Isnin, 21 September 2015

Hukum Memberi Upah Kepada Penyembelih Dengan Hasil Sembelihan Korban.

Dalil tentang perkara ini adalah riwayat yang disebutkan oleh Ali bin Abi Thalib:




أَمَرَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِىَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ « نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا ».




“Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya. Baginda bersabda, “Kami akan memberi upah kepadanya (tukang sembelih) dari (harta atau wang) kami sendiri.” (HR. Muslim no. 1317)




Dari hadis ini, Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:




“Tidak boleh memberi tukang sembelih sebahagian hasil sembelihan korban sebagai upah baginya. Inilah pendapat ulama-ulama Syafi’iyah, juga menjadi pendapat Atha’, An-Nakha’i, Imam Malik, Imam Ahmad dan Ishaq.” (Syarh Muslim, An-Nawawi, 4/453)




Namun sebahagian ulama ada yang membolehkan memberikan upah kepada tukang sembelih dengan kulit antaranya seperti Al-Hasan Al-Bashri. Beliau mengatakan, “Boleh memberi penyembelih upah dengan kulit.” 




Imam Nawawi lantas menyanggah pernyataan tersebut: “Perkataan beliau ini telah mencampak (membelakangi) sunnah.” (Syarh Muslim, An-Nawawi, 4/453)




Imam As-Shan`ani  rahimahullah berkata:


“Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya.” (Subulus Salam 4/148)




Pengarang Kitab Al-Fiqhul Manhaji 'ala Mazahib Al-Imam Asy-Syafie berkata:




"Bagi orang yang berkorban, dia boleh sedekahkan kulit binatang korbannya atau dimanfaatkan untuk dirinya. Tetapi tidak boleh dijual atau diberi kepada penyembelih binatang korban sebagai upah kepada penyembelihannya. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadah korbannya. Al-Baihaqi (9/294) meriwayatkan daripada Nabi s.a.w sabdanya:




من باع جلد أضحيته فلا أضحية له




Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya maka tidak ada korban baginya." (Kitab Fekah Mazhab Syafie, 1/282).


Boleh Memberi Daging Korban Kepada Tukang Sembelih Jika Bukan Sebagai Upah


Jika tukang sembelih dan pelapah daging telah diberikan upah mereka selain dari daging korban tersebut (seperti duit), maka boleh memberi bahagian daging korban tersebut sebagai hadiah atau sedekah bergantung kepada status mereka sama ada miskin atau kaya.


Syeikh Abdullah Al-Bassaam mengatakan, Jazzar (tukang sembelih) tidak boleh diberi daging atau kulitnya sebagai bentuk upah atas pekerjaannya. Hal ini berdasarkan kesepakatan para ulama. Adapun yang diperbolehkan adalah memberikannya sebagai bentuk hadiah jika dia termasuk orang kaya atau sebagai sedekah jika ternyata dia adalah miskin…” (Taudhihul Ahkaam, IV:464).

Pernyataan Syeikh semakna dengan pernyataan Ibnu Qasim:


“Haram menjadikan bahagian haiwan korban sebagai upah bagi tukang sembelih.”


Pernyataan ini dikomentari oleh Al-Baijuri: “Ini kerana hal itu (mengupah tukang sembelih), semakna dengan jual beli. Namun jika tukang sembelih diberi bahagian dari korban dengan status sedekah bukan upah maka tidak haram.” (Hasyiyah Al-Baijuri As-Syafi’i 2:311).