Ahad, 18 Oktober 2009

Makna Hadis-Hadis Tentang "Al-Jama'ah"

HADIS PERTAMA

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا خَطَبَ بِالْجَابِيَةِ، فَقَالَ: قَامَ فِيْنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَنْ أَرَادَ مِنْكُمْ بَحْبُوْحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَةَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الإِثْنَيْنِ أَبْعَدُ

Makna Hadis:

Dari Abdullah bin Umar berkata: Umar bin Khattab radhiallahu 'anhuma pernah berkhutbah di Al-Jabiyah seraya berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam berdiri di hadapan kami dan bersabda: "Barangsiapa dari kalian menginginkan tinggal di tengah-tengah syurga, maka hendaklah berpegang teguh kepada Al-Jama'ah, kerana syaitan bersama seorang (sendirian) dan dia dari dua orang, dengan lebih jauh.

Takhrij Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh:

1. Tirmizi, hadis no. 2254 dengan syarh Tuhfatul Ahwadzi.
2. Ahmad dalam Musnadnya juz I, hal. 18.
3. Hakim dalam Mustadrak juz I, hal. 114.
4. Baihaqi dalam Sunanul Kubra juz VII, hal. 91.

Sanad hadis ini semuanya dari jalan Muhammad bin Sauqah dari Abdullah bin Dinar dari Abdullah bin Umar dari Umar bin Khaththab. Tirmidzi dan Hakim menshahihkannya dan disepakati oleh Imam Dzahabi.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (no. 2363), Ahmad (I/26), Abu Daud At-Thayalisi (no. 31), dan Ibnu Hibban (no. 2282), dari jalan Jarir dari Abdul Malik bin Umair dari Jarir dengan lafaz: Umar berkhutbah di hadapan manusia di Al-Jabiyah… sehingga akhir hadis. (Al-Hadis).

Syaikh Salim Al-Hilali berkata: Sanadnya SAHIH. Hakim menyatakan bahawa di dalamnya ada perawi yang cacat, iaitu pada Abdul Malik bin Umair. Kemudian Hakim membawakan jalan yang lain dari Sa'ad bin Abi Waqqash, berkata: Umar berdiri di Al-Jabiyah…. sehingga akhir hadis (Al-Hadis). Kemudian Hakim mensahihkannya dan disepakati oleh Imam Dzahabi.

Syaikh Salim berkata: "Dalam sanadnya ada Muhammad bin Muhajir bin Mismar. Tidak jelas bagiku, siapa dia. Jika yang dimaksud adalah Muhammad bin Muhajir al-Quraisyi maka dia orangnya lemah. Jika selain dia maka aku tidak tahu riwayat hidupnya. Tapi secara keseluruhan, hadis ini SAHIH." (Al-I'tisham II/769, Asy-Syatibi, tahqiq: Salim bin 'Ied Al-Hilali).

Mufradat Hadis

بَحْبُوْحَةُ yakni: "Di tengah dan yang terbaik." (Gharibul Hadits, Abul Faraj al-Jauzi juz I hal. 56 dan An-Nihayah fi Gharibil Hadits, Abus Sa'adat juz I hal. 98).

فإنّ الشّيطان مع الواحد Yakni: "Bersama orang yang keluar dari ketaatan kepada amir dan memecah Al-Jama'ah." (Tuhfatul Ahwadzi Syarh Jami' At-Tirmidzi, Al-Hafiz Muhammad bin Abdurrahman Al-Mubarakfuri, juz VI hal. 321).

Imam At-Thayyibi ketika menerangkan makna "dan dia dari dua orang dengan lebih jauh" berkata: "Yakni (syaitan) akan lebih jauh lagi dan kalau tiga orang maka bertambah jauh lagi." (Tuhfatul Ahwadzi, juz VI hal. 321).

Syarah Hadis

Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Musa Asy-Syatibi menyatakan:

"Para ulama berselisih pendapat tentang makna Al-Jama'ah yang ada dalam hadis tersebut, menjadi lima pendapat:

Pertama: Al-Jama'ah ialah Sawadul A'zham (kelompok manusia yang besar sekali jumlahnya, mereka berpegang kepada agama Islam dan jauh dari firqah sesat, ed.)

Dan inilah yang disebutkan oleh Abu Ghalib rahimahullah bahawasanya Sawadul A'zham adalah orang-orang yang selamat dari berbagai firqah (perpecahan). Maka setiap urusan agama yang mereka sepakati itulah al-haq (kebenaran). Barangsiapa menentang mereka kemudian dia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliah. Sama saja, baik dalam masalah syari'at atau menentang terhadap imam dan penguasa mereka. Termasuk yang berpendapat demikian adalah Abu Mas'ud Al-Anshari dan Ibnu Mas'ud radhiyallahu 'anhuma berkata: "Kalian wajib mendengar dan taat, kerana Al-Jama'ah merupakan tali Allah yang diperintahkan untuk dipegang erat-erat." Lalu Ibnu Mas'ud memegang tangannya dan berkata: "Sesungguhnya orang yang kamu benci dalam Al-Jama'ah itu lebih baik daripada orang yang kamu cintai tapi dia dalam firqah."

Diriwayatkan dari Husain radhiallahu anhu bahawasanya ada orang yang mengatakan kepadanya bahawa Abu Bakar As-Shiddiq telah (dibai'at oleh para shahabat) menjadi khalifah (pengganti) Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam. Maka Husain berkata: "Benar, demi Zat yang tiada berhak disembah selain Dia, umat Muhammad (yakni ijma' sahabat) ini tidak akan berkumpul di atas kesesatan!!"

Berdasarkan pendapat ini, maka yag termasuk Al-Jama'ah ialah para mujtahid, ulama, dan ahli syari'ah yang beramal dengannya. Adapun orang-orang di luar mereka, boleh dimasukkan dalam kategori ini sebab orang-orang tersebut mengikuti dan meneladani mereka. Setiap orang yang keluar dari jama'ah mereka, bererti dia telah menyimpang dan menjadi tawanan syaitan. Termasuk dalam hal ini semua ahli bid'ah, kerana mereka telah menentang para pendahulu umat ini. Sebab itu, mereka sama sekali tidak termasuk Sawadul A'zham!

Kedua: Al-Jama'ah ialah kumpulan para imam dari kalangan ulama mujtahidin. Barangsiapa keluar dari apa yang telah dipegang oleh para ulama umat ini lalu dia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliah. Allah menjadikan mereka sebagai hujjah bagi seluruh alam. Mereka itulah orang-orang yang disabdakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam (yang ertinya): "Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku di atas kesesatan." Makna "tidak berkumpul umatku" iaitu: "tidak akan berkumpul ulama umatku di atas kesesatan." Demikian menurut pendapat Abdullah bin Mubarak, Ishaq bin Rahawaih dan sekelompok dari ulama Salaf. Para Ulama Usul juga menyatakan pendapat yang serupa.

Abdullah bin Mubarak pernah ditanya seseorang: "Siapakah Al-Jama'ah yang layak untuk dijadikan teladan?" Jawab beliau: "Abu Bakar, Umar..." (beliau terus menyebutkan satu-persatu sampai kepada Muhammad bin Tsabit dan Husain bin Waqid). Maka dikatakan: "Yang engkau sebut itu adalah orang-orang yang telah tiada, maka siapakah yang masih hidup?" Beliau menjawab: "Abu Hamzah As-Sukri." Ishaq bin Rahawaih juga menyatakan pendapat serupa.

Dengan demikian, seorang ahli bid'ah tidak termasuk dalam Al-Jama'ah berdasarkan Ijma'. Ini kerana pada dasarnya perbuatan bid'ahnya itu bertentangan dengan ijma'.

Ketiga: Al-Jama'ah ialah para sahabat secara khusus ridhwanullah alaihim. Ini kerana merekalah yang telah menegakkan tiang-tiang agama ini. Dan mereka tidak pernah bersepakat dalam kesesatan sama sekali. Pendapat inilah yang dipegang oleh Umar bin Abdul Aziz.

Ibnu Wahab meriwayatkan dari Imam Malik bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dan para pengganti (Wulatul Amri) setelah baginda meninggal dunia telah membuat sunnah (tariqah). Mengambil (mengikuti) sunnah tersebut bererti tashdiq (membenarkan) terhadap Kitabullah, penyempurna ketaatan kepada Allah, dan menjadi penguat terhadap agama Allah ini. Tidak boleh seorang pun menukarnya atau merubahnya. Barangsiapa menjadikannya (As-Sunnah) sebagai petunjuk maka dia akan mendapat hidayah. Siapa saja yang menolongnya (menghidupkan As-Sunnah), dia akan ditolong. Barangsiapa yang menyelisihinya, bererti dia mengikuti selain jalan orang-orang mukmin (yakni para sahabat). Allah akan memalingkannya kemana saja dia berpaling dan memasukkannya ke dalam jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."

Kemudian Imam Malik berkomentar: "Aku sangat kagum terhadap ketegasan Umar bin Abdul Aziz dalam hal itu."

Berdasarkan pendapat inilah, lafaz Al-Jama'ah sesuai dengan riwayat yang lain, yaitu sabda Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam:

مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

"Setiap orang yang mengikuti sunnahku dan para sahabatku." (HR. Tirmizi, HASAN)

Makna Al-Jama'ah ini juga sesuai dengan persaksian Nabi shallallahu alaihi wa sallam tentang mereka khususnya dalam sabdanya:



فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ

"Maka hendaklah kamu (wajib) berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa ur-rasyidin." (HR. Abu Daud & Tirmizi; HASAN SAHIH)

Dengan demikian, setiap apa yang mereka sunnahkan maka itu merupakan sunnah yang tidak perlu ditinjau kembali. Hal ini berbeza dengan kaum selain mereka. Ini kerana pada generasi selain dari para sahabat, ada ahli ijtihad yang kemudiannya boleh ditolak ataupun diterima pendapatnya. Oleh kerana itu, ahli bid'ah jelas tidak termasuk Al-Jama'ah.

Keempat: Al-Jama'ah ialah jama'ah ahlul Islam tatkala mereka bersepakat dalam satu urusan. Maka wajib bagi umat Islam selain mereka, untuk mengikuti ijmaknya kaum muslimin ini. Mereka adalah orang-orang yang dijamin oleh Allah tidak akan bersepakat di atas kesesatan. Jika terjadi perselisihan di kalangan mereka maka kita wajib mengetahui pendapat yang benar dalam masalah yang mereka perselisihkan itu.

Imam Syafi'i rahimahullah berkata: "Dalam Al-Jama'ah tidak akan terjadi kelalaian dalam memahami Kitabullah, Sunnah mahupun Qias, kerana kelalaian itu hanya terjadi di dalam firqah."

Kelima: Pendapat yang dipilih oleh Imam Thabari iaitu bahawa Al-Jama'ah ialah Jama'atul Muslimin yang sepakat atas seorang amir (pemimpin). Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam telah memerintahkan untuk komitmen kepadanya dan melarang perpecahan umat dalam perkara kesepakatan tentang pemimpin yang telah diangkat. Beliau shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Siapa saja yang mendatangi umatku untuk memecah-belahkan jama'ah mereka, maka bunuhlah dia, walau siapapun orangnya." (HR. Muslim XII/241 dengan Syarah Imam Nawawi).

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-'Asqalani menukil perkataan Ibnu Jarir At-Thabari bahawa yang benar tentang maksud ucapan Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam kepada Hudzaifah "Berpeganglah engkau kepada Jama'atul Muslimin dan imam mereka!" ialah: "Berpeganglah kepada orang-orang yang telah sepakat (berbai'at) mengangkat seorang amir dalam ketaatan. Barangsiapa melanggar bai'atnya maka dia telah keluar dari Al-Jama'ah!" (Fathul Bari, Al-'Asqalani XIII/37)

Imam Thabari menyatakan: "Inilah pengertian dari diperintahkannya menetapi Al-Jama'ah. Adapun Al-Jama'ah yang apabila umat telah sepakat dengan ridla untuk mengangkat seorang amir -yang jika dia keluar darinya, matinya dalam keadaan Jahiliyah- maka ini merupakan makna Al-Jama'ah yang diterangkan oleh Abu Mas'ud Al-Anshari. Mereka merupakan majoriti manusia dari ahli ilmu dan agama beserta pengikutnya. Mereka itulah Sawadul A'zham." Selanjutnya, beliau berkata: "Adapun riwayat yang menyebutkan bahawa umatku tidak akan berkumpul di atas kesesatan, maknanya ialah Allah tidak akan mengumpulkan mereka dalam keadaan tersesat dari al-haq (kebenaran) pada hal-hal yang berkaitan dengan urusan agama mereka. Jadi, Al-Jama'ah pengertiannya kembali kepada berkumpulnya ahlul Islam, untuk mengangkat seorang imam yang sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah menurut pemahaman Salafus-Soleh. Maka, jelas keliru besar orang yang mengira bahawa Al-Jama'ah adalah sekumpulan dari kebanyakan orang, padahal di dalamnya tidak ada ulama pun yang memahami Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagaimana yang difahami oleh para sahabat ridhwanullah alaihim ajma'in. (Al-I'tisham II/770-778, Imam Asy-Syatibi, tahqiq: Salim Al-Hilali, cet. I 1412 H, Dar Ibnu Affan).

Jadi, beberapa pendapat tentang makna Al-Jama'ah adalah sebagai berikut:

Pertama, Al-Jama'ah adalah Sawadul A'zham (kelompok manusia yang besar sekali jumlahnya).
Kedua, Al-Jama'ah ialah kumpulan para imam dari kalangan ulama mujtahidin.
Ketiga, Al-Jama'ah ialah para sahabat secara khusus ridhwanullah alaihim.
Keempat, Al-Jama'ah ialah kumpulan umat Islam tatkala mereka bersepakat dalam satu urusan.
Kelima, Al-Jama'ah ialah Jama'atul Muslimin yang sepakat atas seorang amir (pemimpin). (Lihat Syarh Ushul I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jama'ah oleh Imam Al-Laalikai, tahqiq: Dr. Ahmad Sa'ad Hamdan juz 1-2 hal.96 dan As-Sunnah oleh Ibnuu Khallal, tahqiq: Dr. 'Athiyyah Az-Zahrani hal.74).

Itulah pendapat-pendapat penting tentang makna Al-Jama'ah yang kita diperintah untuk beriltizam (komitmen) kepadanya. Dari pendapat-pendapat tersebut, akhirnya kita dapat menarik dua kesimpulan:

1. Al-Jama'ah ialah jama'ah kaum muslimin apabila bersepakat atas seorang imam (pemimpin) berdasarkan syari'at dan kita wajib menetapi jama'ah tersebut serta haram keluar darinya.

2. Al-Jama'ah ialah setiap orang yang mengikuti sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam dan sunnah para sahabatnya ridhwanullah alaihim, baik sedikit mahupun banyak, sesuai dengan keadaan umat dengan beragam tempat dan masanya.

Oleh kerana itu, Abdullah bin Mas'ud radhiallahu anhu berkata:


الجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ

"Al-Jama'ah ialah setiap yang sesuai dengan kebenaran meskipun kamu seorang diri." (Lihat Al-Hawadits wal Bida' oleh Abu Syamah hal. 22. Hadits diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Al-Madkhal).

Dalam riwayat lain:


إِنَّمَا الْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ طَاعَةَ اللهِ وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ

"Al-Jama'ah adalah siapa saja yang sesuai ketaatannya kepada Allah walaupun engkau bersendirian." (Diriwayatkan oleh Al-Laalikai dalam Syarh Ushul I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jama'ah I/109).

Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan: "Alangkah bagusnya apa yang dikatakan oleh Abu Syamah dalam kitabnya Al-Hawadits wal Bida'. Ketika datang perintah untuk berpegang dengan Al-Jama'ah, maka yang dimaksudkan dengannya adalah berpegang kepada al-haq (kebenaran) dan mengikutinya. Sebab, orang yang berpegang dengannya sangat sedikit dan yang menentangnya demikian banyaknya. Sesungguhnya yang dimaksud dengan al-haq ialah apa-apa yang difahami oleh jama'ah pertama dari kalangan para shahabat Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam. (Ighatsatul Lahfan I/80, tahqiq: Basyir Muhammad 'Uyun).

Ibnu Khallal rahimahullah dalam kitabnya As-Sunnah berkata: "Al-Jama'ah ialah Jama'atul Muslimin, iaitu para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan ihsan sampai Hari Akhir. Mengikuti mereka merupakan hidayah sedangkan menyelisihi mereka adalah sesat, sebagaimana tersebut dalam firman Allah:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

"Barangsiapa menentang Rasul setelah jelas baginya kebenaran dan mengikuti selain jalan-jalan  mukminin (para sahabat ridhwanullah alaihim) maka Kami biarkan dia bergelimang dalam kesesatan dan Kami masukkan ke dalam Jahannam dan Jahannam itu merupakan seburuk-buruk tempat kembali." (An-Nisa`: 115). (As-Sunnah, Abu Bakr bin Muhammad Al-Khallal, tahqiq: Dr. Athiyyah Az-Zahrani, hal. 79).


HADITS KEDUA



عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ قِيْدَ شِبْرٍ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الإِسْلاَمِ مِنْ عُنُقِهِ

Makna Hadis:

Dari Abu Dzar radliyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Barangsiapa memisahkan diri dari Al-Jama'ah walaupun sejengkal, maka bererti dia telah melepaskan ikatan Islam dari tengkuknya."

Takhrij Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh:

1. Abu Daud dalam Sunannya, hadis no. 4758
2. Ahmad dalam Musnadnya V/180
3. Hakim dalam kitabnya Al-Mustadrak I/117
4. Ibnu Abi 'Ashim dalam As-Sunnah (892)

Sanad hadis ini semuanya dari jalan Khalid bin Wahban dari Abu Dzar secara marfu' (sampai periwayatannya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, ed.)

Syaikh Salim Al-Hilali berkata: "Sanad ini dha'if (lemah) kerana Khalid adalah majhul (tidak dikenal periwayatannya, ed). Tetapi hadis ini memiliki syahid (penguat) yang SAHIH dari hadis Ibnu Abbas dan Ibnu Umar radliallahu anhuma oleh Muslim XII/240, Syarh Imam Nawawi).



HADITS KETIGA


عَنِ ابْنِ عَبَّاسِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم: إِنَّ اللهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِي عَلَى الضَّلاَلَةِ، وَيَدُ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَمَنْ شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ

Makna Hadis:

Ibnu Abbas radliallahu 'anhuma berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umatku di atas kesesatan. Dan tangan Allah bersama Al-Jama'ah. Barangsiapa menyimpang dari Al-Jama'ah, bererti dia menyimpang ke neraka."

Takhrij hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh:
1. Tirmizi dalam Sunannya (2167)
2. Hakim dalam kitab Al-Mustadrak I/115
3. Ibnu Abi 'Ashim dalam As-Sunnah (80)

Seluruhnya dari jalan Mu'tamar bin Sulaiman dari Sulaiman Al-Madani dari Abdullah bin Dinar dari Ibnu Umar secara marfu'.

Syaikh Salim berkata: "Sanadnya dha'if kerana Sulaiman Al-Madani namanya adalah Ibnu Sufyan, bekas hamba kepada keluarga Thalhah, dia orangnya lemah. Tetapi hadis ini memiliki penguat (mutaba'ah) dari jalan Marzuq, bekas hamba kepada keluarga Thalhah, dia orang yang tsiqat (terpercaya). Imam Thabrani meriwayatkannya dalam Mu'jamul Kabir. Dengan demikian hadis ini SAHIH.


HADITS KEEMPAT


عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيْرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شَيْئًا فَمَاتَ، مَاتَ مَيْتَةً جَاهِلِيَّةً

Makna Hadis:

Dari Ibnu Abbas radliallahu anhuma berkata, Nabi shallallahu alaihi wa sallam bersabda: "Barangsiapa melihat sesuatu dari pemimpinnya yang tidak disukainya, maka hendaklah bersabar kerana sesungguhnya jika seseorang keluar dari Al-Jama'ah walaupun sejengkal kemudian dia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliyyah."

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dengan Syarh Fathul Bari XIII/5 dan Muslim (1849).

Syarah hadis:

Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan tentang makna "matinya dalam keadaan mati jahiliyah" ialah: "Matinya seperti Ahli Jahiliyah, iaitu di atas kesesatan. Dan dia tidak memiliki imam yang ditaati kerana mereka tidak mengenalnya. Dan bukan maksudnya dia mati kafir, tapi matinya sebagai orang yang berbuat maksiat." (Fathul Bari XIII/7).

Yang dimaksud dengan amir (pemimpin) di sini adalah memang benar-benar amir (pemimpin/penguasa), bukan "amir-amiran" (orang-orang yang berkuasa). Dan amir ini mesti memiliki negara sejati, bukan "negara boneka". Dan negaranya mesti di atas tanah bukan negara bawah tanah.

Cukup sampai di sini saja pembahasan makna hadis-hadis tentang Al-Jama'ah. Kita berdo'a kepada Allah Azza wa Jalla agar kita senantiasa diberi petunjuk-Nya dan semoga kita tidak menyimpang dari Shirathal Mustaqim serta selalu berpegang dengan Al-Jama'ah dan terjauh dari segala firqah. Amien ya rabbal 'alamin.

Wallahu Ta'ala A'lam.

Maraji':

1. Shahih Bukhari dengan Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Al-'Asqalani.
2. Shahih Muslim dengan syarh Imam Nawawi.
3. Al-I'tisham oleh Asy-Syathibi, tahqiq Salim Al-Hilali.
4. Gharibul Hadits oleh Abul Faraj Al-Jauzi.
5. An-Nihayah fi Gharibil Hadits oleh Abu Sa'adat.
6. Syarh I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jama'ah oleh Al-Laalika`i, tahqiq Dr. Ahmad Sa'ad Hamdan.
7. As-Sunnah oleh Ibnu Khallal, tahqiq Dr. 'Athiyyah Az- Zahrani.
8. Ighatsatul Lahfan oleh Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, tahqiq Basyir Muhammad 'Uyun.
9. Tuhfatul Ahwadzi Syarh Jami' At-Tirmidzi oleh Al-Mubarakfuri.
10. Talbis Iblis oleh Ibnul Jauzi, tahqiq Ali Hasan Al-Atsari.

Sumber: Majalah SALAFY edisi Perdana/Sya'ban/1416/1995 rubrik Hadits. Dinukil serta disunting dari: http://salafy.iwebland.com/baca.php?id=28