber: http://www.konsultasisyariah.com/doa-di-hari-arafah-bagi-selain-jamaah-haji/

Isnin, 21 September 2015

Hukum Memberi Upah Kepada Penyembelih Dengan Hasil Sembelihan Korban.

Dalil tentang perkara ini adalah riwayat yang disebutkan oleh Ali bin Abi Thalib:




أَمَرَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِىَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ « نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا ».




“Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya. Baginda bersabda, “Kami akan memberi upah kepadanya (tukang sembelih) dari (harta atau wang) kami sendiri.” (HR. Muslim no. 1317)




Dari hadis ini, Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:




“Tidak boleh memberi tukang sembelih sebahagian hasil sembelihan korban sebagai upah baginya. Inilah pendapat ulama-ulama Syafi’iyah, juga menjadi pendapat Atha’, An-Nakha’i, Imam Malik, Imam Ahmad dan Ishaq.” (Syarh Muslim, An-Nawawi, 4/453)




Namun sebahagian ulama ada yang membolehkan memberikan upah kepada tukang sembelih dengan kulit antaranya seperti Al-Hasan Al-Bashri. Beliau mengatakan, “Boleh memberi penyembelih upah dengan kulit.” 




Imam Nawawi lantas menyanggah pernyataan tersebut: “Perkataan beliau ini telah mencampak (membelakangi) sunnah.” (Syarh Muslim, An-Nawawi, 4/453)




Imam As-Shan`ani  rahimahullah berkata:


“Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya.” (Subulus Salam 4/148)




Pengarang Kitab Al-Fiqhul Manhaji 'ala Mazahib Al-Imam Asy-Syafie berkata:




"Bagi orang yang berkorban, dia boleh sedekahkan kulit binatang korbannya atau dimanfaatkan untuk dirinya. Tetapi tidak boleh dijual atau diberi kepada penyembelih binatang korban sebagai upah kepada penyembelihannya. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadah korbannya. Al-Baihaqi (9/294) meriwayatkan daripada Nabi s.a.w sabdanya:




من باع جلد أضحيته فلا أضحية له




Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya maka tidak ada korban baginya." (Kitab Fekah Mazhab Syafie, 1/282).


Boleh Memberi Daging Korban Kepada Tukang Sembelih Jika Bukan Sebagai Upah


Jika tukang sembelih dan pelapah daging telah diberikan upah mereka selain dari daging korban tersebut (seperti duit), maka boleh memberi bahagian daging korban tersebut sebagai hadiah atau sedekah bergantung kepada status mereka sama ada miskin atau kaya.


Syeikh Abdullah Al-Bassaam mengatakan, Jazzar (tukang sembelih) tidak boleh diberi daging atau kulitnya sebagai bentuk upah atas pekerjaannya. Hal ini berdasarkan kesepakatan para ulama. Adapun yang diperbolehkan adalah memberikannya sebagai bentuk hadiah jika dia termasuk orang kaya atau sebagai sedekah jika ternyata dia adalah miskin…” (Taudhihul Ahkaam, IV:464).

Pernyataan Syeikh semakna dengan pernyataan Ibnu Qasim:


“Haram menjadikan bahagian haiwan korban sebagai upah bagi tukang sembelih.”


Pernyataan ini dikomentari oleh Al-Baijuri: “Ini kerana hal itu (mengupah tukang sembelih), semakna dengan jual beli. Namun jika tukang sembelih diberi bahagian dari korban dengan status sedekah bukan upah maka tidak haram.” (Hasyiyah Al-Baijuri As-Syafi’i 2:311).