Isnin, 23 Mac 2009

BERJABAT TANGAN DAN BERPELUKAN MANA YANG PATUT?

Lazimnya semasa saya bertemu dengan rakan-rakan yang mengikuti jemaah-jemaah tertentu seperti Pas, Jim, Isma dan lain-lain lagi, pertemuan dengan mereka pasti akan didahulukan dengan berjabat tangan kemudian berpeluk-pelukan. Sehingga baru selang dua tiga hari berpisah kemudian apabila bertemu semula kami akan berpeluk lagi. Kadang-kadang rimas juga dibuatnya. Akan tetapi seakan-akan ianya baik kerana lebih menjaga perhubungan antara rakan-rakan. Maka hati saya bersangka baik dan mengikuti jejak mereka.


Setelah mengenali rakan-rakan yang banyak mengikuti kuliah-kuliah pengajian ilmu, seperti dalam bidang aqidah, manhaj, dan hadis, berkatalah di dalam hati ini, "Kenapa jarang-jarang mereka mahu berpeluk ketika bertemu?" Setelah itu suatu hari, sedang saya membelek-belek kitab Al-Adzkar Imam An-Nawawi Rahimahullah, maka saya terjumpa sebuah bab yang menceritakan perihal tentang "Sunnah Berjabat Tangan Ketika Berjumpa". Terdapat banyak hadis-hadis yang dipaparkan menunjukkan bahawa sunnahnya bersalaman atau berjabat tangan ini. Antara hadis daripada Kitab tersebut adalah diriwayatkan dari Al-Bara' radhiallahu'anhu, Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:


ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا


Maksudnya: "Tidaklah dua orang muslim yang bertemu lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah." (Hadis riwayat Tirmizi, no: 2727 dan Ibn Majah, no: 3703)


Setelah hadis di atas dikemukakan, maka Imam Nawawi rahimahullah membawakan pula hadis yang diriwayatkan dari Anas radhiallahu'anhu berkata:


قال رجل : يا رسول الله ! الرجل منا يلقى أخاه أو صديقه أينحني له ؟ ، قال : لا ، قال : أفيلتزمه ويقبله ؟ قال : لا ، قال : فيأخذ بيده ويصافحه ؟ قال : نعم


Maksudnya: "Seorang lelaki bertanya: "Ya Rasulullah! Seseorang dari kami bertemu saudaranya atau sahabatnya, adakah perlu menundukkkan diri kepadanya?" Rasulullah menjawab: "Tidak." Dia bertanya: "Adakah perlu mendakapnya atau memeluknya?" Nabi menjawab: "Tidak." Dia bertanya: "Adakah mengambil tangannya kemudian dijabatnya (bersalaman)?" Nabi menjawab: "Ya." (Hadis riwayat Tirmizi, no: 7282 dan Ibn Majah, no: 3702)


Setelah itu, barulah saya ketahui bahawa berpelukan ini tidaklah dianjurkan bahkan Imam Nawawi mengatakan dalam bab "Larangan Memeluk", hukumnya adalah makruh kecuali kepada mereka yang baru balik dari musafir.


Imam Nawawi rahimahullah berkata:


"Bahawa berpelukan dan mencium saudaranya yang baru datang dari musafir itu tidak mengapa. Dikecualikan jika bukan kerana musafir, maka hal tersebut makruh hukumnya. Sedangkan mencium bagi yang berlawanan jantina haram dengan cara bagaimana sekalipun, baik kerana musafir atau bukan, begitu juga dengan berpelukan. Hukum ini berlaku bagi dua orang lelaki yang soleh dan juga fasik." (Lihat: Al-Adzkar, Pustaka As-Sunnah, Kitab Salam, ms. 682)


Imam Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa tidak boleh bagi kita menentang akan larangan ini. Sebaik-baiknya adalah petunjuk Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam. Kemudian Imam Nawawi rahimahullah membawakan firman Allah Ta'ala:


وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا


Maksudnya: "Dan apa-apa yang Rasulullah datangkan kepada kalian maka ambillah. Dan apa-apa yang Rasulullah larang maka tinggalkanlah." (Surah Al-Hasyr: 7)


Dan juga firman Allah Ta'ala:


فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Maksudnya: "Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah RasulNya takut akan mendapat cubaan atau ditimpa azab yang pedih." (Surah An-Nur: 63)


Maka dari itu sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad sallallahu'alaihi wasallam. Saya bukan hendak menghancurkan persahabatan antara rakan-rakan sesama muslim. Cukuplah hanya sekadar bersalam dan semoga dengan persalaman itu akan menggugurkan dosa-dosa kita sehinggalah berpisah.


Segala perkara di dalam agama ini telah pun diajarkan oleh Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam sehingga Allah melengkapkan agama ini menjadi sempurna sebagaimana firman Allah Ta'ala:


الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلاَمَ دِينًا


Maksudnya: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah Al-Maidah: 3)


Agama telah mengajarkan kepada kita cara-cara bersolat, dari takbir hingga salam, berzikir pada waktu pagi mahupun petang, bersendirian dan tidak secara berjemaah, adab-adab berdoa, adab-adab bersalaman, dan banyak lagi yang mana semua itu rujukannya adalah Al-Quran dan As-Sunnah As-Sahihah tidak lupa juga merujuk pada pemahaman salafus soleh.


Peliknya hari ini, agama mengajarkan kepada kita sesuatu, mereka (ahli bid'ah) merasa tidak cukup sehingga ditambah-tambah atau direka-rekanya lagi dari apa yang telah diajarkan. Sebagai contoh, apabila telah diajar bahawa zikir setelah solat adalah secara sendiri-sendirian, mereka pula menganjurkan secara berjemaah. Dan apabila diajarkan adab-adab bertemu dengan seseorang hendaklah berjabat tangan, maka mereka menambahnya dengan berpelukan sesama mereka tidak kira baru balik dari musafir ataupun tidak.


Sungguh mereka ingin membuat agama ini ikut kepala mereka, tidak mahu mengikuti dalil-dalil yang ada. Amalan agama yang mudah menjadi beragam corak tersendiri sehingga ianya menjadi susah dan payah.


Firman Allah Ta'ala:


يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ


Maksudnya: "Allah menghendaki untukmu kemudahan dan tidaklah menghendaki kesukaran." (Surah Al-Baqarah: 185)


Nabi sallallahu'alaihi wasallam bersabda:


إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ


Maksudnya: "Sesungguhnya agama (Islam ini) mudah dan tidaklah selama-lamanya disukarkan agama ini oleh seseorang melainkan akan tewas." (Hadis riwayat Bukhari)


Oleh itu, ikutilah agama ini dengan landasan yang telah diberikan iaitu Al-Quran dan As-Sunnah atas fahaman sahabat (salafus soleh). Ibarat seseorang yang berada dijalanan menuju ke destinasinya, hendaklah dia mengikut penunjuk jalan yang betul. Jika dia hendak ke Kuala Lumpur, jangan pula dia ikut signboard ke Johor. Pastilah dia tidak akan pernah sampai ke Kuala Lumpur kerana tidak mengikut signboard yang disediakan. Begitulah ibarat kehidupan ini, perlukan petunjuk kerana tidak semua laluan pernah dia lalui. Bahkan laluan yang seringkali dia lalui pun kadang-kadang tersilap jalan juga, apatah lagi hal keagamaan, destinasi kita adalah ke syurga, maka petunjuk kita untuk kesana hendaklah dipatuhi, agar kita sampai dengan selamat dan tidak tersesat. menuju ke neraka. Wallahua'lam.