Isnin, 3 November 2008

PELAJARAN TAUHID

Walaupun sudah berkali-kali di dalam blog-blog dan laman-laman web yang menerangkan tentang ini, tetapi suka di sini untuk saya menjelaskannya lagi. Ini kerana ilmu itu tidak akan terus berkembang jika kita tidak mengulanginya. Dan terkadang ada penjelasan-penjelasan yang lebih kita cenderung dan lebih dapat menerima berbanding dari pihak-pihak lain di sebabkan faktor-faktor tertentu.

Maksud Tauhid Rububiyah ialah Percaya bahawa Allah itu satu-satunya pencipta, pemilik, pengendali alam raya yang dengan takdir-Nya Ia menghidupkan dan mematikan serta mengendalikan alam dengan sunnah-sunnahnya. [Rujuk - Pengantar pengajian Aqidah Islam Mazhab Ahl sunnah wal Jamaah, Dr. Ibrahim Muhammad bin Abdullah Al-Buraikan, Pustaka Dini, hal 142]

Dalil ialah:

الحمد لله رب العالمين

"Segala Puji bagi Allah Tuhan yang mencipta semesta Alam" [Surah al-Fatihah ayat 2]

Manakala Tauhid Uluhiyah ialah MengEsakan Allah dalam ibadat dan ketaatan. Atau mengEsakan Allah dalam perbuatan seperti solat, puasa, zakat, haji, nazar, menyembelih sembelihan, rasa takut, rasa harap dan cinta. [Rujuk - Aqidah Islam, oleh Dr, Ibrahim Muhammad, hal 153]

Dalilnya:

الله لا إله إلا هو الحي القيوم

"Allah, Dialah Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus urusan makhluknya.."

Dan beza Tauhid di atas ialah Rububiyah di miliki oleh kebanyakan manusia sekalipun bukan islam. Akan tetapi Tauhid Uluhiyah cuma dimiliki oleh orang muslim.

Tauhid asma wa sifat; Maknanya mentauhidkan Allah pada nama-nama dan sifat-sifatNya sebagaimana yang telah ditetapkan olehNya di dalam kitabNya dan sunnah NabiNya s.a.w.

Firman Allah s.w.t:

"Hanya milik Allah asmaul husna (nama-nama yang baik)" [Al-A'raaf: 180]

Berkata Imam Ibnul Qayyim rh: "Nama-nama Allah s.w.t menunjukkan sifat kesempurnaanNya. Nama-nama ini berasal dari sifat-sifatNya. Jadi ini adalah nama-nama dan sekaligus juga sifat-sifat, kerana itulah disebut indah. Sebab kalau hanya sekadar kata-kata tanpa makna, tentu tidak dapat dikatakan indah (husna), tidak pula dapat menunjukkan pujian dan kesempurnaan". [Tahdzib Madarij as-Salikin (37-43), dinukil daripada terjemahan kitab Manhaj al-Imam al-Syafie Rahumahullah Ta'ala fi Itsbat al-'Aqidah oleh Dr. Muhammad bin 'Abdul Wahab Al-'Aqil, hal 265, cetakan Pustaka Imam Asy-Syafi'i]

Maka kita ketahui bahawa setiap nama-nama Allah menunjukkan sifatnya. Dan inilah Aqidah Ahl Sunnah wal Jamaah yang sebenar tanpa membezakan antara nama-nama dan sifat kecuali nama "ALLAH" sahaja yang menunjukkan Dzat Allah s.w.t.

Hendaklah kita ketahui nama-nama Allah bukanlah setakat 99 seperti mana yang kita hafal. Akan tetapi nama Allah s.w.t lebih daripada itu. Cuma Rasulullah memberi tahu kepada kita sekadar 99 seperti mana hadis berikut:

"Sesungguhnya bagi Allah itu ada sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu, siapa yang menghitungnya nescaya masuk syurga". [HR Bukhari dan Muslim]

Adapun dalil yang menunjukkan nama Allah itu lebih 99 nama adalah seperti berikut:

Sabda Rasulullah s.a.w: "Aku memohon kepadaMu dengan setiap nama, itu adalah milikMu yang Engkau namakan diriMu denganNya, atau Engkau turunkan di dalam KitabMu atau Engkau ajarkan kepada salah seorang di antara makhluk-makhlukMu atau yang Engkau tidak beri tahu di dalam rahsia ghaibMu". [HR Ahmad dan al-Hakim dengan sanad yang sahih]

Dalam perkataan yang bergaris di atas menunjukkan terdapat lagi nama Allah yang di sembunyikan atau yang tidak sampai kepada kita. Maka wajib bagi ummat islam percaya bahawa nama-nama Allah bukanlah setakat 99 nama, tetapi yang di beritahu cumalah bilangan tersebut.

Terkadang ada juga sifat-sifat Allah yang ianya tidak menunjukkan nama bagiNya dan ianya hanya merujuk kepada sifat bagiNya tetapi telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Sifat-sifat Allah itu terbahagi kepada Fi'liyah dan Dzatiyah.

Menurut ASWJ setiap sifat Allah yang disebut tidak boleh sama sekali kita menyamakan ia dengan manusia. Setiap apa yang disebut sama ada dalam Quran mahupun Hadis maka hendaklah kita terima sebagaimana Para Rasul dan sahabat (salaf) menerimanya tanpa mentakwilnya (mengubahnya). Hendaklah kita menerimanya tanpa bertanya-tanya bagaimana rupa bentuknya.

Maka setiap kali membahaskan sifat Allah saya akan mulakan dulu dengan dalil di bawah:

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

"Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" [Surah Asy-Syura ayat 11]

1.Sifat Ketinggian

Sifat ketinggian ini di jelaskan dalam al-Quran seperti berikut:

ءأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الأرض فإذا هي تمور

"Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di Langit, bahawa Dia akan menenggelamkan bumi bersamamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang". [Surah Al-Mulk ayat 16]

سبح اسم ربك الأعلى

"Sucikanlah nama Rabbmu yang maha Tinggi" [Surah Al-'Alaa]

Dalil daripada Hadis:

Rasulullah SAW pernah mengajukan pertanyaan kepada seorang budak perempuan milik Mua'wiyah bin Al-Hakam As-Sulamy sebagai ujian keimanan sebelum ia dimerdekakan oleh tuannya iaitu Mu'awiyah: "Beliau bertanya kepadanya:"Di manakah Allah?". Jawab budak perempuan:"Di atas langit". Beliau bertanya (lagi):"Siapakah Aku ..?". Jawab budak itu:"Engkau adalah Rasulullah". Beliau bersabda: "Merdekakan ia! kerana sesungguhnya ia mu'minah (seorang perempuan yang beriman)". [Hadis riwayat Muslim, lihat selanjutnya]

2.Sifat Istiwa (Bersemayam)

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

"Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" [Surah Asy-Syura ayat 11]

ثم استوى على العرش

"kemudian Ia (Allah) bersemayam di atas 'arasy" [Surah al-a'raf ayat 54]

Rasulullah SAW pernah mengajukan pertanyaan kepada seorang budak perempuan milik Mua'wiyah bin Al-Hakam As-Sulamy sebagai ujian keimanan sebelum ia dimerdekakan oleh tuannya yaitu Mu'awiyah: "Beliau bertanya kepadanya : "Di manakah Allah ?". Jawab budak perempuan : "Di atas langit". Beliau bertanya (lagi) : "Siapakah Aku ..?". Jawab budak itu : "Engkau adalah Rasulullah". Beliau bersabda : "Merdekakan ia ! .. kerana sesungguhnya ia mu'minah (seorang perempuan yang beriman)". [hadis diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i, Ahmad, ad-Darimi, Baihaqi, Ibn khuzaimah dan lain-lain]

Firman Allah:"Ataukah kamu (memang) merasa aman terhadap DZAT yang di atas langit bahwa Ia akan mengirim kepada kamu angin yang mengandung batu kerikil ? Maka kamu akan mengetahui bagaimana ancaman-Ku". (Al-Mulk : 17)

Sabda Rasulullah saw: "Orang-orang yang penyayang, mereka itu akan disayang oleh Allah Tabaaraka wa Ta'ala (Yang Maha berkat dan Maha Tinggi). oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang di muka bumi, nescaya Dzat yang di atas langit akan menyayangi kamu". [Hadis Shahih diriwayatkan oleh Imam-imam : Abu Dawud No. 4941. Ahmad 2/160. Hakim 4/159. dari jalan Abdullah bin 'Amr bin 'Ash. Hadits ini telah dishahihkan oleh Imam Hakim dan telah pula disetujui oleh Imam Dzahabi]

Firman Allah: "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang Telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu dia bersemayam di atas 'Arsy. dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam." [Surah Al-Araf ayat ke 54]

Pada perkataan bergaris di atas mempunyai nota kaki dalam tafsir pimpinan Ar-Rahman iaitu : bersemayam di atas 'Arsy ialah satu sifat Allah yang wajib kita imani, sesuai dengan kebesaran Allah dan kesucian-Nya.

Fiman Allah: "Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian dia bersemayam di atas arsy dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. dan dia bersama kamu di mana saja kamu berada. dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan." [surah al-Hadid ayat ke 4]

Berkata imam Malik: "Istiwa itu tidaklah Majhul (Maruf yakni diketahui), dan Kaifiatnya (bagaimana bentuknya) tidak dapat dicapai aqal (majhul yakni tidak diketahui), dan beriman dengannya adalah wajib, dan bertanya-tanya tentangnya (mentawilkannya) adalah bidah" [Al-Asma was Sifat li Al-Baihaqi, rujuk juga Tafsir Al-Qurthubi Al-Jami li Ahkamil Quran]

3.Sifat Turun

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

"Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" [Surah Asy-Syura ayat 11]

Dalil tentang sifat ini:

Antaranya dinyatakan di dalam hadis yang diriwayat oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malamnya ke langit terendah di saat tinggal sepertiga malam, seraya menyeru: "siapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku memperkenankan doanya; siapa yang meminta kepadaKu, maka Aku memberinya, dan siapa yang memohon ampunan kepadaKu, maka Aku mengampuninya" [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

4.Sifat Kalam (Berkata-kata)

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

"Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" [Surah Asy-Syura ayat 11]

Dalil sifat ini ialah:

وكلم الله موسى تكليما

"Dan Allah telah berbicara kepada Musa dengan langsung" [Surah An-Nisaa ayat 164]

إنما قولنا لشيء إذا أردنه أن نقول له كن فيكون

"Sesungguhnya perkataan kami (Allah) terhadap sesuatu apabila kami menghendakinya, kami hanya mengatakan kepadanya: 'KUN (jadilah)', maka Jadilah Ia" [Surah an-Nahl ayat 40]

Dalam hadis Abu Sa'id al-Khudri r.a, ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Allah berseru, 'Hai Adam'. Maka Adam menjawab: 'Labbaika wa Sa'daika'. Lalu diserulah dengan suatu suara, sesungguhnya Allah memerintahkan kepadamu supaya engkau keluarkan dari keturunanmu rombongan ke neraka." [Hadis riwayat Bukhari]

5.Sifat Tangan

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

"Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" [Surah Asy-Syura ayat 11]

Dalilnya:

قال يإبليس ما منعك أن تسجد لما خلقت بيدي أستكبرت أم كنت من العالمين

"Allah berfirman: 'Hai Iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada apa yang telah Kuciptakan dengan kedua Tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang yang lebih tinggi?" [Surah Shaad ayat 75]

وقال اليهود يد الله مغلولة غلت أيديهم ولعنوا بما قالوا بل يداه مبسوطتان ينفق كيف يشاء

"Orang-orang yahudi berkata: 'Tangan Allah itu terbelenggu', sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu, tetapi kedua-dua Tangan Allah itu terbuka, Dia memberi nafkah sebagaimana Dia kehendaki" [Surah Al-Maaidah ayat 64]

6.Sifat Wajah

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

"Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" [Surah Asy-Syura ayat 11]

Dalilnya:

ويبقى وجه ربك ذو الجلال والإكرام

"Dan tetap kekal wajah Rabbmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan" [Surah Al-Rahman ayat 27]

Ahli sunnah wal Jamaah adalah golongan yang sederhana dalam menangani masalah ini (sifat-sifat yang saya kemukakan di atas). Tidak terlebih sehingga mengatakan tangan Allah itu sama dengan tangan manusia, dan tidak juga terlalu kurang sehingga mengatakan Allah tidak ada tangan (sedangkan jelas dalil menunjukkan Allah menetapkan sifat tangan baginya tanpa memikirkan bagaimana).

Sebahagian pendapat berpendapat agar sifat-sifat seperti tangan, wajah dan sebagainya perlu di takwil (takwil yang bermakna "tahrif" iaitu menukar) kepada kuasa atau sebagainya. Pendapat Ahl Sunnah Wal Jamaah adalah tidak mentakwil setiap sifat-sifat Allah selagi mana para Nabi dan sahabat2 (para salafus soleh) tidak mentakwilkannya. Tidak boleh ada "tasybih" iaitu menyerupakan atau "tamtsil" iaitu menyamakan dengan makhluk. [Rujukan - Manhaj Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ismail bin Omar, hal 145]

Kita perlulah menghindar dari persoalan untuk mengetahui hakikat bentuk sepenuhnya menunjukkan kesempurnaan sifat tersebut pada Allah. Seorang mukmin dikehendaki beriman dengan segala nama-nama dan sifat-sifat Allah yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah tanpa menyoal begaimanakah hakikat bentuk zat atau sifat-sifat tersebut. Tiada makhluk yang mengetahui hakikat zat Allah sebenarnya. Maka mustahil bagi mereka mengetahui hakikat nama-nama dan sifat-sifat Allah yang maha suci. [Ibid - hal 144]

Firman Allah:

ولا يحيطون به علما

Maksudnya: "Sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi akanNya" [Surah Taha ayat 110]

Ahli Sunnah wal Jamaah juga berpendapat tidak boleh ada "ta'thil" iaitu menafikan pada sifat Allah dan juga "tafwid" iaitu menyerahkan kemampuan mamahami maksud nama-nama dan sifat-sifat Allah sahaja kerana manusia tidak mampu mengetahui atau faham akan maknanya lalu diketepikan terus perbincangan berkenaan masalah ini. Maka kedua-dua ini perlulah dihindari bagi menangani masalah sifat2 Allah. Kerana para ulama' yang terawal dari kalangan salafus soleh kesemuanya memahami akan maksud nas-nas kepada Allah dan dengan itu bukanlah dari golongan yang membaca nas-nas tetapi tidak memahami maknanya. [Ibid - hal 149 dan 150]

Adapun golongan yang terkeluar dari ahli sunnah wal jamaah dalam masalah sifat-sifat Allah antaranya ialah golongan Asya'irah. Mereka menetapkan beberapa sifat sahaja yang wajib kita ketahui bagi Allah. Sedangkan Kesemua sifat-sifat yang disebutkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah wajib kita imani. Mereka juga mentakwil sifat-sifat bagi sifat-sifat seperti turun, wajah, tangan dan ketawa kepada makna yang lain tanpa berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka menjadikan sifat2 tersebut sebagai majazi atau kiasan. Hendaklah dijauhi golongan ini. [Ibid - hal 173]

Golongan yang hanya menetapkan nama-nama Allah dan menafikan sifat-sifatNya pula adalah daripada golongan muktazilah. Dan golongan yang menafikan kedua-dua nama-nama dan sifat-sifat Allah adalah daripada golongan Jahmiyah. Golongan-golongan ini adalah terkeluar daripada Aqidah yang selamat kerana membuat suatu pembaharuan pada perkara Aqidah. sedangkan Aqidah merupakan perkara yang disepakati akan perkaranya dengan tidak ada kekhilafan atau perbezaan tentangnya. [Ibid - hal 174]

Akhir sekali saya bawa kata-kata Al-Imam Ibn Katsir yang terkenal dengan Tafsirnya "Al-'Azhim tafsir Ibn Katsir" juga seorang yang bermazhab Asy-Syafi'i yang pernah berguru dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah seorang guru kesayangan beliau. Ketika membahaskan tentang sifat-sifat Allah (pada ayat tentang bersemayam Allah di atas 'Arasy) beliau berkata:

"dan sesungguhnya hendaklah diikuti dalam masalah ini mazhab Salaf As-Soleh: (Imam) Malik, Auza’i, As-Tsaury, Al-Laith bin Saad, Asy-Syafi’i, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuwaih, dan selainnya daripada imam-imam muslimin dahulu dan sekarang iaitu melalukannya seperti mana datangnya tanpa takyif (memberi rupa), dan tidak pula tsaybih (penyerupaan), dan tidak pula ta’thil (membatalkan sifat)....”[Lihat tafsir Surah Al-A’raf ayat 54, Tafsir Al-Quran Al-Azhim, Ibn Katsir, Jilid 2, Idarah Bina al-Masajid Wal Masyari’ al-Islamiah 1992, hal 246]

Demikian penerangan secara sepintas lalu tentang Tauhid Rububiyah, Uluhiyyah dan Asma' was Sifat yang pernah saya terangkan suatu masa dahulu di dalam group discussion (SMATS) friendster. Semoga kita bersama mendapat manfaat darinya.