Ahad, 28 Oktober 2012

Sifat Kehambaan Membawa Ke Syurga





Gambar Hiasan

Belum pernah terdengar ditelinga kita ada dikalangan manusia yang tidak mahu masuk syurga melainkan orang yang tidak waras. Suara sumbang terkadang kedengaran seakan bermain-main menadakan “Kalau semua nak masuk syurga, jadi siapa yang nak masuk neraka?” Walaupun begitu hakikatnya penyumbang nada tersebut sendiri sebenarnya hendak memasuki syurga.

Kita renung sejenak, sebenarnya kita semua (manusia) sememangnya berasal dari syurga kerana bapa kita iaitu Nabi Adam 'alaihissalam asalnya dari syurga. Mengapa Allah menciptakan manusia dan memasukkannya ke dalam syurga lalu kemudian mengeluarkan semula mereka ke bumi yang merupakan asal kejadian diri mereka? Untuk mencari jawapannya, renungkanlah firman Allah Ta’ala ini:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Surah Al-Baqarah: 30)

Allah Subhanahu wa Ta’ala lebih mengetahui apa yang tidak diketahui oleh makhlukNya. Bumi merupakan tempat yang teristimewa bagi para rasul, nabi-nabi, wali-wali Allah dan orang-orang yang mendekatkan diri kepadaNya. Keistimewaan ini menjadi milik hambaNya kerana selalu memuji Tuhannya serta beribadah siang dan malam, meninggalkan hawa nafsu serta syahwatnya demi meraih kecintaan dan keredhaanNya. Berbeza dengan para malaikat yang sememangnya telah menjadi pekerjaan mereka beribadah tanpa ada sebarang tentangan dan dorongan nafsu yang menghasut mereka.

Namun begitu, dikalangan manusia memang ada yang tidak layak memasuki syurga kerana menuruti hawa nafsu dan syahwatnya serta meninggalkan fitrah kejadiannya iaitu tunduk dan patuh kepada aturan dan perintah Ilahi. Sikap sebahagian manusia inilah sebenarnya merupakan sebab dan hikmah kenapa Allah Ta’ala menurunkan nabi Adam 'alaihissalam serta keturunannya untuk tinggal di atas tanah asal kejadian mereka. Iaitu kerana ada dikalangan manusia yang tidak dapat masuk ke dalam syurga bersama para nabi, siddiqin, dan syuhada, namun mereka akan dimasukkan ke dalam neraka bersama syaitan durjana.  Sedangkan Allahlah yang lebih Maha Mengetahui akan hikmah sebenarnya.

Allah Ta’ala mencipta makhluk yang beraneka dan berjenis-jenis kemudian memuliakan Nabi Adam 'alaihissalam serta keturunannya di atas makhluk-makhlukNya yang lain. Kerana mereka adalah khalifah yang memerintah di atas muka bumi. Manusia menjadi mulia kerana sifat ubudiyah (kehambaan) mereka. Pernah suatu ketika, malaikat Jibril 'alaihissalam berkata kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam: “Wahai Muhammad, Tuhanmu telah mengutuskan aku kepadamu.” Lalu dia bertanya: “Adakah engkau ingin Tuhanmu menjadikan engkau seorang raja atau hamba dan nabi? Bersikap tawadhuklah wahai Muhammad kepada Tuhanmu!” Nabi pun menjawab: “Aku memilih dijadikan hamba dan rasul.” (HR. Ahmad, 11/231 disahihkan oleh Ahmad Syakir, 12/142)

Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam memilih sebagai seorang hamba namun darjatnya tinggi dan mulia di sisi Allah kerana kesempurnaan sifat ubudiyah baginda kepada Allah Ta’ala. Ucapan “Maha suci Allah” digunakan kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai tanda kehormatan tertinggi kepada seorang hamba ini telah dirakamkan di dalam firman Allah Ta’ala:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israa`: 1)

Ramai orang pada hari ini berlumba-lumba mencari pedoman hidup, ditengah-tengah kesibukan urusan dunia masih tetap meneruskan kegiatan ibadah dan dakwah. Tatkala imannya menurun, dia segera menaikkannya dengan amal dan kebaikan dengan cara mendatangi rumah-rumah Allah untuk menuntut ilmu dan beribadah. Ada pula sebahagian orang yang bila diingatkan tentang fitrah kejadian mereka, masih tetap berdegil dan berkeras kepala, tidak mahu melaksanakan tuntutan ke atas dirinya. Apabila musibah datang melanda, barulah tersedar dan ternganga. Tatkala mulutnya masin berbicara tanpa ilmu lagi angkuh, kemudian Allah mengujinya, lalu timbullah penyesalan.

Timbulnya perasaan angkuh seseorang dari mendengar sebarang nasihat yang datang kepadanya, adalah disebabkan tiada atau kurangnya sifat ubudiyah. Ubatilah ia dengan amal ibadah. Namun hendaklah dipastikan dahulu hendaklah dipastikan amal ibadah tersebut berdasarkan ilmu yang benar yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah menurut pemahaman salafus soleh agar amalan tersebut tidak menyimpang dan menyeleweng.

Beberapa ulama salaf pernah berkata: “Para penghuni syurga selamat dari siksaan neraka adalah kerana kemaafan dan keampunan Allah Ta’ala. Mereka masuk syurga kerana kemurahan, kenikmatan, dan keampunan Allah semata. Mereka membahagi-bahagikan tempat mereka di syurga sesuai dengan amal perbuatan mereka.”

Tahukah kita, apakah sebab kita dimasukkan ke dalam syurga? Adakah kerana amal soleh kita atau kerana rahmat Allah? Berdasarkan firman Allah Ta’ala

وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Yang bermaksud: Dan (dikatakan lagi kepada mereka): "Inilah syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan". (Az-Zukhruf: 72)

Dalam ayat lain, firman Allah:

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Yang bermaksud: Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan". (An-Nahl: 32)

Secara zahirnya, ayat-ayat di atas menunjukkan amal solehlah yang akan memasukkan seseorang ke dalam syurga. Namun dalam sebuah hadis, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tidak seorang pun yang akan masuk ke dalam syurga kerana amalnya.” Lalu para sahabat pun bertanya: “Adakah engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda pun menjawab: “Begitu juga dengan aku.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa masuk syurga bukanlah imbalan dari amal seseorang. Seandainya bukan kerana limpahan kasih sayang Allah Ta’ala, maka tiada seorang pun yang akan masuk syurga. Jadi amal seorang hamba, meskipun tidak terbatas jumlahnya, bukan satu-satunya perkara yang mengharuskan dia masuk syurga, dan bukan pula masuk syurga itu sebagai ganti amalnya. Meskipun amal seorang hamba dilakukan sesuai dengan cara yang dicintai dan diredhai Allah Ta’ala, namun itu tidak dapat mengimbangi dan menyamai nikmat yang Allah Ta’ala limpahkan kepadanya di dunia. Bahkan, jika amal perbuatannya dihisab, maka itu hanya setimpal dengan sedikit nikmat Allah Ta’ala. Sedangkan, nikmat-nikmat Allah Ta’ala lain yang dia terima, masih memerlukan rasa syukur. Jadi Allah Ta’ala mengazabnya padahal dia telah berbuat kebajikan, maka itu bukanlah kezaliman dariNya atas orang tersebut. Apabila Allah Ta’ala memberikan rahmatNya kepada orang tersebut, maka rahmatNya itu jauh lebih baik dari amal perbuatannya.” (Miftah Darus Sa’adah, Ter. Kunci Kebahagiaan, halaman 30)

Dari Zaid bin Tsabit, Huzaifah dan lain-lain menyatakan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Jika Allah berkehendak mengazab para penghuni syurga dan para penghuni bumiNya, Dia pasti mengazab mereka, dan itu bukanlah kezaliman dariNya atas mereka. Dan jika Allah memberi rahmatNya kepada mereka, maka rahmatNya lebih baik dari amal perbuatan mereka.” (HR. Ahmad, Abu Daud, dan Ibnu Hibban)

Ini menunjukkan masuknya seseorang ke dalam syurga bukanlah kerana amal solehnya semata-mata. Kemasukan seseorang hamba ke dalam syurga selain amal soleh juga kerana rahmatNya yang terkait dengan kehendakNya, selagi mana seseorang hamba itu tidak melakukan sebarang kezaliman terhadap diriNya. 

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Surah Luqman: 13)

Semoga dengan amal kita yang sedikit ini, kita diberikan kekuatan untuk tetap istiqamah melakukannya dan semoga dengan rahmat Allah Ta’ala kita dimasukkan ke dalam syurgaNya yang merupakan kampung asal kita. Wallahua’lam

(Mohd Safwan bin Mohd Rusydi - Selesai menulis di Kampung Lubok Weston, Beaufort)