Jumaat, 9 Mei 2008

TATACARA WUDUK MENURUT SUNNAH

Firman Allah S.W.T:


Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan shalat, Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki…[Surah Al-Maidah: 6]


Sabda Rasulullah s.a.w:


"Tidak diterima Allah sembahyang salah seorang kamu jika ia berhadas (kecil) sebelum ia berwuduk." [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


1. Niat


إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى


Maksudnya: Sesungguhnya amalan (diterima) dengan niat, dan tiap-tiap seseorang akan mendapat (ganjaran amalannya) sesuai dengan apa yang diniatkannya [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


2. Membaca Basmalah (bismillah)


لا وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ


Maksudnya: Tiada wuduk bagi orang yang tidak membaca Bismillah ke atasnya.

[Hadis riwayat Ibn Majah, Tirmizi, dan Abu Daud]


3. Membasuh kedua telapak tangan


عَنِ ابْنِ أَبِي أَوْسٍ عَنْ جَدِّهِ أَوْسٍ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَاسْتَوْكَفَ ثَلاثًا يَعْنِي غَسَلَ يَدَيْهِ ثَلاثًا


Maksudnya: Daripada Ibn Abi Aus daripada datuknya Aus, katanya: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. berwuduk lalu baginda membasuh telapak tangannya sebanyak tiga kali." [Hadis riwayat Ahmad dan Nasai]


4. Berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung


فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفٍّ وَاحِدَةٍ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلاثًا


Maksudnya: Maka baginda berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung dengan satu ceduk air dan perbuatan tersebut dilakukan sebanyak tiga kali.[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ ثَلاثًا


Maksudnya: Maka baginda berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung dan mengeluarkan semula air tersebut dari hidung sebanyak tiga kali.[Hadis riwayat Bukhari]


5. Membasuh muka sambil menyela janggut (bagi yang ada janggut)


Maksudnya: Maka basuhlah muka kamu….[Surah al-Maidah: 6]


Dari Humman bin Abaan bahawa Nabi s.a.w. membasuh muka ketika berwuduk adalah sebanyak tiga kali.[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


Menurut Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. jika berwuduk, baginda mengambil seceduk air dengan tangannya sambil menyela-nyela janggutnya dengan tangannya, lalu bersabda: "Demikianlah aku diperintah oleh Tuhanku 'Azza wa Jalla. [Hadis riwayat Abu Daud]

6. Membasuh tangan hingga ke siku


Maksudnya: Dan basuhlah tangan kamu sampai ke siku… [Surah al-Maidah: 6]


Hamran r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. membasuh tangan kanannya hingga ke siku sebanyak tiga kali, demikian juga tangan kirinya seperti itu.[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


7. Menyapu kepala


Maksudnya: Dan sapulah kepala kamu…[Surah al-Maidah: 6]


فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ بَدَأَ بِمُقَدَّمِ رَأْسِهِ حَتَّى ذَهَبَ بِهِمَا إِلَى قَفَاهُ ثُمَّ رَدَّهُمَا إِلَى الْمَكَانِ الَّذِي بَدَأَ مِنْهُ



Maksudnya: Maka baginda menyapu kepalanya dengan dua tangannya, baginda mulakan daripada bahagian hadapan kepalanya kemudian disapu hingga ke belakang kepalanya, kemudian baginda ulangi (berpatah balik tangannya) ke tempat baginda memulainya.[Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi.

Daripada 'Amr bin Umayyah r.a. katanya: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di atas serbannya dan kedua-dua khufnya (kasutnya). [Hadis riwayat Bukhari]


Dibolehkan bagi lelaki yang memakai serban untuk menyapu kepalanya tanpa menanggalkan serbannya begitu juga bagi wanita dibolehkan menyapu di atas tudungnya tanpa menanggalkannya. Ini sebagaimana perbuatan Ummu Salamah pernah menyapu di atas khimarnya sebagaimana diterangkan oleh Ibn Munzir. [Rujuk al-Mughni, 2/312]


8. Menyapu telinga


Menyapu telinga hendaklah dilakukan setelah menyapu kepala iaitu tanpa mengambil air yang baru hendaklah dia menyapu telinganya sebanyak sekali. Ini kerana Rasulullah bersabda:


"Dua telinga adalah sebahagian daripada kepala." [Hadis riwayat Tirmizi, Ibn Majah, Abu Daud, Dan Nasai]


Akan tetapi dibolehkan juga untuk mengambil air yang baru untuk membasuh telinga berdasarkan hadis 'Abdullah bin Zaid:


"Sesungguhnya dia melihat Rasullah s.a.w. berwuduk, lalu baginda mengambil air lain untuk menyapu telinganya, berbeza daripada air yang digunakan untuk kepalanya. [Hadis riwayat al-Hakim dan Baihaqi]


9. Membasuh kaki hingga ke buku lali


Maksudnya: "Dan (basuhlah) kaki kamu sampai kedua buku lali…[Surah al-Maidah: 6]


Rasulullah s.a.w. membasuh kedua kakinya termasuk buku lalinya. Tidak sah wuduk bagi yang tidak mengenakan air pada buku lalinya. Sabda Rasulullah s.a.w:


وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ


Maksudnya: Celakalah untuk tumit-tumit dengan azab neraka (yang tidak sampai air padanya). [Hadis riwayat Bukhari]



10. Tertib



Hendaklah setiap daripada cara-cara berwuduk itu tadi dilakukan secara berurutan iaitu daripda muka seterusnya tangan hinggalah kaki, begitu juga dimulakan daripada kanan ke kiri.


11. Membaca doa selepas wuduk


Daripada 'Umar bin al-Khattab r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang berwuduk lalu ia sempurnakan wuduknya, kemudian membaca doa:


أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ


Maksudnya: Aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan Pesuruh-Nya.


Nescaya dibuka untuknya lapan pintu syurga dan diizinkan memasukinya dari pintu mana yang ia kehendaki. [Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, dan Ibn Majah]


Boleh juga ditambah atau hanya dibaca dengan bacaan berikut:


اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ


Maksudnya: Ya Allah, jadikanlah aku ke dalam golongan orang-orang bertaubat, dan jadikanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mensucikan diri.[Hadis riwayat Tirmizi]


Daripada Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. berdoa setelah wuduk:


سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ


Maksudnya: Maha Suci Engkau Ya Allah dan segala Pujian untuk-Mu, Aku bersaksi tidak ada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Engkau, Aku memohon ampunan kepada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.[Hadis riwayat at-Tabrani]


Menurut Imam An-Nawawi r.h. sebaik-baiknya ketiga-tiga doa di atas digabungkan menjadi satu doa. Walaubagaimana pun menurut pendapat yang lebih tepat adalah doa tersebut dibaca secara berasingan. Adalah Nabi s.a.w. membaca setiap dari bacaan doa tersebut secara berasingan sebagaimana riwayat di atas. Ini memudahkan untuk kita memilih yang manakah bacaan yang lebih mudah untuk dihafal untuk diamalkan. Setelah menghafal salah satu doa di atas, bolehlah menambah lagi hafalan sehingga kesemua doa yang dapat diamalkan.

Mengamalkan kesemua sunnah Nabi s.a.w. adalah lebih baik daripada mengamalkan satu sunnah sahaja. Akan tetapi tetapi jangan sampai menyusahkan diri sendiri. Kerana islam itu mudah dan tidaklah memberatkan. Ini kerana 'Aisyah r.ha. pernah menjelaskan:


مَا خُيِّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ إِلا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا مَا لَمْ يَأْثَمْ


Maksudnya: Tidaklah Rasulullah s.a.w. jika diberi dua pilihan melainkan baginda memilih yang paling mudah di antara keduanya selagi mana tidak mengandungi dosa.[Hadis riwayat Bukhari]


Tayammum


Jika tidak peroleh air kerana ketiadaan air, ataupun mendapat suatu penyakit yang tidak boleh terkena air, maka diharuskan untuk bertayammum bagi menyempurnakan ibadat solat.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, Maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyusahkan kamu, tetapi dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.[Surah al-Maidah: 6]


Cara-cara bertayammum:

1. Dimulakan dengan niat di dalam hati.

2. Membaca basmalah.

3. Menepuk kedua belah tapak tangan pada tanah yang suci.

4. Menghembus kedua telapak tangan atau menepuknya.

5. Menyapu ke muka dan tangan hingga kepergelangan tangan.


Sabda Rasulullah s.a.w. tentang tatacara berwuduk sebagaimana hadis di bawah:


إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ


Maksudnya: Sesungguhnya memadailah engkau berbuat begini, Maka baginda menepuk kedua belah tapak tangannya ke bumi dan menghembus keduanya, kemudian baginda menyapu kedua pada muka dan kedua tangannya. [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


Tayammum juga boleh digantikan untuk mandi junub sekiranya ketiadaan air ataupun air hanya tinggal sedikit untuk makan dan minum atau sebagainya. Sesungguhnya tanah itu adalah alat bersuci jika tidak ada air. Oleh sebab itu tidak ada alasan untuk meninggalkan solat sekiranya tiada air atau sebagainya.


Sabda Rasulullah s.a.w:


إِنَّ الصَّعِيدَ الطَّيِّبَ وَضُوءُ الْمُسْلِمِ وَإِنْ لَمْ يَجِدْ الْمَاءَ عَشْرَ سِنِينَ


Maksudnya: Sesungguhnya tanah itu adalah alat bersuci untuk umat islam, walaupun ia tidak mendapati air selama sepuluh tahun. [Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi]


Perkara-perkara yang membatalkan wuduk dan tayammum


1. Keluar sesuatu daripada kubul dan dubur seperti kentut dan air kencing. Kecuali air mani mewajibkan untuk mandi wajib.

2. Menyentuh kemaluan.

3. Tidur nyenyak serta tidak tetap punggung.

4. Makan daging unta membatalkan wuduk –Rujuk Hadis riwayat Muslim (360).

5. Hilang akal/ gila.

6. Bagi tayammum, terbatal sekiranya dijumpai air.