Ahad, 19 Februari 2012

Hukum Membela Hamster*

Soalan:

Apakah hukum membela haiwan hamster (tikus belanda) dan adakah ia termasuk dalam hadis Rasul s.a.w. (yang bermaksud): “Terdapat lima jenis binatang boleh dibunuh iaitu gagak, ular, tikus, helang dan anjing gila.”  Riwayat Al-Bukhari...?

Jawapan:

Alhamdulillah. Setelah memperhatikan dari sebahagian buku-buku tentang hamster, dan berdasarkan gambar yang terdapat di internet, jelaslah bahawa haiwan ini (hamster) sangat serupa dengan tikus.

Telah maklum, tikus mempunyai spesies-spesies dan jenis-jenis yang banyak. Telah disebutkan pada sebahagian penelitian bahawa tikus mempunyai 86 jenis dan terdiri dari 720 spesies. Keterangan ini dapat dilihat di dalam kitab Al-Qawaridh fi Al-Wathni Al-‘Arabi halaman 75 karya ‘Adil Muhammad Ali. 

Dan hamster termasuk jenis tikus, sebagaimana yang disebutkan oleh penulis buku tersebut di atas.

Dalam kitab Al-Mausu‘ah Al-‘Arabiyah Al-‘Alamiyah (26/122) disebutkan: ‘Hamster termasuk jenis pengerat kecil pendek, yang menjadi salah satu haiwan berbulu hiasan rumah. Biasanya, hamster memiliki ekor yang pendek, mulutnya basah, yang membantu dirinya untuk menampung banyak makanan. Terdapat sekitar 15 variasi hamster yang hidup.’

Maka hamster termasuk jenis tikus sehingga kita tidak harus (tidak boleh) menjual atau memeliharanya. Bahkan, wajib membunuhnya, sama ada di tanah halal mahupun di tanah haram. Sebagaimana makruf tentangnya dari hukum tikus.

Para ulama mengeluarkan hukum daripada nas (dalil) bahawa hukum tersebut berlaku bagi semua jenis tikus. 

Al-Hafiz Ibnu hajar berkata: ‘Tikus ada berbagai jenis, seperti al-juradz, al-khuld, tikus unta, tikus ikan, tikus al-ghoit dan semua hukumnya dalam pengharaman untuk dimakan dan keharusan membunuhnya adalah sama (tidak ada beza).’(Fathul Bari, 4/39) 

Tikus adalah haiwan yang membuat kerosakan dan mudarat.

Ad-Damiri berkata: ‘Tidak ada haiwan yang paling banyak membuat kerosakan melainkan tikus, tidak ada yang paling membahayakan melainkannya, kerana ia tidak meninggalkan ke atas sesuatu, kecuali pasti akan dimusnahkannya dan dirosakkannya.’ (Hayatul Hayawan Al-Kubra, 2/271)

Demikian juga memelihara dari jenis haiwan seperti ini adalah termasuk pembaziran masa dan harta dengan sesuatu yang tidak memberi sebarang faedah.

Allah jualah yang lebih Maha Mengetahui.

Sumber: http://www.islamqa.com/ar/ref/133190 

____________________________________
*Terjemahan di atas saya (Mohd Safwan) tidak terjemahkan secara keseluruhan, saya hanya menterjemahkannya sekadar apa yang saya mampu terjemahkannya. Semoga para pembaca dapat manfaatnya.