Selasa, 6 Oktober 2009

Syarat-Syarat Amar Makruf Dan Nahi Mungkar


Syeikh Muhammad bin Sholeh Al-‘Utsaimin ketika mensyarahkan kitab Aqidah Al-Wasithiyah karya Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, beliau meletakkan beberapa syarat dalam beramar makruf (menyuruh berbuat kebaikan) dan nahi mungkar (melarang dari berbuat kemungkaran). Antara syarat-syaratnya adalah sebagaimana berikut:



Syarat Pertama:

Hendaklah dia mengetahui hukum syariat berkaitan dengan apa yang diperintahkan dan dilarangnya, sehingga dia tidak memerintahkan kecuali apa yang dia ketahui bahawa syariat memerintahkannya. Dia juga tidak melarang, kecuali apa yang dia ketahui bahawa syariat melarangnya, dan dalam perkara ini ia tidak boleh berpijak semata-mata hanya kepada perasaan dan juga kebiasaan.


Ini berdasarkan Firman Allah Ta’ala kepada RasulNya:

فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ

Maksudnya: “Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah dating kepadamu.” (Surah Al-Maidah: 48)

Firman Allah Ta’ala:

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran penglihatan dan hati, semuanya itu akan dimintai pertanggung jawabnya.” (Surah Al-Israa’: 36)

Dan Firman Allah Ta’ala:

وَلا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لا يُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang diseb ut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.” (Surah An-Nahl: 116)

Seandainya dia melihat seseorang melakukan sesuatu yang pada dasarnya dibolehkan, maka tidak halal baginya untuk melarangnya sampai dia mengetahui bahawa ianya haram dan dilarang.

Seandainya dia melihat seseorang meninggalkan sesuatu dimana orang melihat dan mengiranya sebagai ibadah, maka tidak halal baginya untuk memerintahkan beribadah dengannya sehingga dia mengetahui bahawa syariat memerintahkannya.

Syarat Kedua:

Hendaklah dia mengetahui keadaan orang yang diperintahkan tersebut, sama ada dia termasuk dikalangan orang yang diperintah, dilarang atau tidak. Kalau dia melihat seseorang, kemudian dia meragui adakah orang tersebut mukallaf (orang yang dibebani dengan syariat yakni beragama Islam) atau bukan. Maka dia tidak memerintahkan untuk melakukan sesuatu kewajipan sehingga dia memastikannya terlebih dahulu.

Syarat Ketiga:

Hendaklah dia mengetahui keadaan orang yang diperintahkan tersebut adalah pada waktu dia dibebankan, sama ada dia telah melakukannya ataupun belum.

Sekiranya dia melihat seseorang masuk masjid kemudian duduk, dia meragui sama ada orang tersebut telah melakukan solat Tahyatul Masjid sebanyak dua rakaat atau belum. Maka dia tidak boleh mengingkarinya dan tidak pula boleh memerintahkannya sehingga telah jelas perkara tersebut.   

Dalilnya adalah bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah pada hari Jumaat, lalu seorang lelaki masuk dan terus duduk. Nabi bertanya kepadanya:

فَقَالَ أَصَلَّيْتَ قَالَ لا قَالَ قُمْ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ وتَجَوَّزْ فِيهِمَا

“Adakah kamu telah solat?” Dia menjawab: “Belum.” Nabi bersabda: “Berdirilah dan solatlah dengan dua rakaat yang ringan.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 931. Muslim, no: 875. Dan lafaznya dari Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu ‘anhuma)

Aku mendengar sebahagian orang berkata: haram merakam bacaan Al-Qur’an di kaset hal itu melecehkan Al-Qur’an pada sangkaannya, lalu dia melarang orang ramai merakam bacaan Al-Qur’an di kaset kerana dia menyangka itu sesuatu yang mungkar.

Kami katakan, kemungkaran (yang sebenarnya) itu adalah, kamu melarang mereka sesuatu yang tidak kamu ketahui bahawa ia adalah mungkar. Maka kamu mestilah (terlebih dahulu) mengetahui bahawa kemungkaran itu adalah dalam agama Allah.

Dan itu adalah selain dari ibadah. Adapun ibadah; maka seandainya kita melihat seseorang melakukan ibadah sementara dia tidak mengetahui adakah ibadah tersebut diperintahkan oleh Allah, maka kita melarangnya kerana hukum asal ibadah adalah terbatal (haram).

Syarat Keempat:

Hendaklah dia mampu beramar makruf dan nahi mungkar tanpa ada mudarat yang akan menimpanya. Jika ada mudarat maka ia tidak wajib ke atasnya, akan tetapi jika dia bersabar dan melakukannya, maka itu lebih baik; kerana seluruh kewajipan disyaratkan dengan adanya kemampuan dan kesanggupan, berdasarkan firman Allah Ta’ala:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu.” (Surah At-Taghabun: 16)

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Jika dia beramar makruf kepada seseorang lalu dia takut dibunuh, maka dia tidak wajib untuk beramar makruf kerana dia tidak mampu untuk melakukannya. Bahkan boleh jadi diharamkan baginya. Sebahagian ulama berkata: Justeru dia wajib beramar makruf dan bersabar, meskipun dia ditimpa kesulitan kerananya asalkan tidak sampai ke tahap pembunuhan. Akan tetapi pendapat pertama lebih utama, kerana jika orang yang berbuat amar makruf ditimpa kesulitan kerana ditahan atau sebagainya, maka orang lain pun akan menolak beramar makruf dan nahi mungkar kerana takut ditimpa hal yang sama, sehinggalah pada keadaan kesulitan (bahaya) itu tidak lagi ditakuti.

Dan hal ini selama perkaranya tidak sampai pada batas di mana amar makruf termasuk ke dalam jenis jihad sebagaimana jika dia memerintahkan untuk melakukan sunnah dan melarang daripada berbuat bid’ah, sekiranya dia diam nescaya ahli bid’ah akan menancapkan kukunya pada ahli sunnah. Maka dalam keadaan sebegini wajib menampakkan sunnah dan menjelaskan bid’ah, kerana ianya termasuk jihad fi sabilillah (dijalan Allah), dan tidak ada keuzuran ke atas sesiapa yang beralasan takut terhadap dirinya.

Syarat Kelima:

Amar makruf dan nahi mungkar tidak akan mengakibatkan kerosakan yang lebih besar daripada meninggalkannya. Jika demikian, maka ia tidak wajib atasnya bahkan tidak boleh beramar makruf dan nahi mungkar.

Oleh kerana itu, para ulama berkata: Nahi mungkar akan menghasilkan salah satu dari empat perkara berikut: Hilangnya kemungkaran, atau berubahnya kemungkaran menjadi lebih ringan, atau sama dengan sebelumnya, atau kepada lebih besar dari sebelumnya.

-         Adapun keadaan yang pertama dan kedua ini nahi mungkar hukumnya wajib.
-         Adapun dalam keadaan ketiga, ianya boleh dipertimbangkan.
-         Adapan dalam keadaan keempat, tidak boleh dia melakukan nahi mungkar, kerana maksud nahi mungkar adalah menghilangkan atau meringankan.

Sebagai contoh apabila ingin memerintahkan seseorang berbuat baik, akan tetapi akibat perbuatan baik tersebut, mengakibatkan dia tidak solat berjemaah, maka amar makruf yang demikian tidak boleh, kerana ia mengakibatkan meninggalkan yang wajib demi sesuatu perkara yang hukumnya hanya sunnat sahaja.

Demikianlah juga pada hal kemungkaran. Jika dia melakukan nahi mungkar akan mengakibatkan orang yang melakukan kemungkaran tersebut akan melakukan kemungkaran yang lebih besar, maka dalam keadaan seperti ini dia tidak boleh melarangnya demi mencegah kerosakan yang lebih besar dengan membiarkan kerosakan yang lebih kecil.

Dan dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ    

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan malampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Rabb (Tuhan) merekalah, mereka dikembalikan, lalu Dia memberitahukan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah Al-An’aam: 108)

Mencela tuhan-tuhan orang musyrikin adalah sesuatu yang dituntut tanpa keraguan, akan tetapi kerana perbuatan tersebut mengakibatkan keburukan yang lebih besar daripada kemaslahatan yang diperolehi disebabkan mencela tuhan-tuhan orang musyrik, iaitu mereka akan membalasnya dengan celaan yang lebih besar terhadap Allah tanpa pengetahuan, maka Allah melarang hal tersebut dalam kondisi seperti ini.

Kalau kita mendapati seseorang yang sedang meminum khamar (arak), -dan tidak diragui bahawa ianya merupakan kemungkaran- dimana jika kita melarangnya dari meminumnya justeru dia malah mencuri dan merampas kehormatan mereka, maka dalam keadaan seperti ini kita tidak melarangnya meminum khamar kerana akibatnya jauh lebih buruk.

Syarat Keenam:

Hendaklah orang yang beramar makruf dan nahi mungkar melakukan apa yang dia perintahkan tersebut dan menjauhi apa yang dia larang. Ini menurut pendapat sebahagian ulama. Jika dia tidak melakukan hal itu, maka dia tidak boleh melarang orang lain minum khamar. Oleh kerana itu seorang penyair berkata:

Janganlah kamu melarang suatu perilaku,
Lalu kamu melakukannya,
Hal itu aib dan berat bagimu kalau kamu melakukannya.

Hanya saja jumhur ulama tidak sependapat dengan pendapat yang di atas. Mereka berkata: Dia wajib beramar makruf walaupun tidak melakukannya. Dia wajib melakukan nahi mungkar walaupun dia melakukannya kerana Allah mencela Bani Israel bukan kerana mereka memerintahkan kepada kebaikan, akan tetapi kerana mereka memerintahkan yang baik dan melupakan diri mereka.

Pendapat kedua inilah yang benar. Kami katakan: Kamu sekarang dituntut melakukan dua perkara: Pertama, melakukan kebaikan. Kedua, memerintahkan kepada kebaikan. Kamu juga dilarang dari melakukan dua perkara: Pertama, melakukan kemungkaran. Kedua, meninggalkan melarang perbuatan mungkar. Maka janganlah menggabungkan antara meninggalkan dua perkara yang diperintahkan dan melakukan dua perkara yang dilarang, Ini kerana meninggalkan salah satu dari keduanya tidak menyebabkan gugurnya yang lain.

Inilah enam syarat itu. Empat untuk keharusan, ianya adalah pertama, kedua, ketiga dan kelima di atas perincian padanya. Dan dua darinya untuk kewajipan iaitu keempat dan keenam.

Bukan termasuk prinsip dasar bahawa orang yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar harus berkerabat dengan orang yang berada di atasnya, seperti ayahnya atau ibunya, atau datuknya, atau neneknya, akan tetapi mungkin kita katakan: Hal ini lebih ditegaskan, kerana termasuk sikap berbakti kepada orang tua adalah melarang keduanya melakukan kemaksiatan dan menyuruh keduanya melakukan ketaatan. Namun mungkin dia akan berkata: “Apabila aku melarang, maka dia akan marah kepadaku dan menjauhiku, lalu apa yang akan aku lakukan?”

Kami katakan: Bersabarlah di atas yang demikian, yang kamu peroleh dari marah ayahmu ke dan menjauhnya dia darimu, dan sebaik-baik akibat adalah milik orang-orang yang bertaqwa. Teladanilah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, ayahmu yang memperingatkan ayahnya kerana kesyirikannya, Dia berkata:

يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا. يَا أَبَتِ إِنِّي قَدْ جَاءَنِي مِنَ الْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَاتَّبِعْنِي أَهْدِكَ صِرَاطًا سَوِيًّا. يَا أَبَتِ لا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَنِ عَصِيًّا. يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا. قَالَ أَرَاغِبٌ أَنْتَ عَنْ آَلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ لأَرْجُمَنَّكَ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا

Maksudnya: “Wahai ayahku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikit pun. Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. Wahai ayahku janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab oleh Allah yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan.” Ayahnya berkata: ‘Bencilah kamu kepada Tuhan-tuhan yang menjadi sembahanku, hai Ibrahim. Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan aku rejam dan tinggalkanlah aku untuk waktu yang lama.” (Surah Maryam: 42-46)

Dan juga berkata Ibrahim kepada ayahnya, Azar:

أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آَلِهَةً إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلالٍ مُبِينٍ

Maksudnya: “Patutkah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Al-An’aam: 74)

(Syarhu Al-‘Aqidah Al-Wasithiyyah, Oleh Samahatus Syeikh Muhammad As-Sholeh Al-‘Utsaimin, Dar Ibn Al-Jauzi, jilid 2, halaman 330-336. Lihat terjemahan Syarah Aqidah Wasithiyyah, Pustaka Sahifa, halaman 601-605)