Sabtu, 10 April 2010

Syarat-Syarat Memakai Pakaian Bagi Muslimah

Masih ramai lagi wanita-wanita pada hari ini yang masih tidak mengetahui etika pemakaian yang benar menurut al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih. Buktinya lihatlah betapa ramainya wanita yang menutup kepalanya, memakai tudung namun lengan bajunya pendek, ketat dan sebagainya. Dan yang lebih menyedihkan lagi adalah apabila wanita-wanita yang tidak memakai tudung itu sebenarnya dahulu mereka bersekolah agama yang mana mereka ini memakai tudung labuh asalnya.

Oleh sebab itu, tulisan ini cuba mengupas etika atau syarat wanita memakai jilbab dengan memenuhi tuntutan agama berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Para wanita disuruh menutup aurad mereka dan melindunginya dari dilihat oleh sesiapa pun kecuali kepada ayah mereka, ayah mertua mereka, datuk mereka, adik beradik mereka, anak-anak saudara mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, hamba-hamba mereka, orang gaji yang telah tidak punya keinginan terhadap perempuan dan kanak-kanak yang belum mengenal tentang aurat wanita. Demikian itu terdapat pada firman Allah Ta’ala:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آَبَائِهِنَّ أَوْ آَبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur: 31)

Allah berfirman Ta’ala:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلاةَ وَآَتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” (Al-Ahzab: 33)

Tabarruj berasal dari kalimah ‘barraja’ (برج) yang bermakna : ‘dahi yang luas’ dan ‘mata yang besar’ iaitu isyarat kepada kecantikan dan keelokan. Maka bila dibuat menjadi fi’il ‘tabarraja’ (تبرّج) bermakna membesarkan mata atau meluaskan dahi (antara dua kening). Yakni isyarat kepada berelok-elok dan berhias. Maka makna tabarruj adalah berhias. Dikatakan wanita itu bertabarruj bila membuka wajahnya kerana wajah itu tempat berkumpulnya keelokan dan kecantikan. Ibn Manzur berkata: “ Tabarruj itu adalah seorang wanita mendedahkan kecantikan dan keelokannya pada lelaki.” (Lisanul ‘Arab)

Abu Malik Kamal As-Sayyid Salim berkata: “Tabarruj maknanya adalah seorang wanita menampakkan perhiasannya, keindahannya, dan sesuatu yang wajib ditutup dari segala hal yang mengundang syahwat kaum lelaki.” (Fiqhus Sunnah Lin-Nisa; Ensiklopedi Fiqih Wanita, jilid 2, ms. 138)

Umaimah binti Ruqaiqah datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam untuk membai’atnya di dalam Islam, lalu baginda bersabda:

أُبَايِعُكِ عَلَى أَنْ لا تُشْرِكِي بِاللَّهِ شَيْئًا وَلا تَسْرِقِي وَلا تَزْنِي وَلا تَقْتُلِي وَلَدَكِ وَلا تَأْتِي بِبُهْتَانٍ تَفْتَرِينَهُ بَيْنَ يَدَيْكِ وَرِجْلَيْكِ وَلا تَنُوحِي وَلا تَبَرَّجِي تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

Maksudnya: “Aku berbai’at kepada engkau agar tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak melakukan zina, tidak membunuh anakmu, tidak melakukan sebuah kebohongan besar yang engkau lakukan di hadapan kedua tangan dan kakimu, tidak melakukan niyahah (ratapan), dan tidak bertabarruj seperti tabarruj kaum jahiliyah pertama.” (HR. Ahmad; Sahih lighairih – dengan Sanad yang Hasan; Ta’liq Syu’aib Al-Arnauth, no: 6850)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُؤُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا وَإِنَّ رِيْحَهَا لَتُوجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Dua golongan dari kalangan penghuni Neraka yang belum pernah aku melihatnya, mereka adalah kaum yang bersama-sama mereka itu sebatang pemukul (cemeti) seperti ekor lembu yang dengannya mereka memukul manusia, dan kaum wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, mereka menyimpang lagi menyelewengkan orang dari jalan kebenaran dan kepala-kepala mereka seperti punuk (bonjol) unta yang condong, mereka tidak akan masuk ke dalam Syurga dan tidak akan mencium wangi Syurga, padahal wangian itu dapat dihidu dengan jarak sekian, sekian.” (HR. Muslim, no: 2128)

Al-‘Ariyaat (عاريات) adalah menampakkan sebahagian badannya untuk menampakkan keindahannya atau memakai pakaian nipis yang boleh membentuk sesuatu yang ditutupinya.” Ma`ilaat (مائلات) adalah berlenggok-lenggok ketika berjalan, membengkokkan bahunya dan cenderung kepada lelaki dengan segala macam perhiasan yang ditonjolkan. Manakala maksud kepalanya dicondongkan seperti punuk unta yang condong adalah wanita-wanita yang memasang sanggul di atas kepala sehingga menyerupai punuk unta. (Dalam nota kaki: Ensiklopedi Fiqih Wanita, jilid 2, ms. 139)

Syarat-Syarat Memakai Jilbab

1. Menutupi seluruh badan

Pada ulama telah berpendapat bahawa wanita hendaklah menutupi seluruh tubuh badannya kecuali mereka hanya berselisih pada bahagian wajah dan kedua telapak tangan sama ada ianya sunnat (mustahab) atau wajib ditutup.

Adapun dalil-dalil golongan yang mewajibkan wajah dan telapak tangan itu ditutup adalah berdasarkan firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Ahzab: 59)

Ayat ini di atas ini turun setelah Nabi bernikah dengan Zainab binti Jahsy. Baginda mengundang suatu kaum lalu mereka makan kemudian pergi sehingga tinggal lagi beberapa orang yang lama duduk bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda keluar bersama Zainab lalu baginda masuk beberapa kali agar mereka keluar, akhirnya turunlah ayat surah Al-Ahzab ayat 53 ini dan dibentangkanlah di antara mereka dan baginda sebuah penghalang.

Dan firman Allah Ta’ala:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ

Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir.” (Al-Ahzab: 53)

Mereka yang berpendapat wajibnya menutup wajah serta kedua telapak tangan berpendapat bahawa (الإدناء) maksudnya menutup seluruh wajah dan hanya menampakkan satu mata sahaja untuk melihat. (Ensiklopedi Fiqih Wanita, jilid 2, ms. 142)

Dari Aisyah Radhiallahu 'anha berkata: "Saya bersama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam suatu peperangan setelah ayat hijab diturunkan… Saya tiba di belakang khemah pasukan setelah baginda sallallahu 'alaihi wasallam meninggalkan saya bersama unta saya. Tidak ada seorang pun yang tertinggal untuk memanggil atau menjawab. Setiap orang telah pergi dengan pasukan. Saya menutupi diri saya dengan selendang dan berbaring. Tidak berapa lama kemudian, Shofwan bin Mu'atthol melewati saya. Dia tertinggal dibelakang kerana beberapa alasannya sendiri. Ketika melihat saya, dia (Shofwan) mendekatiku dan mengenal saya sebab dia pernah melihatku sebelum ayat hijab diturunkan. Dia berkata dengan suara yang keras: "Innalillahi wainna ilaihi rojiuun." Suaranya membangunkan saya, lalu saya segera menutup wajah saya dengan jilbab." (HR. Muslim, no: 2770)

Hadis Asma’ binti Abi Bakar radiallahu ‘anha, berkata: “Dahulu kami menutupi wajah-wajah kami dari kaum lelaki dan kami menyikat rambut sebelum itu ketika ihram.” (HR. Al-Hakim dalam Mustadrak-nya)

Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz rahimahullah berkata: "Telah diriwayatkan secara pasti dari Aisyah dan Asma radiallahu ‘anhuma, saudarinya yang menunjukkan wajibnya wanita menutup wajah terhadap lelaki yang bukan mahram, walaupun sedang melaksanakan ihram, sebagaimana diriwayatkan dari Aisyah Radhiyallahu ‘anhu yang disebutkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim yang menunjukkan bahawa terbukanya wajah wanita hanya pada masa awal Islam kemudian dihapus dengan turunnya ayat hijab..." (Majmu Al-Fatawa Syeikh Ibnu Baz, Jilid 3, ms. 354)

Manakala golongan yang tidak mewajibkan menutup wajah dan telapak tangan berhujah dengan dalil-dalil berikut:

Firman Allah Ta’ala:

وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (An-Nur: 31)

Mereka berpendapat bahawa “yang zahir daripadanya” maksudnya adalah wajah dan kedua telapak tangan. Syeikh Al-Albani rahimahullah menukilkan di dalam buku beliau Jilbab Al-Mar`atul Muslimah perkataan Ibnu Katsir dan dikuatkan pula dengan apa yang terdapat Tafsir Al-Qurtubi (12/229):

Ibnu Atiyah berkata: “Berdasarkan lafaz ayat tersebut saya memahami bahawa wanita diperintah untuk tidak menampakkan serta bersungguh-sungguh menyembunyikan setiap perkara yang merupakan perhiasan baginya. Adapun pengecualian tersebut berkenaan dengan perhiasan yang biasa nampak darinya dengan alasan darurat untuk melakukan gerakan yang tidak mungkin dihindarkan, untuk memenuhi keperluan dan sebagainya. Jadi ‘yang zahir daripadanya’ di sini adalah yang dituntut oleh keperluan terdesak kaum wanita, itulah yang dimaafkan.” Al-Qurtubi berkata: “Saya katakan pendapat ini baik, hanya sahaja kerana pada umumnya wajah dan dua telapak tangan biasanya berdasarkan tradisi dan dalam ibadah itu kelihatan seperti solat dan haji, maka tepatlah jika pengecualian itu dikembalikan kepadanya.” (Jilbab Wanita Muslimah Menurut Qur`an dan Sunnah, Muhammad Nasiruddin Al-Albani, ms. 58)

Golongan ini juga berhujahkan dengan beberapa dalil yang menunjukkan bahawa kaum wanita biasa membuka wajah dan kedua telapak tangannya di hadapan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sementara baginda tidak melarangnya, antaranya adalah:

Hadis Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma tentang kisah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam membonceng Al-Fadhl bin ‘Abbas ketika haji Wada’ dan seorang wanita yang meminta fatwa kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalamnya diungkapkan: “Lalu Al-Fadhl menatapnya, dia adalah seorang wanita yang cantik, kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memegang dagu Al-Fadhl dan memalingkan ke arah lain.” (HR. Al-Bukhari, no: 6228 dan Muslim, no: 1218)

Ibnu Hazm rahimahullah berkata: “Seandainya wajah itu adalah aurat maka wajib ditutupi, sementara beliau membiarkannya terbuka di hadapan orang, dan nescaya beliau memerintahkannya agar menguraikan tudungnya dari atas kepala. Dan seandainya wajah wanita itu tertutp, nescaya Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma tidak akan mengetahui apakah wanita itu cantik atau tidak.” (Ensiklopedi Fiqih Wanita, jilid 2, ms. 145)

Demikianlah beberapa hujah kedua-dua golongan di atas itu tadi secara ringkas, perselisihan ini merupakan perselisihan yang telah diperdebatkan oleh ulama-ulama terdahulu lagi mahupun sekarang dan perkara ini termasuk perbezaan yang diperbolehkan. Akan tetepi yang wajib diingkari adalah golongan yang mengatakan bahawa menutup wajah (memakai purdah) itu bid’ah dan ia cuma adat orang arab dan sebagainya, maka pendapat sebegini jauh sekali kebenarannya.

Syeikh Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim di dalam akhir pembahasan mengenai perselisihan kedua-dua kelompok ini yakni yang mewajibkan menutup muka dan kedua telapak tangan dengan golongan yang menggalakkan (sunnat sahaja) tetapi tidak sampai ke peringkat wajib, beliau berkata:

“(1) Seluruh ulama sepakat bahawa menutup selain wajah dan kedua tangan itu wajib hukumnya bagi wanita yang merdeka, (2) Adapun menutup wajah dan kedua tangan adalah masalah yang diperdebatkan sebagaimana diisyaratkan sebelumnya, dan (3) Sesungguhnya orang-orang yang berpendapat wajah dan kedua tangan tidak wajib ditutupi berpendapat pula bahawa menutupnya adalah perbuatan yang lebih utama terutama pada zaman yang banyak fitnah.” (Ensiklopedi Fiqih Wanita, jilid 2, ms. 146)

2. Bukan merupakan perhiasan

Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala:

وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka.” (An-Nur: 31)

Al-Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata: “Di antara perbuatan yang menyebabkan wanita itu mendapatkan laknat adalah menampakkan perhiasan, emas mutiara yang berada di bawah penutup kepalanya, memakai wangi-wangian seperti al-misk, al-‘anbar dan at-tibb apabila keluar rumah, memakai kain celupan, memakai pakaian sutera, memanjangkan baju dan melebarkan serta memanjangkan lengannya (hingga melebihi batas). Semua itu termasuk jenis tabarruj yang dimurkai Allah Ta’ala...” (Al-Kaba’ir, ms. 131; Dinukil dari Jilbab Wanita Muslimah, ms.122)

Syeikh Al-Albani rahimahullah berkata: “Perlu diketahui bahawa sama sekali bukan termasuk kategori perhiasan jika pakaian yang dikenakan oleh seorang wanita itu tidak berwarna hitam atau putih – seperti yang terkadang disalahfahami oleh sebahagian kaum wanita yang berkesungguhan.”

Alasannya adalah:

Pertama: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

طَيبُ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَلَمْ يَظْهَرْ رِيْحُهُ

“Parfume seorang wanita adalah yang zahir kelihatan warnanya dan tersembunyi bau harumannya.” (Mukhtasar Asy-Syama`il: 188)

Kedua: Telah berlaku pengamalan dari isteri-isteri para sahabat bahawa mereka memakai pakaian berwarna selain daripada warna hitam. Antaranya diriwayatkan dari Al-Qasim:

أن عائشة كانت تلبس الثياب المعصفرة وهي محرمة

“Bahawasanya ‘Aisyah memapai pakaian yang berwarna kuning sementara dia sedang ihram.” (HR. Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih)

Lebih lanjut sila lihat Jilbab Al-Mar`atul Muslimah karya Syeikh Al-Albani. Beliau telah membawakan 5 atsar yang diriwayatkan oleh Al-Hafiz Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al-Musannaf 8/371-372 berkenaan ini. Namun bukanlah bererti pakaian yang berwarna hitam itu tidak lebih utama. Warna hitam merupakan warna yang lebih dapat menutupi seorang wanita, bahkan terdapat hadis yang menjelaskan bahawa wanita-wanita Ansar itu keluar seakan-akan di kepala mereka ada burung gagak begitu juga pada peristiwa Ifki yang mana Shafwan bin Mu’atthal melihat wujud hitam pada orang yang sedang tidur iaitu Aisyah yang sedang terlena di sana kerana tertinggal oleh pasukan perang. Kisah ini (peristiwa Ifki) boleh dirujuk dalam sahih Bukhari dan Muslim. Wallahua’lam

3. Pakaian mestilah tebal tidak nipis

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

سيكون في آخر أمتي نساء كاسيات عاريات على رؤوسهن كأسنمة البخت العنوهن فإنهن ملعونات

“Akan ada akhir umatku wanita-wanita berpakaian namun (hakikatnya) bertelanjang. Di atas kepala mereka seperti terdapat punuk unta. Kutuklah mereka kerana sebenarnya mereka itu adalah kaum wanita yang terlaknat.”

Di dalam hadis lain terdapat tambahan:

لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها لتوجد من مسيرة كذا وكذا

“Mereka tidak akan masuk syurga dan juga tidak akan memperoleh bau harumannya, padahal bau syurga itu dapat dihidu dari jarak sekian dan sekian.” (Dikeluarkan oleh At-Thabrani dalam Al-Mu’jam As-Soghier dari hadis Ibnu Amru dengan sanad yang sahih; Lihat Jilbab Al-Mar`atul Muslimah, ms. 126)

Para ulama mengatakan: “Diwajibkan menutup aurat dengan pakaian yang tidak dapat mensifati warna kulit, berupa pakaian yang cukup tebal atau dibuat dari kulit. Menutupi aurat dengan pakaian yang masih dapat menampakkan warna kulit – seperti pakaian yang nipis – adalah tidak diharuskan kerana hal itu tidak memenuhi kriteria menutupi.” (Al-Muhazzab 3/170 dengan Syarh Al-Majmu’; Lihat Jilbab Al-Mar`atul Muslimah, ms. 129)

4. Pakaian mestilah longgar tidak ketat

Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid radiallahu ‘anhuma berkata:

كساني رسول الله صلى الله عليه وسلم قبطية كثيفة مما أهداها له دحية الكلبي فكسوتها امرأتي فقال : مالك لم تلبس القبطية ؟ قلت : كسوتها امرأتي فقال : مرها فلتجعل تحتها غلالة فإني أخاف أن تصف حجم عظامها

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberiku baju Qutbiyah yang tebal, pakaian tersebut merupakan salah satu hadiah yang diberikan oleh Dihyah Al-Kalbi, kemudian aku pakaikan naju itu kepada isteriku, lalu Rasulullah bertanya kepadaku: ‘Mengapa kamu tidak memakai qutbiyah?’ Aku menjawab: ‘pakaian tersebut aku pakaikan untuk isteriku.’ Nabi lalu bersabda: ‘Perintahkanlah agar dia memakai baju dalam di sebalik qutbiyah itu kerana saya khuatir baju itu masih boleh menggambarkan bentuk tubuhnya.” (HR. Ahmad, 5/205 dengan sanad yang layyin (dhaif) tetapi hadis ini memiliki syahid dalam riwayat Abu Daud no: 4116 sehingga darjat hadis ini menjadi hasan)

Imam Asy-Syaukani mensyarahkan hadis ini, beliau berkata: “Hadis ini menunjukkan bahawa wanita itu wajib menutupi badannya dengan pakaian yang tidak dapat menggambarkan badannya. Ini merupakan syarat bagi penutup aurat. Nabi memerintahkan agar dia mengenakan baju dalam di sebalik baju qutbiyah kerana biasanya baju qutbiyah itu nipis dan tidak mampu menyembunyikan dari mata yang melihatnya, bahkan dapat mengambarkannya.” (Dinukil dari Jilbab Al-Mar`atul Muslimah, ms. 131)

5. Pakaian tersebut tidak diberi wangi-wangian.

Diriwayatkan dari Abu Musa Al-Asy’ari radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أيما امرأة استعطرت فمرت على قوم ليجدوا من ريحها فهي زانية

“Wanita mana sahaja yang memakai wangi-wangian, lalu dia berjalan melalui kaum lelaki agar mereka menghidunya, maka wanita tersebut adalah penzina.” (HR. An-Nasa`i, Abu Daud, At-Tirmizi dan lain-lain dengan sanad yang hasan)

Al-Haitsami berkata: “Sesungguhnya keluarnya seorang wanita dari rumahnya dengan memakai wangi-wangian dan perhiasan adalah berdosa besar, walaupun suaminya mengizinkannya.” (Kitab Az-Zawajir 2/37; Jilbab Al-Mar`atul Muslimah, ms. 139)

6. Tidak menyerupai pakaian lelaki

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata:

لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة والمرأة تلبس لبسة الرجل

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (Dikeluarkan oleh Abu Daud, Ibn Majah, Al-Hakim dan Ahmad; Asy-Syaukani berkata perawi-perawinya adalah perawi yang sahih; Lihat Jilbab Al-Mar`atul Muslimah, ms. 141)

Az-Zahabi berkata dalam kitabnya Al-Kaba’ir: “Jika wanita memakai pakaian lelaki, maka dia telah menyerupai dengan kaum lelaki yang ditimpa oleh laknat Allah dan RasulNya. Laknat Allah ini juga boleh menimpa suaminya jika dia membiarkannya, meredhainya dan tidak melarang melakukan hal itu kerana dia diperintahkan untuk membimbing isterinya di atas ketaatan kepada Allah dan melarang dari perbuatan maksiat. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala).” (At-Tahrim: 6) (Dinukil dari kitab Jilbab Mar`atul Muslimah, ms. 146)

7. Tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir

Dari Abdullah bin Amr, dia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melihat aku memakai dua pakaian yang diwarnai dengan warna kuning, maka baginda bersabda:

إِنَّ هَذِهِ مِنْ ثِيَابِ الْكُفَّارِ فَلاَ تَلْبِسْهَا

“Sesungguhnya ini adalah pakaian orang-orang kafir, maka janganlah engkau memakainya.” (HR. Muslim, no: 2077, An-Nasa`i 2/298 dan Ahmad 2/162)

Syeikh Abu Malik berkata: “...Hendaklah diketahui bahawa seorang wanita tidak boleh memakai pakaian yang menyerupai pakaian wanita kafir kerana penyerupaan dalam bentuk zahir boleh menimbulkan penyerupaan pada keduanya yang pada akhirnya akan mendorong penyerupaan dalam akhlak dan pengamalan...” (Ensiklopedi Fiqih Wanita, jilid 2, ms. 153)

8. Bukan pakaian Syuhrah (kebanggaan/mencari populariti)

Ibnu Umar radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ فِي الدُّنْيَا أَلْبَسَهُ اللهُ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ أَلْهَبَ فِيْهِ نَارًا

“Barangsiapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia, nescaya Allah akan memakaikan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka.” (HR. Abu Daud, no: 4029, dan Ibn Majah, no: 3607 dengan sanad yang hasan lighairih)

Pakaian syuhrah adalah pakaian yang dipakai dengan tujuan agar terkenal di kalangan orang lain, baik pakaian yang sangat berharga dipakai dalam rangka berbangga di dunia dengan perhiasannya atau pakaian yang lusuh untuk menampakkan kezuhudan kerana ingin dilihat oleh orang lain.

Demikianlah syarat-syarat memakai jilbab dia atas ini yang dapat saya susunkan. Sangat menyedihkan sekali apabila terdapat sebahagian sekolah-sekolah di Malaysia kini telah memperkenalkan sebuah pertandingan baru yang bermodalkan Islam iaitu pertandingan ‘Busana Muslimah’. Lebih sangat menyedihkan lagi apabila pertandingan ini berlaku di sekolah rendah, yang mana kanak-kanak dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun telah mula belajar menjadi model dan menjadi tontonan rakan-rakan sedarjahnya.

Pertandingan ini sangatlah tidak sesuai bahkan ianya boleh merosakkan pelajar-pelajar tersebut terutama di sudut tatacara pemakaiannya yang mana pelajar diajarkan bermekap dan bertabarruj dengan berlebih-lebihan. Kanak-kanak itu menyangka itulah etika pemakaian muslimah yang benar padahal jauh sekali. Tambahan pula pertandingan ‘Busana Muslimah’ ini mengandungi unsur peniruan terhadap golongan kuffar yang suka menampilkan wanita dengan pakaian-pakaiannya yang menjolok mata dan menjadi tatapan bagi golongan lelaki. Padahal wanita itu adalah aurat yang perlu ditutup seluruh tubuh badan mereka bagi memenuhi tuntutan Allah dan Rasul-Nya seterusnya dapat menjaga diri mereka dan kehormatan mereka.

Wallahua’lam