Saturday, April 14, 2018

PAHALA YANG DIHADIAHKAN KEPADA MUKMIN

Mengenai pahala yang dihadiahkan kepada seseorang seperti pahala sedekah, atau pahala bacaan, atau pahala ibadah haji dan yang seumpama dengannya, maka telah ittafaq (sepakat) ahli sunnah mengatakan bahawa pahala orang mukmin yang mati dapat manfaat daripada hasil usaha dan kerja daripada orang yang hidup dengan dua perkara berikut:

Pertama: Sesuatu yang telah diusahakan oleh si mati pada masa hidupnya dan berkekalan sampai selepas matinya, kerana thabit daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda:

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو ولد صالح يدعو له أو علم ينتفع به من بعده

Maksudnya: "Apabila matinya anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariah, anak soleh yang berdoa kepadanya dan ilmu yang dimanfaatkan setelahnya."

Kedua: Doa dan istighfar orang-orang Islam, amalan sedekah dan ibadah haji, akan tetapi ulama berselisih terhadap ibadah tubuh badan seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.
 Sumber: Google

Menurut pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Jumhur Ulama Salaf mengatakan sampai pahala amalan tersebut kepada si mati. Tetapi menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi'i dan Maliki mengatakan ianya (pahala amalan tersebut) tidak sampai kepada si mati.

Dalil-dalil yang menunjukkan bahawa si mati mendapat manfaat daripada amalan yang ia tidak mengerjakan ialah firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: "Dan orang-orang (Islam) yang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman..." (Al-Hasyr 59 : 10)

Allah memuji mereka kerana mereka beristighfar (memohon keampunan) kepada orang-orang mukmin sebelum mereka. Maka jelaslah bahawa orang-orang yang mati mendapat manfaat daripada istighfar orang-orang yang hidup. 

Dalil yang menunjukkan si mati dapat manfaat daripada doa orang hidup ialah Ijmak Ulama menyuruh agar berdoa kepada si mati di dalam solat jenazah. Dan hadis yang menyebutkan doa-doa dalam solat jenazah amatlah banyak sekali. Begitu juga doa setelah dikebumikan si mati.

Rasulullah s.a.w telah mengajar para sahabatnya apabila menziarahi kubur maka hendaklah berdoa:

السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله بكم لا حقون نسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya: "Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kampung (kubur), dari kalangan para mukminin dan muslimin. Dan kami ini insyaAllah, akan menyusul kamu. Kami memohon ke atas kami keselamatan dan ke atas kamu ." (Riwayat Muslim)

Dalil yang menunjukkan sampainya pahala sedekah kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha:

 أن رجلا أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، إن أمي افتلتت نفسها ولم توص وأظنها لو تكلمت تصدقت أفلها أجر إن تصدقت: قال نعم.

Maksudnya: "Ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu telah mati mengejut (tiba-tiba), maka dia tidak sempat berwasiat. Dan saya menyangka kalau dia sempat bercakap, dia pasti akan (menyatakan) akan mengeluarkan sedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika saya bersedekah (untuknya)?' Baginda menjawab: 'Ya.'" (Muttafaqun Alaih dan Lafaz ini milik Muslim).

Hadis yang semakna dengan hadis seperti ini masih banyak lagi. Dan dalil yang menunjukkan sampainya pahala puasa kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha, sabda Rasulullah s.a.w:

 من مات وعليه صيام صام عنه وليه

Maksudnya: "Sesiapa yang mati, sedang dia mempunyai puasa wajib (yang sepatutnya dikerjakan), maka hendaklah walinya berpuasa menggantikannya." (Muttafaqun Alaih)

Dalil yang menunjukkan sampai pahala ibadah haji ialah hadis Ibnu Abbas r.huma:

Maksudnya: "Seorang perempuan daripada kabilah Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. Lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu saya telah bernazar akan mengerjakan haji, dia tidak sempat mengerjakannya sehingga dia mati, adakah saya mesti mengerjakannya sebagai gantinya? Bagaimana pendapat engkau sekiranya engkau mempunyai hutang adakah engkau akan membayarnya? Tunaikanlah hak Allah ianya lebih aula (utama) untuk ditunaikan." (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis-hadis di atas tersebut tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (An-Najm: 39)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ 

Maksudnya: "Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Al-Baqarah: 286)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُون

Maksudnya: "Dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan." (Yasin: 54)

Dr. Muhammad Naim Yasin berkata: "Ini kerana seseorang manusia yang menjadi muslim dan ikatannya dengan saudara muslim yang lain dengan ikatan ukhwah dan iman, pergaulan yang mesra dan kebaikannya yang dicurahkannya kepada manusia, kasih sayangnya kepada mereka adalah termasuk dalam usahanya yang membuatkan mereka berdoa untuknya, menghadiahkan pahala berupa amalan ketaatan untuknya. Perbuatan itu adalah merupakan hasil daripada usahanya. Maka si mati yang mendapat manfaat daripada hadiah pahala yang telah disampaikan (dikirimkan) kepadanya oleh saudaranya yang masih hidup tidaklah bertentangan dengan ayat-ayat (Al-Quran di atas) tadi. Dan ayat-ayat tersebut adalah merupakan ayat Muhkamat (yang jelas) yang tidak boleh ditakwilkan. Ayat-ayat tersebut melambangkan keadilan Allah, memberi pengertian bahawa tidak disiksa seseorang dengan sebab dosa orang lain, dan tidak diambil kesalahan seseorang dengan sebab kesalahan orang lain, seperti hukuman yang dijalankan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di dunia ini.

Ia juga memberi pengertian bahawa tidak beruntung bagi seseorang itu melainkan dengan amalan yang dikerjakan, supaya hilang perasaan tamak dan cita-cita seseorang kepada amalan bapanya, neneknya dan gurunya, tetapi harus (mestilah) diberi perhatian bahawa di sana ada beberapa adat istiadat dan perkara-perkara bidaah, yang tidak termasuk dalam pengertian hadis-hadis yang tersebut, tidak ada dalil-dalil syarak dan tidak ada seorang ulama pun mengatakan harus berbuat demikian, cuma mereka berselisih tentang: Adakah harus mengupah mengajar Al-Quran?

Adapun mengupah membaca Al-Quran serta menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati, atau mengupah orang melakukan solat, puasa dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, maka tidak ada khilaf (perselisihan) tentang ketidakharusannya (tidak boleh), malah yang harus (sepatutnya) ialah membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati dengan cara sukarela dan kemahuan orang yang membaca sendiri dengan tidak (mengharapkan) apa-apa upah pun." (Al-Iman, Rukun, Hakikat dan Pembatalannya oleh Dr. Muhammad Na'im Yasin, Terjemahan Versi Jawi oleh: Ustaz Abdurrahman bin Abdullah (Patani), Terbitan: Pustaka Darussalam Sdn. Bhd, Halaman 423-424).

14 April 2018
Taman Kuala Menggatal
Disunting olahan bahasa oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

PENERANGAN MENGENAI ASAS AKIDAH

Risalah Pertama dari Kumpulan Risalah Penerangan Mengenai Asas Akidah Apabila ditanya Siapakah Tuhan engkau? Maka jawablah: Tuhanku ialah Al...