Ahad, 15 April 2012

7 Syubhat Pengkritik Hadis Al-Mahdi

Syubhat 1: Hadis-hadis tentang Al-Mahdi tidak ada yang sahih

Jawapan: Terdapat banyak hadis-hadis yang sahih tentang Al-Mahdi antaranya:

Hadis Pertama:  

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ حَتَّى يَبْعَثَ فِيْهِ رَجُلاً مِنِّيْ أَوْ مِنْ أهْلِ بَيْتِيْ يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِيْ وَاسْمَ أَبِيْهِ اسْمَ أَبِيْ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا

Dari Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Seandainya dunia tidak tersisa kecuali tinggal sehari sahaja, maka Allah akan memanjangkan hari itu sehingga mengutus seorang lelaki dari keturunanku atau dari ahli baitku, namanya seperti namaku dan nama ayahnya seperti nama ayahku, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi kezaliman dan penganiayaan.”
Orang yang meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu ada dua:

1. Zirr bin Khubaisy
  • Riwayat Abu Daud: 4282, Tirmizi: 2230, 2231, Ahmad 1/376, 377, 430, 448, At-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir 10/10213-10230 dan Al-Mu’jam Ash-Shaghir hal. 245, Abu Nuaim dalam Al-Hilyah dan Al-Khatib dalam Tarikh Baghdad.
  • Imam Tirmidzi berkata: “Hasan Sahih”. Imam Az-Zahabi mensahihkannya dalam At-Talkhis 4/442 dan dipersetujui oleh Syeikh Al-Albani.
2. Alqamah (bin Martsyad)
  • Riwayat Ibnu Majah: 4082 dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 4/264.
  • Syaikh Al-Albani berkata: Sanadnya hasan.

 

Hadis Kedua:

 

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِيْ طَالِبٍ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه: الْمَهْدِيْ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللهُ فِيْ لَيْلَةٍ


Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Al-Mahdi adalah dari keturunan kami, ahli bait, Allah memperbaikinya (memberi taufik dan hidayah) dalam sehari.”

Orang yang meriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ada dua:

1. Muhammad bin Hanafiyyah
  • Riwayat Ibnu Majah: 4085, Ahmad 1/84, Al-Uqaili dalam Adh-Dhu’afa: 470, Ibnu Adi dalam Al-Kamil 2/360 dan Abu Nuaim dalam Al-Hilyah 3/177 dari Yasin Al-Ijli dari Ibrahim bin Muhammad bin Hanafiyyah dari ayahnya.
  • Sanad hadis ini hasan. Seluruh perawinya terpercaya kecuali Yasin iaitu Ibnu Syaiban, hadisnya hasan. Namun dia tidak sendirian, dia dikuatkan oleh Salim bin Abu Hafshah (hadisnya hasan) sebagaimana riwayat Abu Nuaim dalam Akhbar Ashbahan 1/170 sehingga hadis ini naik kepada darjat sahih. (Ash-Shahihah no. 2371)
2. Abu Thufail
  • Riwayat Abu Daud: 4283, Ahmad 1/99 dengan lafaz seperti hadis Abdullah bin Mas’ud.
  • Syeikh Adzim Abadi berkata dalam Aunul Ma’bud 11/251: “Sanadnya hasan dan kuat”. Dan disahihkan Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Al-Albani dalam Takhrij Ahadits Fadhail Syam hal. 44.

 

Hadis Ketiga:


عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: الْمَهْدِيْ مِنِّيْ أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأَ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا وَ يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِيْنَ


Dari Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Al-Mahdi adalah dari keturunanku, berdahi lebar dan berhidung mancung, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan dia berkuasa selama tujuh tahun lamanya.”

Orang yang meriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri ada dua:

1. Abu Nadhrah
  • Riwayat Abu Daud: 4285 dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 1/556 dari jalur Imran Al-Qatthan dari Qatadah dari Abu Nadhrah dengannya.
  • Al-Hakim berkata: “Hadis ini sahih menurut syarat Muslim”. Dan dipersetujui Az-Zahabi. Syeikh Al-Albani berkata: “Sanadnya hasan.”
2. Abu Ash-Shiddiq
  • Riwayat Tirmizi: 2232, Ibnu Majah: 4083, Ahmad 3/21 dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 4/557 dari jalur Zaid Al-‘Ummi dari Abu Ash-Shiddiq.
  • Imam Tirmizi berkata: “Hadisnya hasan”.
  • Al-Hakim berkata: “Sahih menurut syarat Muslim”. Dan dipersetujui Az-Zahabi dan Al-Albani. 
  • Syeikh Al-Albani berkata: “Menurut saya hadis ini mutawatir dari Abu Ash-Shiddiq dari Abu Said Al-Khudri. Dan yang paling sahih adalah dua jalur:
    Pertama: Auf bin Abu Jamilah. Riwayat Ahmad 3/36, Ibnu Hibban: 1880, Al-Hakim 4/557 dan Abu Nuaim dalam Al-Hilyah 3/101. Al-Hakim berkata: “Sahih menurut syarat Bukhari Muslim” Dan disetujui Az-Zahabi dan memang seperti itu.

    Kedua: Sulaiman bin Ubaid. Riwayat Al-Hakim 4/557-558 dan berkata: “Sanadnya sahih”. Dan disetujui Az-Zahabi dan Ibnu Khuldun. (Lihat Ash-Shahihah 4/40, 2/328).

 

Hadis Keempat:


عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ رضي الله عنها قَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُوْلُ : الْمَهْدِيْ مِنْ عِتْرَتِيْ مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ


Dari Ummu Salamah radhiallahu ‘anha berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Al-Mahdi adalah dari keturunanku dari anak keturunan Fatimah.”
  • Riwayat Abu Daud: 4284, Ibnu Majah: 4086, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 4/557, Abu Amr Ad-Dani dalam As-Sunan Al-Waridah fil Fitan: 99-100 dan Al-Uqaili dalam Adh-Dhu’afa: 139, 300 dari jalur Ziyad bin Bayan dari Ali bin Nufail dari Said bin Musayyib dari Ummu Salamah secara marfu’.
  • Syeikh Al-Albani berkata: “Sanadnya jayyid (baik), seluruh perawinya terpercaya”. (Silsilah Adh-Dha’ifah 1/181)
Demikianlah beberapa contoh hadis yang sahih tentang kedatangan Imam Al-Mahdi. Bagi sesiapa yang ingin mengetahui hadis-hadis lain, silalah membaca kitab Al-Idha’ah Lima Kana wa Maa Yakunu Baina Yadai As-Sa’ah oleh Al-Allamah Siddiq Hasan Khan dan Al-Urful Wardi oleh Imam As-Suyuti. Wallahu A’lam.

Syubhat 2: Ucapan Imam Ibnu Khaldun

Jawapan: Seringkali para pengkritik berhujah dengan keterangan Ibnu Khuldun dalam kitabnya yang masyhur itu dan menipu umat dengannya. Sebagai jawapan, alasan ini tidak dapat diterima kerana dua sebab:

Pertama: Ibnu Khaldun bukanlah ahli hadis. Oleh kerana itulah para pakar hadis mengingkari dan membantah keterangannya tersebut. Diantaranya Al-Allamah Siddiq Hasan Khan, beliau berkata setelah menukil ucapan Ibnu Khuldun: “Masalahnya tak seperti yang dia terangkan. Dan kebenaran lebih utama untuk diikuti,” Syeikh Adzim Abadi dan Al-Mubarakfuri mengatakan: “Dia terjatuh dalam kesalahan dan jauh dari kebenaran.” (Aunul Ma’bud 11/243 dan Tuhfatul Ahwadzi 6/402)

Syeikh Al-Allamah Ahmad Syakir rahimahullah berkata:
Ibnu Khuldan tidak faham kaedah ahli hadis “Al-Jarh Muqaddam ‘ala Ta’dil” (Celaan lebih didahulukan daripada pujian). Seandainya dia mengetahui dan memahami kaedah tersebut, nescaya dia tidak akan berucap seperti ini. Atau mungkin dia tahu tetapi sengaja melemahkan hadis-hadis tentang Al-Mahdi kerana situasi politik pada masanya”. Kemudian beliau menjelaskan bahawa keterangan Ibnu Khuldun banyak memuat kesalahan.”(Syarhul Musnad 5/197-198) (*)
(*) Syeikh Ahmad bin Shiddiq Al-Ghumari memiliki kitab yang menjelaskan tentang kesalahan-kesalahan Ibnu Khuldun tentang hadis Mahdi dengan judul “Ar-Raddu Ala Tawahhumi Ibnu Khuldun”. Sebagaimana dalam buku “Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal, Nabi Isa” oleh Abdul Latif Asyur cet. Darul Nu’man, Kuala Lumpur.
Syeikh Al-Albani rahimahullah juga berkata:
Ibnu Khaldun telah melakukan kesalahan yang amat fatal tatkala melemahkan kebanyakan hadits-hadits tentang Mahdi. Hal itu tak aneh, karena memang ilmu hadits bukanlah bidangnya”.(Takhrij Ahadits Fadhail Syam, hal 45 cet. Maktabah Al-Ma’arif)
Kedua: Sekalipun Ibnu Khaldun menilai bahawa kebanyakan hadis tentang Mahdi adalah cacat, tetapi beliau tidak melemahkan semuanya. Perhatikan ucapan beliau usai memaparkannya: “Inilah beberapa hadis yang diriwayatkan oleh para imam tentang kedatangan Al-Mahdi di akhir zaman. Sebagaimana anda lihat sendiri tidak ada yang selamat dari cacat kecuali sedikit atau sedikit sekali.” (Muqaddimah Tarikh Ibnu Khuldun 1/574)

Oleh kerana itulah Imam Muhammad Nasiruddin Al-Albani berkata dalam Ash-Shahihah 4/40: “Barangsiapa menisbatkan pada Ibnu Khaldun bahawa beliau melemahkan seluruh hadis tentang Al-Mahdi, sungguh dia telah berdusta baik terlupa mahupun sengaja.” (Lihat juga bantahan menarik  Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad dalam risalahnya Aqidah Ahli Sunnah wal Atsar hal. 210-214)

Syubhat 3: Hadis-hadisnya karangan para politisi kelompok Syiah dan seluruh sanadnya tidak terlepas dari perawi Syiah.

Jawapan: Alasan ini sangat rapuh sekali kerana:

Pertama: Menyatakan secara mutlak seperti itu tidak benar dan hanya dugaan semata yang tidak ada buktinya kerana empat hadis yang telah saya sebutkan di atas, tak ada seorang perawi pun dalam sanadnya yang dikenal termasuk golongan Syi’ah. Ya, memang benar ada beberapa hadis tentang Mahdi yang dikarang oleh Syiah tetapi para ahli hadis telah menjelaskan secara terperinci tentangnya sehingga dapat dibezakan. “Adanya hadis-hadis tentang Mahdi yang palsu kerana karangan politisi Syiah atau sejenisnya tidaklah bererti kita mengingkari hadis sahih tentang Mahdi” sebagaimana dikatakan oleh Ustaz Muhammad Hidhir Husain (Syeikul Azhar dahulu).

Kedua: Katakanlah sekiranya memang semua hadis tentang Al-Mahdi tidak luput dari perawi Syiah, maka perkara itu tidaklah merosak keabsahan hadis kerana perselisihan mazhab bukanlah syarat absahnya suatu hadis sebagaimana diterangkan dalam kitab-kitab mustalah hadis. Oleh kerana itu, Imam Bukhari dan Muslim juga meriwayatkan dalam kitab sahihnya dari beberapa perawi Syiah dan kelompok-kelompok lainnya.(Lihat Hadyu Saari hal 459 oleh Ibnu Hajar, Tsamarat Nadhar hal 86-93 oleh As-San’ani, Al-Baits Hatsits 1/303 Ahmad Syakir, dan As-Shahihah no. 396 Al-Albani)

Syubhat 4: Hadisnya tidak diriwayatkan Imam Bukhari Muslim

Jawapannya: Pertama: Apakah hadis-hadis sahih hanya terhimpun dalam Sahih Bukhari dan Muslim saja?!! Tidak ada seorangpun ulama yang mengatakan demikian, kerana terdapat banyak juga hadis-hadis sahih yang terhimpun dalam kitab-kitab Sunan, Musnad, Mu’jam dan ensiklopedia hadis lainnya. Al-Hafiz Ibnu Katsir berkata: “Sesunggunya Bukhari dan Muslim tidaklah mengeluarkan seluruh hadis sahih dalam kitabnya. Buktinya keduanya telah mensahihkan beberapa hadis dalam selain kitab sahihnya tersebut sebagaimana At-Tirmizi dan lainnya menukil dari Bukhari bahawa beliau mensahihkan beberapa hadis yang tidak ada di dalam kitab sahihnya, tetapi dalam kitab sunan.”(Al-Baits Al-Hatsits 1/106)

Kedua: Sebenarnya dalam Sahih Bukhari dan Muslim ada beberapa hadis yang memberikan isyarat tentang Al-Mahdi seperti:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا نَزَلَ ابْنُ مَرْيَمَ فِيْكُمْ وَإِمَامُكُمْ مِنْكُمْ؟

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallambersabda: “Bagaimana kalian apabila Isa bin Maryam turun kepada kalian dan Imam kalian dari kalangan kalian?!” (HR. Bukhari no: 2449 dan Muslim no: 155)

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُوْلُ: لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِيْنَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ. قَالَ: فَيَنْزِلُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ فَيَقُوْلُ أَمِيْرُهُمْ: تَعَالَ صَلِّ لَنَا. فَيَقُوْلُ: لاَ, إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ, تَكْرِمَةُ اللهِ عَلَى هَذِهِ الأُمَّةِ

Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Dari Akan sentiasa ada sekelompok dari umatku yang berperang di atas kebenaran dan tegar (menang) sehingga hari kiamat. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Maka Isa bin Maryam turun, lalu amir (pemimpin) mereka mengatakan: Marilah, maju untuk mengimami solat kami. Isa menjawab: Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu adalah pemimpin kepada sebahagian lainnya sebagai kemuliaan Allah atas umat ini.” (HR. Muslim no: 156)
Al-Allamah Shiddiq Hasan Khan rahimahullah setelah membawakan beberapa hadis yang banyak sekali dalam kitabnya Al-Idha’ah halaman 144, beliau mengakhirinya dengan hadis Jabir di atas lalu berkomentar: “Memang benar dalam hadis ini tidak ada kata “Al-Mahdi” secara jelas, namun tidak ada maksud lain dari hadis ini dan hadis-hadis sejenisnya melainkan adalah Al-Mahdi yang dinanti-nanti sebagaimana dijelaskan dalam beberapa hadis dan atsar yang banyak sekali.”

Hal tersebut kerana “hadis itu saling menafsirkan antara satu sama lainnya”. Diantara hadis yang menjelaskannya adalah sebagai berikut:

عَنْ جَابِرٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: يَنْزِلُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ فَيَقُوْلُ أَمِيْرُهُمْ الْمَهْدِيْ: تَعَالَ صَلِّ لَنَا. فَيَقُوْلُ: لاَ, إِنَّ بَعْضَهُمْ أَمِيْرُ بَعْضٍ, تَكْرِمَةُ اللهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tatkala Isa bin Maryam turun, amir (pemimpin) mereka Al-Mahdi mengatakan: Kemarilah, imami kami dalam solat. Isa menjawab: Tidak, sesungguhnya sebahagian mereka adalah pemimpin atas lainnya, sebagai kemulian Allah kepada umat ini”.(HR. Haris bin Abu Usamah dalam Musnadnya. Ibnu Qayyim berkata dalam Al-Manar Al-Munif hal 147-148: “Sanadnya jayyid (baik)”. Dan dipersetujui oleh Syeikh Abdul Muhsin Al-Abbad dalam risalahnya “Al-Mahdi” dan Al-Albani dalam Ash-Shahihah no. 2236)
Syubhat 5: Hadisnya saling bertentangan

Jawapan: Anggapan ini tertolak kerana kontradiksi antara hadis dianggap bertentangan sekiranya hadisnya sama-sama sahih, tetapi kalau sekiranya satu hadis sahih dan satu lagi dha’if maka jelas tidak dianggap bertentangan sebagaimana diketahui oleh setiap orang yang belajar ilmu hadis. Sebagai contoh hadis dari Ummu Salamah di atas: “Al-Mahdi adalah dari keturunanku dari anak keturunan Fatimah”. Dengan hadis Utsman bin Affan secara marfu’:

الْمَهْدِيْ مِنْ وَلَدِ الْعَبَّاسِ عَمِّيْ

"Al-Mahdi dari keturunan anak Abbas, pakcikku."
  • Bagaimana boleh dipertentangkan, sedangkan hadis Ummu Salamah sanadnya sahih, manakala hadis di atas maudhu’ yang diriwayatkan Imam Daruqutni dalam Al-Afrad no. 26, Ad-Dailami 4/84 dan Ibnu Jauzi dalam Al-Wahiyat: 1431 dan pada sanadnya terdapat perawi bernama Muhammad bin Walid Al-Qurasyi, sedangkan dia pendusta. (Silsilah adh-Dhaifah no. 80)
  • Jadi anggapan kontradiksi tersebut hanyalah muncul dari hadis-hadis yang tidak sahih tentang Mahdi. Sedangkan hadis-hadis yang sahih, maka tiada kontradiksi sedikit pun.

Syubhat 6: Membendung para pengaku Mahdi yang dusta (palsu)

Jawaban: Pertama: Sesungguhnya Imam Mahdi yang dikhabarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam memiliki ciri-ciri yang jelas sebagaimana penjelasan dalam hadis-hadis di atas seperti keluar di akhir zaman, lelaki, keturunan ahli bait, namanya Muhammad bin Abdullah, berdahi lebar, berhidung mancung, menegakkan agama dan keadilan, dermawan dan soleh, mengimami Isa bin Maryam dalam solat. Dengan demikian, apabila ada yang mengaku Mahdi sedangkan tidak sesuai dengan ciri-ciri tersebut, maka bererti dia adalah pendusta.

Kedua: Para ulama telah membantah para pengaku Mahdi dusta tersebut.  Jadi, benar kami setuju dengan kalian dalam mengingkari para pengaku Mahdi secara dusta seperti Juhaiman (Saudi Arabia), begitu juga Mirza Ghulam Ahmad Al-Qadiyani, seorang dajjal India yang mengaku sebagai Nabi Isa lalu mengaku sebagai Nabi. Namun seperti inikah cara kita membendung para pendusta tersebut?!! Apakah kita mengingkari akidah yang sahih hanya kerana adanya pengaku dusta tersebut?!! Kalau begitulah caranya, kita akan berserakan dengan kaedah kita sendiri. Cuba fikirkan, adakah kita juga akan mengingkari adanya ilmu dan ulama kerana adanya orang-orang jahil yang mengaku berilmu?!! Dan apabila ada sebahagian yang mengaku sebagai Tuhan seperti Firaun dan Dajjal, adakah cara membendungnya dengan mengingkari adanya Tuhan?!! Tidak, sekali-kali tidak!! Demikian juga kita beriman tentang Imam Mahdi yang hakiki dan mendustakan para pengaku Mahdi yang palsu.

Syubhat 7: Menyebabkan manusia tidak berusaha

Jawapan: Kami sependapat dengan kalian dalam mengingkari pemahaman keliru dan khurafat Syaitan ini, kerana tidak ada keterangan sedikitpun dalam hadis-hadis Mahdi yang mengisyaratkan bahawa kejayaan Islam tidak mungkin digapai sebelum datangnya Mahdi. Namun jika memang ada sebahagian kalangan yang berfamahaman keliru seperti itu, adakah caranya dengan mengingkari hadis-hadis sahih tentang Mahdi atau dengan memahamkan kepada mereka bahawa fahaman tersebut keliru tanpa mengingkari hadis sahih tentang Mahdi?!! Tidak ragu lagi bahawa cara kedua inilah yang benar. ( Lihat ash-Shahihah 4/42)

Kesimpulan:

Sesungguhnya keyakinan tentang akan datangnya Imam Mahdi termasuk aqidah yang ditetapkan dalam hadis-hadis mutawatir yang wajib bagi setiap muslim untuk mengimaninya kerana hal itu termasuk perkara ghaib, sedangkan beriman dengan perkara ghaib adalah sifat orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah: 

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ ِفيهِ هُدَى لِلْمُتَّقِينَ . الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ 

Maksudnya: Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (iaitu) mereka yang beriman kepada perkara yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. (Surah Al-Baqarah: 2-3).
 Dan tidak ada yang mengingkari aqidah ini kecuali orang yang jahil atau sombong. Saya memohon kepada Allah agar mewafatkan kita dalam beriman terhadapnya serta aqidah-aqidah shahih lainnya. (Majalah At-Tamaddun Al-Islami 22/642-646 sebagaimana dalam Maqalat Al-Albani hal. 110)

Disunting dari tulisan Ustaz Abu Ubaidah: http://abiubaidah.com/kontroversi-kedatangan-imam-mahdi.html/