Khamis, 10 Jun 2010

Pelepah Kurma Di Atas Kubur

Soalan: 

Saya pernah mendengar hadis bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam meletakkan dua pelepah kurma di atas dua kubur ketika orang yang berada di dalamnyasedang diseksa. Tujuan baginda melakukan hal itu agar Allah meringankan seksaan ke atas mereka. Apakah hikmah di sebalik perbuatan baginda itu dan adakah kita juga digalakkan untuk melakukan perbuatan itu?

Jawapan:

Pertama: Benar, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melalui dua kubur lalu bersabda:

"Ingatlah, sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa tetapi bukan kerana melakukan dosa besar. Seorang daripadanya diseksa kerana dahulu dia suka membuat fitnah dan seorang lagi disiksa kerana tidak menghindari diri daripada percikan air kencing. Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salag satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua sambil bersabda: Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya selagi ia belum kering." (Riwayat Bukhari, no: 1378 dan Muslim, no: 292)

Ini merupakan dalil bahawa pelepah kurma yang masih segar boleh meringankan azab. Tetapi persoalannya, adakah munasabah antara kedua-dua pelepah kurma ini dapat meringankan azab dua mayat yang sedang diseksa?

Sebahagian ulama berpendapat, sebabnya ialah kerana kedua-dua pelepah kurma itu sentiasa bertasbih sehingga ia kering. Tasbih boleh meringankan azab ke atas orang yang sudah mati. Berdasarkan illat (sebab) ini, mereka menyatakan bahawa disunnatkan datang kubur dan membaca tasbih dengan harapan mayat itu diringankan seksanya.

Sebahagian ulama lain berkata, illat seperti ini lemah kerana kedua-dua pelepah kurma tetap bertasbih sama ada dalam keadaan segar mahupun kering. Ini berdasarkan firman Allah Ta'ala:

(Maksudnya): "Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuniNya. Tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka..." (Surah Al-Israa': 44)

Bahkan, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pernah mendengar bacaan tasbih yang diucapkan oleh batu kerikil yang berada di hadapan baginda, padahal ia benda kering.

Jadi, apakah sebab sebenarnya?

Sebabnya ialah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berdoa kepada Allah agar siksaan kedua-dua mayat di dalam kubur itu diringankan selagi kedua-dua pelepah kurma tersebut masih dalam keadaan segar. 

Ini bermakna, keringanan azab itu tidak berlaku selama-lamanya. Perbuatan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam itu hanya berlaku memberi amaran kepada umatnya agar tidak melakukan perbuatan yang pernah dilakukan oleh kedua-dua mayat yang berada di dalam kubur itu semasa mereka hidup.

Ini kerana, perbuatan yang mereka lakukan boleh dikatakan sebagai dosa besar. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam satu riwayat bahawa nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Ia merupakan satu perbuatan dosa besar."

Salah seorang daripadanya tidak membersihkan kencingnya. Oleh itu, sudah tentu solat didirikan dalam keadaan tidak suci. Yang seorang lagi pula membuat fitnah di kalangan umat manusia, menimbulkan permusuhan dan menanamkan kebencian di antara mereka. Kerana itu, perbuatannya digolongkan sebagai dosa besar.

Inilah maksud yang lebih tepat bagi hadis. Ia hanya merupakan syafaat yang bersifat sementara sebagai amaran bagi umat dan bukannya kerana kebakhilan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam untuk memberikan syafaat abadi kepada mereka berdua.

Kedua: Sebahagian ulama berkata, seseorang disunatkan meletakkan pelepah kurmah segar, sebatang pokok dan lain-lain di atas kubur untuk meringankan azab mayat yang berada di dalamnya. Tetapi mengaitkan hukum ini dengan perbuatan baginda itu adalah salah dan kita tidak dibenarkan melakukan perkara itu atas beberapa alasan:

  1. Kita tidak tahu sama ada seseorang yang berada di dalam kubur sedang disiksa atau tidak. Hal ini berbeza dengan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, di mana Allah telah memperlihatkan kepada baginda menerusi wahyu keadaan dua mayat yang disiksa di dalam kubur masing-masing.
  2. Jika kita melakukan demikian, bererti kita telah berprasangka buruk kepada mayat bahawa dia sedang disiksa. Padahal kita tidak tahu barangkali dia sedang diberi kenikmatan atau termasuk orang yang dianugerahkan keampunan Allah sebelum kematiannya kerana melakukan satu perkara yang menyebabkan dia diampuni sebelum meninggal dunia. Dan bleh jadi Allah telah memaafkan segala perbuatan dosanya sehingga dia tidak diseiksa.
  3. Istinbat hukum seperti ini bercanggah dengan apa yang pernah diamalkan oleh ulama salaf. Perbuatan sebegini tidak pernah mereka amalkan sedangkan mereka adalah orang yang paling faham terhadap syariat Allah.
  4. Allah mengajar kita amalan yang lebih baik daripada itu, iaitu memohon doa agar si mati teguh pendirian ketika disoal.
Apabila Nabi sallallahu 'alaihi wasallam selesai mengebumikan mayat, baginda berdiri di hadapan kubur dan bersabda:

"Pohonlah keampunan kepada saudaramu dan mintalah ketetapan hati, sebab sekarang dia sedang disoal."

(Majmu' Fatawa, Syeikh Muhammad bin 'Utsaimin, jil 2, ms. 30; Disalin daripada buku Barzakh & Kiamat, Karya Bestari, Selenggaraan Sakinah Ariff Johor, halaman 68-72)