Ahad, 4 September 2011

HUKUM MEMAKAI TANGKAL ATAU AZIMAT DAN YANG DIAMBIL DARIPADA AL-QURAN

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam mengisyaratkan tentang azimat dan hukumnya. Kata Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّماَئِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna adalah syirik.” (HR. Imam Ahmad di dalam Musnad 1/381, Abu Daud di dalam Sunan-nya 7/630, Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak 4/217, 418, At-Tabrani di dalam Al-Kabir 10503, dan Al-Baihaqi di dalam Sunan Al-Kubra 9/350)

Syeikh Al-Albani rahimahullah menjelaskan: “Memang asal azimat itu adalah permata yang dirangkai yang digantungkan pada leher anak agar terpelihara dari gangguan mata-mata jahat. Kemudian mereka memperluaskan makna azimat tersebut sehingga mereka menamakan azimat kepada segala bentuk perlindungan. Contohnya: sebahagian mereka menggantungkan kasut kuda di pintu-pintu rumah atau di tempat yang jelas kelihatan, menggantungkan selipar di bahagian depan kereta atau di bahagian belakangnya, atau permata yang berwarna biru di bahagian depan cermin kereta bahagian dalam berdekatan dengan pemandu dengan tujuan untuk menolak bala.” (Silsilah Al-Ahadis As-Sahihah, 1/650)


Apakah hukum memakai azimat?

Pertama: Akan menyebabkan terjatuh kepada SYIRIK BESAR apabila disertai keyakinan bahawa azimat itu sendiri yang memberikan pengaruh selain Allah Subhanahu wa Ta'ala, yang dapat menolak mudarat dan mendatangkan manfaat, serta membentengi setiap orang yang memakainya. Dan pelakunya telah keluar dari Islam, halal darahnya untuk ditumpahkan dan hartanya untuk dirampas, menyebabkan kekal dirinya di dalam neraka apabila dia mati dan belum sempat bertaubat, serta menyebabkan terhapus (hilang) seluruh amalan yang dilakukan di dalam Islam.

Kedua: Akan menyebabkan terjatuh dalam perbuatan SYIRIK KECIL apabila dia meyakini bahawa azimat itu hanya sebagai sebab semata, manakala yang mendatangkan manfaat dan menolak segala bentuk malapetaka yang menimpanya adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Menjadikan sesuatu sebab yang tidak pernah dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai sebab adalah merupakan syirik kecil. (Lihat Al-Qaulul Mufid 1/204, Al-Qaulul Sadid hal. 38, Fatawa Syeikh Ibnu Baz 2/384)

Dalil-dalilnya adalah dalam hadis marfu’ dari Abdullah bin ‘Ukaim Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

من تعلق شيئا وكل إليه 

“Barang siapa yang menggantungkan sesuatu (dengan anggapan bahawa barang tersebut bermanfaat atau dapat melindungi dirinya), maka Allah akan menjadikan orang tersebut selalu bergantung kepadanya.” (HR. Ahmad dan At Tirmizi)

Imran bin Husain radhiallahu’anhu menuturkan bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melihat seorang lelaki memakai gelang, kemudian baginda pun bertanya:

ما هذه ؟، قال : من الواهنة، فقال : انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدا

“Apakah itu? Lelaki itu menjawab: “Gelang penangkal penyakit”, lalu Nabi bersabda: “Lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah kecuali kelemahan pada dirimu, dan jika kamu mati sedangkan gelang ini masih ada pada tubuhmu maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (HR. Imam Ahmad)

Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir, dalam hadis yang marfu’, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :

من تعلق تميمة فلا أتم الله له، ومن تعلق ودعة فلا ودع الله له، وفي رواية : من تعلق تميمة فقد أشرك

“Barang siapa yang menggantungkan Tamimah* maka Allah tidak akan mengkabulkan keinginannya, dan barang siapa yang menggantungkan Wada’ah* maka Allah tidak akan memberikan ketenangan kepadanya.” Dan di dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang menggantungkan tamimah maka dia telah berbuat kesyirikan.” (HR. Imam Ahmad)

*Tamimah adalah sesuatu yang dikalungkan di leher anak-anak sebagai penangkal atau pengusir penyakit, pengaruh jahat yang disebabkan oleh rasa dengki seseorang, dan lain sebagainya.

*Wada’ah pula adalah sesuatu yang diambil dari laut, menyerupai rumah kerang, menurut anggapan orang orang jahiliah dapat digunakan sebagai penangkal penyakit. Termasuk dalam pengertian ini adalah azimat. (Lihat Kitabut Tauhid karya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah, Fathul Majid 1/650)

Apakah hukum sekiranya azimat itu diambil daripada ayat-ayat Al-Quran?

Berkenaan masalah ini, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama salaf:

1. Sebahagian mengatakan boleh (harus). Dan mereka memaknakan hadis yang menjelaskan keharaman azimat itu dengan makna azimat yang mengandung kesyirikan. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah Abdullah bin ‘Amr bin Al-’Ash dan diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, akan tetapi riwayat dari kedua sahabat ini lemah. Dan ini adalah ucapan Abu Ja’far Al-Baqir, Ahmad bin Hanbal dalam satu riwayat.

2. Sebahagian pula mengatakan haram. Pendapat ini dipegang antaranya Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas, dan zahir ucapan Hudzaifah, ‘Uqbah bin ‘Amir, dan Ibnu ‘Akim dan demikian juga ucapan sejumlah tabi’in di antara mereka murid-murid Ibnu Mas’ud, dan Ahmad di dalam sebuah riwayat yang dipilih oleh majoriti murid beliau dan yang diperkuatkan oleh ulama mutaakhirin (kebelakangan ini). Mereka berdalil dengan keumuman hadis Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna termasuk dari kesyirikan.” (HR. Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Syeikh Soleh Fauzan hafizahullah mentarjih (menguatkan) dari kedua pendapat ini beliau mengatakan: Yang benar (dari kedua) pendapat ini adalah pendapat yang mengatakan HARAM dengan beberapa alasan:

Pertama: Keumuman larangan dan tidak ada dalil-dalil yang mengkhususkannya,
Kedua: Menutup jalan-jalan yang akan dapat menjerumuskan kepada (perbuatan) menggantungkan azimat selain Al-Quran atau nama-nama Allah, dan
Ketiga: Akan terjatuh pada penghinaan terhadap Al-Quran dan nama-nama Allah tersebut kerana akan dibawa ke tempat najis atau dipakai untuk mencuri, merompak, dan berkelahi.

Dan pendapat kedua ini pula yang dikuatkan oleh ulama masa kini seperti Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dalam kitabnya Taisir Al-’Aziz Al-Hamid, Syeikh Abdurrahman bin Hasan Alu Syeikh dalam kitabnya Fathul Majid, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Muhammad bin Soleh Al-’Utsaimin, dan Syeikh Muqbil bin Hadi rahimahumullah.
 
Wallahua'lam
Abu Soleh Mohd Safwan bin Mohd Rusydi