Friday, January 5, 2018

RISALAH TENTANG BERITA MANUSIA SINGGAH DI BULAN


Oleh: Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin

Segala puji hanya untuk Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam semoga selalu dicurah kehadrat baginda nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarganya dan sahabatnya serta orang-orang yang selalu mengikuti mereka dengan kebaikan sehingga hari kiamat.

Telah tersebar (secara mutawatir) berita tentang pesawat (roket) angkasa yang singgah di permukaan bulan, setelah cubaan yang berulang-ulang mencurahkan kemampuan pemikiran, peralatan dan teknologi selama bertahun-tahun. Dan berita ini telah menimbulkan berbagai pertanyaan dan perbincangan di antara manusia.

Gambar 1: Sumber

Ada yang mengatakan bahawa hal itu bertentangan dengan Al-Quran. Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa hal itu benar, bahkan Al-Quran pun telah menguatkannya.

Orang-orang yang menyangka bahawa berita itu menyelisihi Al-Quran mengatakan: “Bahawa Allah telah memberitakan bahawa bulan itu berada di langit. Allah SWT berfirman:

تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَآءِ بُرُوجًا وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجًا وَقَمَرًا مُّنِيرًا

“Maha Berkat Allah yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.” (Al-Furqan: 61)

Dan Allah SWT juga berfirman:

وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجًا

“Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang).” (Nuh: 16)

Apabila bulan itu berada di langit maka tidak mungkin mencapai ke sana, kerana Allah telah menjadikan langit sebagai atap bumi yang dijaga. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai makhluk yang paling mulia, dan bersamanya malaikat yang paling mulia, iaitu Jibril, (mesti) meminta izin dan meminta agar dibukakan tiap-tiap langit pada malam mikraj. Mereka berdua tidak dapat terus masuk kecuali setelah dibukakannya untuk mereka berdua. Maka bagaimana mungkin hasil kerja manusia mampu singgah di permukaan bulan, padahal bulan itu berada di langit yang dijaga.

Sedangkan orang-orang yang beranggapan bahawa Al-Quran menguatkan berita tersebut, mereka mengatakan: Bahawa Allah SWT berfirman:

يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَاْلإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ فَانفُذُوا لاَتَنفُذُونَ إِلاَّ بِسُلْطَانٍ

“Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah menembus keluar. Kamu tidak akan dapat menembus keluar melainkan dengan satu kekuatan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!” (Al-Rahman: 33)

Sulton (kekuatan) yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah ilmu. Sedangkan mereka yang mampu melintasi penjuru dunia dengan ilmu, maka perbuatan mereka ini sesuai dengan Al-Quran dan tafsirnya.

Jika memang terbukti kebenaran berita yang telah mutawatir tentang turunnya pesawat diruang angkasa di permukaan bulan, maka yang nampak bagiku adalah bahawa Al-Quran tidak mendustakannya dan tidak membenarkannya. Tidak ada nas yang jelas di dalam Al-Quran yang menyelisihinya, sebagaimana tidak ada di dalam Al-Quran yang membenarkannya dan menguatkannya.

A). Adapun bahawa Al-Quran tidak menyelisihi berita tersebut, sebab Al-Quran adalah firman Allah Azza wa Jalla yang ilmuNya meliputi segala sesuatu.

Allah mengetahui perkara-perkara yang lampau, mahupun perkara-perkara yang sedang terjadi, dan perkara-perkata yang akan datang, baik yang dilakukan oleh Allah sendiri mahupun yang dilakukan oleh makhlukNya. Maka setiap yang telah terjadi atau akan terjadi, di langit atau di bumi, dari perkara yang kecil sehingga perkara yang besar, yang nampak atau pun yang tidak nampak, sesungguhnya Allah mengetahui segalanya, dan perkara itu tidak akan tejadi kecuali dengan kehendak dan perintahNya, tidak lagi perdebatan dalam masalah itu.

Apabila bagitu, sedangkan Al-Quran adalah kalam Allah, dan Allah yang paling benar perkataanNya, maka perkataan siapakah yang lebih benar dari perkataan Allah? Dan perkataanNya adalah sebaik-baik perkataan, dan paling nyata penjelasannya, dan perkataan siapakah yang lebih baik dari perkataanNya? Maka tidaklah mungkin selamanya firmanNya yang berasal dari ilmuNya, yang merupakan kemuncak kebenaran (yang paling tinggi - edt) dan penjelasan, bertentangan dengan kenyataan yang dapat dibuktikan. Demikian jugalah tidak mungkin selamanya ada kenyataan yang dapat dibuktikan bertentangan dengan nas Al-Quran yang nyata.

Maka sesiapa yang memahami bahawa di dalam Al-Quran ada sesuatu hal yang meyelisihi kenyataan, atau bahawa ada kenyataan yang dapat dibuktikan menyelisihi Al-Quran, maka pemahamannya itu salah besar.

Sedangkan ayat-ayat yang dianggap oleh sebahagian orang menunjukkan keberadaan bulan di langit, maka pada ayat-ayat itu tidak ada penjelasan nyata (yakni yang sarih/jelas) yang menunjukkan bahawa bulan melekat dengan langit, yang langit itu sebagai atap bumi yang dijaga.

Ya memang, zahir perkataan menunjukkan bahawa bulan berada di langit, akan tetapi sekiranya ternyata sampainya pesawat ruang angkasa di permukaan bulan, maka hal tersebut sebagai bukti bahawa bulan tidak berada di langit bumi, yang merupakan atap bumi yang dijaga, akan tetapi bulan itu berada di orbitnya (garis peredarannya), yang terletak di antara langit dan bumi. Sebagaimana firman Allah:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ الَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“Dan Dialah (Tuhan) yang menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Al-Anbiya’: 33)

Pada ayat lain Allah SWT berfirman:

لاَالشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَآ أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلاَالَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing.” (Yasin: 40)

Ibnu Abbas r.‘anhuma berkata: “Semuanya itu berputar sebagaimana alat tenun berputar pada tempat putarannya.”

Ats-Tsa’laby dan Al-Mawardi menyebutkan dari Hasan al-Basry bahawa dia pernah berkata: “Matahari, bulan dan bintang berada pada orbitnya masing-masing yang terletak di antara langit dan bumi, tidak melekat pada langit, kalaulah melekat dengannya maka tidak mungkin dapat berputar.” Al-Qurtubi menyebutkan dari keduanya pada tafsiran surah Yasin.

Perkataan bahawa matahari dan bulan berada pada orbitnya yang terletak antara langit dan bumi, hal ini tidak bertentangan dengan apa yang dikahabarkan oleh Allah bahawa keduanya berada di langit. Ini kerana perkataan langit kadang-kadang bererti setiap sesuatu yang tinggi. Ibnu Qutaibah berkata: “Setiap yang ada di atas engkau disebut langit.” Jadi erti matahari dan bulan berada di langit, iaitu berada di ketinggian, atau di arah langit. Dan ada juga mengatakan “langit” di dalam Al-Quran dengan erti ketinggian. Sebagaimana di dalam firman Allah Azza wa Jalla:

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَآءِ مَآءً مُبَارَكًا

“Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (memberi berkah).” (Qaf: 9)

Yang dimaksudkan adalah hujan, dimana hujan turun bukan dari awan yang dijalankan di antara langit dan bumi.

Jika sememangnya benar apa yang mereka katakan tentang pendaratan (pesawat ruang angkasa di) bulan, maka hal itu menambahkan ilmu kepada kita tentang ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Allah yang agung ini. Iaitu bahawa planet bulan yang besar ini, juga planet lain yang lebih besar, berputar pada orbitnya yang terletak antara langit dan bumi sehingga waktu yang Allah tentukan, dimana ia tidak berubah, tidak maju dan tidak mundur dari perjalanan yang telah ditetapkan padanya oleh yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Dan bersamaan dengan itu, kadang-kadang bulan menyinari dengan sempurna sehingga menjadi bulan purnama, dan kadang-kadang sebahagiannya sahaja yang bersinar sehingga menjadi bulan biasa atau bulan sabit, yang demikian itu merupakan ketetapan yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui.

 Gambar 2: Sumber

Sedangkan perkara yang tersebar bahawa bulan berada di langit Bumi, bintang Merkuri berada di langit kedua, Venus berada di langit ketiga, matahari berada di langit keempat, planet Marikh berada di langit kelima, Jupiter berada di langit keenam, dan Saturanus berada di langit ketujuh, maka sesungguhnya hal ini diambil dari para saintis astronomi, yang tidak ada hadis yang sahih dari Rasul s.a.w. Yang hal itu ditunjukkan oleh perkataan Ibnu Katsir –yang beliau mempunyai wawasan yang luas- ketika memberi komentar masalah matahari berada pada langit keempat, beliau berkata: “Tidak ada di dalam syariat yang menafikan hal itu, bahkan penglihatan –iaitu di waktu terjadi gerhana- menunjukkan tentang hal itu.”

Perkataan beliau: “Tidak ada di dalam syariat yang menafikan,” dan pengambilan dalil yang beliau lakukan tentang kebenaran hal di atas berdasarkan penglihatan menunjukkan bahawa tidak ada di dalam syariat sesuatu yang menetapkan bahawa matahari berada pada langit keempat. Wallah a’lam.

B). Adapun keadaan Al-Quran yang tidak menunjukkan sampainya pesawat angkasa ke bulan, kerana orang-orang yang menyangka hal itu berdalil dengan firman Allah:

يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَاْلإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ فَانفُذُوا لاَتَنفُذُونَ إِلاَّ بِسُلْطَانٍ

“Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah menembus keluar. Kamu tidak akan dapat menembus keluar melainkan dengan satu kekuatan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!” (Al-Rahman: 33)

Mereka menafsirkan kata sulton (kekuatan) pada ayat tersebut dengan ilmu.

Pengambilan dalil ini tertolak dari berbagai segi:

1. Bahawa rangkaian ayat di atas menunjukkan bahawa tentangan ini akan terjadi pada hari kiamat nanti. Dan hal itu akan nampak jelas bagi sesiapa sahaja yang membaca surah tersebut dari awal. Kerana pada awal surah ini Allah menyebutkan permulaan penciptaan jin dan manusia dan apa-apa yang ada di penjuru langit dan bumi yang Allah tundukkan terhadap para hambaNya. Kemudian Allah menceritakan akan binasanya apa sahaja yang ada padanya. Kemudian Allah berfirman:

سَنَفْرُغُ لَكُمْ أَيُّهَ الثَّقَلاَنِ

“Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat), wahai manusia dan jin!” (Ar-Rahman: 31)

Makna dari ayat di atas adalah perhitungan Allah terhadap makhlukNya (jin dan manusia), kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala menentang makhlukNya dari golongan jin bahawa tidak ada tempat melarikan buat mereka, baik dari penjuru langit mahupun dari penjuru bumi. Maka mereka tidak akan dapat lari, dan mereka tidak memiliki kekuatan untuk saling tolong-menolong sehingga selamat dari hukuman Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan kemudian Allah mengiringinya dengan menyebutkan balasan untuk orang yang berbuat kejahatan dengan balasan yang setimpal, dan untuk orang yang berbuat kebaikan dengan apa yang mereka harapkan.

Tidak ada keraguan bahawa susunan (rangkaian) perkataan itu menjelaskan dan menentukan makna. Mungkin ada kalimah yang sesuai pada satu tempat akan tetapi tidak sesuai (maknanya) pada tempat yang lain.

Anda mungkin kekadang melihat suatu kalimah yang mempunyai dua makna yang saling bertentangan, tetapi maksudnya dapat ditentukan dari kedua-duanya berdasarkan rangkaian/susunan perkataan. Sebagaimana hal itu dikenal pada kata-kata yang memiliki erti yang bertentangan di dalam bahasa (Arab).

Sekiranya memungkinkan ayat yang mulia tersebut merupakan berita tentang apa yang akan terjadi di dunia, tetapi sesungguhnya ayat tersebut pada posisi ini tidak sesuai sebagai berita tentang apa yang terjadi di dunia, bahkan telah pasti -berdasarkan rangkaian yang mendahului dan menyusul ayat tersebut- bahawa ayat tersebut merupakan ancaman dan pernyataan tidak mampu yang akan terjadi pada hari kiamat.

2. Sesungguhnya seluruh ahli tafsir menyebutkan bahawa ayat tersebut merupakan ancaman dan pernyataan tidak mampu (terhadap sekalian jin dan manusia), dan majoriti ahli tafsir menyatakan bahawa hal itu akan terjadi pada hari kiamat.

Syeikh Muhammad Al-Amin As-Syanqiti memberi komentar tentang ayat ini di dalam surah Al-Hijr pada firman Allah:

وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِي السَّمَآءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّاهَا لِلنَّاظِرِينَ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta Kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.” (Al Hijr: 16)

Syeikh Muhammad Al-Amin As-Syanqiti mensifatkan orang yang menganggap bahawa ayat itu mengisyaratkan (manusia) dapat mencapai ke langit sebagai orang yang tidak mempunyai ilmu terhadap kitab Allah Subhanahu wa Ta’ala.

3. Sesungguhnya jikalau ayat tersebut merupakan berita tentang apa yang akan terjadi, maka makna ayat itu adalah: “Wahai sekalian jin dan manusia sesungguhnya kamu tidak akan sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi kecuali dengan ilmu.” Kalau begitu, maka itu merupakan sesuatu yang sudah nyata (tidak perlu diberitakan). Ini kerana sesungguhnya segala sesuatu tidaklah dapat dicapai kecuali dengan mempelajari sebab-sebab untuk mencapainya dan mampu untuk melaksanakannya.

Maka erti tersebut menghilangkan keindahan dari makna dan kedudukan ayat, kerana ayat itu dimulai dengan peringatan yang keras, iaitu dengan firman Allah:

سَنَفْرُغُ لَكُمْ أَيُّهَ الثَّقَلاَنِ

“Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat), wahai manusia dan jin!” (Ar-Rahman: 31)

Kemudian diiringi dengan ancaman yang keras di dalam firmanNya:

يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا شُوَاظٌ مِّن نَّارٍ وَنُحَاسٌ فَلاَ تَنتَصِرَانِ

“Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan  dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu).” (Ar-Rahman: 35)

4. Jelas sekali bahawa ayat ini menunjukkan tentang tentangan ( Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap jin dan manusia). Kerana:

a). Rangkaian ayat, baik sebelum ataupun sesudahnya.

b). Bahawa disebutkannya sekalian jin dan manusia bersama-sama sebagai satu jemaah, hal itu seperti firman Allah Subhanhu wa Ta’ala :

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ اْلإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْءانِ لاَيَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْكَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat yang sebandingnya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Al-Israa: 88)

c). Bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: إِنِ اسْتَطَعْتُمْ (Jika kamu sanggup), nyata sebagai tentangan (Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap/kepada jin dan manusia), apalagi ayat itu menggunakan kata (إنْ), bukan dengan kata إذا kerana إذا menunjukkan kemungkinan terjadinya syarat, berbeza dengan kata إنْ

5. Sesungguhnya jika erti dari ayat tersebut sebagai berita, maka mengandung pujian bagi mereka, dimana mereka dapat mengerjakan dan menyelidiki apa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala cemuhkan mereka, sehingga mereka dapat singgah di bulan. Sedangkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya tidak mampu menggapainya, padahal mereka adalah orang-orang yang paling cepat mengerjakan perintah yang diserukan oleh Al-Quran.

6. Sesungguhnya hukum di dalam ayat yang mulia mencakup jin dan manusia, padahal telah maklum bahawa ketika turunnya Al-Quran jin mampu melintasi dari penjuru bumi menuju ke penjuru langit, sebagaimana Allah SWT menceritakan tentang mereka:

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَآءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَن يَسْتَمِعِ اْلأَنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَّصَدًا

“Dan bahawa sesungguhnya kami (para jin) telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal penuh yang sangat kuat kawalannya dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati appi yang menyala yang menunggu merejamnya.” (Al-Jin: 8-9)

Kalau demikian, maka bagaimana Allah menyatakan mereka lemah terhadap sesuatu yang mereka mampu melakukannya (melintasi penjuru bumi dan langit). Apabila ada yang berkata: “Sesungguhnya mereka tidak dapat (melintasi penjuru langit dan bumi) setelah diutusnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka kami katakan bahawa ini menunjukkan bahawa maksud ayat itu untuk menyatakan mereka lemah, bukan sebagai berita.

7. Bahawa ayat yang mulia tersebut diiringi dengan firman Allah:

يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا شُوَاظٌ مِّن نَّارٍ وَنُحَاسٌ فَلاَ تَنتَصِرَانِ

“Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu).” (Ar-Rahman: 35)

Dan makna ayat tersebut adalah -wallahu A’lam-: “Sesungguhnya kamu wahai jemaah jin dan manusia, jika kamu berusaha melintasi langit maka Allah benar-benar akan melepaskan kepada kamu nyalaan api dan cairan tembaga.” Padahal sudah diketahui bahawa roket-roket (pesawat-pesawat angkasa) itu tidak dikejar oleh nyala api dan cairan tembaga, maka bagaimana mungkin perkara itu adalah yang dimaksudkan oleh ayat tersebut.

8. Penafsiran mereka erti dari kata “sulton” dalam ayat tersebut dengan ilmu perlu dilihat kembali. Kerana kata “sulton” itu bererti sesuatu yang mempunyai kekuasaan yang dimiliki oleh seseorang terhadap apa yang ingin dia kuasai atau dia kalahkan, sehingga maknanya berbeza sesuai dengan kedudukan/posisi. Jika berada pada posisi perbuatan dan yang semacamnya, maka yang dimaksudkan adalah kekuatan dan kekuasaan. Allah berfirman:

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ

“Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai (sulton) sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.” (An-Nahl: 99-100)

Kata “sulton” pada ayat ini ertinya adalah kekuasaan, tidak sesuai jika diertikan dengan “ilmu”. Begitu juga perkataan “sulton” pada ayat yang sedang kita bahaskan, kerana “melintasi” (penjuru langit dan bumi) merupakan perbuatan/pekerjaan yang memerlukan kekuatan dan kemampuan, dengan ilmu sahaja tidaklah memadai. Mereka tidak akan sampai singgah ke bulan hanya dengan ilmu sahaja, akan tetapi dengan ilmu dan kekuatan/kemampuan serta sebab-sebab/jalan-jalan yang Allah SWT tundukkan untuk mereka. Dan apabila kata “sulton” digunakan ketika waktu perdebatan, maka maksud perkataan itu adalah bukti dan alasan yang dapat mengalahkan musuhnya.

Allah berfirman:

إِنْ عِندَكُم مِّن سُلْطَانٍ بِهَذَآ

“Kamu tidak mempunyai (sulton) (hujah) tentang ini.” (Yunus: 68)

Sulton di sini bererti alasan dan bukti. Dan tidak ada di dalam Al-Quran kata sulton dengan pengertian ilmu semata-mata. Bahkan akar kata sulton menunjukkan bahawa yang dimaksudkan sesuatu yang memiliki kekuasaan, kemampuan dan kemenangan bagi seseorang.

Jelas sudah bahawa ayat yang mulia tersebut tidak mengisyaratkan tentang peristiwa mendaratnya pesawat (roket) ke ruang angkasa di bulan. Dan berbagai sudut yang telah kita sebutkan tadi ada yang nampak jelas, dan ada pula yang memerlukan kepada penelitian (renungan). Kami memperingatkan hal itu hanyalah kerana bimbang dari menafsirkan kalam Allah dengan apa yang tidak dikehendaki oleh kalam Allah tersebut. Kerana yang demikian itu mengandung dua bahaya:

a. Menyelewengkan kalimah-kalimah dari tempat-tempatnya, iaitu dengan mengeluarkan dari maksud pengertian yang sebenarnya.

b. Berkata terhadap Allah tanpa ilmu. Ini kerana dia menganggap bahawa Allah menginginkan erti ini, padahal itu menyelisihi susunan ayat. Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas hamba-hambaNya dari berkata terhadap Allah dengan apa yang tidak mereka ketahuinya.

Masalah yang terakhir adalah: Sekiranya memang benar berita tentang mendaratnya pesawat angkasa di permukaan bulan, yang dipertanyakan adalah, adakah mungkin manusia juga dapat menetap di permukaannya (yakni hidup di bulan)?

Jawapan:

Yang zahir dari keterangan Al-Quran, perkara seperti ini tidak mungkin terjadi, disebabkan manusia tidaklah mungkin dapat hidup kecuali di bumi. Allah berfirman SWT:

قال فِيهَا تَحْيَوْنَ وَفِيهَا تَمُوتُونَ وَمِنْهَا تُخْرَجُونَ

“Allah berfirman lagi: “Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat).” (Al-A’raf: 25)

Dalam ayat di atas Allah membatasi kehidupan, kematian dan kebangkitan adalah di bumi. Bentuk pembatasan dalam ayat ini adalah mendahulukan sesuatu yang pada asalnya mesti diakhirkan. [*]

[*] Iaitu sepatutnya adalah: “Kamu hidup di bumi itu dan kamu akan mati di bumi itu, dan (juga) kamu akan dibangkitkan dari bumi itu, tetapi pada ayat itu perkataan “di bumi” diletakkan di depan, menurut kaedah bahasa Arab perkara ini menunjukkan sebagai pembatas.

Ayat ini seperti firman Allah SWT:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى

“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.” (Taha: 55)

Yakni Allah membatasi permulaan ciptaan dari bumi, dan bahawa ke dalam bumilah kita akan dikembalikan setelah kematian, dan daripada bumi pula kita akan dibangkitkan dari kematian di hari kiamat. Sebagaimana juga ada ayat-ayat lain yang menunjukkan bahawa bumi adalah sebagai tempat kehidupan (bagi) manusia. Allah berfirman:

وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُ بِرَازِقِينَ

“Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya.” (Al-Hijr: 20)

Zahir Al-Quran -tanpa keraguan lagi- menjelaskan bahawa tidak ada kehidupan buat manusia kecuali di bumi ini, yang dari bumi ini manusia diciptakan, dan kepadanya dia akan dikembalikan, dan darinya dia akan dibangkitkan.

Maka kita wajib meyakini zahir Al-Quran tersebut, dan jangan sampai sangkaan kita di dalam mengagungkan ciptaan makhluk menjauhkan kita sehingga menyelisihi zahir Al-Quran dengan perkiraan (persangkaan).

Kalau sekiranya ada seseorang manusia yang dapat turun (hidup) di permukaan bulan, dan perkara tersebut nyata dan pasti, maka berkemungkinan ia membawa maksud kehidupan dalam ayat tersebut ialah kehidupan yang tetap secara jamaah seperti kehidupan manusia di bumi, sedangkan perkara ini adalah mustahil. Wallahua’lam

Dan seterusnya, bahawa pembahasan dalam permasalahan ini boleh jadi termasuk ilmu yang tidak perlu, sekiranya tidak ada pembahasan dan perbincangan hingga sebahagian orang berlebih-lebihan menolak dan mengingkarinya sedangkan sebahagian yang lain pula berlebih-lebihan di dalam menerima dan menetapkannya.

Golongan pertama menjadikan berita itu bertentangan dengan Al-Quran, sedangkan golongan lain menguatkannya dengan Al-Quran. Maka aku ingin menulis apa yang sudah tercantum di sini dengan sebatas kefahamanku yang sedikit dan ilmuku yang terbatas.

Dan aku memohon kepada Allah SWT agar Dia menjadikannya ikhlas kerana mengharap wajahNya, bermanfaat untuk hamba-hambaNya. Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala Tuhan semesta alam, selawat dan salam semoga dicurahkan kepada baginda Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarganya dan para sahabat-shahabatnya.

[Diterjemahkan oleh Mahrus dari Risalah Haula Ash-Shu’ud Ilal Qamar, di dalam kitab Majmu’ Fatawa Wa Rasail Fadhilatusy-Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, V/319-327]

Sumber asal: https://almanhaj.or.id/2697-risalah-sekitar-berita-manusia-singgah-di-bulan.html

Disunting bahasa oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Jangan Sangka Penganut Ajaran Yang Salah (Menyimpang) Selalu Kalah!

Umat Islam yang keluar berdakwah perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Paling penting adalah mengetahui keada...