Khamis, 29 Disember 2011

Keyakinan Hasan bin Ali As-Saqqaf Mirip Dengan Keyakinan Khomeini Penganut Syi'ah Rafidhah*

Hasan bin Ali As-Saqqaf berkata dalam kitabnya "At-Tandid bi Man 'Addadat Tauhid: Ibtal Muhawalah At-Taslith fit-Tauhid wal 'Aqidah Al-Islamiyah" halaman 25:

"Adapun permohonan (Ad-Du'a) keseluruhannya bukan suatu ibadah kecuali sekiranya kita bermohon kepada sesiapa yang kita yakini memiliki sifat Rububiyah."

Dalam halaman 26:

"Permohonan (Ad-Du'a) merupakan suatu ibadah sekiranya ditujukan kepada Allah atau kepada sesiapa yang si penyeru yakini bahawa yang diseru itu memiliki sifat Rububiyah."

Dalam halaman 27:

"Seruan (An-Nida'), memohon bantuan (Al-Istighotsah), memohon pertolongan (Al-Isti'anah), takut (khauf), berharap (Ar-Roja'), menggunakan perantaraan (At-Tawassul) dan tunduk (At-Tazallul) tidak dinamakan sebagai ibadah."

Dalam halaman 28:

"Secara ringkas ibadah dari sudut tatabahasa merupakan ketaatan serta penyerahan (Al-Khudu') kepada seseorang. Sebaliknya ibadah dari sudut syarak ialah tunduk (At-Tazallul) serta penyerahan (Al-Khudhu') kepada sesiapa yang diyakini memiliki sebahagian dari sifat Rububiyah. Sekiranya engkau memahami perkara ini ketahuilah engkau dengan yakin bahawa sesiapa yang mentaati serta tunduk/menyerah kepada seseorang namun tidak meyakini ia memiliki sebahagian dari sifat Rububiyah maka  dari sudut syarak dia tidak dikategorikan sebagai seorang yang menyembah kepada seseorang."

Bantahan:

Kenyataan Hasan As-Saqqaf bahawa peribadatan yang dilakukan kepada selain Allah tidak dianggap sebagai syirik selagi mana seseorang itu tidak meyakini tempat pergantungannya itu memiliki sifat Rububiyah. Sehubungan dengan itu sesiapa yang memohon kepada selain Allah, beristighotsah (memohon bantuan) kepada selain Allah, memohon pertolongan (Al-Isti'anah) kepada selain Allah, takut (Al-Khauf) serta berharap (Ar-Roja') kepada selain Allah seperti kubur, pokok serta batu-batuan maka ia tidak dikategorikan sebagai syirik. Ini sekiranya tidak diyakini selain Allah itu memiliki sifat Rububiyah sebagaimana kenyataan beliau di atas.

Kenyataan ini mirip dengan kata-kata Khomeini seorang penganut Syi'ah Rafidhah dengan katanya:


"Jelas bahawa syirik ialah memohon sesuatu selain dari Tuhan sekalian alam di atas asas sesuatu itu berfungsi laksana Tuhan. Adapun sekiranya tidak bersifat demikian maka ia bukan perbuatan syirik. Sehubungan ini tiada perbezaan antara memohon kepada yang masih hidup atau yang sudah mati mahupun memohon hajat kepada batu-batuan. Ia bukan merupakan perbuatan syirik." (Kasyful Asrar, halaman 49)


Kenyataan Hasan As-Saqqaf dan Khomeini di atas dibantah oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dengan sabda baginda:

من مات وهو يدعو من دون الله ندا دخل النار

"Sesiapa mati dalam keadaan dia menyeru (berdoa) kepada selain Allah maka dia merupakan penghuni neraka." (Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari, no: 4497)

Adakah golongan ilmuan dari kalangan para sahabat Radhiallahu 'anhum, tabi'in serta golongan yang mengikuti mereka tidak menyedari serta mengetahui syarat (Al-Qaid) yang diletakkan oleh Hasan As-Saqqaf di atas? Padahal Al-Quran mengandungi kenyataan yang menyeru agar mengikhlaskan agama kepada Allah serta menyerahkan keseluruhan peribadatan kepadaNya sahaja. 

Firman Allah Ta'ala:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَندَادًۭا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ ٱللَّهِ ۖ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَشَدُّ حُبًّۭا لِّلَّهِ

Maksudnya: "Ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah." (Al-Baqarah: 165)

Menerusi ayat ini Allah Ta'ala menyatakan keadaan golongan musyrikin apabila mengambil sekutu-sekutu di samping Allah, iaitu mereka mengabdikan diri kepada sekutu-sekutu di samping Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah, sedangkan Tidak ada Tuhan yang berhak diibadati melainkan Allah yang tidak mempunyai sebarang sekutu disampingNya.

Daripada Abdullah bin Mas'ud Radhiallahu 'anhu berkata:

 سألت النبي صلى الله عليه وسلم أي الذنب أعظم عند الله؟ قال: أن تجعل لله ندا وهو خلقك

"Aku bertanya kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tentang dosa manakah yang paling besar? Baginda menjawab: Engkau menjadikan di samping Allah sekutu-sekutu sedangkan Dialah yang menciptakan engkau." (Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari, no: 4477 dan Muslim, no: 86)

Merujuk firmanNya "...sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah" ternyata kecintaan, makrifat, penghormatan serta tauhid golongan beriman kepada Allah adalah sempurna kerana mereka tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Mereka hanya mengabdikan diri, bertawakkal serta memperlindungkan diri kepadaNya sahaja dalam setiap perkara. (Tafsir Ibn Katsir 1/291)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah berkata:

"Kaum muslimin bersepakat antara kewajipan agama Islam: seorang hamba tidak mengabdikan diri, menyeru, memohon bantuan (Al-Istighotsah) serta bertawakal melainkan kepada Allah. Sesiapa yang mengabdikan diri, memohon serta meminta bantuan (Al-Istighotsah) kepada malaikat yang dekat (kepada Allah) atau kepada seorang Nabi yang diutuskan maka dia seorang musyrik. Tidak dibolehkan kepada seorang muslim mengatakan: "Wahai Jibril, wahai Mikail, wahai Ibrahim, wahai Musa atau wahai Rasulullah ampunkanlah dosaku, berikanlah rahmat kepadaku, kurniakanlah rezeki kepadaku, tolongilah aku atau bantulah aku dari musuhku" serta ungkapan seumpamanya. Ini disebabkan keseluruhan perkara ini merupakan hak khusus kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala." (Al-Fatawa, 3/272)

Syarat (Al-Qaid) yang ditetapkan Hasan As-Saqqaf tidak memiliki sebarang asas. Ini disebabkan golongan musyrikin di zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak meyakini sembahan mereka sebagai pencipta, pemberi rezeki, yang menghidup dan mematikan serta yang mengatur segala urusan. Ibadah yang mereka (golongan musyrikin) lakukan kepada selain Allah adalah dengan harapan dapat mendekatkan diri kepadaNya.

Firman Allah Ta'ala:

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَٰٓؤُلَآءِ شُفَعَٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِ

Maksudnya: "Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: "Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah." (Yunus: 18)

Syeikh Abdul Latif bin Abdurrahman bin Hasan berkata:

"Perbuatan syirik menjadikan sekutu kepada Allah memiliki hak yang hanya Allah berhak memilikinya. Individu yang melakukan syirik memberikan hak kepada sekutu dalam perkara peribadatan zahir serta batin. Ia seperti perasaan cinta (Al-Hubb), ketundukan (Al-Khudu'), pengagungan (At-Ta'zhim), takut (Al-Khauf), berharap (Ar-Roja'), pembantu (Al-Inabah), tawakkal, pengorbanan (An-Nisk), ketaatan serta selainnya yang termasuk kategori peribadatan. Sesiapa menyekutukan Allah dengan selainNya dalam persoalan ini maka dia seorang musyrik.

Betapa ajaib kenyataan sebahagian golongan yang mengakui dan membaca kitab Allah serta mengetahui tatabahasa arab namun dalam persoalan ini mereka termasuk ke dalam makhluk yang paling sesat serta paling jauh dari kefahaman kitab Allah." (Tuhfatut Tolibu Wal Jalisu fi Kasyfi Syibh Daud bin Jurjis, halaman 59)

Firman Allah Ta'ala:

قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ لا يَمْلِكُونَ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ وَمَا لَهُمْ فِيهِمَا مِنْ شِرْكٍ وَمَا لَهُ مِنْهُمْ مِنْ ظَهِيرٍ . وَلا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ عِنْدَهُ إِلا لِمَنْ أَذِنَ لَهُ حَتَّى إِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai Tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka". Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; Dan Dia lah jua Yang Maha tinggi keadaannya, lagi Maha besar kekuasaanNya. (Saba': 22-23)

Ayat di atas ini jelas menyatakan pembatalan terhadap perbuatan syirik. Ia membabitkan keseluruhan asas dalam perkara syirik seperti bermohon kepada selain Allah. Oleh itu bermohon kepada selain Allah sama ada kepada malaikat yang dekat (kepada Allah), Nabi yang diutuskan, wali Allah, pokok, batu-batuan atau selainnya maka dia telah memperuntukkan kepada selain Allah 4 perkara yang merupakan pengkhususan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ianya adalah seperti berikut:

1. Al-Milk (Pemilikan). Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya (yang bermaksud): "Mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi."

2. Sekutu kepada Allah. Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya (yang bermaksud): "Dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah)."

3. Tempat memohon bantuan serta pertolongan Allah. Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya: "Dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka."

4. Pemberi syafaat (pertolongan). Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala (sebagaimana di dalam ayat kursi yang bermaksud): "Tidak ada pemberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya." (Taisirul 'Azizil Hamid, halaman 290)
Disunting oleh: Abu Soleh
__________________________________________
*Bantahan kepada Hasan As-Saqqaf di atas ini saya (Abu Soleh) nukilkan dari buku "Tauhid 3T: Penjelasan dan Pembelaan" terjemahan kepada kitab "Al-Qaulus Sadid fir-Raddi 'Ala Man 'Ankara Taqsimit Tauhid"  sebuah tulisan yang berharga karya Asy-Syeikh 'Abdurrazzaq bin 'Abdul Muhsin Al-Badr Hafizahullah (semoga Allah memeliharanya) diterjemahkan secara ringkas oleh  Mohd Amin Yaacob, terbitan Jahabersa (2011). Tulisan di atas disalin semula dengan beberapa suntingan yang dibuat pada tajuk dan isinya dengan meringkaskannya. Tajuk sebenar adalah: "Persoalan 8: Keyakinan Hasan bin Ali As-Saqqaf Peribadatan Kepada Selain Allah Bukan Perkara Syirik Melainkan Diyakini Ia Memiliki Sebahagian Sifat Al-Rububiyah. Lebih lanjut sila lihat buku tersebut dalam halaman 143 hingga 154 tentang persoalan di atas.  

Selasa, 13 Disember 2011

Hukum Memukul Gendang/Kompang Bagi Lelaki

Ibnu Rajab rahimahullah berkata dalam Al-Fath (8/434):

وقد وردت الشريعة بالرخصة للنساء لضعف عقولهن بما حرم على الرجال من التحلي والتزين بالحرير والذهب ، وإنما أبيح للرجال منهم اليسير دون الكثير ، فكذلك الغناء يرخص فيه للنساء في أيام السرور، وإن سمع ذلك الرجال تبعا . ولهذا كان جمهور العلماء على أن الضرب بالدف للغناء لا يباح فعله للرجال ؛ فإنه من التشبه بالنساء ، وهو ممنوع منه ، هذا قول الأوزاعي وأحمد ، وكذا ذكر الحليمي وغيره من الشافعية . وإنما كان يضرب بالدفوف في عهد النبي - صلى الله عليه وسلم - النساء ، أو من يشبه بهن من المخنثين ، وقد أمر النبي - صلى الله عليه وسلم - بنفي المخنثين وإخراجهم من البيوت . وقد نص على نفيهم أحمد وإسحاق ، عملا بهذه السنة الصحيحة

فأما الغناء بغير ضرب دف ، فإن كان على وجه الحداء والنصب فهو جائز . وقد رويت الرخصة فيه عن كثير من الصحابة . والنصب : شبيه الحداء- : قاله الهروي وغيره . وهذا من باب المباحات التي تفعل أحيانا للراحة . فأما تغني المؤمن فإنما ينبغي أن يكون بالقرآن ، كما قال النبي - صلى الله عليه وسلم - : (( ليس منا من لم يتغن بالقرآن)) والمراد : أنه يجعله عوضا عن الغناء فيطرب به ويلتذ ، ويجد فيه راحة قلبه وغذاء روحه ، كما يجد غيره ذلك في الغناء بالشعر . وقد روي هذا المعنى عن ابن مسعود- أيضاً

Sesungguhnya telah warid dalam syariat dengan keringangan yang diberikan kepada wanita  kerana kelemahan akal-akal mereka dengan apa yang telah diharamkan ke atas lelaki daripada perhiasan daripada sutera dan emas. Dan bahawasanya dibolehkan untuk lelaki menggunakannya tanpa banyak (yakni yang sudah bercampur), maka demikianlah juga nyanyian itu diharuskan untuk wanita pada hari kegembiraan (hari raya dan walimah) walaupun didengari kaum lelaki. Oleh kerana itu pendapat jumhur ulama bahawa memukul Duff (gendang) untuk nyanyian tidak diharuskan bagi lelaki untuk melakukannya kerana sesungguhnya terdapat tasyabbuh (penyerupaan) terhadap kaum wanita, dan itu dilarang. Demikian ini merupakan pendapat Al-Auza’i dan Ahmad, dan demikianlah yang disebutkan oleh Al-Hulaimi dan selainnya dari kalangan Asy-Syafi’iyyah. Sesungguhnya memukul gendang di zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah wanita atau sesiapa yang semisal dengannya dari kalangan mukhannis (pondan). Dan adalah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk mengasingkan golongan pondan dan mengeluarkan mereka dari rumah-rumah, dan telah dinaskan pelarangan mereka itu oleh Ahmad dan Ishak bahawa amalan ini merupakan sunnah sahihah…

Adapun nyanyian tanpa pukulan Duff, jika ia dilakukan dalam bentuk Huda’ (nyanyian untuk unta agar ia berjalan) dan nasab maka ianya harus. Telah diriwayatkan akan keringanan tersebut dari ramai dikalangan sahabat-sahabat, dan Nasab itu sama seperti Huda’: Berkata Al-Harwi dan selainnya, dan perkara ini adalah termasuk dalam perkara mubah (harus) sahaja yang dilakukan sekali sekala untuk istirehat. Adapun nyanyian orang-orang mukmin adalah cukup sekadar dengan Al-Quran, sebagaimana sabda baginda sallallahu ‘alaihi wasallam: “Bukanlah dari golongan kami orang-orang yang tidak melagukan Al-Quran.” Dan yang dimaksudkan adalah bahawasanya menjadikannya pengganti kepada nyanyian untuk dia menggetarkan jiwa dengannya dan menikmati kelazatannya, dan terdapat padanya yang dapat merehatkan hatinya dan makanan kepada rohnya, sebagaimana terdapat pada selain yang demikian pada nyanyian dan syair, dan telah diriwayatkan dengan makna ini dari Ibnu Mas’ud juga.

Diterjemahkan Oleh: Abu Soleh Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Sumber Rujukan:
Al-Jami'u Li Ahkamil 'Iedain Minal Kitabi Wassunnah Wa Aqwalil Aimmah, Abi Abdullah Zarid bin Hasan bin Soleh Al-Wussobi Al-'Umari, Maktabah 'Ibadurrahman Mesr, ms. 307.

Rabu, 7 Disember 2011

Bolehkah Melakukan Amalan Yang Tidak Afdhal Dalam Keadaan Tertentu Kerana Maslahat?

Dipetik daripada Majalah Asy Syariah, Samahatusy Syeikh Al-Imam Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berkata: “Riwayat yang menyebutkan basmalah (yakni membaca bismillahirrahmanirrahim - edt) dibaca dengan jahar (secara keras - edt) dibawa kepada (pemahaman) bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah menjaharkan basmalah untuk mengajari orang yang solat di belakang baginda (para makmum) apabila baginda membacanya (dalam solat sebelum membaca Alhamdulillah…). Dengan pemahaman seperti ini, terkumpullah hadis-hadis yang ada. Terdapat hadis-hadis sahih yang menguatkan apa yang ditunjukkan oleh hadis Anas radhiallahu 'anhu iaitu disyariatkannya membaca basmalah secara sirr (secara perlahan - edt).” (Ta’liq terhadap Fathul Bari, 2/296)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata: “Terkadang disyariatkan membaca basmalah dengan jahar kerana sebuah maslahat yang besar, seperti pengajaran imam terhadap makmum, atau menjaharkannya dengan ringan untuk melunakkan hati dan mempersatukan kalimah kaum muslimin yang dibimbangi mereka akan lari sekiranya diamalkan sesuatu yang lebih afdhal. Hal ini sebagaimana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menahan keinginan untuk membangunkan kembali Baitullah (yakni Ka'bah - edt) sesuai dengan fondasi Ibrahim 'alaihissalam kerana kaum Quraisy di Makkah pada waktu itu baru sahaja meninggalkan masa jahiliah dan masuk Islam. Baginda shallallahu 'alaihi wasallam membimbangi mereka dan melihat maslahat yang lebih besar berkenaan dengan penyatuan dan keutuhan hati-hati kaum muslimin. Baginda shallallahu 'alaihi wasallam pun lebih memilih hal tersebut daripada membina Baitullah di atas fondasi Ibrahim 'alaihissalam.

Pernah juga Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anhuma solat dengan sempurna 4 rakaat di belakang Khalifah Utsman bin Affan radhiallahu 'anhu dalam keadaan mereka sedang musafir. Orang-orang pun mengingkari Ibnu Mas’ud yang mengikuti perbuatan Utsman radhiallahu 'anhu, kerana sepatutnya beliau solat dua rakaat dengan cara qashar. Akan tetapi, beliau radhiallahu 'anhu menjawab dan menyatakan: “Perselisihan itu buruk.”

Oleh kerana itu, para imam, seperti Al-Imam Ahmad dan lainnya, membolehkan berpindah dari yang afdhal kepada yang tidak afdhal, seperti menjaharkan basmalah dalam suatu keadaan, menyambung solat witir, atau yang lainnya, untuk menjaga penyatuan kaum mukminin, mengajari mereka As-Sunnah, dan yang semisalnya.” (Majmu’ Fatawa, 22/437—438) (Dinukil dari: http://asysyariah.com)