Isnin, 26 Oktober 2009

TANDA-TANDA AHLI SUNNAH

Asy-Syeikh Abu Utsman Ismail bin Abdurrahman Ash-Shobuni
(373 – 449 H)

Di antara salah satu tanda-tanda Ahli Sunnah (Ahlus Sunnah) ialah kecintaan mereka kepada ulama’ As-Sunnah, penolong-penolong mereka dan pengikut-pengikut mereka. Mereka mempunyai sikap kebencian terhadap ulama bid’ah yang menyeru mereka ke neraka dan menunjuki sahabat-sahabat mereka kepada kebinasaan. Allah telah menghiasi dan menerangi hati-hati Ahlus-Sunnah dengan menganugerahkan sifat kecintaan mereka terhadap ulama’ As-Sunnah. Ini adalah sebagai kemuliaan daripada Allah Azza wa Jalla buat mereka.

Al-Hakim Abu Abdillah Al-Hafiz –semoga Allah menempatkannya dan kita di dalam syurgaNya- telah mengkhabarkan kepada kita, dia berkata: Muhammad bin Ibrahim bin Al-Fadhl Al-Muzakkie pernah menceritakan kepada kami, katanya: Ahmad bin Salamah menceritakan kepada kami, dia berkata: “Abu Raja’ Qutaibah bin Said telah membacakan bukunya “Al-Iman” di hadapan kami. Di akhir bukunya itu, beliau ada berkata: “Apabila engkau melihat seorang lelaki menyukai Sufyan Ats-Tsauri, Malik bin Anas, Al-Auza’ie, Syu’bah, Ibnul Mubarak, Abul Ahwash, Syarik, Waqi’, Yahya bin Said dan Abdurrahman bin Mahdi, maka ketahuilah bahawa lelaki itu adalah Ahli Sunnah.” Berkata Ahmad bin Salamah –semoga Allah merahmatinya- : “Saya telah menambah dengan tulisanku di sebelah bawah bukunya: Dan sesiapa yang menyukai Yahya bin Yahya, Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Ibrahim bin Rahawaih.

Setelah kami menyebutkan perkara ini, orang-orang Naisabur pun memandang kami, Abu Raja’ berkata: “Mereka itu kaum yang membenci Yahya bin Yahya.” Kami pun bertanya kepadanya: “Wahai Abu Raja’! Siapakah Yahya bin Yahya itu?” Beliau menjawab: “Dia adalah seorang lelaki yang soleh, Imam kaum muslimin, Ishak bin Ibrahim adalah Imam, dan Ahmad bin Hanbal disisiku lebih utama daripada semua mereka yang saya telah sebutkan itu.”

Saya menambah selain daripada apa yang telah disebutkan oleh Qutaibah –semoga Allah merahmatinya- bahawa sesiapa yang menyukai mereka, maka dia adalah Ahli Sunnah. Mereka adalah daripada ulama’ Ahli Hadis yang telah mengikuti ulama’ tersebut dan termasuk daripada mereka. Di antara mereka ialah seperti Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i, Said bin Jubair, Az-Zuhri, Asy-Sya’bi, dan At-Taimie.

Kemudian setelah mereka seperti Laits bin Sa’ad Al-Misrie, Al-Auza’ie, Ats-Tsauri, Sufyan bin Uyainah Al-Hilali, Hamad bin Salamah, Hamad bin Zaed, Yunus bin Ubaid, Ayyub As-Sahtiyani, Ibn Aun dan seumpama mereka. Setelah mereka seperti Yazid bin Harun Al-Wasithi, Abdur-Rarrak bin Hamman As-San’ani, Jarir bin Abdul Hamid Ad-Dibbie.

Setelah mereka seperti Muhammad bin Yahya Az-Zuhali, Muhammad bin Ismail Al-Bukhari, Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qusariy, Abu Daud As-Sijistani, Abu Zur’ah Ar-Razi, Abu Hatim Ar-Razi, Muhammad bin Aslam At-Thusi, Abu Utsman bin Said Ad-Darimi As-Sijzie, Al-Imam Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah An-Naisaburi yang mana beliau adalah imam di kalangan imam-imam lainnya. Demi hidupku, dia adalah merupakan imam di kalangan imam-imam lainnya di zamannya.

Seterusnya Abu Ya’qub Ishak bin Ismail Al-Bustie, Al-Hasan bin Sufyan Al-Fasawiy, datukku dari pihak Abu Sa’ad Yahya bin Mansur Az-Zahid Al-Harawiy, Abu Hatim Adi’ bin Hamdawaih As-Sabuni dan dua orang ayahnya yang merupakan pedang Sunnag iaitu Abu Abdillah As-Sabuni dan Abu Abdurrahman As-Sabuni dan selain daripada mereka di kalangan ulama’ As-Sunnah yang berpegang teguh dengannya, pembelanya, pendakwah kepadanya dan pencintanya.

Perkara-perkara yang telah saya nyatakan sebelum ini merupakan pegangan semua ulama’ As-Sunnah. Tidak ada perselisihan yang terjadi sesame mereka dalam perkara-perkara itu. Bahkan semuanya bersepakat tentang hal-hal tersebut. Tidak ada kedapatan seorang pun di kalangan mereka yang redha untuk menyelisihinya.

Mereka semuanya sekata supaya membenteras Ahli Bid’ah, menghina mereka, menjauhi tempat tinggal daripada mereka, tidak bersahabat dan tidak bergaul dengan mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah dengan cara menjauhi dan meninggalkan mereka (yakni Ahli Bid’ah).

Abu Utsman (pengarang) –semoga Allah merahmatinya- berkata: “Saya dengan kemuliaan dan kurnia daripada Allah Azza wa Jalla yang diberikan kepada saya, adalah orang yang mengikuti jejak-jejak mereka, berjalan dengan berpandukan cahaya-cahaya mereka.

Nasihatku kepada sahabat-sahabatku agar mereka tidak menyimpang daripada jalan-jalan yang telah mereka lalui, agar mereka tidak mengikuti ucapan-ucapan selain mereka (Ahli Hadis) dan tidak menyibukkan diri mereka dengan perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama berupa bid’ah-bid’ah yang telah menyebar luas di kalangan kaum muslimin. Juga daripada kemungkaran-kemungkaran yang telah nyata dan berleluasa di sana-sini.

Sekiranya satu perkara daripadanya dilakukan oleh seseorang di zaman ulama’ Sunnah, maka sudah tentu mereka akan menginggalkannya, menamakannya sebagai mubtadi’ (pelaku bid’ah) dan sebagai ‘pendusta’ (terhadap agama Allah) serta menunjukkan sikap kebencian mereka terhadapnya.

Janganlah terpedaya saudara-saudaraku –semoga Allah memelihara mereka- tentang ramainya Ahli Bid’ah. Sesungguhnya ramainya Ahli Bid’ah dan sedikitnya Ahli Haq (kebenaran) adalah di antara satu tanda dekatnya waktu Hari Kiamat, kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:


إن من علامات الساعة واقترابها أن يقل العلم ويكثر الجهل

Maksudnya: “Sesungguhnya di antara tanda-tanda Hari Kiamat dan hampir waktu berlakunya ialah sedikitnya ilmu dan banyaknya kejahilan.” (Daripada Hadis Anas r.a. marfu’. Dikeluarkan oleh At-Thayalisi, ‘Minhah’ (101), Ahmad (3:98, 176, 273, 289, 344), Al-Bukhari dalam Sahihnya (1:178, 9:330, 10:30, 12:113) dan ‘Khalqu Af’al Al-‘Ibad’ (342-44), Muslim (4:2056), At-Tirmizi (2205), Ibnu Majah (4045), Abu Nu’aim, ‘Al-Hilyah’ (6:280), Al-Baihaqi ‘Al-Madkhal’ (846), Ibnu Abdil-Barr ‘Al-Jaami’ (1:151) dan Al-Baghawi, (15:24) dalam Syarhus Sunnah).

Ilmu itu ialah As-Sunnah dan kejahilan itu ialah Al-Bid’ah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إن الإيمان ليأزر إلى المدينه كما يأزر الحية إلى حجرها

Maksudnya: “Sesungguhnya iman akan kembali ke negeri Madinah sepertimana kembalinya ular ke lubangnya.” (Dikeluarkan daripada Abu Hurairah oleh Ibnu Syaibah (12:181), Ahmad (2:286, 422, 496), Al-Bukhari (4:93), Muslim (1:131), Ibnu Majah (3111), Abu Uwanah (1:101) dan Ibnu Mandah, (420) dalam ‘Al-Iman’).

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لا تقوم الساعة – الأرض أحد يقول الله

Maksudnya: “Tidak akan terjadinya Hari Kiamat selagi mana masih ada orang menyebut Allah.” (iaitu selagi mana masih ada orang yang beriman – pent). (Ahmad (3:107, 201, 259, 268), Muslim (1:131), At-Tirmizi (2207), Ibnu Mandah (447, 449), Abu Uwanah (1:101). Al-Hakim (4:494-95), Al-Baghawi (15:89) dan Ibnu Hibban, (1911) dalam ‘Maurid’).

Barangsiapa yang berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada hari ini, mengamalkannya, istiqamah (tetap) barada di atas Sunnah, dan berdakwah agar manusia kembali kepadanya, maka pahalanya lebih sempurna dan lebih banyak daripada pahala yang diberikan kepada generasi awal Islam kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang terpilih pernah bersabda:

له أجر خمسين فقيل: خمسين منهم؟ قال: بل منكم

Maksudnya: “Baginya lima puluh pahala. Maka dikatakan kepadanya: Lima puluh daripada mereka?” Baginda menjawab: Bahkan daripada kamu.” (Ibnu Nasr Al-Mawarzi ‘As-Sunnah’ (35), At-Thabrani ‘Mu’jam Al-Kabir’ (10:225, 17: 117) Abu Daud (4341), At-Tirmizi (3058), Ibnu Majah (4014) dan Al-Haitsami (7:282) dalam Al-Mujamma’’).

Az-Zuhri berkata: “Mempelajari satu sunnah lebih utama daripada beribadat dua ratus tahun.

Amr bin Al-Maffarie berkata: Saya telah mendengar Amr bin Muhammad berkata: “Pernah suatu ketika Abu Mu’awiyah Ad-Darir berbual-bual dengan Harun Ar-Rasyid. Dia telah menceritakan kepada Harun Ar-Rasyid satu hadis Abu Hurairah [*] mengenai perdebatan di antara Nabi Adam dan Nabi Musa a.s. Lalu Ali bin Ja’far berkata: “Bagaimana peristiwa ini boleh terjadi sedangkan zaman Adam dan Musa jauh berbeza?” Harun Ar-Rasyid pun melompat dari tempat duduknya seraya berkata: “Dia menceritakan kepadamu hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan engkau mempertikaikannya dengan pertanyaanmu ‘bagaimana’?” Ucapannya ini terus diucapkannya sehingga dia diam.”

[*] Ahmad (2:398), At-Tirmizi (2134), Abu Said Ad-Darimi (293), Ibnu Abi Asim ‘As-Sunnah’ (140), Ibnu Khuzaimah “At-Tauhid” (1:121-122), Ibn Khuzaimah ‘At-Tauhid’ (1:121-22) dan An-Najad (19, 20, 25). Isnadnya sahih.

Pengarang (penulis) berkata: Beginilah sikap yang sepatutnya ada pada diri seseorang, bahawa dia hendaklah mengagungkan hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan menerimanya dengan sepenuhnya serta membenarkannya.

Dia hendaklah mengambil sikap yang tegas dalam mengingkari orang yang tidak mengikuti orang yang tidak mengikuti jalan ini sepertimana yang telah dicontohkan oleh Harus Rasyid terhadap orang yang membantah hadis sahih yang didengarkan dengan pertanyaan ‘bagaimana’ sebagai mengingkari dan menjauhi daripada hadis itu. Dia tidak menerimanya sebagaimana ia diwajibkan untuk menerima semua hadis (sahih) daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Semoga Allah subhanahu wa Ta’ala menjadikan kita termasuk orang-orang yang sentiasa mendengar (yang hak), mengikutinya dengan sebaik-baik dan berpegang teguh dengan Al-Kitab dan As-Sunnah sepanjang hidup kita di dunia. Dan semoga Allah menjauhkan kita daripada hawa nafsu yang menyesatkan, pandangan-pandangan yang melenyapkan dan tindakan-tindakan yang buruk. Dengannya kita memperoleh kemuliaan dan kurnia daripada Allah.

*Dinukil daripada buku Aqidatus-Salaf (Ahlul Hadith), Siri Manhaj Salaf 1, Judul Asli: Ar-Risalah Fi I'tikad Ahlis Sunnah wa Ashabul Hadis Wal Aimmah Au 'Aqidah As-Salaf Ashab Al-Hadis, penulis Asy-Syeikh Abu Utsman Ismail bin Abdur-Rahman As-Shobuni, pentahqiq Badr bin Abdullah Al-Badr, Penterjemah Abdul Wahab bin Bustami Al-Banjari As-Salafiy, Perniagaan Jahabersa, halaman146-154. Pautan-pautan pada beberapa nama yang saya letakkan diambil dari http://ahlulhadist.wordpress.com/.