Selasa, 4 Oktober 2011

Fatwa Tentang Memboikot Ahli Bid'ah

Syeikh Muhammad Ali Firkous Hafizahullah Ta’ala


Beliau ditanya:
 
Bilakah seseorang itu disebut sebagai ahli bid’ah?

Beliau menjawab:
 
الجواب: الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على من أرسله الله رحمة للعالمين وعلى آله وصحبه وإخوانه إلى يوم الدين أمّا بعد:

Ketahuilah bahawa sesungguhnya perkara bid’ah tidak berlaku dalam adat kebiasaan, sebab perkara tersebut mengikuti apa yang menjadi kebiasaan sebuah masyarakat. Meskipun disebut bid’ah secara bahasa namun tidak disebut bid’ah secara istilah agama yang merupakan perkara yang diingkari dan diperingatkan darinya, iaitu beribadah kepada Allah dengan sesuatu yang tidak disyariatkan, dan tidak pula datang dari nabi Shallallahu Alaihi Wasallam, dan khulafa ar-Rasyidin. Berdasarkan firman Allah Ta’ala:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ 

Maksudnya: “Apakah mereka mempunyai sesembahan-sesembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?” (Asy-Syura: 21)

Dan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda:


عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ مِنْ بَعْدِي عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ


“Hendaknya kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa Ar-Rasyidin setelahku, gigitlah ia dengan gigi geraham kamu (yakni berpegang teguh dengannya sungguh-sungguh - edt).” (HR. Tirmizi no: 2891, Ibnu Majah dalam muqaddimah no: 44, Ahmad no: 17606, dari hadis Irbadh bin Sariyah radhiallahu anhu. Disahihkan Al-Albani dalam silsilah As-Sahihah no: 936)
 
Tidak boleh menghukumi setiap orang sebagai ahli bid’ah, atau berlebihan dalam menghukumi bid’ah terhadap setiap orang yang menyelisihi sebahagian perkara yang diselisihi. Siapa yang terjatuh ke dalam perkara yang haram, atau terjerumus dalam kemaksiatan, dia disebut ahli maksiat, dan tidak semua ahli maksiat atau orang yang keliru itu disebut ahli bid’ah. Para ulama salaf mensifati ahli bid’ah bagi seseorang yang melakukan perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah tanpa ilmu dan hujah yang menjadi sandaran perbuatannya, berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ


“Barangsiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami yang tidak berasal darinya maka ianya tertolak”. (HR. Al-Bukhari dalam kitab shulh no: 2697, Muslim dalam kitab Al-Aqdhiyah no: 4589, Abu Daud dalam As-Sunnah no: 4608, Ibnu Majah dalam muqaddimah no: 14, Ahmad no: 26786, dari hadis Aisyah radhiallahu anha).

Dalam riwayat lain:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

 
“Barangsiapa yang mengamalkan satu amalan yang tidak berasal dari perintah kami maka ianya tertolak.” (HR. Muslim dalam Al-Aqdhiyah no: 4590, Ahmad no: 25870, Ad-Daruquthni dalam Sunannya no: 4593, dari hadis Aisyah Radhiaallahu anha)
 
Oleh kerana itu, barangsiapa yang membuat perkara baru dalam agama yang tidak ada dalil syar’i padanya maka dia adalah pelaku bid’ah, dan yang wajib adalah menegakkan hujah kepadanya dan menghilangkan syubhat yang menjadi sandarannya dan menasihatikannya sampai dia meninggalkan kesalahannya. Jika dia enggan untuk kembali atau tidak mendengar nasihat sama sekali maka dia telah menjadi ahli bid’ah. Jika bid’ahnya mukaffirah (bid’ah yang menyebabkan pelakunya kafir) maka hendaknya dia didebat dengan cara yang terbaik tanpa mencela apa yang menjadi keyakinannya, berdasarkan firman Allah:

وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللّهِ فَيَسُبُّواْ اللّهَ عَدْواً بِغَيْرِ عِلْمٍ


Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencela sesembahan-sesembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa disertai ilmu.” (Al-An'aam: 108)

Jika nampak darinya kezaliman, menolak kebenaran dan kesombongan maka yang wajib adalah menjelaskan kebatilannya tanpa berdebat dengannya dan wajib memboikotnya.

Adapun jika bid’ahnya mufassiqah (bid’ah yang menyebabkan pelakunya fasik) maka asal seorang muslim adalah haram memboikotnya meskipun dia seorang yang fasiq, berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam:

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلاَثٍ


“Tidak halal bagi seseorang memboikot saudaranya lebih dari 3 malam.” (HR. Bukhari dalam Al-Adab no: 6077, Muslim dalam Al-Bir was shilah wal adab no: 6679, dari hadis Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu anhu)
 
Selagimana dalam memboikotnya tidak terdapat kemaslahatan yang dapat diperolehi buat pelajaran baginya supaya meninggalkan kefasikannya, seperti orang yang membawa ubat untuk mengubati penyakit bid’ahnya. Adapun jika semakin bertambah kemaksiatannya dengan boikot, khususnya ketika duri ahli bid’ahnya kuat sehingga dia cenderung kepada mereka dan tidak ada harapan untuk dia kembali kepada kebenaran sehingga tidak (dapat memberi apa-apa - edt) kemaslahatan ketika memboikotnya. Bahkan kemaslahatan (mungkin akan berlaku -edt) dengan tidak memboikotnya.

Dan ilmu hanyalah milik Allah Ta’ala.


وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه وإخوانه إلى يوم الدين وسلم تسليما.

الجزائر في: 21 رجب 1426هـ





Sumber asal: http://ferkous.com
Dinukil dari: http://salafybpp.com
Disunting semula oleh: Abu Soleh Mohd Safwan bin Mohd Rusydi