Isnin, 1 September 2008

Hadis-Hadis Lemah & Palsu Berkaitan Dengan Bulan Ramadhan

Disediakan oleh : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial)


“Seandainya hamba-hamba itu mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, nescaya umat berangan-angan agar Ramadhan setahun penuh. Sesungguhnya,
syurga dihiasi untuk Ramadhan dari hujung tahun ke tahun berikutnya”


Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah 1886, Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at 2/188, Abu Ya’la dalam Musnadnya sebagaimana di dalam al-Mathalib al-‘Aliyah (qaf 46/alif – ba/nashkah manuskrip) dari jalan Jarir bin Ayub a-Bajali dari Sya’bi dari Nafi’ bin Bardah dari Abu Mas’ud al-Ghifari. Hadis ini bertaraf maudhu’ (palsu). Kecacatannya berpangkal kepada Jarir bin Ayyub.Ibnu Hajar menyebutkan biografinya dalam Lisan al-Mizan 2/101 dan berkata: “Dia terkenal dengan kelemahannya”. Kemudian Ibnu Hajar menukil ucapan Abu Nu’aim mengenainya : “Dia pemalsu hadis”. Manakala dari al-Bukari, beliau berkata: “Dia meriwayatkan hadis mungkar” dan dari al-Nasaa’i: “Dia matrukul hadis (ditinggalkan hadisnya)”. Ibnu al-Jauzi menghukuminya sering memalsukan hadis.


“Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai kewajipan dan solat malam sebagai sunnah. Barangsiapa bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) di dalamnya dengan suatu kebaikan, maka dia seperti menunaikan suatu kewajipan pada bulan lain (selain ramadhan)... Ramadhan adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah ampunan dan akhirnya adalah kemerdekaan daripada neraka...”


Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, no: 1887, al-Muhamili dalam Amalinya, no: 293, al-Ashbahani dalam at-Targhib (qaf/178, ba/nashkah manuskrip) dari jalan Ali bin Zaid bin Jad’an dari Sa’id bin al-Musayyib dari Salman. Sanad hadis ini dha’if, kerana kelemahan Ali bin Zaid. Ibnu Sa’ad berkata: “Dia dha’if, tidak dapat dijadikan hujah”. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Dia tidak kuat” Ibn Ma’in berkata: “Dia dha’if”. Ibnu Abi Haithamah berkata: “Dia dha’if dalam segala hal”. Ibnu Khuzaimah berkata: “Aku tidak berhujah dengannya kerana hafalannya buruk”. Demikian dalam Tahzibut Tahzib 7/322-323. Ibnu Hajar berkata dalam al-Athraf: “Tidak diperselisihkan tentang Alibin Zaid Ja’dan, dia adalah dha’if”. Ibnu Abi Hatim menukil dari ayahnya (Abu Hatim) di dalam I’lalul Hadith 1/249: “Hadis ini mungkar”.


“Puasalah kalian, nescaya kalian sihat”


Ini adalah potongan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Adi dalam al-Kamil 7/2521 dari jalan Nahsyal bin Said dari ad-Dhahhak dari Ibnu Abbas r.a. Nahsyal adalah matruk (tertolak), dia berdusta dan ad-Dhahhak tidak mendengar langsung dari Ibnu Abbas r.a. Diriwayatkan pula oleh Thabarani dalam al-Ausath (1/qaf – 60/alif – Majmu’ al-Bahrain). Demikian juga Ibnu Bukhait dalam Juz’unya sebagaimana dalam Syarah al-Ihya’ 7/401 dari jalan Muhammad bin Sulaiman bin Abu Daud dari Zuhair bin Muhammad dari Suhail bin Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. Sanad hadis ini adalah dha’if. Abu Bakar al-Athram berkata: “Aku mendengar Ahmad berkata: Mereka (orang-orang Syam) meriwayatkan beberapa hadis mungkar dari Zuhair”. Abu Hatim berkata: “Hafalan Zuhair buruk”. Hadisnya ketika di Syam lebih mungkar daripada hadisnya di Iraq kerana hafalannya buruk. Al-Ajali berkata: “Hadis-hadis yang dirwayatkan oleh penduduk Syam darinya tidak menakjubkan aku”. Demikian dalam Tahzib al-Kamal 9/417.


Tidur orang yang berpuasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, amalnya dilipatgandakan (pahalanya), doanya dikabulkan dan dosanya diampuni


Hadith ini adalah hadis maudhu’ (palsu). Hadis ini diriwayatkan oleh al-imam al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Imam, kemudian dinukil oleh al-Suyuti dalam kitabnya al-Jami’ al-Shaghir 1404/1981, 2/678. Menurut al-Imam al-Suyuti hadis di atas berdarjat dhaif. Namun kenyataannya ini telah menyelisih pandangan para ulama’ tahqiq yang lain yang lebih cenderung mengatakan bahawa ianya adalah hadis palsu. Tambahan pula, imam al-Suyuti yang menukilkan hadis tersebut daripada imam al-Baihaqi tidak menyebut akan komentar yang telah dilakukan oleh imam al-Baihaqi ke atas beberapa rawi yang terdapat dalam sanad tersebut yang antara lainnya menyebut bahawa di dalam sanad hadis tersebut terdapa beberapa rawi yang dianggap dha’if dan dha’if jiddan (tersangat dhaif), antaranya Ma’ruf bin Hisan (dha’if) dan Sulaiman bin Amr al-Nakha’i (sangat dha’if).


Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa Sulaiman bin Amr al-Nakha’i adalah pemalsu hadis. Yahya bin Ma’in mengatakan : “Sulaiman bin Amr al-Nakha’i dikenali sebagai pemalsu hadis” bahkan di dalam kesempatan lainnya beliau mengatakan: “Sulaiman bin Amr adalah manusia yang paling dusta di dunia ini”. Imam al-Bukhari mengatakan: “Sulaiman bin Amr adalah matruk (tertolak)”. Yazid bin Harun mengatakan: “Siapa pun tidak halal meriwayatkan hadis dari Sulaiman bin Amr”. Imam Ibnu Adiy menuturkan: “Para ulama’ sepakat bahawa Sulaiman bin Amr adalah seorang pemalsu hadis”. Ibnu Hibban mengatakan: “Sulaiman bin Amr al-Nakha’i adalah orang Bagdhad, yang secara lahiriahnya, dia adalah seorang yang salih, tetapi ia memalsukan hadis”. Imam al-Hakim tidak meragukan lagi bahawa Sulaiman bin Amr adalah pemalsu hadis.


Orang yang melakukan solat solat tarawih pada malam pertama, akan diampuni segala dosanya sehingga jadilah dia bagaikan seorang anak yang baru keluar dari perut ibunya ... (sehinggalah) .... Pada malam ketiga puluh, Allah berfirman : Makanlah buah-buahan syurga, mandilah dengan air Salsabil dan minumlah dari telaga al-Kautsar.....”


Hadis mengenai kelebihan bagi setiap malam solat Tarawih yang disandarkan kepada ‘Ali bin Abi Talib r.a. ini dinukilkan daripada kitab Durrat al-Nashihin (bab Kelebihan Puasa) susunan Utsman bin Hasan bin Ahmad asy-Syaakir al-Khaubawiyyi pada sekitar kurun ke-13 Hirah. Para ulama’ Hadis dan ulama tahqiq (penganalisa hadis) mengatakan bahawa hadis ini adalah palsu. Kepalsuannya dapat dinilai menerusi beberapa sudut, antaranya:


· Hadis ini tidak dapat dikesan sumber periwayatannya. Ia tidak dibukukan oleh mana-mana imam hadis di zaman awal Islam seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain. Pengarangnya bukan sahaja gagal mengemukakan mana-mana tokoh yang meriwayatkan hadis ini, malah pengarangnya sendiri bukan seorang ahli hadis yang boleh dipertanggungjawabkan atas riwayat ini.


· Hadis ini tidak memiliki isnad (barisan para perawi yang mendengar dan meriwayat daripada siapa hadith tersebut diperolehinya – yakni dari Ali bin Abi Talib). Isnad dalam ilmu hadis sangat penting kerana ia adalah bagai tali yang mengikat antara sahabat yang mengkhabarkan suatu hadis dan tokoh terkemudian yang membukukannya secara formal. Berkata Ibnu Syihab az-Zuhri (w 124H): Isnad adalah sebahagian dari agama, jikalau tidak ada isnad maka sesiapa jua boleh berkata-kata (apa sahaja yang dikehendakinya lalu dianggapnya sebagai hadis)” (Dr Mustafa as-Siba’i – as-Sunnah wa Makanatuha, ms. 57). Setiap riwayat wajib mempunyai isnad, iaitu barisan perawi-perawi hadis yang membawa riwayat atau hadis tersebut. Dari isnad inilah dapat dianalisa status sesuatu riwayat/ hadis, sama ada ia sahih atau sebaliknya. Dan sememangnya salah satu daripada sifat hadis maudhu’ adalah ia tidak memiliki isnad seperti hadis di atas.


· Dalam teks hadis ini terkandung beberapa keanehan. Pertama, adalah beberapa pertanyaan para sahabat tentang keutamaan solat tarawih di malam-malam Ramadhan padahal sepertimana yang kita ketahui nama atau istilah “solat tarawih” tidak pernah dikenali di zaman Nabi s.a.w. Kedua adalah ganjaran yang diberikan di malam ke-4, di mana disebut bahawa seseorang itu akan mendapat pahala sebagaimana seorang yang membaca kitab Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran. Hal ini dimungkiri kerana zaman Nabi, telah sedia dikenal pasti melalui nas-nas al-Qur’an dan ajaran baginda s.a.w bahawa kitab-kitab Zabur, Taurat dan Injil telah pun ditukar dan diubahsuai maksud kandungannya sehingga ia tidak lagi dikira sah sebagai kitab Allah. Maka bagaimanakah mungkin seseorang itu akan diberi ganjaran pahala apabila dia membaca kitab yang telah diselewengi kebenarannya?


· Hadis fadhilat ini menjanjikan ganjaran yang sangat berlebih-lebihan sehingga sukar untuk diterima kebenaran. Malah, sifat hadis sebeginilah yang dikenal pasti oleh para ahli sebagai memiliki ciri-ciri hadis maudhu’. Dr. Ajaj al-Khatib telah mengarisi hakikat ini di dalam bukunya Usul al-Hadith, ms. 519 : “Antara ciri matan (kandungan teks) hadis maudhu’ tersebut memuatkan balasan yang berlipat ganda atas suatu amal kecil atau (memberi) ancaman yang sangat berat atas tindakan yang tidak seberapa. Ini biasanya banyak terjadi dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh tukang cerita”. Justeru, kita lihat hadis ini telah menjanjikan ganjaran yang sangat berganda atas suatu amalan sunat dan ganjaran tersebut melebihi apa-apa amalan lain yang lebih mulia, sekalipun yang wajib dan fardhu.


· Hadis ini juga memiliki sifat yang sangat sukar dicerna oleh akal seorang mukmin yang sihat lagi dewasa. Hadis ini seakan-akan sebagaimana yang telah dibayangi oleh al-Imam Ibnu Jawzi (w.597H) dalam bahagian muqaddimah dari kitabnya al-Maudhu’ath: Bila engkau melihat suatu hadis yang bertentangan dengan akal atau yang menyimpang dari nas yang sahih, atau yang bertentangan dengan prinsip, maka ketahuilah bahawa hadis itu maudhu’ (palsu)”


Demikianlah beberapa buah hadis mengenai ramadhan berdarjat dha’if dan maudhu’ yang sangat masyhur disebarkan dalam masyarakat kita. Mungkin ada pihak yang beranggapan bahawa sekalipun hadis-hadis ini terkenal dengan sifat-sifat maudhu’ atau kedha’ifannya, namun tidaklah menjadi kesalahan untuk menyebarkannya kepada orang awam dalam rangka mengajak mereka kepada kebaikan kerana ia mengandungi objektif-objektif yang baik dan terpuji. Sungguh, pendapat ini adalah tertolak dan disanggah kerana menyebar hadis-hadis yang sudah jelas akan kepalsuan dan kedhai’fannya adalah haram hukumnya mengikut ketentuan al-Qur’an dan al-Hadis yang sahih.


Ini adalah kerana, hadis palsu sebenarnya adalah suatu kedustaan, apatah lagi kedustaan tersebut disandarkan kepada agama yang hak miliknya hanya pada Allah s.w.t. Hanyalah Allah sahaja yang berhak menyatakan sesuatu mengenai urusan agama-Nya, melalui wahyu al-Qur’an dan melalui lisan Nabi dan Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Oleh itu, orang yang sengaja menyebarkan hadis-hadis palsu dalam keadaan dia menyedari akan kepalsuannya, maka dia termasuk ke dalam golongan orang-orang yang berdusta ke atas baginda s.a.w sebagaimana sabdanya:


“Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu (hadis) dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109)


“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadis mengenaiku sedangkan dia (sudah) mengetahui kepalsuannya maka dia tergolong (dalam kalangan) orang-orang yang berdusta” (Diriwayatkan oleh Muslim 1/222 – no :1)