Selasa, 27 Januari 2009

Ustaz Haron Din Dan Tariqat Naqsyabandi

Baru-baru ini saya membaca artikel dari blog http://an-nawawi.blogspot.com pada artikel "Kesalahan Dan Kebatilan Selawat Syifa' Yang boleh Membawa Syirik" dan pada komennya ada jawapan Dr. Harun Din yang diberi oleh Abu Muhammad dengan pautan (link) ke web Darul Syifa' yang merupakan pertubuhan kebajikan dan pengubatan Islam.

Setelah membaca jawapan yang diberikan oleh Dr. Harun Din tersebut, kemudian saya pergi ke pautan Sejarah Darussyifa'. Antara yang saya terbaca dalam Sejarah tersebut ialah:

"Kuliah-kuliah yang biasanya dijalankan setiap Selasa malam Rabu akhirnya ditukar ke Isnin malam Selasa atas nasihat seorang guru tariqat yang bernama Tuan Syeikh Nazim al-Qubrusiy. Beliau sering berkunjung ke Malaysia dan hadir bersama dalam kumpulan usrah ini untuk manyampaikan tazkirah. Menurut beliau, majlls berzikir dan ilmu seperti itu elok dilakukan pada malam Selasa ataupun malam Jumaat.Sejak itu ia diamalkan secara beramai-ramai selepas majlis membaca Yaasin." - http://www.darussyifa.org/sejarah.php

Dahulu, semasa saya belajar di Perlis, rakan saya yang juga pengikut tariqat Naqsyabandi Al-Khalidiyah berkata yang Dr. Harun Din juga seorang penganut Tariqat Naqsyabandi sebagaimana mereka. Mereka juga sering melakukan "tawajuh" di Changlun pada hujung minggu dan terkadang bersuluk selama 40 hari atau kurang dari itu, ketika cuti panjang.

Ramai orang masih tidak mengetahui lagi apakah sebenarnya Tariqat Naqsyabandi ini. Dalam Kitab Al-Hadiqah An-Nadiyah fi At-Tariqah An-Naqsyabandiah ada tertulis:

وإياك أن تقول: طرق الصوفية لم يأت بها كتاب ولا سنة فانه كفر»


Maksudnya: “dan berjaga-jagalah engkau dari berkata bahawa Tariqat Sufi tiada dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya (perkataan) itu adalah Kufur”.

Mereka dengan tanpa segannya berkata orang yang tidak mengambil Tariqat adalah kafir. Sedangkan sudah terbukti yang tariqat sememangnya tidak ada dalam al-Quran dan Sunnah. Sila lihat artikel saya Hakikat Sufi Yang Perlu Diketahui, dan Wahabi bukanlah Sufi dan Hakikat Tasawwuf.

Antara amalan mereka yang utama yang bertentangan dengan syari'at Islam ialah Rabithah. Rabithah ialah
Menghadirkan rupa guru atau syeikh ketika hendak berzikir. - Lihat: H.A. Fuad Said, Hakikat Tariqat Naqsyabandiah,Pustaka Al-Husna Baru,Jakarta,2003.Hlm 71.

Di dalam buku Hakikat Tariqat Naqsyabandiah oleh H.A Fuad Said berkata berkenaan fadilat Rabithah: "
Barangsiapa berhubungan terus-menerus dengan rabitah niscaya terjadilah atas dirinya peristiwa-peristiwa tariqat dan kesempurnaan hakikat. Tetapi sebaliknya barangsiapa tidak ber-rabithah niscaya terputus limpahannya dan tidak akan muncul rahsia kebesaran Allah kepadanya." - Lihat: Hakikat Tariqat Naqsyabandiah, hlm 73.

Ini bertentangan dengan amalan-amalan yang diajar kepada kita bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah:

Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah dan carilah Yang boleh menyampaikan kepadanya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. - Al-Maidah: 35.

Pada ayat yang dihitamkan itu,” dan carilah jalan yamg boleh menyampaikan kamu padaNya” bukanlah bermakna rabithah tetapi ‘amalan-amalan soleh yang telah diajar Rasulullah S.A.W.


Abu Ja’far At-Thobari dalam tafsir nya menyatakan pendapat ulama’ tafsir akan makna ayat ini:

عن السدي:"يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة"، قال: فهي المسألة والقربة.


Daripada As-Suddiy: "Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah dan carilah Yang boleh menyampaikan kepadanya": ia adalah do’a dan amalan soleh."


عن مجاهد:"وابتغوا إليه الوسيلة"، القربة إلى الله جل وعزّ.


Daripada Mujahid: "Carilah Yang boleh menyampaikan kepadanya" Amalan taqarrub pada Allah S.W.T.


Berkata pula Ibn Kathir:


قال سفيان الثوري، حدثنا أبي، عن طلحة، عن عطاء، عن ابن عباس: أي القربة. وكذا قال مجاهد [وعطاء] وأبو وائل، والحسن، وقتادة، وعبد الله بن كثير، والسدي، وابن زيد.


“Berkata Sufyan As-Saury, Mengkhabarkan kami bapaku,dari Thalhah dari ‘Atha’ dari Ibn ‘Abbas: Iaitulah Qurbah (amalan soleh) dan demikian pula perkataan Mujahid, Atha’, Abu Wail, Al-Hasan, Qatadah, Abdullah bin Kathir, As-Suddi dan Ibn Zaid”. - Rujuk Tafsir Ibn Katsir.

Lebih lanjuta sila baca (download): http://www.4shared.com/file/46614021/970ab65b/rabitah_Naqsyabandi.html?dirPwdVerified=754255c1


Berkenaan Tariqat Naqsyabandi ini juga telah difatwakan oleh fatwa Kebangsaan, fatwanya sebagaimana berikut:

"Tariqat Naqsyabandiah Al-'Aliah di bawah pimpinan Syeikh nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Pengamal ajaran ini dikehendaki segera bertaubat."

Rujuk: http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=873

Fatwa Negeri Kedah menyatakan:

"Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah D.A. setelah mengkaji bersetuju dengan sebulat suara mengharamkan tareqat ini."

Rujuk: http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_view.asp?keyID=494

Fatwa Negeri Sarawak menyatakan:

"Ahli mesyuarat telah sebulat suara memutuskan bahawa :

i) Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim berfahaman dengan fahaman-fahaman Wehdatul Ujud, Martabat Tujuh Nur Muhammad yang bertentangan dengan konsep dan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

ii) Tariqat ini berpegang kepada hadis-hadis maudu'

iii) Mereka mengamalkan konsep Yaqazah (dapat berkomunikasi dengan Allah s.w.t dalam mimpi) yang bertentangan dengan fahaman dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Menurut Pengerusi Kumpulan Ahli Tarikat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani pernah melawat Sarawak. Setelah dikaji didapati dalam ajarannya tidak boleh diamalkan oleh orang Islam dan ianya telah diharamkan oleh Kerajaan. Dalam pada itu, Pengerusi walau bagaimanapun ada menyiasat tentang ajaran ini dan hasil dariapda siasatan tersebut beliau berharap agar ianya terus pudar.

Kesimpulannya Ahli Mesyuarat bersetuju bahawa ajaran ini menyeleweng dan diharamkan"

Rujuk: http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=940