Isnin, 8 September 2008

SIAPAKAH GOLONGAN YANG DIHALAU OLEH RASULULLAH?

Siapakah Golongan Yang Dihalau Oleh Rasulullah ?[1]


Penulis : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS)


Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a di mana beliau berkata:


“Di suatu ketika Rasulullah s.a.w telah melalui sebuah kawasan perkuburan, seraya bersabda: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai perkampungan orang-orang beriman! Kita akan menyusul bersama kamu. Insya’Allah, aku berharap aku dapat melihat saudara-saudaraku”. Bertanya para sahabat yang hadir ketika itu: “Wahai Rasulullah! Bukankah kami ini saudara kamu?”.


Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidak, kamu adalah sahabat-sahabat aku. Saudara-saudaraku adalah mereka yang akan datang di kemudian hari (selepas kewafatanku) dan aku memimpin mereka ke telaga Hawdh” [2]. Para sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah kamu akan mengenali umat-umat yang akan datang selepas (kewafatan) kamu?”.


Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidakkah seseorang yang memiliki seekor kuda yang berkaki putih di kalangan beberapa ekor kuda yang hitam dapat mengenali yang mana satukah kudanya?” (Jawab para sahabat) “Sudah tentu ya Rasulullah!”.


Rasulullah meneruskan: “Sesungguhnya mereka (umat Islam selepas kewafatan Rasulullah) akan datang di hari Kebangitan (Kiamat) dengan tanda-tanda keputihan di dahi, tangan dan kaki mereka disebabkan oleh kesan-kesan wudhu’, dan aku akan memimpin mereka ke arah telaga Hawdh.


Akan tetapi, ada di antara mereka yang akan dihalau daripada telaga Hawdh seperti unta-unta berkeliaran. Lalu aku memanggil-manggil akan mereka: “ Datanglah ke mari! (sebanyak 3 kali)”. Dan ketika itu seseorang (atau suatu suara) yang akan berkata: “Mereka itu adalah orang-orang yang telah menukar-nukar perkara (agama) selepas engkau”. Lalu aku akan berkata pula: “Jikalau begitu pergilah mereka, pergilah mereka, pergilah mereka!” [3]


Pengajaran Hadis :


Dalam hadis yang tertera di atas Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita mengenai suasana yang bakal berlaku pada hari Kiamat di mana pada hari itu umatnya akan terbahagi kepada dua golongan, yang pertama adalah mereka yang berjaya mendatangi telaga al-Hawh, manakala yang kedua adalah mereka yang tercicir daripada memperolehi nikmat tersebut. Risalah ringkas ini akan menumpukan perbincangan mengenai siapakah golongan kedua yang malang itu.


Jika diperhatikan dalam matan (teks) hadis tersebut, Rasulullah s.a.w ada menyebut : “ …tanda-tanda keputihan di dahi, tangan dan kaki mereka disebabkan oleh kesan-kesan wudhu’...”.


Kenyataan baginda s.a.w ini mengisyaratkan kepada kita bahawa mereka semua adalah kelompok umatnya yang terdiri daripada golongan ahli ibadah. Namun, seperkara yang memeranjatkan kita ialah dalam hadis tersebut juga Rasulullah s.a.w ada menyebut: “ ada di antara mereka yang akan dihalau daripada telaga Hawdh seperti unta-unta berkeliaran..”.


Daripada pernyataan Rasulullah s.a.w ini maka dapat difahami bahawa dalam kalangan “orang-orang yang beribadah” itu akan ada sekelompok dari mereka yang akan dihalau dari telaga al-Hawdh Rasulullah s.a.w. Di sini timbul persoalan, siapakah mereka ? Mengapakah mereka dihalau oleh baginda s.a.w sedangkan mereka juga termasuk umat Nabi Muhammad s.a.w dan kalangan ahli ibadah?


Persoalan ini dapat dijawab dengan memerhatikan hujung matan (teks) hadis itu sendiri : “Mereka itu adalah orang-orang yang telah menukar-nukar perkara (agama) selepas engkau”. Dengan jawapan ini, maka tidak syak lagi bagi kita bahawa mereka adalah golongan ahli ibadah yang gemar melakukan amalan-amalan bid’ah di dalam agama.


Dengan penjelasan ini, ingin penulis mengambil kesempatan untuk memperingati kaum Muslimin dan Muslimat agar senantiasa memerhatikan amal ibadah yang kita kerjakan selama ini. Apakah ianya sesuatu yang bertsabitan dari al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih atau tidak. Hal ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ianya melibatkan status kita di akhirat kelak, apakah kita termasuk dalam golongan yang selamat dan mendapat kemuliaan mendatangi telaga al-Hawdh itu atau sebaliknya.


Janganlah kerana kita termasuk dalam kategori “ahli ibadah” kita mengambil sikap sambil lewa, lantas cuai dan leka di dalam memerhatikan kesahihan amalan yang telah atau akan kita lakukan. Ingatlah, sekadar beribadah sahaja tidak akan mampu menyelamatkan kita dari menerima azab Allah. Dengan hanya beribadah sahaja tidak akan dapat menjanjikan pembelaan Rasulullah s.a.w di hadapan Mahkamah Allah kelak- jika ibadah yang dilakukan itu termasuk dalam amalan-amalan yang jauh dari petunjuk al-Sunnah Rasulullah.


Oleh itu, marilah kita bersama-sama berittiba’ (mengikuti) kepada Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih, dan menjauhkan diri dari segala bentuk perbuatan bid’ah dalam agama agar kita tidak termasuk dalam kelompok “yang akan dihalau daripada telaga Hawdh seperti unta-unta berkeliaran..” sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w menerusi hadisnya di atas. Wallahu a’lam.





[1] Risalah ini adalah nukilan daripada risalah penulis yang bertajuk “Janganlah Mengubah Suai Ajaran Agama. Sila dapatkan risalah tersebut dengan menghubungi penulis melalui e-mail : mohd.hairi_nonchi@yahoo.com.my

[2] Telaga Hawdh adalah sebuah telaga minuman air yang disediakan oleh Allah s.w.t di hari akhirat kelak, khas untuk umat-umat Rasullullah s.a.w.

[3] Imam Malik, Al Muwwatha’, hadis no: 2.6-29. Dinukil daripada buku Zikir-zikir Selepas Solat Fardhu Sebagaimana Yang Diajarkan & Dilakukan Oleh Rasulullah s.a.w, Hafiz Firdaus Abdullah, Syarikat Jahabersa, Johor, cetakan kedua, 2005, ms. 1-3.