Khamis, 24 Julai 2008

PUASA DI BULAN SYA'ABAN

Di antara bulan yang paling banyak Rasulullah s.a.w. berpuasa ialah bulan Sya'ban. Ini menunjukkan betapa utamanya puasa bulan Sya'ban itu, tetapi tidaklah lebih utama daripada puasa bulan Muharram. Hadis yang menyatakan keutamaan puasa bulan sya'ban ini banyak, antaranya:

1) Ummu Salamah R.ha berkata:


عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه لم يكن يصوم من السنة شهرا تاما إلا شعبان يصله برمضان

Daripada Nabi s.a.w. sesungguhnya ia tidak berpuasa dalam setahun sebulan penuh melainkan pada bulan Sya'ban, seterusnya disambungnya dengan bulan ramadhan. [Hadis ini disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha'if Sunan Abu Daud (2336), dan dalam Sahih wa Dha'if Sunan al Nasa-i (2535)]

2) Aisyah R.ha berkata:


ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا شهر رمضان وما رأيته في شهر أكثر صياما منه في شعبان

Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat beliau berpuasa pada satu-satu bulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'ban. [Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, dan Tirmizi, Lihat: Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, Al-Albani, no: Sahih]

3) Aisyah R.ha berkata:


لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

Nabi s.a.w. tidak pernah berpuasa sebulan lebih banyak dari bulan Sya'ban, sesungguhnya beliau berpuasa Sya'ban sepenuhnya. [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, lihat Sahih Bukhari, no: 1834]

4) Usamah bin Zaid r.a meriwayatkan, katanya:


قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Saya bertanya: Ya Rasulullah! Saya tidak pernah melihat anda berpuasa pada satu-satu bulan seperti anda berpuasa di bulan Sya'ban. Beliau bersabda: Itulah bulan yang dilupakan oleh manusia, antaranya rejab dan ramadhan, iaitulah bulan di mana amalan-amalan diangkat ke hadhrat Allah semesta Alam. Maka aku sangat suka amalanku diangkat di kala aku sedang berpuasa. [Hadis riwayat An-Nasai, no: 2317, Dihasankan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha'if Sunan An-Nasai. no: 2357]

5) Aisyah r.a meriwayatkan, katanya:


كَانَ أَحَبَّ الشُّهُورِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَصُومَهُ شَعْبَانُ بَلْ كَانَ يَصِلُهُ بِرَمَضَانَ

Adalah bulan yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w untuk berpuasa ialah bulan sya'ban, bahkan beliau sambungnya dengan bulan Ramadhan. [Hadis riwayat an-Nasai dan Abu Daud, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha'if Sunan an-Nasai, no: 2350]

Walaubagaimana pun, tidak terdapat satu hari pun yang khusus atau istimewa untuk berpuasa dan beribadat khas di bulan sya'ban ini. Hadis-hadis yang bersangkutan dengan solat khas, puasa khas, doa khas dan amalan-amalan yang khusus pada nisfu sya'ban dan siang harinya semuanya hadis-hadis maudhu', mungkar, dan dha'if yang sama sekali tidak boleh diamalkan.

Imam Nawawi berkata:

"Solat yang dikenal dengan solat Raghaib, iaitu dua belas rakaat yang dilakukan antara maghrib dan isyak, pada malam jumaat pertama dari bulan Rejab, dan solat Nisfu Sya'aban sebanyak seratus rakaat, kedua-dua tersebut adalah Bid'ah yang mungkar. Janganlah hendaknya orang terpedaya kerana kedua-duanya disebut di dalam kitab "Qatul-Qulub" dan "Ihya Ulumuddin", dan jangan pula terpaksa dengan hadis-hadis yang disebutkan di dalam kedua-dua kitab itu, kerana semuanya itu adalah batil belaka."

Antara hadis yang diguna pakai sebagai amalan-amalan bid'ah tersebut adalah seperti berikut:

"Apabila malam nisfu sya'aban bangunlah bersolat malam dan berpuasalah siangnya kerana Allah Taala turun pada malamnya ke langit dunia mulai matahari jatuh seraya berfirman: Adakah orang yang memohon ampun kepadaKu? maka Aku akan mengampuninya, adakah orang yang memohon rezeki akan Kuberikan rezeki kepadanya, adakah orang yang sakit akan Kusembuhkannya, adakah orang begini, adakah orang begitu sehinggalah terbit fajar."

Imam Ahmad, Ibn Ma'in dan Az-Zahabi mengatakan bahawa hadis tersebut adalah hadis maudhu' (palsu), manakala Imam Nasa-i mengatakan hadis tersebut adalah hadis matruk. Banyak ulama lain mengatakan bahawa hadis tersebut adalah maudu'. Ijtima' di masjid-masjid pada malam nisfu sya'aban dengan membaca surah yasin beramai-ramai dan berdoa dengan doa dan caranya yang khusus kononnya pada malam tersebut adalah malam berkat di mana Allah menetapkan ajal, umur dan rezeki adalah juga amalan-amalan bid'ah, tidak berasal dari sunnah Rasulullah s.a.w. dan tidak pula dikerjakan oleh para sahabat dan as-Salaf as-Soleh. [Rujuk: Al-Bid'ah bahaya dan Keburukannya, Drs. Abdul Ghani Azmi bin Hj Idris, ms. 193]

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h berkata tentang malam nisfu sya'ban: "Adapun mengadakan solat dengan bilangan rakaat tertentu dan dikerjakan secara ratibah seperti solat-solat Raghaib pada malam jumaat pertama bulan rejab dan solat malam 27 rejab dan lain-lain sepertinya tidaklah disyariatkan dengan sepakat imam-imam kaum muslimin sebagaimana yang dinaskan oleh ulama-ulama yang muktabar. Orang yang mencintanya tidak lain kecuali orang-orang jahil." [Majmu' Fatawa Ibn Taimiyyah, 2/3]

TAMBAHAN

Golongan mazhab asy-Syafi'i berpendapat: "Bahawa haram berpuasa di separuh akhir bulan Sya'ban yang darinya ada hari syak kecuali kerana witir, iaitu: ia biasa berpuasa sepanjang tahun atau puasa sehari berbuka sehari ataupun puasa pada hari tertentu seperti hari isnin lalu kebetulan kena selepas nisfu sya'aban, ataupun kerana nazar yang tetap dalam tanggungannya ataupun mengqadha' puasa sunat ataupun fardhu ataupun membayar kifarat ataupun menyambung puasa selepas nisfu sya'ban dengan sebelumnya walaupun dengan hari nisfu sya'aban." [Dinukul daripada Bimbingan mencapai kesempurnaan Ibadah Puasa, Drs. Abdul Ghani Azmi, ms. 251]

Dalil mereka adalah seperti berikut:

1) Sabda Rasulullah s.a.w:


إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

Apabila pertengahan bulan sya'aban, maka janganlah kamu berpuasa. [Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi, lihat Al-Misykat disahihkan oleh Al-Albani, no: 1974]

2) Sabda Rasulullah s.a.w:


إذا كان النصف من شعبان فلا صوم حتى يجيء رمضان

Apabila bulan sya'aban tinggal separuh, maka tiadalah puasa sampai datang ramadhan. [Disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dhaif Sunan Abu Daud (1651), Al-Mesykat (1974), Sahih Adu Daud (2025)]

Al-Amir Al-Shan'ani berkata: Hadis ini menjadi larangan berpuasa dalam bulan sya'aban selepas separuhnya tetapi dikaitkan dengan hadis "Kecuali apabila kebetulan dengan puasa yang biasa dilakukan." Ulama-ulama telah berkhilaf dalam masalah ini. Dan kebanyakan golongan syafi'iyyah berpendapat haramnya puasa selepas separuh bulan sya'aban dengan adanya larangan hadis ini. Ada juga yang berkata hukumnya makruh kecuali sebelum Ramadhan sehari atau dua hari kerana dia adalah haram. Ada yang berpendapat tidak makruh, dan ada yang berpendapat ianya sunat. [Rujuk Pedoman mengerjakan Ibadat Puasa, 252]

Wallahua'lam