Isnin, 7 November 2011

Apakah boleh bertabarruk dengan Wali-wali Allah dan Orang-orang Soleh?

Artikel asal: http://www.dorar.net/enc/aqadia/1504

Diterjemah oleh :
Ustaz Wan Amirul Syahril bin Wan Mazlan
PISMP Pendidikan Agama Islam, IPGKTAA
Kata al-Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf:
Telah datang banyak dalil yang menerangkan perihal disyariatkan untuk bertabarruk dengan jasad dan athar (peninggalan) Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, seperti rambutnya, keringatnya, pakaiannya dan sebagainya.[1]

Adapun selain Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, dikalangan para wali Allah dan orang-orang soleh, maka tidak ada dalil yang sahih dan sarih (jelas) yang menerangkan pensyariatan bertabarruk dengan jasad mahupun athar mereka. Malah tidak diriwayatkan dari seorangpun dari kalangan para sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, tidak juga diriwayatkan dari kalangan tabi’in perihal mereka bertabarruk dengan jasad atau athar seorangpun dari orang-orang soleh. Mereka tidak bertabarruk dengan generasi terbaik umat ini selepas Nabi sallahu ‘alaihi wa sallam, iaitu Abu Bakar as-Siddiq radhiallahu ‘anhu, atau sepuluh orang sahabat yang dijanjikan syurga, tidak juga dari kalangan Ahli Bait dan selain mereka. Sekiranya perbuatan tersebut (bertabarruk dengan orang soleh) baik, sudah pasti mereka telahpun mendahului kita di dalam melakukannya. Kerana keinginan mereka yang sangat kuat untuk melaksanakan semua jenis kebajikan dan kebaikan. Maka, ijmak mereka dalam meninggalkan tabarruk dengan jasad dan atsar (peninggalan) selain Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam dari kalangan para solihin merupakan dalil yang jelas tentang tidak disyariatkan bertabarruk dengan perkara tersebut.

Lebih berat lagi, sesungguhnya bertabarruk dengan zat atau athar seseorang dari kalangan orang-orang soleh selain Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam merupakan maksiat kepada Allah ta’ala, dan maksiat kepada Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, serta memberikan pengkhususan yang dikhususkan oleh Allah kepada Nabi Sallahu ‘alai wasallam kepada manusia lain juga, dan menyamakan mereka dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Menyamakan para wali dan orang-orang soleh dengan manusia terbaik dan penghulu anak adam, iaitu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam akan mengurangkan hak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, dan merupakan bukti kurangnya kecintaan kepada Nabi 'alahi solatu wassalam di hati ahli tabarruk (peminta keberkatan).

Diantara jenis tabarruk yang diharamkan dengan orang-orang soleh ialah:
  1. Mengusap mereka, memakai pakaian mereka, atau meminum sebahagian minuman mereka bagi mendapatkan keberkatan.
  2. Mengucup kubur mereka, mengusapnya, dan mengambil batu-batunya bagi mendapatkan keberkatan. Kebanyakan ahli ilmu telah mengkhabarkan tentang ijma’ ulama dalam melarang perbuatan sedemikian.[2] Abu Hamid al-Ghazali al-Syafie (Imam al-Ghazali –pent.) (wafat tahun 505H), dan lain-lain ulama al-Syafi’iyah dan al-Hanafiyah menyebut bahawa perbuatan tersebut merupakan adat-adat Nasrani. Sebahagian ulama al-Syafi’iyah dan al-Hanafiyah menyebut bahawa menyentuh kubur dengan tujuan bertabarruk adalah salah satu dari dosa besar.
  3. Beribadah di sisi kubur mereka bagi meminta keberkatan, dengan meyakini kelebihan beribadah kepada Allah di sisinya, dan dengannya dijadikan sebab diterima ibadah dan mustajabnya doa.

_____________________________________
[1] Adapun selepas wafatnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam adalah dilarang kerana bebeberapa sebab yang telah disebutkan diawal artikel asal.
[2] Lihat risalah Ziaratu al-Quburi wal-Istinjadu bil-Maqburi (halaman 24-32), al-Istighathah fi al-Raddi ‘ala al-Bikri (1/356), Majmu’ al-Fatawa (4/521, 26/97, 109-27/79, 294-136), al-Ikhtiyarat al-Janaiz (halaman 92), As-Sorimu al-Mankiy (halaman 109-178), az-Zawajir : al-Kabiratu (93-98, 1/149)