Sabtu, 2 November 2013

MENGGABUNGKAN DUA HADIS TENTANG MENCEGAH KEMUNGKARAN

Fatwa Syeikh Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah

Soalan: Dari Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 

من رأى منكرًا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” (Riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya dari hadis Abu Said r.a). 

Hadis ini menunjukkan perintah untuk beramar makruf dan nahi mungkar bergantung di atas kemampuan insane sebagai manusia. Di antara mereka ada yang mengubah kemungkaran dengan cara mempraktikkan dengan tangannya sebagai kekuatan tubuh dan diri. Dan di antara mereka ada yang tidak mampu mencegahnya melainkan dengan lisannya dan ada di antara mereka  yang sangat lemah dan tidak mampu mencegah kemungkaran melainkan dengan hatinya. Ini dilakukan dengan mengingkari kemungkaran serta pelakunya, maka inilah kelemahan yang tidak diragukan lagi kerana takut akan dirinya diperlakukan oleh manusia dengan kekerasan lantaran kelemahannya.

Dan disana pula ada hadis lain yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w: 

إن الله يسأل العبد يوم القيامة حتى يقول له‏:‏ ما منعك إذا رأيت المنكر فلم تغيره‏؟‏ فيقول‏:‏ خشيت الناس، فيقول الله تعالى‏:‏ ‏(‏أنا أحق أن تخشاني‏)‏‏.
“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada hambaNya di hari kiamat sehingga Dia berfirman: Apa yang menghalangi kamu apabila merlihat kemungkaran namun kamu tidak mencegahnya? Maka dia pun menjawab: Aku takut pada manusia. Maka Allah berfirman: Aku lebih berhak untuk engkau takuti.” (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya dari hadis Abu Said Al-Khudri r.a). 

Dan dalam hadis ini, mengisyaratkan bahawa perintah menyuruh melakukan kebaikan dan dan mencegah kemungkaran itu mestilah dicegah dengan kekuatan, tidak kira sama ada dia lemah atau kuat. Maka aku memohon dari fadhilatus-syeikh untuk menggabungkan antara dua hadis tersebut pada keadaan kesahihan hadis yang kedua? 

Jawapan: Tidak ada pertentangan di antara dua hadis tersebut, kerana hadis yang pertama menunjukkan pengingkaran terhadap perkara mungkar mestilah dilaksanakan. Akan tetapi dengan beberapa peringkat. Iaitu peringkat pertama: Mestilah mencegah (mengubah kemungkaran) dengan tangannya yang demikian apabila dia termasuk penguasa atau ahli penguasa yang ditugaskan dengan tangannya untuk mencegah kemaksiatan dengan adab dan hukuman. Bukan sebagaimana yang disebutkan oleh penanya kekuatan itu dengan badannya atau kekuatan dirinya. Tidak, bahkan maksudnya adalah orang yang bekerja dengan penguasa yang memungkinkan untuk menghilangkan kemungkaran dengan kekuatan yang diberikan dari sisi pemerintah atau kerana dia merupakan ahli keluarganya? Ini kerana ahli keluarga memiliki kekuasaan terhadap jagaannya dari kalangan anak-anak dan ahli keluarganya, maka hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya, kerana Allah Ta’ala telah memberinya kuasa (hak penjagaan) ke atas mereka. Jika sekiranya tidak boleh dengan kekuasaan secara umum mahupun secara khusus, maka hendaklah dengan lisannya dengan menerangkan kemungkarannya dan melarang dari melakukannya serta memperingatkan darinya sedaya mampu. Jika sekiranya tidak mampu menjelaskan dengan lisannya kerana bimbang berlaku kemudaratan yang lebih besar maka hendaklah mengingkarinya dengan hati, dengan membenci kemungkaran dan pelaku kemungkaran serta hati tidak merasa tenang dan suka terhadap kemungkaran tersebut. Dan hendaklah dia menyelisihi mereka serta menjauhinya. Dan janganlah melakukannya sebagaimana Bani Israel yang mana mereka melarang dari kemungkaran pada perintah awal kemudian mereka tidak melarang mereka setelah itu, mereka juga duduk bersama-sama maksiat tersebut dan mereka menyukainya. Inilah yang dimaksudkan ke atas hadis yang pertama. 

Adapun hadis yang kedua adalah Allah SWT bertanya kepada seorang hamba di hari kiamat: mengapa dia tidak mencegah kemungkaran? Dijawab: Sesungguhnya kerana aku takut kepada manusia. Maka Allah berfirman: Aku lebih berhak untuk ditakuti. Hadis ini juga secara zahir padanya menunjukkan seseorang yang mampu mencegah kemungkaran dengan tangannya (kekuasaannya) namun tidak dicegah atau mampu mencegah dengan lisannya namun tidak dicegah (dengan lisannya). Bahkan dia mendiamkan dan menyembunyikan pada apa yang dia mampu untuk mengingkari kemungkaran itu. Maka yang demikian itulah yang dicela.

Adapun orang yang meninggalkan pengingkaran terhadap kemungkaran dengan tangan atau lisannya disebabkan ketidakmampuannya, atau bimbang berlakunya kerosakan yang lebih besar, maka ini termasuk keuzuran (dimaafkan), dalam keadaan dia mengingkarinya di dalam hatinya dan menjauhinya serta pelakunya. Maka tidak ada pertentangan di antara dua hadis tersebut. Segala puji bagi Allah.

Diterjemahkan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi