Rabu, 7 Mei 2008

KISAH DAJJAL (bhgn 1)

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu, atau dia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." [Surah Al-An'am: 158]

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmizi dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: "Tiga perkara yang apabila telah muncul maka tidaklah bermanfaat iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu atau ia belum mengusahakan kebaikan dalam imannya itu iaitu terbitnya matahari dari barat, Dajjal dan binatang yang keluar dari perut bumi."

Para ulama Ahli sunnah wal Jamaah menjelaskan bahawasanya Dajjal pasti akan muncul kerana hadis-hadis yang menceritakan tentangnya telah mencapai taraf mutawatir sebagaimana dibentangkan takhrij hadis-hadisnya oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dalam kitabnya "Qisshah al-Masih al-Dajjal wa Nuzuli 'Isa 'Alaihi Solatu Wassalam wa Qatlihi Iyyahu."

Begitu juga tanda-tanda kiamat selain dajjal diikuti juga dengan tanda-tanda yang lain antaranya seperti gempa bumi di sebelah timur, barat dan jazirah arab, keluarnya asap, binatang dari perut bumi, Ya'juj dan Ma'juj, terbitnya matahari dari sebelah barat, dan keluarnya api dari lembah 'Adn yang mengiringi manusia. Hal ini disampaikan oleh Nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Fitan Asyrath al-Sa'ah, sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan datang sehingga terjadinya sepuluh tanda…" kemudian disebutkan tanda-tanda sebagaimana telah disebutkan tadi termasuk dajjal.

Disebabkan itulah hendaklah kita beramal soleh sebanyak yang mungkin sebelum keluarnya tanda-tanda kiamat yang besar di atas. Disamping munculnya dajjal juga akan muncul al-Mahdi dan Nabi Isa a.s. Ini semua telah disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui hadis-hadisnya yang sahih.

Sifat-sifat Dajjal

Dajjal adalah seorang lelaki muda yang berkulit merah, tubuhnya pendek, berambut kerinting, lebat dan tidak terurus, dahinya lebar, sebelah matanya buta (dalam riwayat Bukhari menyatakan sebelah kanan manakala Imam Muslim meriwayatkan yang buta adalah sebelah kiri), mata kirinya tidak nampak jelas dan ada kulit yang tipis selaput mata yang menebal dalam riwayat lain ia berwarna hijau seperti bintang mutiara. Manakala mata kanannya sangat jelas seperti buah anggur yang terapung dalam riwayat lain tidak menonjol dan tidak pula timbul ke permukaan. Sedang di antara kedua matanya tertulis perkataan 'kafir' yang dapat dibaca oleh orang yang beriman dan orang yang sangat benci pada perbuatannya sama ada yang pandai membaca atau yang buta huruf. [Kisah Dajjal, Al-Albani, hal 168-169, Pustaka Imam Syafi'i]

Dajjal adalah makhluk paling besar fitnah yang dibawa olehnya. Dajjal juga tidak mempunyai anak dan keturunan.

Keluarnya Dajjal

Dajjal akan keluar dari arah sebelah timur yang bernama khurasan di kampung Yahudiyah kota Ashbahan. Kemudian dajjal akan mengembara ke seluruh dunia. Tidak terdapat satu pun tempat yang tidak pernah dimasuki dajjal kecuali Mekah dan Madinah. Diriwayatkan juga dajjal tidak dapat memasuki empat buah masjid iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Masjid Thur dan Masjid Al-Aqsa. Dajjal keluar dari perkampungan yahudiyah kota Ashbahan bersama tujuh puluh ribu orang Ashbahan sebagaimana diterangkan dalam hadis riwayat Ahmad.

Tiga tahun sebelum kemunculan dajjal manusia dilanda kesusahan dalam kehidupan mereka. Manusia pada ketika itu kelaparan disebabkan bekalan makanan yang tidak mencukupi. Pada tahun pertama, sepertiga langit tidak menurunkan hujan serta sepertiga juga dari tumbuh-tumbuhan tidak tumbuh. Kemudian pada tahun kedua, bertambah lagi dua pertiga sehingga ke tahun yang ketiga sama sekali tidak ada lagi hujan yang turun dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan kesemuanya mati dan haiwan-haiwan juga mati akibat ketiadaan makanan kecuali beberapa haiwan sahaja. Nabi s.a.w. berpesan bekalan makanan manusia pada ketika itu adalah bacaan tahlil, takbir, dan tahmid.

Dajjal tidak dapat memasuki Madinah yang pada ketika itu mempunyai 7 buah pintu, setiap daripada pintu tersebut terdapat 2 malaikat yang menjaganya dengan membawa pedang yang terhunus. Para malaikat menjaga Mekah dan Madinah daripada dimasuki dajjal sehinggalah dajjal pergi ke suatu tanah yang lembab di belakang gunung Uhud, ia memukul-mukul bahagian depan badannya. Kemudian kawasan Madinah mula bergegar sehingga manusia di Madinah yang munafik baik lelaki maupun wanita kesemuanya berlari menuju ke tempat dajjal. Ternyata ketika itu golongan yang paling ramai adalah golongan wanita. Hari itu disebut sebagai "Yaumul Khalash" iaitu hari keterbebasan.