Khamis, 22 Jun 2017

Mengira Menggunakan Huruf Arab (Abjadiyyah)

Huruf arab jika disusun berdasarkan urutan abjadiyyah, maka dengan mudah kita dapat mengikut urutannya seperti pada kalimah berikut ini:

أَبْجَدْ هَوَّزْ حُطِّيْ كَلَمُنْ سَعَفَصْ قَرَشَتْ ثَخَذْ ضَظَغْ
أ ب ج د هـ و ز ح ط ي ك ل م ن س ع ف ص ق ر ش ت ث خ ذ ض ظ غ

Urutan seperti ini bukan sekadar mengikut urutan huruf tanpa faedah dan tujuan. Akan tetapi, masing-masing huruf melambangkan angka/bilangan tertentu dengan ketentuan seperti berikut:

ا/أ =1 ي=10 ق=100 غ=1000
ب=2 ك=20 ر=200
ج=3 ل=30 ش=300
د=4 م=40 ت=400
هـ=5 ن=50 ث=500
و=6 س=60 خ=600
ز=7 ع=70 ذ=700
ح=8 ف=80 ض=800
ط=9 ص=90 ظ=900

Aturan penggunaannya:

1. Jika ingin melambangkan angka/bilangan yang tidak terdapat dalam skema/keterangan di atas, maka caranya adalah menggabungkan beberapa huruf yang sesuai dengan ketentuan bermula dari yang paling besar sampai ke yang paling kecil.

Contohnya:

15 = 10 + 5 (dari kanan ي + هـ), jadi 15 = يه
41 = 40 + 1 (dari kanan م + ا), jadi 41 = ما
172 = 100 + 70 + 2 (dari kanan ق + ع +ب), menjadi 172 = قعب

849 = 800 + 40 + 9 (dari kanan ض + م + ط), jadi 849 = ضمط
1886 = 1000 + 800 + 80 + 6 (dari kanan غ + ض + ف + و), menjadi 1886 = غضفو

1945 = 1000 + 900 + 40 + 5 (dari kanan غ + ظ + م + هـ), menjadi 1945 = غظمه

Begitulah seterusnya.

2. Jika bilangannya lebih dari 1999 (iaitu kelipatan 1000 dimulai dari 2000, 3000, 5000, 10000, 50000, 100000, dst), maka dengan cara meletakkan huruf yang sesuai sebelum huruf غ (ghain).

Contohnya:

3000 = 3 x 1000 (جغ)
5000 = 5 x 1000 (هغ)
10000 = 10 x 1000 (يغ)

Begitulah seterusnya.

Catatan:

Khusus untuk menyatakan penanggalan dalam tahun hijri, maka ketentuannya lebih fleksibel lagi dan hanya menggunakan operasi penjumlahan sahaja. Biasanya banyak digunakan dalam sya'ir-sya'ir arab untuk mengungkapkan sesuatu yang berkaitan dengan tarikh.

Faedah:

Dengan mengetahui metode perhitungan seperti ini, maka kita tidak perlu bimbang lagi jika suatu saat lupa nombor PIN kad ATM atau yang semisalnya.

Contoh kes:

Untuk yang nomor PIN nya 1836 maka dia boleh mengingatnya dengan menghafal kata غضلو.

Hal yang seperti ini sangat berguna bagi yang memiliki lebih dari satu PIN yang berbeza dan tidak perlu risau mencari PIN dengan angka yang tidak ada hubungannya dengan biodatanya (seperti tahun lahir, nombor telepon, nombor bimbit, dll).

(Sumber: Mausuu'ah 'Uluum -l Lughah -l 'Arabiyyah, 5/242-243, karya Prof. DR. Emil Badii' Ya'quub)

Sumber asal dari facebook Bahasa Arab Online dengan sedikit suntingan: https://m.facebook.com/bahasa.arab.online/posts/10151010406184904

Rabu, 14 Jun 2017

KHUTBAH HAJI WADA’ NABI YANG BENAR

Telah berlegar-legar hadis Khutbah Nabi s.a.w dalam Haji Wada’ baginda, namun ada lafaz yang menyebut agar berpegang dengan Al-Quran sahaja, ada lafaz yang menyebut Al-Quran dan Sunnah serta ada pula lafaz yang menyebut Al-Quran dan Ahli Baitku. Berikut adalah penjelasan secara ringkas bagi memahami perkara ini.

Pertama: Darjat Hadis-Hadis Khutbah Haji Wada’

(1) Riwayat Muslim dari jalan Hatim bin Ismail Al-Madani, dari Ja’afar bin Muhammad, dari ayahnya, dari Jabir bin Abdullah r.ahuma mengenai hadis Haji Wada’, dan padanya Nabi s.a.w berkhutbah kepada mereka di Padang Arafah dan bersabda:

وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ، كِتَابُ اللهِ

“Dan aku telah tinggalkan kepada kamu dan kamu tidak akan sesat setelahnya jika berpegang teguh dengannya, (iaitu) Kitabullah (Al-Quran).” (HR. Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Hibban, Al-Baihaqi, At-Tohawi dalam ‘Musykilul Athar’ melalui turuq (sanad) dari Hatim dengan penyebutan wasiat terhadap Kitabullah sahaja).
 
(2) Riwayat At-Tirmizi dan At-Tabrani dalam ‘Al-Ausat’ dari jalan Zaid bin Al-Hasan, dari Ja’afar bin Muhammad dengan lafaznya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنْ أَخَذْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا: كِتَابَ اللَّهِ، وَعِتْرَتِي أَهْلَ بَيْتِي

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu yang jika kamu mengambilnya kamu tidak akan sesat: Kitabullah dan ‘Itrati Ahli Baiti (peninggalan ahli baitku).”

Berkata A-Tabrani: “Tidak diriwayatkan hadis ini dari Ja’far bin Muhammad kecuali Zaid bin Al-Hasan Al-Anmati. Dan Zaid bin Al-Hasan tidak boleh berhujah dengannya. Berkata Abu Hatim: Hadisnya mungkar. Disebut oleh Ibnu Hibban dalam Ath-Thiqat.” (Tahzibut Tahzib 3/350)

(3) Riwayat Al-Hakim dalam ‘Mustadrak’ dari jalan Ismail bin Abi Aus, ayahku menceritakan kepadaku, dari Thaur bin Zaid Ad-Diliyyi, dari ‘Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada manusia dalam Haji Wada’, baginda bersabda:

إِنِّي قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu yang mana jika kamu berpegang teguh dengan keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) Kitabullah dan sunnah nabiNya s.a.w.

Al-Hakim berkata: “Penyebutan berpegang teguh dengan sunnah dalam khutbah ini gharib.”
 
Ismail bin Abi Uwais, dari Ahmad: لا بأس به.
Ibnu Abi Khaithamah, dari Yahya: صدوق، ضعيف العقل، ليس بذاك.
Abu Hatim berkata: محله الصدق مغفل,
An-Nasai berkata: Dhaif.
Ad-Daruqutni berkata: Tidak terpilih dalam As-Sahih.
Ibnu ‘Adi berkata: Ahmad bin Abi Yahya berkata: Aku mendengar Ibnu Ma’in berkata: Dia serta ayahnya pencuri hadis.
Ibnu ‘Ayn juga berkata: لا يساوى فلسين.
 Az-Zahabi berkata: فيه لين. (Mizan Al-I’tidal 1/223).

Abu Uwais dan ayahnya juga layyin (lemah). 
Ahmad dan Yahya berkata: Dha’iful Hadis. 
Yahya (sekali lagi) berkata: Tidak Thiqah. 
Dia berkata lagi: Jujur, (tapi) tidak menjadi hujah. 
Ibnu Al-Madini berkata: Adalah ia di sisi sahabat-sahabat kami lemah. 
An-Nasai dan selainnya berkata: Laisa Bil Qowi. (Mizan Al-I’tidal 2/450).

Maka hadis khutbah ‘Arafah dalamnya hanya ada wasiat (berpegang) dengan Kitabullah sahaja, tiada tambahan As-Sunnah, dan tiada Ahli Bait, dan inilah yang benar.

Kedua: Wasiat (berpegang) kepada Sunnah dan Ahli Bait juga Thabit (sahih) tetapi tidak terdapat dalam khutbah di Padang Arafah.

Adapun wasiat kepada sunnah: Maka ianya riwayat Imam Malik disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengan keduanya: (iaitu) Kitabullah dan sunnah nabiNya.”

Ibnu Abdil Barr r.h berkata: 

وَهَذَا مَحْفُوظٌ مَعْرُوفٌ مَشْهُورٌ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ ، شُهْرَةً يَكَادُ يُسْتَغْنَى بِهَا عَنِ الْإِسْنَادِ ، وَرُوِيَ فِي ذَلِكَ مِنْ أَخْبَارِ الْآحَادِ أَحَادِيثُ مِنْ أَحَادِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ وَعَمْرِو بْنِ عَوْفٍ. انتهى

“Hadis ini terpelihara lagi masyhur dari Nabi s.a.w di sisi Ahli Ilmu, sangat masyhur sehingga hampir tidak berhajat kepada sanad, dan ia telah diriwayatkan dari khabar-khabar Ahad (tidak mutawatir) beberapa hadis dari hadis-hadis Abu Hurairah dan ‘Amru bin ‘Auf.” Selesai. (At-Tamhid 24/331).

Syeikh Al-Albani juga mensahihkannya dalam ‘Sahih Al-Jami’.

Hadis ini tidak termasuk diantara hadis-hadis berkenaan Khutbah Padang Arafah dan bukan pula hadis-hadis tentang Haji Wada’. Perkara ini yang banyak orang keliru tentangnya.
 
Adapun wasiat dengan Ahli Bait adalah riwayat Imam Muslim, dari Zaid bin Arqam, dia berkata: Rasulullah s.a.w berdiri berdiri pada suatu hari memberi khutbah diperairan Khumm yang terletak antara Mekah dan Madinah. Baginda memuji Allah, memberi nasihat dan mengingatkan, kemudian bersabda:

مَّا بَعْدُ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ: أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللهِ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ

“Adapun setelah itu, ketahuilah wahai manusia sekalian bahawa aku adalah manusia biasa seperti kamu dimana sebentar lagi aku akan didatangi (malaikat maut) lalu diperkenankan, dan aku telah tinggalkan kepada kamu thalaqain (dua perkara yang berat). Pertama ialah Kitabullah, padanya terdapat petunjuk dan cahaya, maka ambillah ia dan peganglah dengan erat.”

Maka baginda bersungguh-sungguh menyuruh agar berpegang dengan Kitabullah. Kemudian melanjutkan:

وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي

“Dan Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku.”

Hadis ini juga tidak termasuk diantara hadis-hadis khutbah Arafah. Tetapi khutbah ini disampaikan Nabi s.a.w di suatu tempat yang bernama “Ghadir Khumm” iaitu setelah kepulangan baginda daripada Haji Wada’.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h berkata:

أَجْمَعَ النَّاسُ كُلُّهُمْ عَلَى أَنَّ مَا قَالَهُ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - بِغَدِيرِ خُمٍّ كَانَ مَرْجِعَهُ مِنْ حَجَّةِ الْوَدَاعِ

“Manusia (ulama) sepakat kesemua mereka di atas apa yang diucapkan (dari hadis) Nabi s.a.w di Ghadir Khumm  adalah berlaku setelah kepulangan baginda daripada Haji Wada’.” (Minhaj As-Sunnah 7/44)

Beliau berkata lagi:

وَغَدِيرُ خُمٍّ كَانَ بَعْدَ رُجُوعِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ ثَامِنَ عَشَرَ ذِي الْحَجَّةِ

“Dan hadis Ghadir Khumm berlaku setelah (yakni ketika) kepulangan baginda ke Madinah pada 18 Zulhijjah.” (Minhaj Sunnah 7/314).

Wasiat agar berpegang dengan Ahli Bait di sini bukanlah bermakna wajib mengikuti mereka secara mutlak, akan tetapi yang wajib adalah meraikan mereka serta mencintai mereka, menjauhi dari memburukkan mereka serta berhati-hati dari mencela mereka, larangan dari menzalimi mereka serta menunaikan hak-hak mereka.

Ketiga: Ketiga-tiga Hadis tersebut tidak bertentangan

Tidak boleh menafikan salah satu di antara wasiat baginda s.a.w tersebut sama ada dengan kitabullah, wasiat dengan sunnah dan wasiat dengan Ahli Bait (keluarga Rasulullah s.a.w). Ini kerana semua hadis tersebut saling lazim-melazimi. Wasiat berpegang dengan Kitabullah juga sebenarnya telah mencakup di dalamnya wasiat agar berpegang kepada sunnah, sebagaimana firman Allah:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ

“Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul.” (Al-Maidah: 92)

Dan juga firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

“Apa-apa yang ditinggalkan oleh Rasul itu maka ambillah ia dan apa-apa yang kamu dilarang dari melakukannya, maka jauhilah.” (Al-Hasyr: 7)

Dan lain-lain ayat yang serupa dan semakna yang sangat banyak di dalam Al-Quran.

Demikian pula wasiat terhadap Kitabullah itu juga mencakupi (merangkumi) dengan wasiat terhadap Ahli Bait, sebagaimana firman Allah:

قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى

“Dan katakanlah: aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” (Asy-Syura: 23)

Dengan demikian jelaslah bagi kita bahawa tidak ada pertentangan antara hadis-hadis yang telah dikemukakan. Bahkan wasiat tersebut disampaikan pada masa yang berlainan dan berbeza-beza keadaannya sesuai dengan orang yang disampaikan wasiat tersebut pada waktu itu. Maka yang wajib bagi kita adalah berpegang dengan seluruh wasiat-wasiat tersebut, bukan dengan memilih sebahagian yang selari dengan pegangan golongan tertentu seperti golongan quraniyun (anti hadis) yang hanya berpegang dengan Al-Quran sahaja dan meninggalkan sunnah Nabi, dan bukan pula seperti golongan syi’ah yang hanya berpegang dengan Al-Quran dan Ahli Bait dengan kefahaman yang keliru. Lalu dengan itu mereka mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya.


Wallahua’lam


Khamis, 15 Jun 2017 (20 Ramadhan 1438)
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal, Kota Kinabalu