Rabu, 29 Julai 2009

Berbahagia Orang Yang Sakit

“Sudah sebulan saya tak sakit-sakit.” “Eh, peliknya awak ni, orang lain semua nak sihat, awak pula nak sakit.” “Bukan apa, waktu kita sakit nilah Allah datangkan pengampunanNya.” “Habis tu awak nak sakit selalu ke?” “Taklah juga, awak tau tak nikmat sihat kita akan dapat rasakan apabila kita sembuh dari penyakit? Bahkan orang yang sakit dia akan mendapat pahala dan dihapuskan dosa-dosanya.” “Owh, first time plak aku dengar ni.”

Dialog di atas sepintas lalu saya gambarkan orang yang tahu hakikat sakit dan orang yang tak tahu hakikat sakit. Bukan bererti hendak minta penyakit. Tetapi orang yang tahu hakikat sakit, mereka mengetahui bahawa akan ada ganjaran disebalik penyakit yang menimpanya itu. Memanglah sakit ini kalau boleh semua orang tidak mahu terkena darinya. Semua orang kalau boleh hendak lari daripadanya. Akan tetapi tahukah kita setiap penyakit ada ubatnya?

Terdapat sebuah hadis di dalam sahih Bukhari, dari hadis Abu Hurairah radhiallahu’anhu, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan juga menurunkan penawar (ubat) baginya.”

Di dalam sahih Muslim diriwayatkan dari hadis Jabir bin Abdullah berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Setiap penyakit ada ubatnya. Jika suatu ubat penawar sesuai untuk penyakit (tersebut), maka ia akan sembuh dengan izin Allah.”

Pada hari ini ramai yang menyangka ada penyakit yang tidak ada ubatnya. Akan tetapi Nabi menjelaskan kepada kita bahawa setiap penyakit ada ubatnya. Sama ada penyakit yang lahir seperti selesema, batuk-batuk, demam panas, dan sebagainya mahupun penyakit batin seperti jahil, malas, cemburu, dengki dan sebagainya.

Biasanya orang kata mencegah lebih baik daripada mengubatinya. Betul apa yang dikatakan itu. Kadang-kadang kita hanya tahu mencari ubat, tetapi lupa untuk mencegahnya. Kalau kita ada komputer, bukankah lebih baik kalau ada anti-virus untuk mencegah dari terkena virus daripada sudah terkena baru hendak mencari anti-virus atau komputer akan diformat semula.

Kadang-kadang ada juga sebahagian orang bersungguh-sungguh ingin mencegah dan berjaga-jaga dari terkena apa-apa penyakit. Akan tetapi akhirnya dia terkena juga penyakit. Ketahuilah, penyakit merupakan sunnatullah dalam kehidupan. Sebagaimana mati itu pasti, begitu juga penyakit itu pasti akan mengena pada siapa-siapa yang dikehendakiNya.

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Al-Anbiya’: 35)

Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma seorang sahabat yang terkenal dalam kehebatan ilmu tafsirnya menafsirkan ayat ini, beliau berkata: “Kami akan menguji kamu dengan kesulitan, kesenangan, kesihatan dan penyakit, kekayaan dan kefakiran, halal dan haram, ketaatan dan maksiat, petunjuk dan kesesatan.” (Tafsir Ibn Jarir At-Thabari, no: 24588)

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “Dan Kami bagi-bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang soleh dan di antaranya ada yang tidak demikian. dan kami coba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” (Al-A’raaf: 168)

Ibn Jarir rahimahullah berkata: “Kami menguji mereka dengan kemudahan dalam kehudupan dan kelapangan rezeki. Ini bermaksud dengan kebaikan-kebaikan. Sedangkan yang buruk-buruk adalah kesempitan dalam hidup, kesulitan, musibah dan sedikitnya harta, agar mereka kembali, iaitu kembali taat kepada Rabb, agar kembali kepada Allah dan bertaubat dari perbuatan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.” (Tafsir Ibn Katsir, 2/289)

Allah menciptakan makhluknya untuk memberikan cubaan dan ujian, lalu dengan kesenangan tersebut dia bersyukur manakala dengan kesusahan pula dia perlu tabah dan sabar. Demikian itu merupakan sifat orang yang beriman ketika dilanda kesenangan dan kesusahan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman, sesungguhnya semua urusannya merupakan kebaikan, dan hal ini tidak terjadi kecuali bagi orang yang beriman. Jika dia mendapat kegembiraan maka dia bersyukur dan itu merupakan kebaikan baginya, dan jika mendapat kesusahan maka dia bersabar dan ini merupakan kebaikan baginya.” (Hadis riwayat Muslim, no: 2999)

Ketahuilah dengan penyakit itu dosa akan dihapuskan. Setiap orang pasti bersalah. Manusia yang tiada kesalahan hanyalah Rasulullah dan Malaikat. Mereka ini maksum dari kesalahan dan dosa. Maka kesalahan dapat diangkat (dihapuskan) dengan datangnya kesakitan (penyakit).

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Asy-Syuura: 30)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidaklah seorang muslim ditimpa suatu penyakit atau sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersama dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 5660 dan Muslim no: 2571)

“Tidaklah seorang yang beriman merasa sakit terus-menerus, kepayahan, penyakit dan juga kesedihan, bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengan dosa-dosanya.” (Hadis riwayat Muslim, no: 2573)

Selain orang yang ditimpa kesusahan atau penyakit mendapat keampunan dosa-dosanya, mereka juga akan mendapat pahala, bahkan diangkat derajatnya.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidaklah seorang hamba ditimpa suatu musibah lalu mengucapkan: Inna lillahi wainna ilaihi Raaji`uun, Allahu’jurni fii musibati wa akhlif lii khairaa minha (Sesungguhnya kita berasal dari Allah dan akan kembali kepadaNya, Ya Allah, berikanlah aku ganjaran dalam musibahku ini dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik darinya) melainkan Allah memberikan pahala dalam musibahnya itu dan menggantikannya dengan yang lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim, no: 918)

“Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan ditetapkan baginya kerana itu satu derajat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya.” (Hadis riwayat Muslim, no: 2572)

Selain itu penyakit akan menyebabkan terselamat dari api neraka. Sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka.” (Hadis riwayat Al-Bazzar, Silsilah al-Ahaadits as-Sahihah, no: 1821)

Bahkan tidak boleh bagi seorang mukmin mencaci penyakit, kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah melawat orang yang sakit demam, lalu dia berkata: “Tidak ada berkat padanya.” Lalu Rasulullah bersabda:

“Janganlah kamu mencaci maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam (manusia) sebagaimana tunggul api menghilangkan kotoran-kotoran besi.” (Hadis riwayat Muslim, no: 2575)

Maka oleh itu, sedarlah kita disaat kesihatan masih dibadan, janganlah melupakan Yang Maha Menciptakan. Janganlah kita lalai dari mengingatiNya, melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Allah menurunkan musibah dan penyakit tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengingatkan kembali kepada kita nikmat sihat. Kemana kita pergunakan nikmat tersebut? Berapa banyakkah amalan yang telah kita lakukan diwaktu masih sihat?

Disaat hambaNya melupakanNya, maka Allah menurunkan penyakit, maka pada waktu itulah akan terasa kelemahan, kehinaan dan ketidakmampuannya sebagai seorang hamba, yang hanya mampu menikmati kesihatan percuma, yang tidak mampu memikul kesakitan. Sehingga mereka kembali kepada TuhanNya, maka Allah mengampunkanNya dengan kesabaran dan ketabahan yang dimilikinya. Ini juga merupakan antara hikmah disebalik penyakit yang dialami oleh seseorang. Ubatnya adalah hendaklah dia kembali kepada TuhanNya dan jangan melalaikanNya.


Demikian peringatan yang ringkas bagi kita semua kerana kita semua tidak terlepas dari ancaman berbagai-bagai penyakit. Maka kita perlu mengambil kesedaran ini untuk menyucikan hati darinya kerana keadaan sihat boleh mengundang sikap sombong, bangga, dengki dan lain-lain. Dengan datangnya penyakit pada dirinya, maka dirinya kembali menjadi lembut, sifat-sifat sombong, bangga dan dengki juga akan hilang darinya serta dia akan meneruskan kegiatan-kegiatan yang berfaedah daripada melakukan kegiatan yang merugikan.

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata: “Hati dan roh dapat mengambil manfaat dari penderitaan dan penyakit yang merupakan urusan yang tidak dapat dirasakan kecuali jika di dalamnya ada kehidupan. Kebersihan hati dan roh bergantung kepada penderitaan badan dan kesulitannya.”

Beliau berkata lagi: “Kalau bukan kerana cubaan dan musibah dunia, nescaya manusia terkena penyakit kesombongan, ujub (bangga diri) dan keras hati. Padahal sifat-sifat ini merupakan kehancuran baginya di dunia mahupun di akhirat. Di antara rahmat Allah, kadang-kadang manusia tertimpa musibah yang menjadi pelindung baginya dari penyakit-penyakit hati dan menjaga kebersihan ‘ubudiyahnya. Maha suci Allah Yang Merahmati manusia dengan musibah dan ujian.” (Ibid)

Sekiranya kita ditimpa penyakit, maka hendaklah kita mencari ubat sebagaimana sabda Rasulullah “Setiap penyakit ada ubatnya.” Akan tetapi ada dua perkara yang penting perlu diberi perhatian:

1 – Ubat tersebut hanya sebagai sarana kesembuhan dan begitu juga dengan doktor yang mengubatinya. Yang benar-benar menyembuhkan adalah Allah Ta’ala.

2 – Ikhtiar tersebut tidak boleh dilakukan dengan cara-cara yang haram dan syirik seperti yang dibuat oleh bomoh-bomoh dan sebagainya, begitu juga tidak boleh berubat menggunakan ubat yang terlarang atau barang-barang yang haram. Ini kerana Allah tidak menjadikan penyembuhan dari cara dan barang yang haram.

Wallahua'laam